Showing posts with label bersih. Show all posts
Showing posts with label bersih. Show all posts

Thursday, May 3, 2012

Kenapa tiba-tiba "keganasan" BERSIH didiamkan?

Sumber :  http://al-hajari.blogspot.com/2012/05/kenapa-tiba-tiba-keganasan-bersih.html

BERSIH sudah 4 hari berlalu. Pelbagai versi cerita dikeluarkan sama ada oleh pihak pendukung BERSIH mahupun puak2 pengotor ttg apa yang telah berlaku dan asbab2nya. Walau apapun yang dihidangkan, satu hakikat yang nyata takkan dapat disembunyikan - perhimpunan BERSIH kali ini mencapai kejayaan yang amat hebat terutamanya dari segi sambutan. Bayangkan - dari Plaza Pudu Sentral hinggalah ke bulatan Kinabalu, membawa ke sebahagian besar Jalan TAR dan Jalan Melaka, setiap inci dipenuhi oleh manusia berbilang kaum dan keturunan serta agama dengan satu matlamat - menzahirkan rasa inginkan penambahbaikan dalam SPR dibawah satu warna.

Dan seperti yang kita tahu juga, perhimpunan aman ini tercemar dek aksi2 yang berlaku pada saat2 akhir - walaupun kali ini tidak melibatkan kematian tetapi terdapat kerosakan harta benda dan kecederaan berlaku. Di sinilah pelbagai versi cerita kedengaran - dan puak2 pengotor mengambil kesempatan ini untuk menyerang BERSIH dan PR habis2an terutamanya pada 2 hari pertama selepas BERSIH. Sekali imbas, seolah2 inilah perkaranya yang mampu menggugat kedudukan PR dan akan menyebabkan mood swing terutamanya golongan atas pagar untuk mengundi BN kembali.

Maka disebarkanlah segala cerita untuk menambahkan lagi tekanan dan kutukan - digambarkan rempuhan di dataran itu bermula hasil arahan Anwar. Unit Amal dituduh merempuh sekatan polis di KLCC. Peserta BERSIH dikatakan menjahanamkan kereta polis. Seorang wartawan TV AlHijrah yang dipukul oleh "peserta" BERSIH dijadikan bahan berita untuk beberapa ketika. Secara logiknya, pastilah ini akan meruntuhkan imej BERSIH dan PR. Ini akan membenarkan segala tuduhan BN bahawa PR adalah agen untuk menggugat keamanan negara.

Alih2, hari ni keluar satu isu baru. Isu skandal seks Azmin Ali. Dijadikan Utusan Malaysia sebagai akhbar tabloid porno. Gambar aksi lucah dipampang secara terbuka dan besar2an. Kalau masa kes China Doll dulu, hanya gambar lelaki tidak berbaju sahaja yang kelihatan tanpa sebarang aksi lucah. Kini, kelucahan Utusan dan media2 kerajaan naik setakuk lagi. Isu "keganasan" BERSIH? Didiamkan sama sekali dari tajuk2 utama. Tinjauan aku juga mendapati berita mengenai BERSIH dan isu2nya tidak menjadi hiasan akhbar2 utama negara - melainkan NST yang melaporkan ada ura2 para peniaga dan RapidKL ingin menyaman penganjur BERSIH 3.0 atas kerugian yang depa alami.

Soalnya, kenapa tiba2 senyap sunyi isu pasal BERSIH ni?

Bagi aku, ada beberapa sebab kenapa isu BERSIH ni tiba2 diam. Antaranya, isu keganasan yang cuba diketengahkan oleh pihak UMNO BN sebenarnya menjerut depa sendiri.

Ini dimulakan dengan kenyataan demi kenyataan oleh para peserta tentang kewujudan pihak2 yang mencurigakan ketika demonstrasi. Aku dengan terbuka menyelar golongan ini dengan menggelarkan depa "siput babi". Namun, ketika itu tidak ramai pihak mahu mendengar kata2 aku dan sesiapa pun. Alih2, muncul status "lepas cakap" Zaharin Yassin yang mendakwa ramai pegawai polis yang dikenalinya menyertai demonstrasi sambil memakai baju kuning, namun di tangan depa terdapat gelang kuning. Apabila dikaji semula gambar2 yang diambil sewaktu BERSIH terutamanya di kawasan2 panas, ternyata begitu banyak sekali provokasi dan keganasan ini dilakukan oleh pihak2 yang memakai gelang kuning tersebut - termasuklah pihak yang memotong kawat duri, pihak yang membawa kayu untuk membelasah dan merusuh, pihak yang merosakkan kereta waja seperti yang dipapakan oleh Sinar Harian dan banyak lagi. Ini sebenarnya satu tamparan bagi UMNO BN dan puak2 pengotor - tak sangka, taktik busuk depa didedahkan oleh orang depa sendiri.

Jom fikir secara logik - para peserta BERSIH ini ada yang student. Ada yang makan gaji dengan kerajaan mahupun swasta, dan pelbagai lagi. Jika depa melakukan keganasan, pastinya chances untuk gambar depa diambil dan dipaparkan adalah tinggi, selain risiko ditangkap dan didakwa kemudian. Jadi, apakah depa sanggup memperjudikan masa depan depa semata2 untuk berlagak samseng? Maka, depa yang mengganas ini adalah depa yang semestinya tidak takut akan kemungkinan itu - pihak yang mempunyai kepentingan, dan juga pihak yang sememangnya disuruh untuk melakukan demikian tanpa risiko ditangkap.

Kemudian, satu demi satu paparan keganasan polis tersebar. Footage polis membelasah peserta2 BERSIH tanpa belas kasihan membanjiri dunia politik maya dan akhbar2 cina. Rakyat semakin marah apabila mengetahui tindakan ganas polis ini hanya berpunca dari "khabar angin" kononnya ada anggota polis mati dibelasah peserta BERSIH. Depa dok kecoh pasal sorg wartawan dibelasah peserta BERSIH - yang kemudian didapati merupakan antara "siput babi" sebenarnya, dan pihak yang melihat keadaan wartawan itu pada awalnya adalah Unit Amal - hasil pengakuannya sendiri. Dalam masa yang sama, sekurang2nya 8 wartawan dibelasah oleh polis apabila depa cuba untuk merakam gambar polis membelasah peserta BERSIH - salah sorg daripadanya adalah wartawan Al Jazeera, dan selebihnya majoriti dari media cina. Mana lebih sadis?

Malah, rakan2 wartawan aku yang sempat aku tanya mengenai hal ini tidak menolak kemungkinan Azri (wartawan AlHijrah yang dibelasah itu) sebenarnya bukan dibelasah peserta BERSIH tulen, tetapi dibelasah SB atas sebab yang sama sahabat2 medianya dibelasah oleh polis - takut Azri merakamkan situasi pelanggaran itu.

Depa dok tuduh Unit Amal merempuh barricade polis di KLCC, tetapi satu hakikat yang tak terjawab oleh depa ialah KLCC BUKAN KAWASAN LARANGAN BERHIMPUN. Kawasan yang digazetkan sebagai larangan berhimpun HANYALAH DI DATARAN MERDEKA. Jadi, tindakan polis mengepung dan menghalang laluan peserta anti-Lynas di KLCC adalah menyalahi gazet depa sendiri. Perkara ini diperjelaskan dengan detail sewaktu sideng media Dewan Pemuda PAS Pusat 30 April lalu. Malah, tadi aku dah mendedahkan kemungkinan ada pihak yang menyamar sebagai Unit Amal dan membuat kecoh. Dalam masa yang sama, terdapat bukti2 video yang memaparkan betapa Unita Amal dihalang dari membantu para peserta terutamanya yang dibelasah polis.

Dan perkara yang paling mengantoikan puak2 ini adalah tuduhan depa terhadap Anwar. Depa menuduh Anwar dan Azmin menjadi dalang semua ini - aku pernah ulas hal ini dulu - tetapi pendedahan siri video menyebabkan aku dengan ini menarik balik penjelasan aku kat entri terdahulu, seterusnya menafikan tohmahan puak2 UMNO ini. Dalam satu video, dengan jelas Anwar memberikan aharan UNTUK PUSING KE KANAN (menghala bangunan DBKL) dan BUKANNYA KE KIRI (menghala Dataran). Video itu juga memaparkan ada usaha untuk memujuk pihak polis membenarkan para demonstran memasuki Dataran Merdeka, namun secara tiba2 ada pihak yang melaungkan "masuk! masuk!" dan mencetuskan mayhem. Puak2 UMNO menggunakan video gambar kononnya Anwar membuat isyarat tangan kepada Azmin untuk merempuh Dataran, walhal isyarat yang dibuat oleh Anwar adalah isyarat "tukar" dan isyarat "jemput" atau "silakan" - tidak ada satu isyarat yang menonjolkan ciri "merempuh" dibuat oleh Anwar.

Ternyata, benar kata2 aku selama ini - jika isu ini didragkan oleh depa, lama kelamaan ianya akan menjerut diri depa sendiri.

Dan satu lagi punca besar yang aku rasa menjadi asbab kenapa isu BERSIH ini didiamkan adalah DEPA TIDAK MAHU MEMPROMOSIKAN BERSIH. JIka depa seringkali menyebut tentang isu BERSIH ini, rakyat di luar sana akan tertanya2 "mengapa ribuan manusia sanggup berpanas terik untuk BERSIH? Ada apa dengan BERSIH?" Lalu depa pun akan mencari jawapan sendiri dan mungkin, pencarian itu akan menyebabkan depa memahami aspirasi BERSIH, menyokong BERSIH dan - ini yang paling ditakuti UMNO BN - mengetahui kebejatan dan kepincangan sistem pilihanraya yang menjadi barah tahun bertahun. Ini kerisauan depa.

Cuma, org tua2 pernah berbidalan bahawa "bangkai gajah tidak akan dapat ditutup dengan nyiru". Itu berkenaan keburukan, yang takkan dapat disembunyikan. Izinkan aku membuat bidalan baru - harum kasturi tidak akan dapat diatasi bau sampah.

Apapun, depa kini terbelit dengan permainan depa sendiri, lalu cuba membuat isu baru untuk mengalihkan fokus. JANGAN IZINKAN!

Sunday, July 10, 2011

Coretan BERSIH 2.0

"Ana masih berada dalam masjid Jame'. Di luar terlalu ramai anjing-anjing berkeliaran". Begitulah sms daripada seorang sahabat yang saya terima sekitar 11 pagi semalam 9 julai 2011. Apa yang di maksudkan sebagai anjing itu adalah polis samada yang berpakaian seragam ataupun SB yang menyamar sebagai orang awam yang begitu ramai di sekitar tempat himpunan.

Mengapa begitu sekali buruk gelaran terhadap polis sehingga di katakan sebagai anjing. Setiap kali di adakan himpunan rakyat, polis di pergunakan semahunya oleh mereka yang berkuasa seolah-olah mereka tidak boleh hidup jika tidak mengikut arahan untuk membantai rakyat.

Polis telah menjadi gila segilanya sehingga langsung tidak boleh atau mahu berfikir bahawa mereka di perbodoh dan di jadikan seperti anjing yang bertindak tanpa akal. Langsung tidak malu dan aib mereka menyerang rakyat yang tidak mempunyai apa-apa senjata untuk melawan bahkan rakyat yang hadir itupun tidak ada sedikitpun hasrat untuk melawan polis.

Malunya anak cucu mereka nanti bila melihat baculnya polis menyembur, menembak gas pemedih mata, memukul, menggari dan berbagai keganasan di lakukan kepada mereka yang sedikitpun tidak melawan....

Gambar-gambar ini boleh menceritakan betapa polis yang lengkap bersenjata berhadapan dengan rakyat yang bertangan kosong...Polis yang sedia berperang dengan rakyat...
Polis yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat telah menjadi musuh. Mereka sepatutnya di hargai sebaliknya di cemuh dan semakin di benci akibat kebodohan mereka menjadi alat untuk mempertahankan kezaliman pemerintah.
Rakyat berbagai kaum berhimpun dengan aman untuk menuntut Pilihanraya yang bersih bagi mendapatkan hak kehidupan yang lebih baik di negara bertuah ini...
Pimpinan PAS, PKR dan DAP yang turun bersama membela hak rakyat.
Salah satu ketumbukan himpunan yang di gerakkan bagi bersatu menyatakan hasrat supaya rakyat di beri peluang memilih kepimpinan negara dalam pilihanraya yang benar-benar bersih.

Himpunan BERSIH kali ini mencatat banyak sejarah. Sekatan awal oleh polis dengan menangkap siapa sahaja yang memakai baju kuning bersih beserta amaran bertalu-talu oleh polis dan semua agensi kerajaan yang berkaitan menggambarkan ketakutan yang bersangatan oleh mereka yang berkuasa.

Kali ini juga buat pertama kali tangkapan besar-besaran di buat ketika himpunan dengan lebih 1400 orang telah di tahan termasuk Presiden PAS sendiri. Belum pernah Presiden PAS di tangkap ketika mana-mana himpunan sebelum ini. Sepatah kata Tuan Guru Presiden setelah di bebaskan, inilah mukaddimah sebenar kejatuhan kerajaan BN. InsyaAllah kata-kata itu akan menjadi realiti selepas ini..

Saya berada di pintu masuk pusat tahanan di PULAPOL jalan Semarak lebih kurang pukul 6 petang dan bertolak balik daripada KL selepas maghrib setelah sebahagian tahanan daripada Setiu seramai 10 orang di bebaskan daripada tempat tahan tersebut. Ketika itu 4 lagi belum bebas tetapi telah mendapat jaminan akan di bebaskan dalam masa tidak lama selepas itu.

Sebelum itu kira-kira pukul 7.30 saya telah menerima berita bahawa Tuan Guru Presiden PAS juga telah di bebaskan. Alhamdulillah, setelah menerima berita daripada kawan-kawan semuanya berada dalam keadaan baik, maka kami (saya, YDP dan Tim. YDP Setiu) pun beredar untuk pulang dan selamat sampai lebih kurang jam 2.30 pagi di rumah.

Monday, July 4, 2011

Iktibar Ketakutan Firaun...


Oleh: Pak Dee Jantan

Apabila Firaun terdengar tilikan ahli sihir bahawa akan lahir seorang lelaki yang akan bangun mencabar dan menjatuhkannya, maka Firaun jadi gabra dan ketakutan yang amat sangat. Lalu dia mengarahkan supaya pasukan polis dalam kerajaannya membunuh semua kanak-kanak lelaki yang baru dilahirkan. Ditakdirkan Allah SWT, Firaun dijatuhkan oleh lelaki yang membesar dalam istananya sendiri iaitu Nabi Musa.

Ketakutan Firaun lebih kurang sama dengan ketakutan Najib dan BN sekarang menghadapi kebangkitan rakyat. Punya gila babi punya undang-undang pakai baju kuning pun jadi satu kesalahan, sebut BERSIH pun kena tangkap lebih kurang macam gila babi punya Firaun buat undang-undang tak boleh lahirkan anak lelaki.

Buat ceramah tak boleh, bercakap tak boleh, pakai baju tak boleh, jual baju tak boleh… ada saja kaitan dengan Bersih semua kena tangkap masuk lokap. Pagi ini 14 orang aktivis PR ditangkap polis kerana pakai dan jual baju Bersih, apa punya zalim BN.

Apakah kebebasan bersuara akan dihapuskan di Malaysia dan Malaysia sedang menuju kepada sebuah pemerintahan ala Komunis di mana semua rakyat wajib penganut fahaman parti yang memerintah?!

Berfikirlah semua rakyat Malaysia…

sumber Disini :http://kedahla.blogspot.com/2011/07/bn-gabra-macam-firaun-kelaku-macam.html

Thursday, June 23, 2011

Reaksi Himpunan BERSIH


Buat pertama kali Muktamar Dewan Pemuda PAS pusat yang di adakan di KTC, Kota Baru tahun lepas mengguna pakai pindaan perlembagaan yang menghendaki Perwakilan terdiri daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan-Kawasan. Sebelum itu perwakilan muktamar Pemuda Pusat adalah daripada Pemuda negeri-negeri seramai 15 orang satu negeri kalau tidak silap ingatan saya.

Walaupun sebelum itu pernah menjadi perwakilan bagi DPPNT, Muktamar di KTC itulah kali pertama dan terakhir saya hadir sebagai perwakilan Pemuda daripada Kawasan Setiu. Mungkin secara kebetulan juga itulah kali pertama dan terakhir saya berucap dalam muktamar pusat mewakili Pemuda negeri menyokong usul berkenaan Himpunan BERSIH.

Himpunan BERSIH 2.0 yang akan di adakan 9 Julai nanti itu antaranya adalah hasil usul yang di bentangkan di dalam Muktamar DPPP pada tahun lepas di KTC, Kota Baru.

Lantaran itu tidak pelik jika di lihat kepada kesungguhan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat menggerakkan seluruh Pemuda supaya dapat hadir ke himpunan tersebut. Seiring itu di sambut oleh Dewan Ulama' dan Muslimat yang turut sama bergerak aktif supaya himpunan BERSIH 2 kali ini lebih besar dan berjaya.

Tentulah yang lebih di harapkan kehadiran yang ramai adalah daripada Pemuda. Kerana Pemuda lebih cergas dan pantas bergerak. Lebih-lebih lagi jika dengan hadir sama Ulama' dan Muslimat, tentulah Pemuda pun lebih bersemangat.

Apa yang menjadi menariknya adalah melihat reaksi yang di tunjukkan oleh UMNO. Sama ada melalui ulasan peribadi sebagai pemimpin UMNO mahupun melalui segala agensi kerajaan berkaitan. Lebih lawak reaksi yang di tunjukkan oleh NGO PERKASA yang kelihatan meracau entah apa-apa.

Entah apa yang nak di pertahankan oleh PERKASA. Kalau kata nak pertahan Melayu pun, lihat kepada orang-orang yang hadir di perhimpunan mereka bukan semua melayu tulin pun. Nak kata Islam pun payah juga, melihat kepada pakaian dan lagak mereka. Ada yang bersubang, bertindik sana sini, rambut punk dengan pelbagai warna.. Itu yang muda. Yang dah berusia pula tidak ada pun rupa orang yang patuh pada agama..

Persoalannya itu ke budaya Islam dan melayu? Yang nyata mereka kelihatan lebih kepada kumpulan-kumpulan samseng yang hanya mengikut saja apa yang di suruh oleh ketua mereka yang ada kepentingan masing-masing.

Sementara SPR pula seperti cacing kepanasan. Sekejap ugut tak mahu runding, sekejap nak runding jika himpunan batal dan yang terbaru hari ni, SPR sedia ganti undi POS dengan undi awal. Nampak sangat gelabahnya mereka. Namun walau apapun yang mereka janjikan ketika ini, janji itu hanyalah untuk menggagalkan himpunan yang di rancang. Sampai masa pilihanraya nanti kita di tipu lagi dengan undi yang tidak bersih..

Reaksi Pemuda UMNO yang begitu bersungguh-sungguh untuk turut serta meramaikan himpunan juga agak menarik. Walau dengan tujuan apapun, kehadiran pemuda UMNO yang lebih rasional (cerdik?) berbanding PERKASA yang cuba menghalang himpunan, menunjukkan bahawa suara anak muda secara keseluruhannya berharap sistem pilihanraya yang ada sekarang perlu kepada perubahan yang lebih baik.

Saya di maklumkan semua syarikat bas di Kuala Terengganu tidak di luluskan permit untuk ke KL pada tarikh sekitar himpunan dan telah di ugut jika membawa peserta ke himpunan pada hari tersebut akan di tarik balik lesen operasi mereka.

Dengan melihat semua reaksi yang di tunjukkan semua pihak itu sebenarnya akan menambahkan lagi semangat anak-anak muda dan sesiapa sahaja yang prihatin berkenaan pilihanraya untuk hadir walau dengan apa cara sekalipun.

Lebih-lebih lagi pimpinan PAS termasuk Presiden PAS sendiri telah mengeluarkan arahan supaya ahli PAS hendaklah hadir sebagai tanda sokongan dan kesungguhan kita dalam perjuangan menegakkan yang hak dan menentang kebatilan yang menjadi agenda perjuangan kita selama ini.

Wednesday, June 22, 2011

KENYATAAN MEDIA BERSIH 2.0 - MESTI HADIR TANDA SOKONGAN

21 Rejab 1432 H | 22 Jun 2011

Semua ahli dan penyokong PAS diwajibkan hadir dalam himpunan BERSIH bagi menyatakan sokongan rakyat terhadap tuntutan 8 perkara bagi menjamin keyakinan terhadap sistem demokrasi Berparlimen.

Himpunan demonstrasi aman ini bukanlah perkara baru dalam konteks negara. Selepas PRU ke 12, UMNO ternyata lebih banyak mengadakan demo berbanding PR. Apa yang menarik demo ini dikawal oleh polis tanpa ada provokasi. Ia berjalan dengan aman. Bawa kepala lembu, bakar gambar, bakar bendera dan isytihar perang khususnya anjuran PERKASA; seolah-olah sebuah badan yg mempunyai kekebalan.


PAS mengucapkan tahniah kepada kebebalan PERKASA yang mengeluarkan pelbagai kenyataan bersifat provokasi, kerana ini tentulah memudahkan polis untuk menahan mereka yg melakukan provokasi. Kalau yang buat provokasi tentulah PERKASA, tapi jangan terkejut kalau yang kena tahan ialah PAS, PKR atau DAP.

PAS juga mengalu-alukan penyertaan Pemuda UMNO yang akan ikut sama demo pada 9hb Julai nanti. Keberanian Khairy kali ini agak luar biasa, cabar polis dan sedia ditangkap. Cuma PAS hairan Pemuda UMNO sertai demo untuk menuntut apa? Kalau tuntutan kita atas lapan perkara, maka Pemuda UMNO nak tuntut apa?

Kata Khairy mereka menuntut penambahbaikan sistem Pilihanraya di Malaysia. Maknanya Pemuda nampaknya lebih faham berbanding UMNO tua yg berlindung di bawah dagu PERKASA.

MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN


Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Dewan Ulamak PAS Pusat Menyeru Diadakan Munajat Perdana Sempena Himpunan BERSIH 2.0 Di Seluruh Negara



Kenyataan rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat


Kuala Lumpur, 21 Jun 2011 - Sempena Himpunan BERSIH 2.0 yang insyaAllah akan diadakan 9 Julai ini, maka Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru supaya seluruh pendokong PAS samada pimpinan, ahli dan penyokong mengadakan Munajat Perdana secara besar-besaran di stadium, padang-padang, markaz-markaz tarbiyah atau di mana-mana lokasi yang sesuai.

Setiap Dewan Ulamak PAS Negeri/Wilayah diberikan tugas untuk menggerakkan dan merealisasikan ketetapan ini.

Seluruh ahli dan pendokong PAS diseru supaya berdoa dan memohon kepada Allah s.w.t dengan rasa rendah diri dan tawadhuk di atas luar keupayaan kita untuk menghadapi tipu daya dan kejahatan oleh pihak-pihak tertentu yang mencemarkan proses pilihanraya di negara ini.

Sebelum ini kita telah mendengar pelbagai penyelewengan yang telah berlaku untuk mengkhianati suara rakyat yang mahukan perubahan terhadap Negara Malaysia yang tercinta ini. Apa yang berlaku di Terengganu dalam pilihanraya tahun 2004 menyedarkan kita bahawa BN-UMNO sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan survival mereka terus kekal di Malaysia.

Manakala baru-baru ini, kita telah dikejutkan dengan laporan yang menyatakan bahawa terdapat usaha-usaha pihak tertentu yang cuba menyalahgunakan pendatang-pendatang asing untuk mencemarkan kemurniaan dan keBERSIHan pilihanraya di Negara ini.

Dewan Ulamak PAS Pusat tidak akan merelakan perkara tersebut daripada terus berlaku di bumi Malaysia ini.

Dewan Ulamak PAS Pusat akan menggunakan keupayaan yang syar'ie dan berlandaskan undang-undang negara untuk menjadi benteng bersama sayap yang lain untuk mempertahankan kemurniaan ini.

Dewan Ulamak PAS Pusat tidak akan membiarkan mana-mana pihak tertentu samada parti atau NGO untuk menangguk di air yang keruh bagi merosakkan hubungan yang harmoni di antara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini.

Dewan Ulamak PAS Pusat insyaAllah akan memastikan agar Himpunan BERSIH menjadi platform dan simbol perpaduan dan kesatuan rakyat dari pelbagai latar belakang.

Followers