Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts

Friday, August 24, 2012

KENYATAAN Tuan Guru Nik Abdul Aziz - Reaksi kpd Sinar Harian tentang Hudud

"Sukacita saya merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian (23 & 24 Ogos 2012) yang membicarakan persoalan hudud, terutamanya apa yang dibangkit oleh seorang ahli parlimen PAS dan seorang lagi mantan mufti.


Bagi saya tidak ada asas hukum dan keperluan atas dasar logik untuk melengah-lengah pelaksanaan kerana hudud adalah sebahagian daripada perundangan syariah yang diwajibkan dalam Islam. Ini kerana tidak ada hukum atau undang-undang di dunia ini, sama ada di bawah sistem demokrasi mahu pun komunis yang menunggu rakyat faham dan setuju dulu, baru dilaksanakan.

 Atas kerana itu, apa sahaja undang-undang di Malaysia, ia dibuat dan dilaksanakan tanpa menunggu semua pihak faham atau setuju. Termasuklah pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sendiri pun yang menguatkuasakan pembentukan negara Israel di bumi Palestine yang ditentang hebat oleh orang Palestine sendiri. Hatta Presiden Amerika, Barrack Obama sendiri turut bersetuju dengan perundangan ‘kahwin sejenis’ meskipun majoriti masyarakat dunia menolaknya.

Secara faktanya, persoalan sesuatu hukum boleh dilaksana setelah ada kefahaman dan persetujuan semua pihak, ia sesuatu yang tidak tepat dalam kaedah perundangan yang ingin mengawal dan mendidik masyarakat ke arah kebaikan. Tambahan lagi, soal hukum Islam (hudud) bukannya pilihan untuk menusia menolak atau menerima. 
Tugas pihak berkuasa atas nama Islam adalah kewajipan dan tanggungjawab. Jadi keperluan kepada suasana kondusif bukanlah penghalang ke arah pelaksanaan hukum Allah. Atas dasar ini, pada masa Nabi Muhammad SAW sendiri umat Islam tidak mempersoalkan kewajaran perintah (hukum) Allah SWT. 

Apa yang utama membuktikan ketaatan dan keimanan yang tidak berbelah bahagi. Bukan sepertimana sesetengah pihak sekarang ini, ada yang sanggup rosak akidahnya atas dasar menolak mentah-mentah hudud atau mana-mana perintah Allah SWT. Tidak kurang pula berdolak dalih dan beralasan kononnya suasana belum kondusif untuk memakai hukum Allah SWT.  Tidak terkecuali juga, masih ada pihak yang bersimpati kepada si-jahil, maka isu hukum hudud ini perlu dibincangkan terlebih dulu. Sampai bila? Lepas bincang, bincang dan bincang, namun si-jahil tetap beralasan.

Pengalaman Negeri Kelantan dalam usaha melaksana hukum hudud ini, sebenarnya telah melalui proses memperkenal, membincang dan meluluskannya secara masak. Usia enakmen kanun jenayah syariah (termasuk hudud) kini akan genap 19 tahun pada November ini. 
Sejarah penggubalannya cukup matang kerana ia merupakan sumbangan cendikiawan perundangan Islam Almarhum Prof Ahmad Ibrahim, Almarhum Prof Mahmod Saedon dan Ketua Hakim Syarie Kelantan sekarang, Dato’ Daud Muhammad. Selain ia turut dikongsi dengan pakar-pakar perundangan bidang syarie dan jenayah sivil. 

 Malah tidak terkecuali  poses menerima maklum balas dan perbincangan dengan pelbagai pihak, termasuk badan NGO turut dibuat di Kota Bharu dan di Kuala Lumpur. Turut serta adalah Tengku Razaleigh Hamzah selaku presiden parti Semangat 46 ketika itu telah juga menganjurkan perbincangan terbuka sebagai melebar kefahaman dan tanda sokongan serta persetujuan atas usaha Negeri Kelantan. 

Justeru pada persidangan dewan negeri, semua ahli dewan termasuk daripada Umno turut menyokong. Namun selepas itu, permohonan ke arah pelaksanaannya telah ditolak oleh Kerajaan Pusat.  

Kini berbangkit isunya, pelaksanaannya masih tertangguh meskipun telah diluluskan sejak November 1993 lagi. Bagi Kelantan, ia tertangguh bukan kerana usaha dan keperluannya masih tidak memenuhi suasana yang kondusif. Sebaliknya ia tertangguh disebabkan halangan Kerajaan Pusat, termasuk ‘amaran’ menerusi satu surat rasmi perdana menteri ketika itu yang masih tidak ditarik balik.

Justeru persoalan yang ada di depan umat Islam hari ini, adakah ingin terus meraikan suara bangkangan seumpama suara daripada sesetengah pemimpin bukan Islam? Ataukah kita ingin terus meraikan pihak si-jahil yang sentiasa beralasan atas kefahamannya yang tidak bersandarkan nilai-nilai keimanan?

Sampai bilakah segala alasan tanpa keimanan dan hujah akal sentiasa dijadikan alasan untuk menidakkan penerimaaan dan pelaksanaan hukum Allah SWT ini?  Apa yang pasti, hukum Allah SWT tetap serasi dengan hukum alam dan makhluk ciptaan-Nya. Kalaulah menunggu alunan ombak reda, sampai bila nelayan akan dapat ke laut? Ketika laut berombak itulah, nelayan boleh meluncur perahunya ke laut bagi menangkap ikan.

Terima kasih.
Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.
Kubang Kerian: 5 Syawal 1433/24 Ogos 2012

Tuesday, June 5, 2012

BILAKAH TARIKH PILIHANRAYA?

Add caption
Tarikh Pilihanraya Umum ke-13 masih dalam ramalan berbagai pihak.  Beginilah sifatnya demokrasi di Malaysia. BN yang berketuakan Umno mempunyai kuasa penuh untuk mewajibkan kemenanganya dengan segala cara, daripada menggunakan media sebelah pihak, menabur politik wang rasuah, menyalahggunakan duit negara, memaksa jentera kerajaan, menambah pengundi dengan pelbagai cara, sehinggalah menentukan tarikh pilihanraya.

Seluruh dunia yang menghayati sistem demokrasi yang memberi hak kepada rakyat manjadi hakim yang bebas dan adil, hanya badan bebas yang mengandalikan pilihanraya menentukan tarikh pilihanraya. Bukan sahaja dipilih tarikh paling selesa kepada rakyat dan semua parti politik yang berhak, bahkan tempoh yang lama telah diketahui umum. Ada kalangan negara telah menetapkan tarikh pilihanraya berikutnya lebih awal, sebaik sahaja  pilihanraya umum selesai diadakan. Ada juga menetapkan kemudiannya, tetapi tempoh masa yang lama diketahui umum. Hanya negara yang mengamalkan sistem satu parti sahaja memerintah, seperti negara komunis dahulu dan negara sapertinya, kerajaannya menetapkan pilihanraya dalam tempoh terdekat mengikut keselesaannya boleh mencapai kemenangan dan rakyat lebih berpeluang memilih satu parti yang telah memerintah walaupun banyak melakukan kesilapan.

Di negara kita Malaysia, kerajaan BN memilih cara yang wajib menjamin kemenangan BN selama-lamanya. Maka kerajaan BN sahaja berkuasa menentukan tarikh setelah segala persediaan untuk kemenangannya diatur. Setelah selesai mengatur penipuan, menaburkan duit rasuah kepada seluruh pengundi atau isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti lawan, juga fitnah disebarkan, maka tarikh pilihanraya barulah diumumkan.

Termasuk juga peluang musim haji yang menjadi ibadat wajib kepada penganut Islam yang merupakan pengundi terbesar. Hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan diantara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh. Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.

Beginilah nasib rakyat Malaysia sejak dahulu sehingga kini. Rakyat diulit  dengan berbagai lagu dan irama politik murahan, walaupun merosakkan akhlak ditempat yang sudah rosak dan ditayangkan lagu agama ditempat beragama, kerana sifat pragmatik Umno bersama rakannya dalam BN. Namun kita menyaksikan alam yang bersifat berubah, termasuk alam politik. Sistem kuku besi komunis yang menguasai negara kuasa besar dunia Soviet Union hancur berkecai dan berubah ke arah demokrasi, sehingga negara komunis mengubah pendekatan. Selepas itu Filipina meninggalkan Marcos dalam kenangan, diikuti oleh Suharto di Indonesia dan akhirnya negara-negara Arab yang dikuasai kerajaan tentera yang menetapkan keputusan pilihanraya sebelum pilihanraya lagi. Bahawa parti kerajaan pasti menang mencapai lebih sembilan puluh sembilan peratus. Namun negara tersebut ikut sama melakukan Islah sistem demokrasinya. Begitu juga yang terakhir di Myanmar.

Kita mengharapkan negara Malaysia yang berslogankan sopan santun, naik turun pemimpinnya juga melalui sopan santun, bukannya dengan cara memalukan. Mereka akan dikenang sejarah oleh generasi akan datang kerana sejarah tidak mampu ditipu dengan apa cara sekalipun.

PAS mengajak masyarakat Islam khasnya membetulkan imej Islam yang dirosakkan oleh Umno, atau tegasnya PAS ganti Umno, dan mengajak masyarakat semua kaum amnya bersama Pakatan Rakyat mengganti Barisan Nasional. Sekiranya kemenangan berpihak kepada kami, maka segala kerosakan sistem demokrasi yang berlaku wajib diperbetulkan. Walaupun dimasa depan rakyat menolak PAS dan Pakatan Rakyat dengan jalan yang adil disebabkan kesalahan dan kelemahan pemerintahan, tetapi bukannya dengan cara menipu yang menzalimi diri sendiri.


Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang


PRESIDEN
PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)


Sunday, October 9, 2011

Najib Gagal Fahami Konsep Negara Berkebajikan - Presiden PAS


Menjawab Pengakuan Perdana Menteri Bahawa BN Melaksanakan Negara Berkebajikan

Berikutan ucapan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan belanjawan 2012 di parlimen sebentar tadi bahawa BN telah melaksanakan konsep negara berkebajikan, PAS ingin menegaskan bahawa Najib tidak memahami konsep negara berkebajikan yang hendak dibawa oleh PAS dan Pakatan Rakyat. Paling penting beliau harus memahami tiga ciri asas negara berkebajikan yang hampir tidak dilaksanakan oleh pemerintahan Barisan Nasional sehingga kini.

Pertamanya negara berkebajikan mestilah ditadbir oleh pemerintah yang berintegriti atau beriman dan juga rakyat yang berintegriti. Dengan membazirkan wang rakyat untuk membayar bil air dan elektrik rumah Perdana Menteri berjumlah jutaan ringgit tidaklah menggambarkan pemimpin yang berintegriti. Keduanya negara berkebajikan mestilah bercirikan kerajaan yang wajib memberi pertolongan kepada rakyat yang memerlukan secara adil. Ketiga, negara berkebajikan menekankan ciri kepimpinan yang beriman, berakhlak, menepati janji dan adil untuk semua. Nampaknya Perdana Menteri yang membentangkan belanjawan ini sebagai Menteri Kewangan gagal sama sekali memahami apa yang dimaksudkan oleh PAS sebagai Negara Berkebajikan.

Tindakan kerajaan terus menafikan royalti minyak di Kelantan dan Terengganu sejak bertahun-tahun, jelas menggambarkan ciri pengkhianatan dan tidak menepati perjanjian, malah jauh sekali memenuhi ciri negara berkebajikan. Begitu juga dengan pemberian bantuan kepada rakyat yang bersifat bermusim dikala kerajaan memerlukan undi rakyat dan membiarkan rakyat tersepit dengan kenaikan harga barang dan petrol di luar waktu pilihanraya. Ini semua jelas kepada kita, hampir tiada ciri-ciri negara berkebajikan yang dilaksanakan oleh pemerintahan Barisan Nasional.

Begitu juga dengan manipulasi sistem pilihanraya melalui undi pos, daftar pemilih yang kotor, penggunaan jentera kerajaan dan memberi IC kepada warganegara asing untuk mengundi, jelas satu tindakan tidak berintegriti dan tidak amanah serta menutup pintu muhasabah oleh rakyat dalam pilihanraya. Ini hanya beberapa contoh jelas bahawa BN jauh sekali menepati konsep negara berkebajikan yang hendak dibawa oleh PAS. Oleh itu rakyat harus sedar bahawa ‘Negara Berkebajikan’ yang hendak dibawa oleh PAS bersama Pakatan Rakyat jauh lebih besar dan luas kerangkanya meliputi hak rakyat untuk dilayan secara adil, agihan ekonomi yang adil, hak bepolitik secara bebas, keperluan sosial yang wajib dipenuhi, pemimpin dan rakyat yang berintegiti dan seterusnya membentuk Malaysia yang sejahtera dalam semua aspek, bukan sekali-kali bersifat pemberian habuan bersifat sementara dimasa rakyat diperlukan semata-mata.

Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Friday, September 30, 2011

Pendirian rasmi PAS mengenai hudud



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat yang mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu, PAS berpendirian kedua-dua negeri itu berhak memperkanunkan undang-undang tersebut.

Dalam satu kenyataan menyatakan pendirian rasmi parti itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persoalan kini, sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran untuk melaksanakannya.

Menurutnya, perbezaan pandangan dengan DAP khususnya dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya.

"PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan," katanya.

Berikut adalah kenyataan rasmi berhubung pendirian PAS:

1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa aktiviti dan perjuangan PAS adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

2. PAS juga ingin menegaskan komitmen untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Dokumen Buku Jingga.

3. PAS juga amat berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat, dan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

4. Perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.

5. Sehubungan dengan perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing, maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut. Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah. Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di peringkat yang seterusnya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
30 September 2011

Friday, September 16, 2011

Mansuh ISA: PAS Tunggu Akta Baru Sebelum Respon


Sumber : Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Sept: PAS mengambil sikap "tunggu dan lihat" dahulu bagaimana bentuk perundangan alternatif bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum memberi respon lanjut berhubung pemansuhan akta itu yang diumum perdana menteri malam tadi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, masih terlalu awal untuk PAS menyatakan pendirian berhubung pemansuhan ISA yang diumum Datuk Seri Najib Razak dalam pertusan Hari Malaysia malam tadi kerana ianya akan diganti akta baru.

"PAS mengambil sikap untuk tunggu dan lihat dahulu berkaitan penghapusan ISA dan beberapa akta lain yang diumumkan Perdana Menteri.

"Ini kerana kita hendak melihat dahulu perundangan alternatif yang disebut kerajaan hendak dibuat menggantikan ISA. Terlalu awal untuk kita memberi respon terhadap pembatalan tersebut," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Ianya sebagai respon awal PAS berhubung pengumuman kerajaan memansuhkan akta yang sudah lama dituntut oleh Pakatan Rakyat agar dihapuskan itu.

Biarpun ISA diumum akan dimansuhkan, Najib juga mengumumkan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan akta itu.

Selain itu, PAS juga kata Tuan Guru Abdul Hadi masih sangsi dengan pengumuman itu ekoran ianya dibuat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Tambahan pula ia dibuat menjelang pilihanraya yang kita lihat sebagai tujuan politik dan tawaran pilihanraya Barisan Nasional.

"Setelah beribu orang menjadi mangsa kezaliman akta tersebut, menjelang pilihanraya barulah ia dihapuskan," katanya.

PAS dan Pakatan Rakyat sejak dahulu menentang akta ISA dan menganggapnya satu akta zalim kerana membuat "tahanan tanpa bicara" kepada mangsa akta itu.

Selain ISA, mereka juga sebelum ini mendesak beberapa akta serupa seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Ordinan Darurat (EO) dimansuhkan.

Friday, September 9, 2011

Kerakyatan:"Kera Di Hutan Di Susukan, Anak Di Rumah Mati Kelaparan"


"Menghalau penjajah lebih mudah berbanding membuang pemikiran penjajah" – itulah ungkapan untuk menggambarkan negara kita walaupun telah merdeka 54 tahun. Namun pemikiran penjajah masih kukuh dan utuh dalam pemikiran sesetengah golongan sehingga ada yang masih berbangga dengan apa yang ditinggalkan penjajah.

Apa yang menyayatkan hati ialah kebutaan golongan ini dalam membakulsampahkan golongan yang ikhlas berjuang menghalau penjajah kini sebagai komunis.


Manakala golongan yang sanggup bersekongkol dengan penjajah dan taat menerima segala arahan penjajah sehingga membidas, mencedera dan malah ada yang sanggup membunuh orang sendiri yang melawan penjajah pula didewa-dewakan sebagai hero.


Seluruh fakta sejarah yang bersama Inggeris dikekalkan, bahkan nama-nama parti politik masih menggunakan singkatan bahasa penjajah - UMNO, MIC, MCA. Mereka mendabik dada dan berulang-ulang menyebut - “Kamilah pejuang bangsa, Kamilah pembela tanahair” sehingga bertukar menjadi “Kami sahajalah pejuang bangsa, kami sahajalah pembela tanahair” sehingga mengabaikan dan menggugurkan jasa para pejuang lain yang tidak diiktiraf pihak Inggeris dalam sejarah.


Dalam bab menjaga Islam lagi menyedihkan. Selepas 54 tahun negara merdeka, nama Islam bukan sahaja tidak bertambah harum, malah kian dilihat sebagai agama yang 'menghalalkan' rasuah dalam pentadbiran, penyalahgunaan kuasa demi kekal berkuasa, rakyat didahulukan untuk 'disembelihkan'.

Ianya berpunca apabila ekonomi negara disalahtadbir dan perundangan Islam hanya berlegar soal peribadi dan kekeluargaan. Lebih parah, majoriti institusi agama turut dikongkong untuk mengembangkan ajaran Islam dengan pelbagai enakmen yang direka, bukan sahaja menyusahkan dan pada masa yang sama menyebabkan agama Islam ditertawakan.


Banggakah kita sesudah 54 tahun merdeka? Isu-isu utama seperti soal perpaduan kaum, soal agama dan dasar pendidikan nasional dan soal memartabatkan bahasa kebangsaan masih teraba-raba mencari jalan keluar?

Setiap kali menjelang pilihanraya umum, isu agama dan kaum akan digunakan sebagai senjata sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah untuk dijaja kepada kaum masing-masing bagi meraih undi. Inilah nasib bilamana negara dipimpin oleh mereka yang pemikiran masih dibelenggu oleh elemen penjajah.



'Kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan'


Akhir-akhir ini, gesaan untuk melucutkan kerakyatan dan memperbanyakkan laporan polis dan saranan seseorang agar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana bercanggah pendapat dengan pihak pemerintah telah menjadi satu budaya baru dalam negara. Segalanya dibuat seolah-olah merekalah undang-undang, dan merekalah pendakwa dan merekalah jugalah hakim.


Terbaru, timbul pula desakan menggugurkan kerakyatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semata-mata kerana beliau mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan. Tetapi yang ajaibnya, tiada pula kedengaran, ada yang menyarankan mereka yang terlibat dalam konspirasi memberikan kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya, yang jelas khianat kepada negara selepas 54 tahun merdeka untuk dibuang kerakyatan.


Bukankah ini satu lagi mentaliti penjajah? Mereka sanggup mengelirukan orang Tanah Melayu sendiri untuk melawan orang Tanah Melayu sendiri, tapi masa yang sama menjual negara ke tangan warga asing untuk mengundi mereka supaya boleh kekal berkuasa? Penjajah turut melakukan perkara yang sama. Penduduk Tanah Melayu diambil sebagai pegawai, polis dan juga askar untuk melawan orang Tanah Melayu yang menentang penjajahan mereka supaya mereka boleh kekal berkuasa.


Sekiranya perlu Mat sabu digugurkan kerakyatan kerana menganggap Mat Indera sebagai seorang hero, bagaimana pula dengan penulis dan pakar sejarah yang menerbitkan buku Pengukir Nama Johor, yang mengangkat Mat Indera juga sebagai hero?


Bagaimana pula dengan kerakyatan MB Johor apabila kenyataan beliau bercanggah dengan buku yang dinaungkannya sebagai “bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik” pada 2004 dengan menggelar Mat Indera sebagai pengganas untuk meneruskan hujah Umno yang semakin menikam Umno sendiri?

Desakan ini juga sebenarnya menggambarkan betapa rakusnya kerajaan pemerintah dalam mengekalkan kuasa sehinggakan soal perundangan boleh diabaikan.


Kalau diikutkan kehendak Umno, rakyat langsung tak boleh bersuara menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan – bila mana bercanggah dan kerajaan pemerintah tidak gembira, anda boleh disaran untuk dibuang kerakyatan. Sedangkan pada waktu yang sama, kerajaan pula beri warga asing kerakyatan walaupun mereka langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negara.


Inilah contoh terbaik untuk mengungkapkan kata-kata P.Ramlee “fening, fening.”
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Sumber : http://tuanibrahim.blogspot.com/2011/09/10-syawal-1432-h-9-september-2011.html

Wednesday, June 22, 2011

KENYATAAN MEDIA BERSIH 2.0 - MESTI HADIR TANDA SOKONGAN

21 Rejab 1432 H | 22 Jun 2011

Semua ahli dan penyokong PAS diwajibkan hadir dalam himpunan BERSIH bagi menyatakan sokongan rakyat terhadap tuntutan 8 perkara bagi menjamin keyakinan terhadap sistem demokrasi Berparlimen.

Himpunan demonstrasi aman ini bukanlah perkara baru dalam konteks negara. Selepas PRU ke 12, UMNO ternyata lebih banyak mengadakan demo berbanding PR. Apa yang menarik demo ini dikawal oleh polis tanpa ada provokasi. Ia berjalan dengan aman. Bawa kepala lembu, bakar gambar, bakar bendera dan isytihar perang khususnya anjuran PERKASA; seolah-olah sebuah badan yg mempunyai kekebalan.


PAS mengucapkan tahniah kepada kebebalan PERKASA yang mengeluarkan pelbagai kenyataan bersifat provokasi, kerana ini tentulah memudahkan polis untuk menahan mereka yg melakukan provokasi. Kalau yang buat provokasi tentulah PERKASA, tapi jangan terkejut kalau yang kena tahan ialah PAS, PKR atau DAP.

PAS juga mengalu-alukan penyertaan Pemuda UMNO yang akan ikut sama demo pada 9hb Julai nanti. Keberanian Khairy kali ini agak luar biasa, cabar polis dan sedia ditangkap. Cuma PAS hairan Pemuda UMNO sertai demo untuk menuntut apa? Kalau tuntutan kita atas lapan perkara, maka Pemuda UMNO nak tuntut apa?

Kata Khairy mereka menuntut penambahbaikan sistem Pilihanraya di Malaysia. Maknanya Pemuda nampaknya lebih faham berbanding UMNO tua yg berlindung di bawah dagu PERKASA.

MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN


Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Saturday, October 16, 2010

Bajet 2011

Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan Pertama pada tanggal 15 Oktober 2010 telah menjelaskan lagi bahawa agenda ekonomi dan transformasi yang dibawa oleh beliau sebenarnya berpusing ditakuk lama dengan diberi penjenamaan semula. Ianya ditaburkan dengan angka yang indah-indah bersifat kosmetik, dengan mengkesampingkan pembinaan manusia yang menjadi enjin melaksanakan agenda perubahan ekonomi berkenaan.

Akhirnya, akibat dari penyelewangan, pembaziran, rasuah yang bermaharajalela serta sistem pemerintahan yang tidak bersifat adil kepada rakyat teramai maka kesejahteraan rakyat tentunya akan berada di takuk lama. Inilah yang ditekankan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) bahawa asas terbesar ialah bahawa kerajaan yang dipacu oleh UMNO-BN telah gagal dalam mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru setelah diberi peluang memerintah selama lebih 50 tahun, bagaimana mungkin kerajaan yang sama boleh melakukan perubahan dengan satu dasar lain pula sedangkan sistem pemerintahan dan politik peras ugut dan penyisihan komponen ekonomi terhadap rakyat di luar bandar terus berleluasa ?

Dalam masa yang sama, fokus kerajaan juga terus tersasar di atas sebab-sebab yang tidak masuk akal, umpamanya peruntukan untuk program Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) yang hanya dinikmati oleh segelintir kecil pihak dan masih diperingkat percubaan menikmati dana sebanyak RM111 juta, berbanding dengan RM 100 juta untuk meningkatkan taraf hidup orang asli dan Peribumi, dan lebih parah lagi berbanding peruntukkan RM95 juta yang diperuntukkan sebagai bantuan per-kapita untuk sekolah agama rakyat (SAR) rendah dan menengah.

Apa yang penting ialah bukannya jumlah angka-angka yang sedap didengar, umpamanya dibentangkan bahawa Pendapatan Per Kapita meningkat sebanyak 6.1 % kepada RM28,000; kononnya kadar pengangguran di takuk 3.5%; sedangkan realitinya rakyat di luar bandar tidak menikmati faedah langsung dari peningkatan angka-angka sedemikian bahkan jauh sekali dari menikmati kesejahteraan hidup akibat dari perubahan angka-angka ini !. Inilah hakikatnya. Kita katakan bahawa kerajaan UMNO-BN lah sebenarnya yang menjadi “saudagar mimpi yang memperdagangkan dongengan” bahkan mengelirukan rakyat dengan angka-angka sedemikian. Projek-projek pelaburan juga dilihat gagal dalam melakukan anjakan terhadap taraf hidup rakyat luar bandar yang miskin dan memerlukan.

Kerajaan juga nampaknya tidak cuba belajar dari kesilapan lalu dengan mengimpikan projek pembangunan Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat beserta kemudahannya yang bakal menelan belanja asas RM 5 billion, sedangkan projek koridor yang sepatutnya lebih memberi manafaat kepada rakyat hanyalah menerima secebis peruntukan sahaja. Contohnya peruntukan untuk East Coast Economic Region (ECER) hanyalah RM178 juta, iaitu dalam lingkungan 3.6% dari projek Warisan Merdeka. Ini tidak lagi dicampur dengan kemungkinan projek RM5 billion itu meningkat sebagaimana yang sentiasa berlaku dalam pemerintahan kerajaan UMNO-BN.

Agensi yang sepatutnya melaksanakan amanah untuk membangunkan ekonomi rakyat miskin, kini telah menumpukan pula kepada projek mega sebegini, kerana pimpinan UMNO-BN lah sebenarnya yang ‘bermimpikan projek’ lantas ‘memperdagangkan tanggungjawab membangunkan ekonomi rakyat’.

PAS menekankan peningkatan taraf hidup rakyat miskin perlulah melalui fasa di mana rakyat teramai ini perlu merasakan bahawa mereka adalah menjadi sebahagian dari enjin aktiviti ekonomi bahkan mereka juga menjadi pemain dalam memperkasakan pembangunan negara.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

7 Zulkaedah 1431 bersamaan 15 Oktober 2010

Tuesday, July 13, 2010

SAMAN EKOR HENDAK WANG ATAU CEGAH KEMALANGAN?

KENYATAAN MEDIA

SAMAN EKOR HENDAK WANG ATAU CEGAH KEMALANGAN?

12 Julai 2010

Parti Islam Semalaysia (PAS) merasa kesal, di atas sikap kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertindak menyenarai hitam sehingga mereka tidak dibenarkan untuk membaharui cukai jalan. Dimaklumkan sejak September 2009, lebih 2.5 juta notis saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dan daripada jumlah itu, sebanyak 1.07 juta pesalah trafik telah disenaraihitamkan oleh PDRM.

Parti Islam Semalaysia (PAS) merasa kesal, di atas sikap kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertindak menyenarai hitam sehingga mereka tidak dibenarkan untuk membaharui cukai jalan. Dimaklumkan sejak September 2009, lebih 2.5 juta notis saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dan daripada jumlah itu, sebanyak 1.07 juta pesalah trafik telah disenaraihitamkan oleh PDRM.

PAS berpendapat ini adalah satu kezaliman, kerana ada di kalangan mereka tidak tahu menahu berkenaan saman tersebut. Kerana ada yang tersalah saman, sedangkan mereka tidak mengetahui apa yang berlaku. Tindakan saman ekor memang bertujuan untuk mendapat wang, bukan untuk hendak mengurangkan kemalangan jalanraya, ada mereka yang dikenakan saman kerana membawa kereta melebihi 60 kilometer sejam. Logikkah saman ekor di kawasan berkenaan, mana ada kenderaan sekarang yang berjalan 60km/jam di jalan raya.

PAS berpandangan bahawa memang kerajaan kekurangan wang sekarang, setelah GST yang ditangguh pelaksanaan kerana mendapat penentangan yang hebat daripada Pakatan Rakyat. Mungkin kerajaan telah terlepas peluang kerana lesen judi bola yang tidak berani diluluskan kerana ditentang dengan hebat oleh rakyat. Sebab itu tidak hairanlah kepada kita kenapa Datuk Seri Najib menyokong tindakan polis dan JPJ. Maka satu lagi projek 1Malaysia rakyat didahulukan, saman diutamakan.

PAS mengharapkan pihak kerajaan perlu mempertimbangkan semula tindakan ini, kerana ia menyusahkan rakyat dan menzalimi rakyat. Pas menyeru supaya rakyat sedar inilah kerajaan yang ada pada hari ini hanya pandai menanam tebu dibibir konon membela rakyat, tetapi bertindak sebaliknya dan kita mesti bersatu untuk menolak BN dalam PRU 13.

Ketua Penerngan PAS Pusat

Ustaz Idris Ahmad

Wednesday, June 30, 2010

1:40 Pengundi Baru Agenda Politik Umno

KUALA LUMPUR, 29 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) cuba menjayakan agenda politik Umno untuk terus berkuasa di tanah air pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Beliau berkata demikian kerana SPR dilihat sengaja membiarkan isu nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak PRU12 lalu adalah satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40) berpanjangan.

“Mereka sengaja tak mahu menggunakan daftar automatik. Ini lebih bersifat mahu menyelesaikan agenda politik Umno untuk terus kekal memerintah di Malaysia,” ujar beliau petang tadi selepas mesyuarat berkala Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, SPR sepatutnya boleh menangani masalah mendaftar pengundi baru di kalangan masyarakat Melayu dengan melaksanakan daftar undi secara automatik.

“Sebenarnya SPR boleh mengatasi masalah ini dengan cara yang baik, iaitu melalui daftar secara automatik,” ujar beliau.

Katanya lagi, kenyataan ‘1:40’ yang dibuat oleh Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno itu sebenarnya langsung itu memberi kesan pada sensitiviti rakyat yang nyata menolak politik perkauman Umno.

Ini kerana, beliau berkata, rakyat tidak kira Melayu ataupun masyarakat bukan Melayu sejak tsunami politik PRU12 lalu sudah mulai menerima kuasa politik Melayu yang baru, iaitu kepemimpinan Pakatan Rakyat sebagai teras pada kuasa politik negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS serta Pakatan Rakyat mampu menggantikan Umno BN dengan sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu, termasuk para pengundi baru kelak.

“Umno sekarang dalam bimbang, mereka takut hilang kuasa dan mereka takut pengundi baik Melayu atau tidak pergi pada kuasa yang baru, iaitu Pakatan Rakyat,” tegas beliau.

Sebelum pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu nisbah 1:40 tersebut mencerminkan kegagalan SPR dalam menguruskan urusan pilihan raya di Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menyokong cadangan Abdul Hadi supaya daftar pengundi baru dibuat secara automatik.

Beliau turut mempertikai kaedah SPR dalam menyelesaikan masalah pengundi yang bermastautin di luar negara.

“Malahan, ratusan ribu rakyat Malaysia di luar negara sekarang seakan dinafikan hak untuk mengundi disebabkan masalah sulit ini,” jelas beliau.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, Pakatan Rakyat bercadang untuk menuntut semula SPR menerima cadangan mereka sebelum ini, iaitu daftar undi secara automatik.

“Ini yang akan kita tuntut dan sekiranya SPR jujur mahu memperkatakan tentang pilihan raya yang adil, telus dan demokratik, maka mereka perlu terima cadangan ini,” ujar beliau.

Bagi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula, selain mendakwa Pemuda Umno mendedahkan perangkaan yang palsu, beliau turut mencabar SPR untuk mendedahkan perangkaan yang sebenar berhubung isu nisbah 1:40 tersebut.

“Dari maklumat yang kita dapat, pendedahan Pemuda Umno itu saya fikir adalah tidak betul.

“Maka, kita nak cabar SPR untuk dedahkan angka yang sebenar, jumlah yang didaftar dan peratus penyusutan daftar pengundi baru mengikut bangsa,” ujar beliau.

Dalam perkembangan yang lain, Majlis Pakatan Rakyat mengumumkan untuk menganjurkan konvensyen bersama peringkat kebangsaan pada Oktober ini.

Tetapi, Anwar sendiri tidak memberikan tarikh spesifik berhubung konvensyen tersebut ketika disoal oleh wartawan.

Tuesday, June 1, 2010

Konvoi Gaza-PAS kutuk Israel, minta rakyat Malaysia solat hajat


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk serangan helikopter tentera Israel yang menyebab 16 orang anggota konvoi Gaza-Freedom Flotilla yang menaiki kapal Mavi Marmara meninggal dunia dan hampir 30 orang cedera. Rakyat Malaysia antara yang dilaporkan terkorban dalam serangan barbarian ini.

Konvoi bantuan untuk rakyat Gaza yang mengandungi 7 buah kapal ini telah memulakan perjalanan dari Laut Mediterranean tetapi mula dikepung oleh tentera Israel dan setakat ini hanya Kapal Mavi Marmara sahaja yang melaporkan diserang.

Kapal-kapal ini turut membawa ahli-ahli parlimen dari Malaysia, Eropah dan beberapa negara lain dan mereka kini berdepan dengan serang-serang yang lebih berat dari regim Israel.

PAS berharap agar Kerajaan Malaysia, OIC dan anggota PBB lain bangkit mengutuk tindakan ganas Israel ini dan menuntut agar kapal-kapal ini dibenarkan masuk menghantar bantuan ke Gaza. Satu persidang khas OIC perlu dilakukan segera bagi membincangkan hal ini.

PAS juga meminta supaya rakyat dinegara ini melakukan solat hajat dan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan anggota konvoi ini dan rakyat Palestine. Semua masjid dan surau diminta mengadakan majlis solat hajat besar-besaran minggu ini dan satu demontrasi besar bersama NGO dan penyokong soladariti Palestine akan diadakan pada 4 Jun 2010 (Jumaat) dihadapan keduataan Amerika selepas solat Jumaat.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Sunday, April 25, 2010

PAS Ada Bukti Kerajaan Malaysia Promosikan Israel Dalam Negara


Gambar lain boleh dilihat di bawah

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan tindakan Kerajaan Malaysia yang mempromosikan negara Israel dan produk perdagangan mereka melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

PAS telah mendapat maklumat dan beberapa bukti bergambar mengenai perpustakaan MITI yang telah menyediakan satu rak khas untuk bahan bacaan, majalah dan informasi perdagangan negara Israel. Perpustakaan di tingkat 11 ini terbuka bukan sahaja kepada kakitangan tetapi kepada orang ramai terutamanya ahli perniagaan Malaysia untuk rujukan. Oleh itu tindakan MITI ini sekaligus dianggap sebagai satu usaha mempromosikan perdagangan dan Industri Israel dalam negara.

Antara yang boleh ditemui diperputakaan berkenaan adalah majalah Israel-Asia Trade, Israel Review, Buku Advantage Israel, Trade Policies Review (Israel), Advance Technology From Israel, Opportunity Israel, The Economics of Israel, Douanes (Buku kod tarif perdagangan Israel) dan beberapa lagi.

Ini bertentangan dengan dasar Kerajaan yang sebelum ini tidak mengiktiraf negara berkenaan. Malah dalam senarai garis panduan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ada disebutkan bahawa sebarang iklan atau bahan dari negara Israel atau yang berkaitan adalah diharamkan dinegara ini termasuk dalam bentuk majalah atau buku.

PAS hairan, macam mana buku dan majalah ini boleh masuk ke negara ini sedangkan selama ini Menteri MITI mengumumkan di Parlimen bahawa mereka langsung tidak berhubung dengan negara berkenaan. Berkali-kali ahli parlimen tanya tentang hubungan perdagangan Malaysia-Israel tetapi MITI menafikan di parlimen.

Kehadiran rak khas untuk Israel ini membongkar kesangsian rakyat selama ini terhadap dasar Kerajaan yang pada tahun 1994 telah meluluskan pindaan Akta Larangan Import (pindaan bil.7) yang menarik balik sekatan import terhadap barangan Israel.

PAS juga difahamkan bahawa MITI secara rahsia sebenarnya membenarkan urusan import-eksport ke negara itu dan segala urusan hendaklah dibuat terus kepada Bahagian Kawalan Import Eksport yang mana setiap permohonan akan ditimbang oleh satu jawatankuasa khas.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Perdagangan dan Industri Israel dalam majalah Israel-Asia Trade terbitan bulan Mac 2006 dimana beliau begitu gembira dengan cadangan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Mahathir Mohamad dan Menterinya Rafidah Aziz yang berminat untuk mengadakan hubungan perdagangan dengan Israel.

Nampaknya hingga ke hari ini Kerajaan Malaysia yang dipimpin BN masih lagi bermain kayu tiga dengan Israel di belakang rakyat. Jika Mahathir membayar berjuta-juta ringgit kepada sebuah Syarikat Yahudi, Satchi & Satchi untuk membantunya merangka strategi pilihanraya umum 1986, Najib hari ini mengunakan APCO Worldwide untuk persediaan Pilihanraya ke-13. Dan Mukhriz pula diletakan di MITI sebagai Timbalan Menteri bagi melindungi rahsia kepimpinan ayahnya yang begitu banyak bergantung harap dengan kepakaran Israel.

Begitulah akrabnya pemimpin Umno-BN dengan organisasi Israel-Yahudi yang mendokong fahaman Zionis.

PAS yakin, lebih banyak maklumat sulit mengenai hubungan dagang Malaysia-Israel serta lawatan sulit pemimpin negara disembunyikan oleh Kerajaan. PAS mahukan jawapan kerajaan terhadap hubungan kayu tiga ini dan mengapa Malaysia beria-ria mahu mempromosikan perdagangan dengan Israel.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Terdapat 8 Gambar Dalam Lampiran ini

Komentar Menteri Perdagangan dan Industri Israel, Micha Harish tentang keinginan Malaysia Menjalinkan hubungan dagang dengan negara itu.

Thursday, April 1, 2010

Model Ekonomi Baru


Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa Model Ekonomi Baru (MEB) yang dibentangkan oleh kerajaan masih lagi tidak mempunyai roh dan tidak menekankan kepentingan akhlak yang merupakan satu asas terpenting dalam memastikan transparensi dan ketelusan pelaksanaan sesuatu dasar ekonomi.

Sesebuatu negara boleh sahaja mempunyai dasar yang melangit halatujunya, tetapi tanpa akhlak yang dihayati oleh pembuat dan pelaksana dasar – maka negara masih akan dibelenggu dengan sistem liberal kapitalis – akhirnya ianya hanya bersifat membuat perubahan terhadap kulit dan bukannya bersifat holistik yang merangkumi perkaitan antara dosa-pahala dan keadilan menyeluruh.

MEB juga menyebut bahawa objektif yang ingin dicapai ialah supaya rakyat dalam negara kita mampu mempunyai kuasa membeli yang tinggi, hidup lebih aman, pengurusan yang baik dan pemuliharaan sumber alam. Objektif ini sangat murni – tetapi penekanan terhadap peranan syarikat swasta dalam memacu ekonomi liberal kapitalis ini secara drastik akan meninggalkan kesan ekonomi terhadap penduduk luar bandar dan memungkinkan jurang antara bandar dan luar bandar terus melebar.

MEB itu juga merupakan imbasan kembali kepada konsep pensyarikatan dan penswastaan Malaysia yang dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri , di mana pihak kerajaan akan melepaskan kepentingannya sedikit demi sedikit dalam sektor perkhidmatan rakyat kepada pihak swasta. Walaupun pihak kerajaan memberikan jaminannya, akan tetapi rekod menunjukkan bahawa berlakunya pelepasan tangggungjawab kerajaan itu telah melahirkan satu monopoli baru sektor perkhidmatan yang akhirnya menekan ekonomi rakyat.

Apa yang diinginkan oleh rakyat bukannya peningkatan angka atau nilai peratusan pendapatan semata-mata, contohnya sasaran bagi meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia daripada AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun; tetapi yang diinginkan ialah kesan sebenar dari perubahan suasana masyarakat yang lebih kondusif dan selamat dari jenayah, sifar rasuah, akauntabiliti yang nyata serta struktur ekonomi yang lebih adil dan jauh dari tekanan politik sempit.

Selain dari itu juga, penerusan sikap kerajaan persekutuan yang tidak menghormati konsep federalisma dan demokrasi juga akan menjadi bom jangka yang akan menggagalkan kesejahteraan ekonomi rakyat. Apa yang berlaku ialah kerajaan negeri yang mungkin diperintah oleh parti yang berbeza dari parti di peringkat persekutuan akan menerima penindasan ekonomi dan dikekang pelaburan luar dengan semahunya oleh kerajaan persekutuan. Akibatnya objektif kesejahteraan yang ingin dicapai akan hanya menjadi retorik yang sedap didengar sahaja.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

Monday, March 8, 2010

Dua Tahun Pakatan Rakyat, PAS Kekal Sebagai Komponen Yang Penting

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Pada hari ini, 8 Mac adalah hari yang paling bermakna buat rakyat dan Pakatan Rakyat (PR). Dua tahun yang lalu iaitu pada 2008 rakyat telah menunjukan betapa seriusnya mereka mahukan perubahan dalam kepimpinan negara. Kelantan kekal ditangan PAS dan lima negeri lagi jatuh ke tangan PAS, PKR, DAP iaitu-Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan (Mujurlah Wilayah tidak ada DUN).

Dengan kejayaan itu, ia memberikan inspirasi kepada penubuhan PR yang mengukuhkan kedudukan rakyat yang bencikan kezaliman BN. PR menguasai 82 kerusi Parlimen dan BN menguasai 140 kerusi Parlimen.

Selepas 8 Mac 2008, Umno kembali menyedari bahawa mereka kini kembali bersendirian menjadi juara BN selepas kekalahan teruk komponen lain kecuali parti-parti di Sabah Sarawak. Umno cuba memujuk PAS untuk bergabung di Selangor, Perak dan Kedah. Di Perak mereka mengunakan Mufti Negeri itu, Tan Sri Harussani Zakaria untuk memujuk PAS mewujudkan kerajaan campuran dengan Umno. Namun PAS terbukti sebagai parti yang mementingkan persahabatan dan tidak pernah lupa akan dosa-dosa Umno-BN kepada rakyat. Ke semua tawaran penuh tipu muslihat itu ditolak dan PAS nekad mewujudkan Kerajaan Pakatan.
Walaupun ramai yang mempersoalkan pendirian PAS berhubung usaha Umno itu, namun jelas bahawa PAS adalah parti yang berprinsip dan tidak mudah terpengaruh. PAS memiliki 3 Menteri Besar di Kelantan, Kedah dan Perak ketika itu.

Umno yang kecewa dan tidak berpuashati dengan kekalahan teruk itu menukar Presiden mereka pada tahun 2009 dan Tun Abdullah Badawi disingkirkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penggantinya.

Sedang diperingkat PR, Presiden PKR, Datuk seri Wan Azizah Ismail meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen dan memberikan laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding semula di Permatang Pauh sebagai tiket untuk memasuki semula Parlimen sejak dipecat oleh Tun Mahathir pada tahun 1998.

Dengan kembalinya Anwar yang kemudiannya dilantik menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, PR menjadi lebih kukuh. Usaha mewujudkan PR secara rasmi dibuat dan PR didaftarkan secara rasmi dalam senarai Pendaftar Pertubuhan.

Kerusi PR bertambah selepas PAS kembali menguasai Parlimen Kuala Terengganu dan menjadikan kedudukan di Parlimen 83 PR, 139 BN pada Januari 2009. Dan BN ketika itu terdesak untuk melakukan rombakan strategi.

Tanpa memikirkan kepentingan dan sensitiviti rakyat, Umno-BN melakukan kezaliman terbesarnya dengan merompak Kerajaan PR di Perak melalui strategi membeli 3 orang ADUN-Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

Gabungan PR yang begitu muda, dengan usia kurang dari dua tahun ketika itu turut menerima pelbagai cabaran.Umpama anak kecil yang belajar bertatih, PR tidak mengenal erti putus asa.

Dengan kesepakatan PR, cadangan DAP Kedah untuk keluar PR ditarik balik dan semua pihak kembali bekerjasama.Di Selangor, Umno cuba melagakan PR dengan isu-isu Kerajaan Perpaduan, isu agama-Arak, Nama Allah, Kepala Lembu dan sebagainya. Namun PAS mempunyai cara yang tersendiri, dan PR tidak dapat digoyahkan.

Tidak cukup menyerang PAS, DAP di Selangor difitnah sebagai parti yang ditaja oleh samseng dan kongsi gelap. Malah isu kematian Teoh Beng Hock juga menjelaskan lagi usaha memfitnah DAP yang dikatakan menyalahgunakan dana rakyat melalui penyelewengan beberapa ADUNnya. Namun hingga kini belum ada ADUN yang disabitkan bersalah. Rakyat pula bertanya, kenapa ADUN PR dikejar oleh SPRM macam mengejar penjenayah besar, sedangkan Khir Toyo dan beberapa ADUN BN yang dilaporkan mengamalkan rasuah semasa memerintah lambat diambil tindakan.

PKR juga diserang dengan pelbagai isu, dari kes ADUN Bukit Lanjan hinggalah kes YBK yang mana jelas Umno cuba menunjukan kepada rakyat yang kononnya PR menindas rakyat.

Di Pulau Pinang, isu kontraktor Melayu tidak habis-habis diungkitkan. Tetapi rakyat tahu bahawa begitu banyak kontraktor Melayu mendapat manfaat dengan pemerintahan PR. Yang gagal dapat Projek adalah kontraktor Umno yang selalu mengambil tender kemudian menjualnya pada bukan Melayu.

Di Kelantan, Umno_BN menumpukan serangan kepada batang tubuh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pelbagai isu peribadi beliau dijadikan bahan oleh Umno, namun rakyat Kelantan lebih mengenali beliau menolak fitnah-fitnah yang dilontarkan Umno.

Penat menabur fitnah, kini BN berusaha kembali untuk menguasai 2/3 Parlimen dengan membeli beberapa ahli Parlimen. Bermula dengan Ibrahim Ali di Pasir Mas, BN kemudiannya membeli secara borong 3 ahli Parlimen PKR yang keluar secara bergilir-gilir.Bermula dengan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed, kemudian Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng dan Ahli parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri. PKR turut memberikan satu lagi ahli parlimen yang paling bermasalah iaitu ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin sebagai ‘hadiah’-Beli 3 dapat 1 ‘percuma’. Yang pasti ramai menganggap mereka adalah ’sampah-sampah’ terbuang yang dihambat keluar bagi membersihkan PR.

Walaupun PR kini tinggal 78 kerusi namun, itu sedikitpun tidak melunturkan kekuatan PR. Pergolakan Pakatan secara dalaman dan luaran adalah lumrah bagi mana-mana organisasi. Namun PR masih kekal bersatu walaupun permulaannya seperti anak-anak yang mula bertatih, namun PR cepat belajar dari apa yang berlaku.

PAS mengucapkan tahniah buat seluruh kepimpinan PR, ahli dan mereka yang menyokong PR selama 2 tahun kebelakangan ini. Kekuatan PR bukanlah kerana satu, dua atau tiga individu sahaja. ianya adalah kekuatan semua pihak dari akar umbi hinggalah ke pucuk pimpinan.

Kepada semua wakil rakyat PAS berharap agar anda menunaikan amanat rakyat dengan sebaiknya dan ingatlah, sesunguhnnya amanat rakyat yang terpikul dibahu bukanlah barang mainan yang boleh digadai sana sini. Jika hari ini anda fikir boleh menjual diri anda dengan wang ringgit, ketahuilah ketika mati nanti tidak mustahil akan datang orang-orang yang membenci kezaliman itu diatas kubur anda pula.

Di peringkat PAS kita mengharapkan kerjasama dari semua ahli, penyokong dan kepimpinan untuk sama-sama melangkah kehadapan demi untuk kebaikan rakyat dan semua pihak. PAS meletakan perjuangan Islam sebagai keutamaan dalam memberikan keadilan, kesejahteraan dan manfaat buat semua. Kerana perjuangan Islamlah yang meletakan PAS berdiri teguh pada hari ini dan menjadi komponen Pakatan yang amat penting, efektif dan progreasif hari ini.


Followers