Showing posts with label Remaja. Show all posts
Showing posts with label Remaja. Show all posts

Friday, January 28, 2011

Surat Terbuka Untuk DS Najib

Saya terjumpa surat terbuka ini dalam satu blog yang memberi izin untuk di sebarkan.... Sama-sama kita kongsikan.
________________________________________________
Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH Julai nanti genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun sebelum saya layak mengundi. Tetapi saya yakin dalam ruang demokrasi tidak pula mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat saya ini dibaca Dato’ Seri.


Dato’ Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan saya ini menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata).
Saya juga mampu membaca suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. Saya sering ‘singgah’ di laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di media arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang tidak menjadi kegilaan kebanyakan remaja seusia saya.

Tidaklah pula saya katakan yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak. Saya cuma mahu tegaskan saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah remaja yang bukan kerjanya sehari-hari hanyalah makan, tidur, ‘menelan’ buku teks semata. Saya adalah remaja yang mengikuti rapat perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta ini.

Izinkan saya Dato’ Seri untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak, seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang remaja seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri yang InsyaALLAH kelak, kamilah yang akan membuang undi!

Dato’ Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah. Ia adalah persoalan besar dan penting. Persoalan yang diletakkan tinggi di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi SAW.

DASAR

Saya, yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini percaya bahawa setiap tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim, neraca asas yang menjadi dasar pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya, apakah Asas Utama kepada setiap tindakan Dato’ Seri?

Apakah Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?

Maaf Dato’ Seri, kiranya jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan Dato’ Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih jawapan selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato’ Seri.

Saya amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’ Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya. Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.

Saban hari saya dan rakan-rakan menerima berita dari segenap pelusuk negara, sama ada dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya, ‘hilang’ nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’ maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’ akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga tergamak membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan anjing dan hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan! HILANG Dato’ Seri, HILANG!

Saya begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali KWJ, “Lihatlah pada generasi muda, untuk menilai masa depan ummatnya”. Saya tergamam dan jadi takut Dato’ Seri, melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini hancur dan punahnya masa depan negara tercinta ini!?

PELAN TRANSFORMASI EKONOMI

Program Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri turut menggariskan perancangan untuk MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN. Di atas alasan untuk memperkasa industri pelancongan dan menarik pelancong juga kerajaan pimpinan Dato’ Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Kerajaan Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

Maka menjelang 2014 negara kita akan memiliki sekurang-kurangnya 10 kelab malam di zon hiburan. Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’ Seri akan merubah beberapa peraturan hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan malam.

Dato’ Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana seorang penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda dengan kebenaran daripada kerajaan Dato’ Seri.

Izinkan saya ulangi soalan saya Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca timbangan ketika Dato’ Seri merangka, membentang dan membahas idea ini? Ataupun Dato’ Seri punya pilihan lain yang Dato’ Seri lebih suka untuk diletakkan sebagai neraca timbangan?

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar bahawa perancangan Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran? Ini bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’ berskala besar yang akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau lebih muda hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.

Iya, Dato’ Seri akan ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para cerdik pandai generasi akan datang dengan lambakan hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan bakal dihidang dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan menatijahkan hanya satu Dato’ Seri, iaitu hilang upayanya kami untuk menduduki barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau apakah pada pandangan Dato’ Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai kiranya ‘menelan’ hiburan-hiburan ini?

IFF dan AURAT

Dato’ Seri, seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab menegaskan, “Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan dihina Allah”. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar bertitah demikian kerana ia begitu meresap masuk di hati ini.

Dato’ Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya waktu melihat Dato’ Seri dan isteri melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh hari. Saya tak dapat mengawal hati untuk berteriak-teriak marah tatkala melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama “Kelembutan Islam” (Modesty of Islam) yang dinaungi oleh isteri Dato’ Seri dan pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya dan sahabat-sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah ini pemahaman Dato’ Seri dan isteri mengenai pemakaian di dalam Islam?

Saya dan rakan-rakan jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’ Seri ‘bertempik’ berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato’ Seri tidak pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato’ Seri tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato’ Seri berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya, apakah Dato’ Seri meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri ini?

JUDI

Bukan sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri mengumumkan pemberian lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus perjudian sukan di Malaysia pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak apakah harapan Dato’ Seri dengan pemberian lesen-lesen judi ini?

Apakah ini juga satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri gembira dengan duit yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita melihat betapa hebatnya gejala buruk yang bakal timbul lewat perjudian?

Apakah Dato’ Seri meletakkan neraca BERKAT dan LA’NAT waktu mengemukakan cadangan ini? Apakah Dato’ Seri akan meredhai kiranya rakyat Malaysia memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka dengan wang hasil judi yang mereka perolehi? Apakah budaya yang cuba dibentuk Dato’ Seri sebenarnya?

Apakah keputusan-keputusan ini ditimbang dengan neraca agama? Atau Dato’ Seri menggunakan neraca lain sebagai ganti?

KEMISKINAN dan HARGA NAIK

Dato’ Seri orang bangsawan. Keturunan bangsawan. Barangkali jika tidak jadi Perdana Menteri Malaysia pun Dato’ Seri tetap akan hidup senang-lenang mewarisi kekayaan. Menteri-menteri Dato’ Seri juga kaya raya.

Maka tidak kiralah jika hari ini minyak naik 10 sen, 20 sen, 50 sen atau RM 10 sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri tidak akan bersusah. Tidak perlu berjerih payah.

Tahukah Dato’ Seri, di celah-celah, ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang menderita lewat kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan kelemahan pengurusan. Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai neraca dan Allah sebagai penilainya adalah pengurusan yang menghancur!

Dato’ Seri, saban hari saya melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah Dato’ Seri, untuk menyekolahkan anak pun sudah membuatkan mereka terpaksa membanting tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar mereka ke menara gading (yang PTPTN lebih menghimpit daripada membantu).

Kadang-kadang, apabila anak-anak yang bersekolah meminta wang lebih untuk buku rujukan tambahan, si ibu atau bapa terpaksa menghulur dalam titis air mata. Sudahlah hutang yuran persekolahan pun masih belum dilunas. Bukan sedikit keringat yang dicurah demi sesuap rezeki halal untuk anak-anak dan keluarga.

Kerajaan Dato’ Seri jangan terlalu bergantung kepada statistik dan kajian untuk menilai kemampuan rakyat. Selamilah sendiri penderitaan rakyat yang terseksa dan merana kerana sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap kali harga minyak atau keperluan utama naik, meski sekadar 10 sen atau 20 sen, mengalirlah air mata rakyat yang menanggungnya.

Rakyat benar-benar tersiksa sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah dipenuhi. Janji itu dan ini sekadar untuk meraih undi. Waktu menang nanti kami rakyat sudah dilupai. Tinggal kami bermatian berusaha keras sendiri.

SUARA RAKYAT

Waktu rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi untuk meluahkan rasa yang terbuku di hati dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri yang berkuasa, Dato’ Seri menghantar pada kami ‘perusuh-perusuh’ yang membantai tulang lemah dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan diinjak-injak umpama binatang korban, umpama tak punya maruah. Kami diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air kimia yang saya yakin, Dato’ Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan peritnya.

Dan menteri-menteri Dato’ Seri tanpa rasa bersalah menggelarkan kami sebagai perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara, beruk-beruk di jalanan yang cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang menuduh melulu itu bisa memahami pedihnya hati ini.

Semuanya adalah kerana kami rakyat yang mahu berkongsi rasa dengan pimpinan negara. Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan ketidakadilan, ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat diikat, maka ruang kecil untuk bersuara di jalanan inilah, ruang untuk kami menyampaikan rasa pada pemerintah dan pemimpin kami. Sekadar ruang kecil untuk kami bercerita dan berkongsi betapa peritnya kehidupan yang kami rakyat lalui.

Pernahkah Dato’ Seri pedulikan suara kami? Pernahkan selain daripada tarikh pilihanraya Dato’ Seri menjadi begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu pandangan rakyat yang tidak menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli? Pernahkah Dato’ Seri?

Dato’ Seri bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan rakyat. Melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri memastikan kami rakyat yang berhimpun tidak akan berjaya berhimpun dengan aman dan baik. Media di bawah kawalan Dato’ Seri juga menggunakan segala maklumat yang ada untuk memburuk-burukkan kami. Ulama’-ulama’ yang bernaung di bawah Dato’ Seri juga menggali hujah-hujah agama demi membuktikan tindakan kami bersuara adalah bercanggah pada sisi agama.

Dato’ Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap tindakan ini. Bukankah perhimpunan anjuran Dato’ Seri pada setiap malam menunggu detik Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu rakyat termasuk golongan muda-mudi datang menyertai. Akhbar arus perdana jugalah yang melaporkan tangkapan demi tangkapan kerana berkhalwat, kerana dadah, kerana berkelakuan tidak sopan pada setiap kali sambutan-sambutan anjuran Dato’ Seri. Apakah pernah himpunan rakyat membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit keadilan, pernah menjadi penyebab anak-anak muda ditangkap khalwat?

Dan pernahkah Ulama’-ulama’ muda yang bernaung di bawah Dato’ Seri itu menegur Dato’ Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur himpunan rakyat yang bersuara sebagai Bughah (derhaka) dan menuju Maksiat!?

REFORMASI

Saya dan juga rakan-rakan adalah remaja muda yang punya sikap, punya pendirian. Kami berazam untuk mengubah keadaan ini Dato’ Seri. Kami berazam dan bertekad bahawa seluruh diri kami akan diperguna untuk memperbaiki keadaan punah ini.

Kaedah merubah itu 2 Dato’ Seri. Pertama, nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal, UBAH sendiri. Nasihat sudah saya berikan. Pandangan sudah saya sampaikan. Rakyat lain juga begitu, isyarat sudah mereka sampaikan.

Jika sampai masanya untuk kami membuat pilihan, dan keadaan tidak lagi pulih, percayalah Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan sekarang untuk siapa yang layak menerima undi kami nanti.

Tidak cukup dengan itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh tenaga dan kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti agar pentadbiran, pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang meletakkan Islam, Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan beroleh tempat tertinggi di negara ini.

Dato’ Seri, saya tidak mengancam. Tidak pula mengugut. Saya mengingatkan. Kerana inilah tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah sesama Mu’min itu bersaudara?

Dato’ Seri, mungkin surat ini akan sampai kepada pengetahuan Dato’ Seri, mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke pengetahuan Dato’ Seri, saya dahulukan dengan permohonan maaf kerana mungkin ada kesilapan saya. Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada silap dan salah pada lenggok bahasanya. Saya juga berterima kasih, iyalah, orang sesibuk Dato’ Seri meluangkan masa untuk mengambil perhatian pada surat saya ini, itu adalah satu penghormatan buat remaja seperti saya.

Namun Dato’ Seri, kiranya ada pada surat ini ataupun tindakan-tindakan remaja muda seperti kami ini yang mungkin lantang menyatakan pendirian hingga mungkin Dato’ Seri terguris hati, kami tidak memohon maaf untuk itu. Kerana Dato’ Seri, INI MEMANG ADALAH PENCAK KAMI!
..............................................................................................

Beberapa Program

Kerana tidak mempunyai kamera sendiri, saya mohon izin daripada pelbagai sumber (blog / facebook) kerana mengambil gambar untuk kenangan beberapa program yang saya sempat hadir.

Perarakan penamaan calon PRK Tenang 22 Jan 2011.
Calon PAS PRK Tenang, Pn Normala Sudirman ( Cikgu Mala )
Kaunter Skuad Perihatin DPPKK ( Luj Kebajikan ) sempena program PAS GANTI UMNO ( PGU ) Peringkat Negeri pada 15 Jan 2011 di Dataran Tok Guru, Geliga, Kemaman.
Rombongan bermotor para pemuda ke program PGU
Ketibaan Tuan Guru Mursyidul Am, Presiden dan lain-lain pimpinan ke Program PGU di sambut dengan pertunjukan silat.
Tuan Guru Dato' Nik Aziz berucap di program PGU
Tuan Guru Presiden ketika menyertai acara memancing di sebelah petang PGU
YB Mohd Nasir Zakaria, Ketua Lujnah Kebajikan DPPP merangkap MP Padang Terap melancarkan Skuad Perihatin dan merasmikan WACANA PERIHATIN DPPNT di MT K. Ibai pada 7 Jan 2011
Ust Abu Bakar Abdullah, Ketua Lujnah Kebajikan BPPNT turut memberi pengisian dan taujihat dalam program Wacana Perihatin.
Mempengerusikan majlis Wacana Perihati, Selaku Pengerusi Luj Kebajikan DPPNT
Majlis Penutup Kem Bina Syahsiah Remaja peringkat Setiu di Taman Rekreasi Pantai Merang pada 18 Dis 2011
Berucap di Majlis Penutup Kem Bina Syahsiah Remaja Setiu sebelum penyampaian hadiah dan penghargaan

Sunday, November 28, 2010

Kes Perceraian: Mengenal Kesilapan


Oleh : Ustaz Nik Mohamad Abduh Dato' Nik Abd Aziz


Salam Palestin,

Akhbar Utusan Malaysia beberapa hari lepas melaporkan kajian oleh Jakim menunjukkan kadar keruntuhan rumah tangga rakyat Malaysia yang agak tinggi akibat perkahwinan yang tidak mampu bertahan lama dan terdedah kepada perceraian awal yang agak membimbangkan.

Kajian terakhir menunjukkan lebih 30% pasangan bercerai dalam tempoh 5 tahun pertama perkahwinan dan hampir 45% perceraian adalah berpunca daripada kegagalan pasangan melaksanakan tanggung jawab selain msalah akhlak, kewangan, seksual dan campur tangan orang ketiga.

Kita sudah pasti terpanar dengan hasil kajian yang ditunjukkan dan ia sungguh menyedihkan. Ia cukup untuk menggambarkan betapa perkahwinan yang diharapkan mampu mencetus pembaikan, ketenangan dan penyelesaian terbaik dan berkesan kepada isu – isu penyakit masyarakat dan negara rupa – rupanya masih ditahap yang lemah dan membimbangkan.

Tiada yang terlalu indah selain perkahwinan di antara dua mempelai yang menyatukan kehidupan manusia secara semulajadi dan fitrah. Ia sebahagian daripada agama dan pengajarannya. Islam menjadikan perkahwinan sebagai sebahagian dari jalan menyempurnakan ugama dan kehidupan seseorang muslim di dunia ini.

Kesempurnaan itu bermaksud pasangan yang berkahwin itu telah menyelamatkan diri masing – masing daripada fitnah dunia yang besar yang boleh memporak perandakan ugama dan kehidupannya, selain membantu masyarakat dan negara membina kehidupan yang aman dan harmoni melalui ikatan kekeluargaan yang akan saling mempercayai, bersatu dan berkerjasama di antara mereka.

Hampir – hampir pembinaan negara itu bermula daripada rumah tangga yang bahagia, bukan individu yang berjaya. Bagaimanakah boleh digambarkan kehebatan dan kejayaan individu tanpa kehadiran institusi kekeluargaan yang menyokongnya?

Tetapi, apabila kita dikhabarkan dengan hasil kajian yang menunjukkan sebaliknya, bahawa perkahwinan juga turut mencetus kegawatan kepada negara, maka bagaimanakah kita mampu menerimanya dengan tenang dan tanpa kebimbangan.

Perceraian diharuskan agama sebagai jalan keluar kepada perkahwinan yang gagal untuk diteruskan dan diharapkan kejayaannya. Tetapi apabila kadarnya menjadi begitu tinggi sehingga mencabar perkahwinan itu sendiri (sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun yang sama), maka ia memberikan setidak – tidaknya dua gambaran yang agak menakutkan;

Pertama, perceraian itu sudah tidak lagi boleh dianggap sebagai jalan penyelesaian, bahkan telah mencipta perpecahan di dalam institusi masyarakat dan masa depan anak – anak yang muram dan gelap.

Kedua, perkahwinan pula bukan lagi dilihat sesuatu yang jernih dan kebal untuk pembinaan kehidupan impian, bahkan ia bagai menempuh gelombang badai yang memeritkan atau perjudian yang ditakuti akibatnya.

Istana perkahwinan kelihatannya telah dicerobohi musuh yang akan meruntuhkannya dari dalam.

Jika ini keadaannya, sesuatu yang besar mestilah dilakukan oleh semua pihak, terutama pihak kerajaan yang memiliki kekuatan yang mantap untuk mengatasinya, selain masyarakat sendiri yang berperanan wajib membaiki secara bersama.

Mengapa pasangan muda hari ini gagal mempertahankan kemanisan yang mereka dambakan sepanjang umur remaja mereka? Bukankah umur muda remajalah menjadi tanah subur untuk kalimat cinta memekar dan tumbuh? Justeru cinta itulah yang memimpin mereka untuk mengimpikan keindahan abadi dalam kehidupan duniawi ini sehingga sebahagiannya menjadi abdi kepada cinta jenis ini?

Saya ingin berkongsi pendapat, semoga setiap yang bertanggung jawab dapat meletakkan satu ukuran yang benar sebelum merumuskan tindakan yang tetap dengan menilai keutamaan dan menimbangkan di antara beberapa natijah yang penting. Dengannya gerak kerja akan lebih bekesan.

Perkahwinan bertindak menyempurnakan kecacatan individu. Ia begitu mengubah cara hidup seseorang. Ia meransang rasa tanggung jawab dalam kehidupan dan kesediaan untuk memikul tanggung jawab. Maka kehidupan akan menjadi lebih sempurna kerana kehidupan hanya bermakna apabila amanah dan tanggung jawab dilestarikan.

Tetapi apabila perkahwinan gagal berfungsi sebagai pelengkap kesempurnaan, kita patut melihat kepada beberapa faktor;

Pertama, institusi perkahwinan yang gagal difahami. Berkahwin bukan berkawan. Ia lebih daripada itu. Tetapi perhatikan, ramai pasangan muda sering memilih ini, “Kami berkahwin kerana kami rasa begitu serasi semasa berkawan.” Tahukah mereka bahawa keserasian semasa berkawan tak akan sama dengan keserasian perkahwinan.

Islam menolak pengenalan dan penilaian melalui persahabatan yang lama sebelum perkahwinan walaupun melalui ikatan pertunangan. Ia menghapuskan rasa hormat, malu dan saling mengharap di antara pasangan. Ia menerima dan menolak tanpa rasa tanggung jawab yang sebenar. Penilaian sebelum perkahwinan adalah lemah dan palsu lantas bergantung kepadanya pasti akan melemahkan dan menggagalkan harapan menggunung selepas perkahwinan. Pasangan akan saling tuduh – menuduh di atas janji dan pengenalan rapuh sebelum perkahwinan.

Pengenalan sebenar institusi perkahwinan mestilah disertai tanggung jawab untuk membaiki dan membina. Ia hanya teguh setelah perkahwinan berlaku. Akad nikah diperkenalkan agama sebagai janji pertama dan ikatan yang kuat simpulannya. Ia mesti difahami setiap pasangan bahawa akad itu menuntut kita bersedia menerima kekurangan dan kelebihan masing – masing. Tiada tuduh – menuduh mungkir janji terhadap pengenalan lama yang terjadi sebelum perkahwinan.

Kesediaan menerima ‘seadanya’ pasangan masing – masing adalah kunci kepada pembinaan dan pembaikian mahligai perkahwinan. Sifat – sifat terpuji akan segera memekar dan sifa – sifat buruk segera terlerai satu demi satu. Berkenalan selepas perkahwinan adalah bagai satu proses mencantumkan dua denyut nadi, nyawa, tubuh, diri dan ruh menjadi satu. Ia satu seni dan sesuatu yang seni memerlukan penghayatan yang lebih dan lebih telitinya. Dalam setiap diri ada seni. Jelmakan kemuncak seni anda di sini selepas seni pada mengenal Allah dan raulNya.

Bukanlah pengenalan pra perkahwinan itu buruk, tetapi keburukan adalah apabila perkahwinan digantungkan dan digadaikan kepadanya. Di situlah kerosakan dan keretakan mudah berlaku.

Sekarang perhatikan sebab – sebab perceraian yang melanda bagai api yang membakar di sebalik majlis perkahwinan yang meriah sekali. Ketika berlaku khilaf dan selisih di antara pasangan, di mana hilangnya rasa hormat, rasa malu dan rasa tanggung jawab masing – masing? Ya, ia telah hilang dalam seribu janji yang berlaku sebelum janji sebenar di saat lafaz akad nikah dimeteraikan.

Anak – anak muda hari ini gagal memahami hakikat dan makna perkahwinan. Mereka berbicara pasal keseronokan menimang nafsu sedang agama mengajar mereka untuk berseronok menimang tanggung jawab dan membina kesempurnaan hidup.

Kedua, generasi baru yang lemah binaannya. Inilah faktornya. Kadar perceraian yang tinggi adalah petanda generasi anak muda yang lemah binaan tubuhnya. Ia bermula daripada kegagalan mereka membina diri. Kesannya tampak jelas pada cara mereka membina rumah tangga pula.

Hari ini kita berbicara secara serius mengenai modal insan. Mengapa? Bukan kerana kita tidak pernah sedar kepentingannya, tetapi kerana kita telah gagal membinanya semenjak sekian lama. Dan hari ini pun, saat kita berbicara lantang mengenainya, kita belum pun menemui caranya yang sebenar dan selamat kecuali mereka yang dikasihi Allah.

Sistem pendidikan kebangsaan negara kita masih terlalu lemah. Pemusatan kepada kekuatan jasmani yang dicapai melalui aspek – aspek lahiriah yang banyak melampaui kekuatan rohani yang seharusnya memimpin kekuatan lahiriah tadi. Asyik kita melihat kejayaan lahiriah kita membutakan kita daripada melihat kepunahan isi dan nurani dalam yang sentiasa menjadi pembunuh kejayaan zahiriah kita itu.

Generasi muda harapan di menara gading sedang terlibat dalam jenayah, maksiat, budaya kuning dan syirik. Apatah lagilah jika dikira anak – anak muda yang terbantut pendidikan awal mereka lalu terbiar tanpa tangan tanggung jawab yang dihulur buat menyelamatkan mereka daripada kecundang dalam dunia jenayah, dadah, arak dan zina.

Ini kenyataan yang sedang kita hadapi secara bersama.

Setiap mereka telah dan akan mendirikan rumah tangga. Samada lelaki atau perempuan, anda boleh bayangkan betapa sukarnya kita memberi harapan untuk kejayaan mereka membina istana perkahwinan yang teguh.

Dalam tubuh mereka tiada agama yang lurus, iman yang sempurna, jiwa yag khusyu’ dan ilmu yang bermanfaat. Mereka berbekal segulung ijazah dan wang yang banyak untuk membina perkahwinan. Cukupkah itu untuk menimang anak dan tanggung jawab?

Di sini, harapan adalah sukar sehinggalah kita bersedia menerima perubahan besar di dalam sistem pendidikan dan segala sistem hidup yang menyempurnakan syakhsiyah diri anak – anak muda harapan bangsa. Daripada situ, kita pasti boleh kembali gembira untuk melihat ikatan perkahwinan yang menjanjikan kedamaian dalam kehidupan manusia, bukan membimbangi keretakan dan kehancuran rumah tangga.

Ketiga, Persekitaran yang lemah dan tidak membantu. Ia tambah menyukarkan apabila istana perkahwinan yang baru dibina berhadapan dengan persekitaran yang tidak membatu meneguhkannya. Perhatikan pada kehidupan ibu bapa, mertua dan keluarga sendiri yang lemah dengan mementingkan dan membanggakan status zahir dan meninggalkan ugama. Lihat persekitaran kawan – kawan yang berlumba dan menuntut penonjolan bermewah – mewah dalam membina rumah tangga dan lihatlah juga pada kehidupan umum hari ini yang begitu mengagungkan duniawi dan dosa.

Dengan jiwa dan binaan diri yang lemah, persekitaran kehidupan yang kotor hari ini telah begitu merempuh istana perkahwinan yang dibina setiap hari di negara kita.

Jadi, ketika kita berbicara mengenai perkahwinan dan pembinaan rumah tangga kekal bahagia, kita akan dapati bahawa ianya memerlukan satu penyelesaian yang menyeluruh yang begitu menuntut kehadiran kekuatan dan kekuasaan untuk mengubah kebiasaan dan kelaziman yang telah berakar umbi dalam kehidupan. Keruntuhan rumah tangga yang baru saja dibina jelas memberi petunjuk bahawa arus jahat terlalu ganas untuk menjahanamkan perkahwinan baru untuk berakar umbi.

Tetapi menuntut pemerintah negara menyedari kesilapan dan kesalahan mereka tetap sukar. Pemerintah yan terlalu berkuasa seperti di negara kita terlalu ego dan sombong untuk mengakui kesilapan.

Justeru, selepas gandingan mendesak dan memburu kerajaan dimantapkan, hendaklah sentiasa ada jentera – jentera islah dan pembinaan dalam masyarakat seperti para ulama, madrasah, masjid dan pertubuhan – pertubuhan bukan kerajaan untuk memainkan peranan membina institusi keluarga yang bahagia dan diredhai Allah.

Wednesday, October 14, 2009

Selepas PRK Bagan Pinang...

Telah 3 hari berlalu PRK Bagan Pinang dan keputusan telah di maklumi semua. Kekalahan dalam mana-mana Pilihanraya kepada PAS bukanlah suatu yang pelik pun. Lebih-lebih lagi pilihanraya kecil dan lebih-lebih lagi di Negeri Sembilan yang PAS tak pernah menang sebelum ini.

Namun selepas PRU 12, setelah anak sulung kemenangan PAS di DUN Paroi melalui YB Taufek, PRK Bagan Pinang semacam memberi satu harapan untuk di teruskan momentum kebangkitan PAS di negeri tersebut.

Walau bagaimanapun PRK yang baru berlalu memberi satu ingatan bahawa bukan semudah itu kemenangan boleh di capai di negeri selatan yang berakar umbi dan di dominasi UMNO sekian lama. Lebih-lebih lagi calon UMNO pula bukanlah sembarangan tokoh yang boleh di perkecilkan.

Selepas keputusan di umumkan telah begitu banyak ulasan di buat oleh pelbagai pihak. Tentunya secara rasmi PAS Pusat juga akan membuat postmortem dan akan mengumumkan antara hasil yang di capai. Banyak faktor kekalahan kita yang di perkatakan samada oleh pemimpin serta penyokong UMNO mahupun oleh pimpinan dan penyokong kita sendiri melalui pelbagai media massa.

Di sini saya tidak berhasrat untuk memanjangkan ulasan punca kekalahan samada luaran ataupun dalaman. Dari luaran sememangnya bukan suatu yang pelik apabila musuh akan melakukan apa sahaja untuk mengalahkan kita meskipun melanggar undang-undang atau tatasusila, kerana dasar UMNO itu sendiri yang bersumberkan sikular yang tidak perlu merujuk kepada agama mahupun adat untuk melakukan apa-apa tindakan.

Dari segi dalaman pula, selagi pergantungan dengan Allah tidak mantap, kita akan bergantung dengan kekuatan makhluk atau material yang tidak seberapa. Kita akan kalah dan menang mengikut keadaan, bukan mengikut kebenaran Islam yang kita perjuangkan.

Apa yang ingin saya singgung disini adalah tentang gambaran masyarakat di Bagan Pinang khususnya dan umum masyarakat melayu / Islam di negara kita sekarang.

Melihat gambar-gambar yang terpapar di blog-blog mereka yang mengulas PRK, terutama gambar hari mengundi ahad lepas, amat merunsingkan fikiran. Apa yang membuatkan saya termenung adalah apabila melihat gambar anak-anak muda yang masih bersekolah serta remaja yang bakal menentukan pembentukan masyarakat Malaysia di masa depan. Penampilan mereka, pakaian mereka, akhlak dan tutur kata mereka.... sama ada lelaki atau wanita, bentuk masyarakat apakah yang mahu di bina oleh pemerintah sekarang untuk generasi akan datang.

Kontinjen Terengganu yang turun membantu di UPU Telok Kemang di tempatkan di Masjid Lama yang di jadikan surau. Kami makan dan tidur di masjid itu. Sepanjang berada di masjid itu kami di maklumkan hanya tiga orang sahaja penduduk tempatan yang berjemaah disitu. Bahkan di hari-hari biasa hanya seorang dua sahaja yang datang untuk berjemaah. Bukan saja di masjid lama itu, bahkan masjid baru yang tersergam besar berhampiran itupun, ketika hari biasa tidak lebih 5 orang sahaja jemaah yang bersolat waktu. Cacatan seorang blogger yang saya baca di blog Al Banjari mungkin boleh memberi gambaran lebih jelas tahap agama masyarakat Bagan Pinang secara umumnya.

Jika inilah masyarakat yang ada, apakah pelik apabila kita tawarkan Islam kepada mereka berbanding UMNO yang menawarkan kebendaan yang menipu itu, maka mereka memilih untuk menolak tawaran kita.......

Followers