Monday, August 3, 2009

Rusuhan Polis



Ketika menonton filem Hang Tuah ketika masih remaja dahulu, pada babak Hang Tuah berjaya merampas keris tamingsari daripada Hang Jebat, Hang Tuah telah melemparkan keris lain yang di pakainya kepada Hang Jebat. Saya bertanya kepada orang yang lebih dewasa, mengapa tidak dibunuhnya terus Hang Jebat yang tidak bersenjata ketika itu. Lalu di jawab bahawa membunuh orang yang tidak bersenjata bukanlah pahlawan sejati dan tidak bermaruah. Hanya pengecut dan orang bacul sahaja yang mengalahkan musuh yang tidak bersenjata sedangkan dia memiliki senjata.

Ketika melihat rusuhan polis di Kuala Lumpur kemarin, apa yang saya fikirkan betapa bodoh dan baculnya polis yang lengkap bersenjata memukul serta menangkap dengan sangat kasar peserta Himpunan Mansuh ISA. Bukan lagi melihat dengan mata, bahkan saya alami sendiri. Sahabat di sebelah saya di terajang sehingga lebam dan terseliuh urat belakang. Seorang tua di depan saya di tarik sekuat hati sehingga tersembam di tanah. Tangan saya di pijak dengan kasut yang keras dan di putarkan.

Tidak ada seorangpun antara kami yang melawan kecuali mempertahankan diri. Bahkan saya percaya jika di tanya 50 ribu peserta himpunan itu, tidak ada seorangpun di kalangan kami yang datang untuk melawan polis. Tidak ada yang bawa walaupun sekecil-kecil senjata. Apa yang saya perhatikan, kalaupun ada persediaan, mereka hanya bawa tuala dan air serta garam yang di percayai jika terkena gas pemedih mata akan dapat mengurangkan rasa pedih tersebut.

Ketika solat maghrib di surau tempat tahanan, di kompleks FRU di Ceras, saya melihat polis ramai yang solat bersama. Dan memang surau itupun terletak di tingkat bawah flat kediaman polis. Bahkan saya perhatikan polis yang solat di sebelah saya solat sangat khusyuk, bahkan mungkin lebih khusyuk berbanding sebahagian kami.

Itu yang menghairankan saya. Mungkin polis yang memukul orang ramai di tempat perhimpunan adalah polis lain yang tidak solat? Saya percaya itu adalah polis yang sama, kerana saya bersolat itu di kompleks FRU yang di tugaskan memukul kami di tempat perhimpunan tadi. Bahkan menjelang maghrib kelihatan trak water canon dan segala kenderaan yang di gunakan menggempur himpunan tadi pulang ke tempat kami di tahan itu.

Mereka telah di latih sebegitu ganas, memukul, memaki dengan bahasa yang tak sanggup di dengar bahkan mungkin membunuh sekalipun. Dan orang yang mereka pukul dan maki tadi bersolat bersama mereka dan sebahagian mereka yang datang lewat berimamkan peserta himpunan yang menjadi imam setelah jemaah awal selesai solat.

Kita melihat dalam media bagaimana ganasnya polis Yahudi membantai ummat Islam di Palestin. Walaupun sebahagian pemuda Palestin tidak bersenjata, cuma menggunakan batu, tetapi sebahagian lagi memang melawan dengan senjata juga. Jika askar yahudi di lihat menggunakan senjata yang lengkap, memang ada munasabahnya. Tetapi dengan gaya yang hampir sama dengan askar yahudi, lengkap bersenjata, menggempur peserta himpunan yang tidak memiliki walaupun seketul batu sebagai senjata, adalah suatu yang tidak boleh di fikirkan oleh akal yang waras. Bahkan kadangkala sangat melucukan.

Perasaan yang bercampur baur antara pelik, lucu, sedih, benci, marah dan segala macam perasaan apabila melihat dan mengalami peristiwa di Kuala Lumpur kemarin. Kalau ganasnya askar Yahudi memang boleh di fahami kerana membantai penduduk orang berlainan bangsa dan agama dengan mereka. Tetapi apabila polis yang sama-sama solat, melakukan tindakan yang hampir sama dengan askar Yahudi itu, kita tak mampu nak ucapkan apa-apa lagi kepada mereka.

Hanya kerana di arah? Siapa yang mengarah mereka? Juga orang yang mengaku Islam yang menjadi Menteri Dalam Negeri dan Juga Ketua Polis Negara. Tidak ada hati perutkah mereka?
Ataupun ketika bertugas dan mendengar arahan tidak perlu lagi di ambil kira soal agama dan bangsa? Dalam surau sahaja ada agama?

Berbagai persoalan yang timbul memberikan satu pengalaman baru kepada saya. Pertama kali berhadapan sendiri keganasan polis, di pukul dan di rentap masuk ke dalam trak orang salah, berada di tempat tahanan adalah pengalaman yang akan mematangkan saya dalam perjuangan ini, InsyaAllah..

No comments:

Followers