Thursday, August 6, 2009

Kemiskinan di Setiu

Anak ponteng sekolah kerana miskin

PERMAISURI - Sepasang suami isteri di Kampung Besut, di sini, buntu memikirkan masa depan anak mereka kerana tidak mampu menyediakan wang secukupnya bagi membolehkan mereka bersekolah, malah salah seorang daripadanya kerap ponteng bagi memberi laluan kepada adik-beradik lain menuntut ilmu.

Bagi keluarga Azaman Jambol, 41, walaupun anaknya mendapat bantuan biasiswa dan pembiayaan yuran daripada kerajaan, na�mun seorang anaknya kerap tidak hadir ke sekolah kerana masalah kemiskinan.

“Kami tidak dapat memenuhi keinginan semua anak untuk ke sekolah dan mahu atau tidak, kami terpaksa mengutamakan anak yang akan menghadapi peperiksaan kerana tiada wang,” kata isteri Azaman, Sanisah Mohd Nor, 38.

Sanisah, ibu kepada 10 anak berkata demikian sebagai mewakili suaminya Azaman, seorang buruh tanpa pendapatan bulanan tetap ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya.

Sanisah berkata, suaminya sering berpindah dan meninggalkan mereka kerana bekerja sebagai pekerja kontrak di ladang kelapa sawit sekitar negeri ini, dan dengan pekerjaan itu, pendapatannya cukup makan sahaja.

Menurutnya, suaminya juga pernah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan bersesuaian menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tiga bulan lalu untuk meringankan beban mereka.

“Bagaimanapun, permo-honan ditolak kerana tiada sokongan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.

“Jika tidak kerana miskin, suami saya tidak akan memohon bantuan itu, tambahan pula anak mendapat biasiswa dan sering diberi perhatian untuk menerima bantuan lain termasuk pakaian serta wang sagu hati,” katanya.

Bagaimanapun, katanya mereka tidak sampai hati melihat seorang anak, Mohd Sharul Azlan, 13, yang terpaksa duduk di rumah.

“Sharul terpaksa ponteng sekolah hampir setiap minggu kerana tiga kakaknya, Nor Farahim, 15, Nor Azwani, 17, dan Nor Azlainie, 19, lebih memerlukan wang belanja sekolah.

“Ketiga-tiganya akan menduduki peperiksaan penting pada tahun ini,” katanya yang masih berharap JKKK menyokong permohonan bantuan itu, selain mengharapkan JKM turun padang melihat sendiri keadaan mereka.

Sinar Harian cuba menghubungi Pengerusi JKKK Kampung Besut, Nik Dahlia, bagi mengetahui mengenai kedudukan sebenar status permohonan keluarga itu, namun beliau gagal dihubungi.

No comments:

Followers