Showing posts with label Ziarah. Show all posts
Showing posts with label Ziarah. Show all posts

Friday, September 10, 2010

Selamat Menyambut 1 Syawwal- Idulfitri 1431h

Sepanjang Ramadhan tahun ini saya jarang online. Setelah hampir setiap hari update ketika baru-baru buka blog ini, kini terbiar sepi. Apabila tidak di update, pengunjung yang sememangnya tidak ramai pun semakin kurang. Bahkan mungkin ada hari yang mungkin tiada langsung pengunjung.

Sejak laptop buruk saya rosak sebulan menjelang ramadhan, saya tidak lagi mempunyai kemudahan menggunakan multimedia ini. Terasa sebahagian urusan hidup menjadi lumpuh, termasuk urusan perniagaan yang banyak tergendala dan urusan jemaah yang tidak mampu lagi saya uruskan dengan sempurna. Sehingga sekarang saya belum mampu membaiki atau mencari ganti kehilangan tersebut.

Sememangnya perjuangan ini penuh mehnah. Kekadang menyebabkan kita di himpit rapat ke dinding. Untuk bangkit semula memerlukan mujahadah dan pengorbanan yang bukan sedikit.

Di penghujung Ramadhan baru ini saya dikunjungi seorang veteran jemaah. Ia seolah mengejutkan saya betapa jemaah ini (saya maksudkan saf kaw Setiu) masih terlalu banyak yang perlu diperbetulkan untuk memenuhi syarat kemenangan yang dikehendaki Allah.

Rintihan dan sekaligus dorongan semangat yang di luahkan oleh veteran parti ini menyedarkan saya bahawa disana terdapat lompang kelemahan yang perlu segera di isi dan di tampung agar jemaah ini punya kemampuan untuk menguasai masyarakat dengan pendekatan islam.

Tidak perlu diungkit apakah yang beliau lakukan sepanjang berpuluh tahun (saya kurang pasti sejak bila) beliau di pilih dan menjadi AJK kerja PAS Kawasan. Beliau terlibat dengan perjuangan ini sejak usia muda dan pernah menjadi ketua pelbagai lujnah sehingga yang terakhir sebagai Bendahari dan Ketua Lujnah Ekonomi PAS Setiu sewaktu saya menjadi Setiausaha pada sessi 2007-09. Pada sessi ini lantaran uzur beliau tidak lagi mengetuai apa-apa lujnah walaupun masih lagi sebagai AJK kerja. Masa beliau kini banyak keluar masuk hospital lantaran penyakit asma dan batuk yang di deritai.

Sepanjang melalui pahit jerih perjuangan, pengalaman menggerakkan parti daripada cawangan, DUN dan Kawasan dan sekarang beliau terlantar tidak mampu lagi bergerak aktif, lewat pertemuan di hujung ramadhan kemarin beliau membuat satu rumusan yang sangat menggelisahkan saya.

Entah mengapa ia sangat mengganggu pemikiran saya. Sehingga ketika menyampaikan khutbah Idulfitri pagi tadi saya tak mampu untuk menyembunyikan kegelisahan dengan membuat teguran yang agak keras kepada ahli jemaah walau dengan bahasa yang mungkin tidak begitu di fahami (?).

Persoalannya di sekitar KEBAJIKAN atau dalam bahasa harakinya di sebut TAKAFUL yang menjadi salah satu rukun usrah yang semakin luntur. Bukan sahaja ianya tidak lagi menjadi bahan perbincangan lewat usrah dan program jemaah, bahkan usrah itu sendiripun semakin hilang identitinya. Itu yang menghakis mahabbah dan ukhuwah sesama jemaah. Pergerakan menjadi tawar dan hambar...

Tuhan... berilah aku kekuatan mengharungi perjuangan ini.

Tuesday, October 6, 2009

Catatan PRK Bagan Pinang

Jeneral PAS di PRK Bagan Pinang, Sdr Salahudin Ayub ( Pengarah PRK ), di apit oleh Dr Zulkifli ( Pengarah Operasi ) dan Ust Abd Halim Abd Rahman ( Pengarah Pilihanraya PAS Pusat )

Sempat membantu Jentera Parti di Bagan Pinang pada PRK ini. Tetapi di atas keterbatasan yang ada hanya sekejap sahaja dapat bersama sahabat-sahabat ziarah dari rumah ke rumah bertemu pengundi. Kontijen Terengganu di tugaskan membantu UPU Telok Kemang.

Sebahagian besar pengundi tinggal di rumah-rumah taman. Tetapi sebahagian besar penghuni taman-taman itu pula bukanlah pengundi di situ. Sebahagiannya adalah Tentera dan sebahagian lagi datang dari serata pelusuk tanahair bekerja di kawasan peranginan di situ. Menyebabkan sukar untuk mengenali rumah-rumah pengundi yang berdaftar di UPU berkenaan.

Saya sempat menziarahi satu taman, Taman Bukit Perdana, satu lokaliti di UPU Telok Kemang. Rumah di Taman tersebut sekitar 80 buah, sedangkan pengundi tempatan yang nak di cari cuma 8 orang sahaja. Begitulah juga dengan taman-taman yang lain. Saya di maklumkan oleh BG terdapat satu taman pengundi cuma 3 orang..

Sambutan pengundi kepada kami secara keseluruhannya amat baik. Walaupun ada antaranya mengaku sebagai ketua cawangan UMNO dan AJK Wanita UMNO, tetapi mereka tetap melayan kami dan mendengar apa yang nak kami sampaikan.

Kita berusaha dan berdoa, mudah-mudahan Allah membuka pintu hati mereka untuk mengundi calon PAS pada PRK ini. Masyarakat kita pada hari ini banyak di tipu oleh media milik UMNO. Samada media elektronik mahupun media cetak, mereka cuba menutup maklumat yang benar daripada di ketahui oleh rakyat berkenaan pentadbiran negara pada hari ini.

Jika rakyat memperolehi maklumat hanya daripada media yang di kuasai oleh BN yang hanya melaporkan perkara yang baik berkenaan BN, mereka tidak mengetahui bagaimana pengkhianatan dan penyelewengan yang di lakukan oleh pemimpin-pemimpin BN kepada agama, bangsa dan negara kita sepanjang pemerintahan mereka sejak merdeka.

Tugas kitalah menyampaikan maklumat tersebut. Kalau di waktu-waktu lain kita tidak berpeluang menemui semua pengundi, musim pilihanrayalah biasanya kita menumpukan seluruh perhatian untuk mengajak pengundi mendapatkan maklumat yang betul seterusnya memberi sokongan kepada agenda perubahan yang kita bawa. Lebih-lebih lagi bila berlaku pilihanraya kecil yang mana tumpuan jentera parti seluruh negara dapat di gerakkan kepada hanya satu kawasan DUN atau satu parlimen.

Malang kepada saya apabila masalah rakaman peristiwa masih tak dapat di buat melalui gambar. Sejak rosaknya kamera milik pemuda DUN Batu Rakit hari tu, tidak ada lagi gambar yang boleh di jadikan bahan sejarah melalui pengalaman sepanjang perjuangan ini.....

Dua keping gambar berikut adalah ehsan Setiausaha PAS Kawasan untuk di jadikan kenangan selepas makan pagi, jumaat, 2 Okt yang lepas.

Dari kanan, Sdr Wan Hasan ( Pengerusi MTD Permaisuri ), Ust Mohd Pauzi ( YDP Setiu ), Sdr Sudin Awang ( AJK Setiu ), Ust Mohd Sopi, Sdr Sauti Mat Yaman- berdiri ( AJK Setiu dan Pengerusi PASTI Setiu ).

Dari kanan - Sdr Aminudin ( SU Kaw Setiu ), Sdr Sudin, saya, Sdr Wan Hasan dan Sdr Abdullah ( AJK MTD Jabi )

Followers