Thursday, August 20, 2009

Hayati Ramadhan

Pejam celik kita jumpa lagi Ramadhan tahun ni. Setahun selepas Ramadhan 1429 berlalu tentunya kita perlu bermuhasabah kembali menjelang Ramadhan baru akan tiba esok atau lusa ini.

Adakah sepanjang setahun ini segala kerja buat kita sudah memadai untuk di jadikan bekal bertemu Allah nanti. Berapa banyak masa yang kita guna untuk taat perintah Allah, berapa banyak pula masa kita bazirkan dengan sia-sia dan berapa banyak pula masa itu menjadikan kita berdosa dan bakal menerima azab Allah di akhirat nanti.

Mampukah amalan baik yang kita lakukan sepanjang setahun berlalu menyaingi dan menghapuskan dosa-dosa yang telah dan sedang kita hadapi.

Muhasabahlah... muhasabahlah wahai diri... saya, anda dan sesiapa sahaja. Moga Ramadhan tahun ini dapat kita jadikan medan membetulkan semula turning hidup kita. Biarlah bengkel Ramadhan tahun ini benar-benar menjadikan kita seorang muslim sejati dan meletakkan kita di atas rel Siratol Mustaqim. Jika sudah betul, kita tambah power supaya perjalanan kita semakin laju dan dekat dengan pencipta kita.

Jika ada yang perlu di perbaiki, inilah peluang kita sebulan dalam setahun untuk kita overhol iman dan taqwa yang di miliki.

Lantaran itulah kita di suruh membanyakkan tadarrus Al Quran. Tadarrus bermaksud mempelajari Al Quran. Bukan sekadar membaca, tetapi memahami Al Quran. Sebagaimana kita maklum bahawa Al Quran adalah Perlembagaan hidup seorang muslim. Tempat rujukan utama untuk mangatur kehidupan kita atas dunia ini adalah Al Quran yang memberi panduan semua perkara yang di perlukan oleh seorang manusia.

Sebagai bengkel membetulkan diri pada Ramadhan ini, panduannya tentulah kepada Al Quran. Oleh itu untuk memahami Al Quran, bukan sahaja perlu di baca Al Quran semata-mata, bahkan perlu juga di kaji pelbagai sumber yang memungkinkan kita memahami Al Quran.

Pentafsir utama kepada Al Quran adalah Rasulullah saw itu sendiri. Rasulullah adalah model yang di pilih oleh Allah untuk menjadi contoh bagaimana seorang manusia mengatur kehidupannya mengikut Al Quran. Itulah yang di sebut oleh Saidatina Aisyah bahawa Akhlak Rasulullah ialah Al Quran. Kalau mahu memahami Al Quran lihatlah kepada Rasulullah. Ibadatnya, Akhlaknya, muamalatnya, keluarganya, makan minumnya, tutur katanya, perang damainya, siasah pemerintahannya, dakwahnya bahkan serba serbi berkaitan hidup seorang manusia, di tunjukkan contoh secara praktikal oleh Rasulullah saw.

Pelajarilah sejarah itu. Sejarah kehidupan Rasul untuk kita contohi bagi membetulkan kehidupan kita. Itulah modelnya jika kita mengaku dan mahu menjadi orang Islam sebenar dan di terima oleh Allah. Untuk mempelajari sirah itu, kita perlu gali lagi kitab-kitab dalam pelbagai bidang ilmu, samada Fikahnya, Tauhidnya, Tasawwufnya dan sebagainya lagi yang di tulis oleh para Ulama' yang amanah mewarisi pesaka peninggalan Rasulullah.

Kesimpulannya, Ramadhan perlu di ambil peluang sebaik-baiknya untuk membetulkan diri. Sebulan bukanlah terlalu lama jika di bandingkan dengan terlalu banyak yang perlu kita perbetulkan kerana jika hidup kita sebagai manusia pada hari ini sudah betul, tentu masyarakat kita sebaik dan sehebat zaman Rasulullah kerana itulah zaman yang paling hebat pernah berlaku dalam sejarah dunia.

Selagi belum mampu menghampiri kegemilangan zaman Rasul itu, maka terlalu banyak yang perlu di di pelajari, perbetulkan dan di laksanakan dalam kehidupan kita yang sesingkat ini...... Selamat menghayati Ramadhan.

No comments:

Followers