Monday, August 31, 2009

Agihan tidak adil : Pengerusi JKKK di minta letak jawatan - MB

KUALA TERENGGANU – Mana-mana Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini yang tidak mampu menjalankan tugas untuk rakyat dengan baik dinasihatkan melepaskan jawatan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kesal apabila ada JKKK di beberapa tempat dikesan tidak mampu menjalankan tugas dengan baik kepada masyarakat sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk kepada Kerajaan Negeri.

Mengambil contoh pengagihan buah kurma sumbangan Kerajaan Negeri kepada seluruh orang Islam di Terengganu, Ahmad menjelaskan ada JKKK yang tidak menunaikan amanah itu dengan baik sebagaimana dimaklumkan kepada mereka sebelum ini.

“Seperti pengagihan kurma dan air zam-zam dibekalkan Kerajaan Negeri baru-baru ini untuk diagihkan kepada rakyat, ada JKKK tidak menjalankan tugas dengan sempurna kerana tidak mengagihkan mengikut arahan iaitu mengagihkan dari rumah ke rumah.

“Sebaliknya JKKK ini membawa kurma berkenaan ke masjid dan mengagihkan selepas solat Terawih menyebabkan ada rakyat tidak memperolehnya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Parlimen Kuala Nerus Bersama Menteri Besar di Pekarangan Pejabat Parlimen Kuala Nerus, di sini, petang kelmarin.

:Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri; Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh.

Menurut Ahmad, tindakan JKKK mengagihkan kurma dan air zam-zam berkenaan di masjid menjadikan pembahagian tidak serata kerana ada antara individu mengambil kurma dan air zam-zam melebihi jumlah ditetapkan iaitu dua dan tiga paket seorang.

“Setakat ini kita kesan :pengagihan sebegini banyak berlaku di sekitar Kuala Terengganu membabitkan JKKK di beberapa kawasan taman perumahan dan juga kampung.

“Pengagihan yang tidak adil ini juga menyebabkan rakyat marah dan menyalahkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad mengingatkan semua JKKK supaya mengagihkan kurma dan air zam-zam dari rumah ke rumah agar semua penduduk memperoleh peruntukan kurma itu.

:Sempena Ramadan tahun ini, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan kira-kira RM7.8 juta bagi membekalkan kurma dan air zam-zam untuk diagihkan kepada 300,000 keluarga Islam di Terengganu.

Di petik daripada SINAR HARIAN online

Mengingati Ulangtahun Syahidnya Syed Qutb & Hubungannya Dengan Malaysia Merdeka

Sila klik untuk membaca artikal berkaitan.

Sambutan Hari Kebangsaan


Kebetulan tadi jumpa dengan Ust Wan Sukairi, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu. Komen beliau " Enta ni tak patroitik la...". " Kenapa pula?" tanya saya. "Yalah.. hari ni kan hari cuti sempena sambut Merdeka, enta tetap buka juga kedai. Dahlah gitu, bendera pun tak pasang depan kedai" ujarnya.

Memangpun hari ni 31 ogos, cuti hari kebangsaan. Tetapi sebagaimana ulasan daripada blogger-blogger lain, sambutan hari kebangsaan tahun ni tidak begitu terasa mana. Walaupun pihak kerajaan sendiri tidak mengadakan program besar kerana sambutan tahun ni jatuh pada bulan puasa, tetapi mengikut kebiasaannya 10 tahun kebelakangan, apabila tibanya bulan kemerdekaan, bendera-bendera di kibarkan di premis dan juga kenderaan.

Pada tahun ini bukan saja premis dan kenderaan orang awam, bahkan bangunan dan kenderaan kerajaan sendiripun tidak memasang bendera. Ini menjadi tandatanya kepada sebahagian masyarakat yang melihat perkara ini dengan pelbagai perspektif.

Bagi saya terpulang kepada masing-masing menilai keadaan yang berlaku, tetapi melihat kepada pengkhianatan besar yang di lakukan oleh BN yang mengisi kemerdekaan negara kita lebih setengah abad ini, rakyat Malaysia perlu kepada perubahan menyeluruh bagi memastikan masa depan seterusnya negara kita ini dapat di selamatkan daripada kemusnahan yang lebih teruk.

BN yang sudah membusuk dengan virus rasuah dengan begitu lama itu sudah tidak mampu menjadi penyelamat lagi, biarpun siapa yang menjadi pemimpin. Apatah lagi Presiden UMNO sekarang dilihat oleh dunia sangat tidak bersih sebelum lagi naik menjadi PM. Sekarang krisis kepimpinan MCA semakin membarah. Sebelum itu krisis dalam MIC yang sehingga sekarang belum selesai. Ketiga parti tersebut adalah teras kepada BN yang memerintah negara kita. Jika ketiga-tiga parti tersebut berhadapan dengan seribu satu masalah yang tidak mungkin dapat di selesaikan lagi, maka pilihan kepada rakyat Malaysia sekarang ialah menukar BN kepada Pakatan Rakyat untuk menjadi kerajaan selepas ini...

Selamat Hari Merdeka..... dan Selamat Bekerja untuk menukar Kerajaan BN.....

Kempen "Satu Keluarga Sekampit Beras"

Sunday, August 30, 2009

Aktiviti Ramadhan

Menghayati Ramadhan pada tahun ini, Dewan Pemuda PAS Terengganu (DPPNT) telah melancarkan Bulan Tarbiyyah di awal Syaaban yang lalu. Matlamatnya agar seluruh pemuda PAS Terengganu menjadikan Ramadhan benar-benar bulan yang mentarbiyyah kehidupan kearah menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

Banyak aktiviti yang yang di rancang bagi mengisi bulan penuh barakah ini seawal Syaaban lagi. Alhamdulillah Pemuda PAS Setiu juga tidak ketinggalan menyahut seruan DPPNT melalui Lujnah Tarbiyyahnya yang di pimpin oleh Al Fadhil Dr Azman Ibrahim, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Setiu.
Dr Azman Ibrahim
Pelancaran bulan Tarbiyyah peringkat kawasan telah di adakan pada 14 Ogos / 23 Syaaban di Surau Hj Mad, Bukit Cempaka oleh Dr Azman.

Semua Pemuda DUN mengadakan mesyuarat dan membincangkan khusus agenda menghidupkan Ramadhan pada tahun ini sebaik-baiknya. Antara program yang akan dan sedang berjalan adalah Iftor Jama'e dan Qiamullail melibatkan AJK Pemuda DUN dan Ahli Pemuda cawangan. Di samping itu ada juga DUN yang melaksanakan Jaulah Terawih dan Tazkirah Ramadhan antara cawangan-cawangan dalam DUN tersebut. Perkembangan ini agak memberansangkan kearah memenuhi hasrat Ketua DPPNT sessi ini, YB Ust Mohd Noor Hamzah yang mahukan agenda tarbiyyah di beri penekanan sebaiknya oleh Pemuda.

Sememangnya Ramadhan perlu di ambil kesempatan sepenuhnya oleh semua ummat Islam bagi mengislahkan diri dan meningkatkan ketaqwaan supaya hadiah Allah sebulan dalam setahun ini benar-benar menjadikan kita insan soleh yang di terima oleh Allah.

Antara yang mengembirakan saya adalah perkembangan Pemuda DUN Langkap. Walaupun peringkat awal sessi baru ni kelihatan agak sukar dan menjadi DUN yang paling akhir membentuk Jawatankuasanya, tetapi sekarang nampaknya sudah mampu menganjurkan program dan Alhamdulillah ada sambutan yang baik daripada cawangan-cawangan.

Sementara DUN Jabi yang sememangnya DUN yang dominan sejak awal penubuhan PAS Kawasan Setiu ini, terus dengan aktiviti rutin apabila tiba Ramadhan dengan program Qiamullail dan jaulah pimpinan ke cawangan-cawangan, berterawih dan tazkirah oleh pimpinan DUN mereka. DUN Jabi memiliki ramai Ustaz dan Tuk Guru yang mampu memenuhi tuntutan tarbiyyah di bulan yang berkat ini. Apatah lagi Dr Azman sendiri adalah bekas calon PAS dalam PRU ke 12 yang lalu bagi DUN Jabi.

Lantaran itu apabila terdengar sungutan tidak puas hati ( kecil hati? ) daripada Pemuda DUN Jabi dengan tulisan saya pada posting ( antara yang awal saya tulis di blog ini ketika baru di buka pada akhir bulan Jun ) berkenaan Kursus Pengurusan Organisasi ( KPO ) DPPKS yang di adakan di Merang, saya terus melihat balik apa yang saya tulis tersebut.

Hasrat saya apabila membuka blog ini sebagaimana telah di nyatakan di posting pertama dahulu adalah untuk merakamkan peristiwa dan program sepanjang saya di amanahkan sebagai ketua DPPKS bagi sessi ini di samping ulasan tentang isu semasa samada tempatan mahupun nasional ataupun isu antarabangsa yang mempunyai kaitan dengan kita semua.

Mungkin dengan keghairahan menulis ketika baru membuka blog ini, untuk menyedapkan gaya bahasa ( tak sedap pun... maklumlah baru belajar menulis ) saya mulakan tulisan berhubung KPO yang di adakan di Merang itu dengan menyebut ketidakhadiran pemuda DUN Jabi dalam program tersebut. Tidak ada sedikitpun niat untuk memburukkan mereka ( walaupun ada pandangan sahabat yang mengatakan tulisan tersebut berunsur 'memperlekehkan' ) yang tidak hadir. Apatah lagi sebelum itu mereka telah maklumkan masalah yang di hadapi. Cuma kesilapan saya apabila menyatakan rasa terkilan tersebut melalui blog yang mungkin di rasakan mediumnya tidak sesuai.

Hasrat saya tidak lain adalah untuk memaklumkan program tersebut dan jika boleh di ambil perjanan pula oleh DUN-DUN menganjurkan pula di peringkat masing-masing kerana soal pengurusan organisasi adalah sangat penting jika mahu melihat kekuatan jemaah kita.

Walau bagaimanapun saya percaya DUN Jabi mempunyai kekuatan mereka tersendiri berbanding DUN-DUN lain. Sejak DUN Jabi di wujudkan pada 1984, mereka telah dua kali memenangi pilihanraya secara berselang penggal iaitu PRU 8 1990, YB Ust Zahari Mohamad dan PRU 10 1999 melalui YB Ust Shaharizukirnain. Sementara PRU 12 yang lalu mereka hanya kalah tipis melalui calonnya Dr Azman dengan majoriti 800 undi sahaja.

Oleh itu memang munasabah jika mereka terasa hati apabila saya menulis tanpa mengambil kira saluran sepatut dan munasabah. Walaupun sebagai ketua ada hak untuk menegur, tetapi teguran mestilah kena dengan tempat dan masa. Dari segi teori begitulah, tetapi apabila bertindak kadangkala tersasul dan tersilap. Begitu juga orang bawah boleh menegur jika kesilapan berlaku. Pun begitu kadangkala teguran yang di buat tidak melalui saluran yang sepatutnya juga.

Jika kita mempunyai sikap mengakui kelemahan diri dan bersedia di tegur, saya percaya perkara tersebut tidak akan di perpanjangkan lagi. Bagi saya, apa yang saya nyatakan pada ucapan saya dalam mesyuarat AJK DPPKS kali pertama sessi ini dengan menyebut ucapan Saidina Abu Bakar "Jika saya betul, tolonglah saya dan jika saya salah tolong perbetul saya", itulah yang cuba saya praktikkan.

Maka mulai esok, jika ada kelapangan, posting berkaitan KPO itu saya akan edit semula ( hari ni tak sempat, maaf ) dan dengan hasrat serta harapan yang tinggi untuk melihat kesepaduan bagi berhadapan cabaran yang lebih sengit di masa mendatang, saya memohon maaf kepada sahabat-sahabat pemuda DUN Jabi berhubung apa sahaja yang tersilap.

Begitulah juga dengan sahabat Pemuda DUN-DUN yang lain, bersempena Ramadhan ini, marilah kita jayakan mujahadah membaiki diri ini dengan menambahkan kefahaman kita tentang agama ( dengan belajar dan bertanya ) sebagaimana maksud sabda Rasulullah saw " Barangsiapa yang mahu di jadikan kebaikan kepada seseorang, nescaya akan di beri kepada orang tersebut kefahaman yang betul berkenaan agama".

Saturday, August 29, 2009

‘Kaki Ponteng’ Puasa Tidak Hirau Masyarakat


BATU RAKIT - Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa mengambil tindakan tegas terhadap umat Islam yang membeli dan makan di kedai makan bukan Islam, kerana tujuan utama berniaga pada waktu siang Ramadan adalah atas permintaan pelanggan bukan Islam.

Tinjauan Sinar Harian di Pantai Batu Rakit sekitar jam 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari mendapati sebuah kedai makan yang terletak di atas bukit berhadapan masjid besar di kampung tersebut turut menjual makanan kepada ‘kaki ponteng’ puasa.

Hasil tinjauan Sinar Harian kira-kira dua jam di premis berkenaan juga mendapati beberapa ‘kaki ponteng’ terutama belia bermotosikal tanpa segan silu membeli makanan di kedai makan berkenaan dan ia berlaku sejak hari pertama umat Islam berpuasa.

Penduduk sekitar sini mendakwa mereka langsung tidak menghiraukan masyarakat sekeliling.

Turut berbuat demikian adalah beberapa lelaki berumur yang mungkin datang dari luar kawasan kerana mudah mendapatkan makanan dan minuman di situ.

:Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pantai Batu Rakit, Zainaldin Ismail, 36, ketika dihubungi bagi mengulas isu berkenaan berkata, perbuatan menjual makanan kepada umat Islam di premis tersebut sudah bermula sejak tahun lalu.

“PBT perlu memandang serius masalah ini kerana bidang kuasa jawatankuasa JKKK adalah terhad, sepatutnya pihak berkaitan melancarkan operasi di semua kedai makan yang dikenal pasti menjadi tumpuan umat Islam membeli makanan secara terbuka,” katanya.

Zainaldin berkata, bagi peniaga makanan bukan Islam pula mereka sepatutnya memberikan kerjasama dengan mematuhi peraturan dan tidak menjual makanan dan minuman kepada umat Islam lebih-lebih lagi secara terbuka pada bulan Ramadan ini.

Sementara itu, salah seorang ‘kaki ponteng’ yang ditemui Sinar Harian berkata, pelanggan beragama Islam boleh membeli makanan dengan mudah di premis tersebut termasuk menghubungi mereka terlebih dahulu sebelum datang mengambilnya kemudian.

Thursday, August 27, 2009

Kesedaran Kembali Kepada Hukum Islam

Alhamdulillah kita telah masuk hari 6 Ramadhan. Sepanjang minggu ini dan sebelum Ramadhan lagi masyarakat kita heboh dengan isu Arak. Sama ada isu di Selangor ataupun kes hukuman kepada pesalah minum arak di Pahang, kedua-duanya menyebabkan soal jenayah meminum arak telah di perkatakan dengan begitu meluas.

Apabila di perbincangkan samada pro atau kontranya isu yang timbul, suatu yang mengembirakan kita apabila melihat masyarakat umum sebenarnya mahu undang-undang Islam di laksanakan di dalam masyarakat kita. Sehingga orang yang bernama Kartika yang dijatuhkan hukuman sebat kerana meminum arak itupun dengan rela dan bersungguh-sungguh mahukan hukuman itu di kenakan kepadanya sebagai penebus dosa.

Walaupun hukuman yang di jatuhkan oleh mahkamah syariah Pahang itu masih boleh di bincangkan dari sudut ketepatannya, tetapi apabila isu ini timbul menyebabkan masyarakat membuat kajian dan perbincangan tentang kebaikan hukum Islam serta cara perlaksanaannya. Secara tak langsung kita boleh memahami dan melihat kehebatan hukum Allah tersebut.

Apa yang mengagumkan kita apabila melihat bagaimana Allah mengajar manusia supaya kembali menghayati syariatnya. Lebih-lebih lagi ianya berlaku menjelang dan di bulan Ramadhan ini, bulan yang di turunkan padanya Al Quran yang menjadi sumber hukum Islam sebagai perlembagaan hidup manusia. Tinggal lagi samada perkara tersebut di sedari oleh mereka yang mempunyai outoriti dalam perkara tersebut ataupun mereka masih juga nak mempertahankan undang-undang ciptaan manusia yang telah begitu jelas tidak mampu menyelesaikan masalah masyarakat dunia.

Wednesday, August 26, 2009

Thursday, August 20, 2009

Hayati Ramadhan

Pejam celik kita jumpa lagi Ramadhan tahun ni. Setahun selepas Ramadhan 1429 berlalu tentunya kita perlu bermuhasabah kembali menjelang Ramadhan baru akan tiba esok atau lusa ini.

Adakah sepanjang setahun ini segala kerja buat kita sudah memadai untuk di jadikan bekal bertemu Allah nanti. Berapa banyak masa yang kita guna untuk taat perintah Allah, berapa banyak pula masa kita bazirkan dengan sia-sia dan berapa banyak pula masa itu menjadikan kita berdosa dan bakal menerima azab Allah di akhirat nanti.

Mampukah amalan baik yang kita lakukan sepanjang setahun berlalu menyaingi dan menghapuskan dosa-dosa yang telah dan sedang kita hadapi.

Muhasabahlah... muhasabahlah wahai diri... saya, anda dan sesiapa sahaja. Moga Ramadhan tahun ini dapat kita jadikan medan membetulkan semula turning hidup kita. Biarlah bengkel Ramadhan tahun ini benar-benar menjadikan kita seorang muslim sejati dan meletakkan kita di atas rel Siratol Mustaqim. Jika sudah betul, kita tambah power supaya perjalanan kita semakin laju dan dekat dengan pencipta kita.

Jika ada yang perlu di perbaiki, inilah peluang kita sebulan dalam setahun untuk kita overhol iman dan taqwa yang di miliki.

Lantaran itulah kita di suruh membanyakkan tadarrus Al Quran. Tadarrus bermaksud mempelajari Al Quran. Bukan sekadar membaca, tetapi memahami Al Quran. Sebagaimana kita maklum bahawa Al Quran adalah Perlembagaan hidup seorang muslim. Tempat rujukan utama untuk mangatur kehidupan kita atas dunia ini adalah Al Quran yang memberi panduan semua perkara yang di perlukan oleh seorang manusia.

Sebagai bengkel membetulkan diri pada Ramadhan ini, panduannya tentulah kepada Al Quran. Oleh itu untuk memahami Al Quran, bukan sahaja perlu di baca Al Quran semata-mata, bahkan perlu juga di kaji pelbagai sumber yang memungkinkan kita memahami Al Quran.

Pentafsir utama kepada Al Quran adalah Rasulullah saw itu sendiri. Rasulullah adalah model yang di pilih oleh Allah untuk menjadi contoh bagaimana seorang manusia mengatur kehidupannya mengikut Al Quran. Itulah yang di sebut oleh Saidatina Aisyah bahawa Akhlak Rasulullah ialah Al Quran. Kalau mahu memahami Al Quran lihatlah kepada Rasulullah. Ibadatnya, Akhlaknya, muamalatnya, keluarganya, makan minumnya, tutur katanya, perang damainya, siasah pemerintahannya, dakwahnya bahkan serba serbi berkaitan hidup seorang manusia, di tunjukkan contoh secara praktikal oleh Rasulullah saw.

Pelajarilah sejarah itu. Sejarah kehidupan Rasul untuk kita contohi bagi membetulkan kehidupan kita. Itulah modelnya jika kita mengaku dan mahu menjadi orang Islam sebenar dan di terima oleh Allah. Untuk mempelajari sirah itu, kita perlu gali lagi kitab-kitab dalam pelbagai bidang ilmu, samada Fikahnya, Tauhidnya, Tasawwufnya dan sebagainya lagi yang di tulis oleh para Ulama' yang amanah mewarisi pesaka peninggalan Rasulullah.

Kesimpulannya, Ramadhan perlu di ambil peluang sebaik-baiknya untuk membetulkan diri. Sebulan bukanlah terlalu lama jika di bandingkan dengan terlalu banyak yang perlu kita perbetulkan kerana jika hidup kita sebagai manusia pada hari ini sudah betul, tentu masyarakat kita sebaik dan sehebat zaman Rasulullah kerana itulah zaman yang paling hebat pernah berlaku dalam sejarah dunia.

Selagi belum mampu menghampiri kegemilangan zaman Rasul itu, maka terlalu banyak yang perlu di di pelajari, perbetulkan dan di laksanakan dalam kehidupan kita yang sesingkat ini...... Selamat menghayati Ramadhan.

Monday, August 17, 2009

PRK Permatang Pasir

Allahyarham Ust Hamdan Abdul Rahman

Sebagaimana PRK Manik Urai, Perarakan Penamaan Calun PRK Permatang Pasir hari juga saya tidak berkesempatan untuk hadir. Ikutkan hati kalau boleh ingin bersama merasai dan menjiwai denyut nadi perjuangan ini di setiap peristiwa besar yang berlaku. Namun banyak perkara yang ada di depan menyebabkan terpaksa membuat pilihan-pilihan yang kadangkala menyesakkan perasaan.

Seperti Manik Urai, PRK Prmtg Pasir di adakan berikutan kematian Wakil Rakyat daripada PAS. Allahyarham Ust Hamdan, bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, merupakan tokoh veteran PAS yang cukup di kenali oleh pendokong PAS khususnya di sebelah utara tanahair. Kematiannya adalah satu kehilangan besar kepada PAS di mana jasa dan pengorbanan Allayarham kepada perjuangan ini khususnya lagi bagi PAS Pulau Pinang sukar di tandingi selain Allayarham Ust Zabidi Ali yang telah mendahului beberapa tahun dahulu. Mereka adalah antara pendokong yang berjaya meletakkan PAS P. Pinang di tahap yang ada sekarang.

Walaupun dari sudut bilangan kerusi dalam DUN P. Pinang PAS hanya di wakili oleh satu kerusi sahaja yang kosong sekarang, tetapi siapa boleh menafikan kemenangan Pakatan Rakyat memerintah P. Pinang sekarang adalah juga hasil pengorbanan ahli PAS yang memberi laluan dan turut sama menyokong calun-calun Pakatan, walaupun tidak berlambangkan bulan.

Yang bekerja dan bertungkus lumus memenangkan calun PKR mahupun DAP sendiri atas nama Pakatan Rakyat dan atas nama nak menjatuhkan BN, adalah sebahagian besarnya adalah ahli-ahli PAS yang berada di seluruh pelusuk negara termasuk di P. Pinang sehingga membolehkan Lim Guang Eng menjadi Ketua Menteri.

Lantaran itu, biarpun satu kerusi sahaja yang di menangi oleh calun PAS, tetapi undi PAS secara keseluruhannya tidak boleh di perkecilkan. Suara PAS mesti di ambil kira oleh kerajaan Pakatan P. Pinang kerana jika tidak ada sokongan daripada PAS belum tentu P. Pinang dapat di kuasai oleh DAP sekarang.
Ustaz Salleh Man, Calun PAS PRK Permatang Pasir.
Kita mengharapkan ( walaupun dari kejauhan ini ) selepas penamaan calun hari ini, semua pihak daripada Pakatan Rakyat dapat sama-sama memastikan calun PAS pada PRK ini dapat mempertahankan kerusi yang telah di menangi oleh Ust Hamdan beberapa penggal lalu itu.

Saturday, August 15, 2009

Belajar Agama untuk Dunia?

Asri Rabbani - Pergi Tak Kembali

Mari Berjuang

oleh : Ust Nasarudin Tantawi

1. Mutaakhir ini , landskap sosial negara semakin tenat. 1001 jenis mungkar dan maksiat mula menular ke segenap sendi dan saraf masyarakat . Moral dan adab masyarakat kian pudar dan jati diri mereka kian lumpuh .

2. Arak dengan 1001 jenama , judi dengan 1001 istilah , konsert hiburan dengan 1001 pendekatan , pergaulan bebas dengan 1001 style , jenayah dengan 1001 cara , penyalahgunaan kuasa dengan 1001 kaedah , seks bebas dengan 1001 alasan dan 1001 jenis maksiat dan mungkar yang membawa kefasadan atau musibah buat negara dan penduduknya.

3. Fenomena ini akan mengheret negara dan seluruh isinya menuju kehancuran dan kebinasaan yang total . Undang - undang tidak pedulikan lagi , penguatkuasaan tidak memberi apa - apa erti dan adat kepercayaan turut dinodai .

4. Harapkan pagar , pagar tidak boleh diharap !

- Pemimpin diharap pimpin negara dan rakyat , tahu - tahu mereka menyalahgunakan kuasa dan terbabit dalam rasuah serta pelbagai bentuk maksiat dan mungkar .

- Hakim diharap menegakkan keadilan , tahu - tahu hakim turut terbabit dalam skandal cabul undang - undang .

- Polis diharapkan jaga keamanan , tahu - tahu polis belasah rakyat dan terlibat dengan gengster lalu membuatkan rakyat cemas dan tidak aman .

- Wakil rakyat diharap mewakili rakyat dalam DUN atau Parlimen untuk perjuangkan hak rakyat , tahu - tahu mereka yang songlap duit rakyat dan hanya tidur di dalam dewan .

- Ulama' diharap didik ummah agar berilmu dan jauh dari maksiat , tahu - tahu ulama' hanya diam membisu sambil tangan mengipas - ngipas kepala pemerintah .

5. Harapan yang masih berbaki ialah mengharapkan generasi akan datang , kembali bangun membina tamaddun dan peradaban baru yang mampu membawa negara kembali pulih dari ancaman maksiat dan mungkar . Mendaulatkan peraturan yang diperkayakan dengan nilai insaniah dan rabbaniah .

6. Harapan ini tentunya disandarkan kepada generasi muda hari ini . Mereka adalah pemimpin masa depan . Golongan yang pernah menjadi kebanggaan nabi saw . untuk membarisi golongan teras mendokong cita - cita baginda membangunkan tamaddun yang bebas dari pengaruh mungkar .

7. Besar tapak tangan bersama segala kerendahan diri , saya alu - alukan generasi muda hari ini agar sama - sama kita dokong cita - cita besar untuk pulihkan negara sekaligus membebaskannya dari perangkap kefasadan yang membinasakan . Saya dan seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia , insyaallah sabar menunggu dan menanti semua warga muda negara tanpa mengira apa warnanya , apa bahasanya , apa budayanya dan apa agamanya , di kepala jambatan ini untuk kita segera lintas meninggalkan dunia lama dan kita bina dunia baru dengan segala harapan menggunung .

8. Ayuh ! cepatlah anak muda . Kita bergerak sepantas tenaga yang dimiliki , kita merancang serancak kecerdasan yang ada pada aqal sang muda . Kita sahut cabaran musuh yang mahu melihat generasi ini musnah dan hanyut dengan pelbagai ideologi dan kegiatan tajaan mereka dengan jiwa yang besar dan cekal . Tidak mengalah biar ditawar segala keseronokan dan kepuasan justeru kita memahami bahawa segalanya itu hanyalah fatamorgana .

9. Kita tidak punya banyak masa untuk saling harap mengharap antara satu sama lain , demikian juga kita tidak cukup waktu untuk saling tuding menuding antara satu sama lain . Apa yang terbentang dihadapan kita ialah jalan untuk kita berlari laju meninggalkan sempadan lama yang kian binasa .

10. Marilah kita sama - sama bergandingan dan berjuang menuntut perubahan . Gandingan kita semua anak muda akan meringankan beban tugas berat dan kerja yang mencabar untuk membina tamaddun yang baru ini . usah leka dan lalai lagi . Usah asyik dan alpa lagi . Jom Bersama Pemuda , Orang Muda Geng Kita !

Wednesday, August 12, 2009

Futsal Padang 2009

Pertandingan Futsal Padang di adakan di Padang Bola Kg Mengabang Lekar Batu Rakit semalam, sabtu 8 Ogos 09, anjuran Lujnah Sukan Dewan Pemuda PAS Kawasan Setiu dengan kerjasama Penyelaras Pemuda DUN Batu Rakit.

Permainan sehari suntuk itu mendapat sambutan sangat menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 30 pasukan. Itupun apabila pihak penganjur menghadkan hanya 2 pasukan daripada satu cawangan sahaja kerana faktor masa dan format pertandingan.
Pasukan juara, Padang Polis A dan Naib juara Lingai B bergambar dengan penyampai hadiah, selepas menerima hadiah masing-masing.
Sempat berucap sedikit sebelum penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Hadiah Cabutan bertuah kepada pengunjung turut di sediakan.
Ketua Pasukan yang menjadi Naib Juara, Lingai B sedang menerima hadiah berupa wang tunai dan medal.

500 PEMUDA TERENGGANU BERSEDIA KE PERMATANG PASIR

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT) akan mengerahkan sekurang-kurangnya 500 pemuda Pas seluruh Terengganu untuk bertugas di Pilihanraya Kecil Permatang Pasir bermula 17(Penamaan calon) hingga 25 Ogos 2009(Hari pengundian) nanti.http://www.buletinonline.net/images/stories/berita8/kepimpinanpemudapasterengganu.jpg


Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata jumlah tersebut adalah melibatkan lapan Dewan Pemuda Pas Kawasan dalam negeri Terengganu.

”Pemuda dari lapan kawasan di Terengganu dan Jabatan Pilihanraya Pemuda negeri sudah bersedia untuk menerima arahan dari Dewan Pemuda Pas Pusat untuk bertugas di sana bila-bila masa sahaja,

”jumlah itu merupakan angka rasmi yang melibatkan kerahan melalui Dewan Pemuda Pas Kawasan daripada Besut hingga ke Kemaman”katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini. (Gambar - Ustaz Mohd Nor, tiga dari kiri, bersama kepimpinan pemuda PAS Terengganu)


Beliau berkata jumlah tersebut mungkin lebih besar dan melebihi sasaran berdasarkan isu-isu semasa yang berlaku akhir-akhir ini.

Ia adalah kerana, katanya, mereka mungkin pergi secara sukarela dengan rombongan masing-masing, sebagaimana kehadiran mereka menyertai beberapa pilihanraya kecil sebelum ini seperti Pilihanraya Kecil Permatang Pauh, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Manek Urai.

Dalam perkembangan sama, Ustaz Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu Kawasan Bukit Payung, yakin PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat

akan mengalahkan Barisan Nasional dan sekali lagi meraih kemenangan.

“Kami (DPPNT) percaya pilihanraya kecil kali ini sekali lagi UMNO dan Barisan Nasional akan kalah,

“InsyaAllah, calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat akan menang dengan majoriti undi bertambah atau sekurang-kurangnya kekal pada angka 5000 undi,”katanya

Sunday, August 9, 2009

3j Murid Rugi Jika Teruskan PPSMI

PERTH 8 Ogos - Dianggarkan tiga juta murid akan keciciran dalam penguasaan bahasa Inggeris jika dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak dimansuhkan.

Ketika menjelaskan sebab kerajaan tidak meneruskan dasar itu kepada 1,000 pelajar Malaysia di sini malam tadi, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemansuhan itu mengambil kira ketidakupayaan majoriti murid menguasai bahasa Inggeris semasa mengikuti dua subjek berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri turut menarik perhatian mengenai kunjungannya ke sebuah sekolah di Senawang, Negeri Sembilan sebelum ini dengan melihat sendiri praktis pembelajaran PPSMI di sebuah kelas di situ.

''Apabila guru menyoal dalam bahasa Inggeris, pelajarnya tidak faham dan setelah ditanya apakah bahasa yang dia ingin ditanya, jawab pelajar itu adalah lebih mudah dalam bahasa Malaysia.

''Jadi, kalau pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menggunakan bahasa ibunda mereka untuk PPSMI, mengapa pula sekolah kebangsaan perlu menjawab dalam bahasa Inggeris," katanya.

Beliau yang dalam lawatan kerja lima hari ke Australia mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di Pusat Pameran Konvensyen Perth (PCEC).

Menurut Muhyiddin, beliau menyedari keputusan memansuhkan PPSMI itu bukan tindakan popular.

''Namun, kita kena fikirkan masa depan 500,000 pelajar. Kalau dalam setahun, sebahagian tidak faham langsung, maka dalam tempoh enam tahun sahaja, jumlahnya mencapai tiga juta murid.

''Kalau hendak diteruskan juga, anda boleh bayangkan akan hasilnya dan ia tentu beri kesan buruk kepada Malaysia.

''Saya tahu ada pihak menyatakan keputusan ini (mansuhkan PPSMI) tidak popular sebab sebilangan kata mampu ikut tetapi (realitinya) sebahagian besar pelajar tidak mampu," katanya. - MINGGUAN

* Ketika rakyat turun berdemo membantah PPSMI haru tu, mereka telah di tangkap dan di serang dengan gas dan air asid. Kini menteri sendiri mengakui bahawa PPSMI sangat merugikan sebagaimana pandangan rakyat. Begitu juga dengan ISA. Walaupun sekarang mereka masih mempertahankan untuk meneruskan ISA, sampai satu masa nanti ( mungkin ketika nasi sudah menjadi bubur? ) mereka akan terpaksa akur betapa zalimnya ISA ( sebagaimana pengakuan Pak Lah setelah tidak lagi jadi Perdana Menteri ). Nasib kita berada di bawah kerajaan yang sentiasa merugikan rakyat dalam semua perkara.... Dan bilalah pula rakyat umum akan sedar dan menolak kerajaan seperti ini dan memberi peluang kepada Islam pula memerintah.

Futsal Padang Pemuda DUN Batu Rakit

Pertandingan Futsal Padang di adakan di Padang Bola Kg Mengabang Lekar Batu Rakit semalam, sabtu 8 Ogos 09, anjuran Lujnah Sukan Dewan Pemuda PAS Kawasan Setiu dengan kerjasama Penyelaras Pemuda DUN Batu Rakit.

Permainan sehari suntuk itu mendapat sambutan sangat menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 30 pasukan. Itupun apabila pihak penganjur menghadkan hanya 2 pasukan daripada satu cawangan sahaja kerana faktor masa dan format pertandingan.
Pasukan juara, Padang Polis A dan Naib juara Lingai B bergambar dengan penyampai hadiah, selepas menerima hadiah masing-masing.
Sempat berucap sedikit sebelum penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Hadiah Cabutan bertuah kepada pengunjung turut di sediakan.
Ketua Pasukan yang menjadi Naib Juara, Lingai B sedang menerima hadiah berupa wang tunai dan medal.

‘ISA’ MESTI DITENTANG HABIS-HABISAN

Dr. Azman menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan ibu tunggal

Oleh Wartawan Buletinonline
SETIU
- Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah digunakan oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) demi survival politik mereka dengan menangkap dan menahan rakyat tanpa bicara.

Ketua Penerangan PAS Setiu, Dr. Azman Ibrahim berkata, penahanan tanpa bicara itu menumpahkan air mata anak-anak dan isteri-isteri yang tidak berdosa lantaran suami mereka dikurung di balik jeriji Kem Tahanan Kemunting.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Setiu berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Penyampaian Sumbangan kepada ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim DUN Jabi di Pejabat Majlis Tindakan DUN petang semalam.

”tidak pernah dibuktikan apa kesalahan yang mereka lakukan, dan mereka (yang ditahan)tidak pernah diberi peluang untuk membela diri,

”isteri-isteri yang ditinggalkan menempuh kesukaran hidup tanpa suami di sisi membesarkan anak-anak,

”sementara anak-anak pula ditinggalkan tanpa kasih sayang seorang ayah yang sepatutnya berada di sisi mereka memberi bimbingan dan tunjuk ajar,”ujarnya.

Oleh itu, beliau berkata akta draconion mesti ditentang habis-habisan sehingga tiada lagi yang akan menjadi mangsa kezalimannya.

Ketika dihubungi petang semalam, Dr.Azman yang juga bekas calon PAS bagi DUN jabi pada pilihanraya umum lalu berkata, majlis yang diadakan semalam merupakan acara tahunan DUN Jabi setiap kali menjelang Ramadhan.

Katanya, ia diadakan dengan matlamat untuk mewujudkan rasa bersama dengan saudara seperjuangan yang tidak bernasib baik.

”Walaupun sumbangan yang mampu diberikan tidak seberapa, tetapi ini antara wadah kemasyarakatan yang tidak pernah dilupakan dalam rangka merapatkan lagi ukhuwwah dan rasa prihatin dalam berjamaah,”jelasnya.

Beliau berkata, majlis itu telah dihadiri oleh kira-kira 120 orang anak-anak yatim, balu-balu serta ahli jawatankuasa muslimat DUN. Turut hadir adalah Ketua muslimat DUN Hajjah Fatimah Jusoh.

Thursday, August 6, 2009

Kemiskinan di Setiu

Anak ponteng sekolah kerana miskin

PERMAISURI - Sepasang suami isteri di Kampung Besut, di sini, buntu memikirkan masa depan anak mereka kerana tidak mampu menyediakan wang secukupnya bagi membolehkan mereka bersekolah, malah salah seorang daripadanya kerap ponteng bagi memberi laluan kepada adik-beradik lain menuntut ilmu.

Bagi keluarga Azaman Jambol, 41, walaupun anaknya mendapat bantuan biasiswa dan pembiayaan yuran daripada kerajaan, na�mun seorang anaknya kerap tidak hadir ke sekolah kerana masalah kemiskinan.

“Kami tidak dapat memenuhi keinginan semua anak untuk ke sekolah dan mahu atau tidak, kami terpaksa mengutamakan anak yang akan menghadapi peperiksaan kerana tiada wang,” kata isteri Azaman, Sanisah Mohd Nor, 38.

Sanisah, ibu kepada 10 anak berkata demikian sebagai mewakili suaminya Azaman, seorang buruh tanpa pendapatan bulanan tetap ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya.

Sanisah berkata, suaminya sering berpindah dan meninggalkan mereka kerana bekerja sebagai pekerja kontrak di ladang kelapa sawit sekitar negeri ini, dan dengan pekerjaan itu, pendapatannya cukup makan sahaja.

Menurutnya, suaminya juga pernah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan bersesuaian menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tiga bulan lalu untuk meringankan beban mereka.

“Bagaimanapun, permo-honan ditolak kerana tiada sokongan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.

“Jika tidak kerana miskin, suami saya tidak akan memohon bantuan itu, tambahan pula anak mendapat biasiswa dan sering diberi perhatian untuk menerima bantuan lain termasuk pakaian serta wang sagu hati,” katanya.

Bagaimanapun, katanya mereka tidak sampai hati melihat seorang anak, Mohd Sharul Azlan, 13, yang terpaksa duduk di rumah.

“Sharul terpaksa ponteng sekolah hampir setiap minggu kerana tiga kakaknya, Nor Farahim, 15, Nor Azwani, 17, dan Nor Azlainie, 19, lebih memerlukan wang belanja sekolah.

“Ketiga-tiganya akan menduduki peperiksaan penting pada tahun ini,” katanya yang masih berharap JKKK menyokong permohonan bantuan itu, selain mengharapkan JKM turun padang melihat sendiri keadaan mereka.

Sinar Harian cuba menghubungi Pengerusi JKKK Kampung Besut, Nik Dahlia, bagi mengetahui mengenai kedudukan sebenar status permohonan keluarga itu, namun beliau gagal dihubungi.

Kenyataan Ketua Dewan Ulama' Pusat

Pas tetap pertahan perjuangan Islam

SHAH ALAM - Pas akan tetap mempertahankan prinsip Islam dalam sebarang isu yang melibatkan kepentingan agama dan adalah perlu rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) memahami perjuangan yang dibawa oleh Pas.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, saranan yang dibuat oleh Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali supaya Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu digugurkan jawatannya berhubung isu arak adalah tepat berdasarkan keadaan semasa.

“Jika ia melibatkan kepentingan Islam Pas, kami tidak akan berkompromi. Bagai:manapun jalan penyelesainya adalah mengikut kaedah yang betul melalui pendekatan perbincangan yang memuaskan hati semua pihak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan Hasan yang jugaPengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan kemudahan Awam supaya Ronnie digugurkan dari jawatannya ekoran campur tangan dalam isu penjualan arak di negeri tersebut.

Mengulas lanjut, Harun yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu berkata, terpulang kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menentukan kewajaran sama ada Ronnie perlu dilucutkan jawatan berdasarkan tindak tanduk yang diambil.

“Saya tidak boleh kata Ronnie perlu letak jawatan, kita berada jauh dari situasi tersebut, tetapi saya percaya PR mempunyai jalan tersendiri untuk menyelesaikan masalah ini melalui pendekatan perbincangan,” katanya.

Bagaimanapun Harun menjelaskan konflik yang berlaku di negeri Selangor hanya melibatkan individu dalam DAP yang tidak memahami asas perjuangan yang dibawa oleh Pas dan PR.

Sehubungan itu, beliau percaya isu tersebut akan dapat diselesaikan melalui jalan permuafakatan yang adil supaya tidak merenggangkan hubungan dalam PR yang sudah terjalin selama ini.

Monday, August 3, 2009

Rusuhan Polis



Ketika menonton filem Hang Tuah ketika masih remaja dahulu, pada babak Hang Tuah berjaya merampas keris tamingsari daripada Hang Jebat, Hang Tuah telah melemparkan keris lain yang di pakainya kepada Hang Jebat. Saya bertanya kepada orang yang lebih dewasa, mengapa tidak dibunuhnya terus Hang Jebat yang tidak bersenjata ketika itu. Lalu di jawab bahawa membunuh orang yang tidak bersenjata bukanlah pahlawan sejati dan tidak bermaruah. Hanya pengecut dan orang bacul sahaja yang mengalahkan musuh yang tidak bersenjata sedangkan dia memiliki senjata.

Ketika melihat rusuhan polis di Kuala Lumpur kemarin, apa yang saya fikirkan betapa bodoh dan baculnya polis yang lengkap bersenjata memukul serta menangkap dengan sangat kasar peserta Himpunan Mansuh ISA. Bukan lagi melihat dengan mata, bahkan saya alami sendiri. Sahabat di sebelah saya di terajang sehingga lebam dan terseliuh urat belakang. Seorang tua di depan saya di tarik sekuat hati sehingga tersembam di tanah. Tangan saya di pijak dengan kasut yang keras dan di putarkan.

Tidak ada seorangpun antara kami yang melawan kecuali mempertahankan diri. Bahkan saya percaya jika di tanya 50 ribu peserta himpunan itu, tidak ada seorangpun di kalangan kami yang datang untuk melawan polis. Tidak ada yang bawa walaupun sekecil-kecil senjata. Apa yang saya perhatikan, kalaupun ada persediaan, mereka hanya bawa tuala dan air serta garam yang di percayai jika terkena gas pemedih mata akan dapat mengurangkan rasa pedih tersebut.

Ketika solat maghrib di surau tempat tahanan, di kompleks FRU di Ceras, saya melihat polis ramai yang solat bersama. Dan memang surau itupun terletak di tingkat bawah flat kediaman polis. Bahkan saya perhatikan polis yang solat di sebelah saya solat sangat khusyuk, bahkan mungkin lebih khusyuk berbanding sebahagian kami.

Itu yang menghairankan saya. Mungkin polis yang memukul orang ramai di tempat perhimpunan adalah polis lain yang tidak solat? Saya percaya itu adalah polis yang sama, kerana saya bersolat itu di kompleks FRU yang di tugaskan memukul kami di tempat perhimpunan tadi. Bahkan menjelang maghrib kelihatan trak water canon dan segala kenderaan yang di gunakan menggempur himpunan tadi pulang ke tempat kami di tahan itu.

Mereka telah di latih sebegitu ganas, memukul, memaki dengan bahasa yang tak sanggup di dengar bahkan mungkin membunuh sekalipun. Dan orang yang mereka pukul dan maki tadi bersolat bersama mereka dan sebahagian mereka yang datang lewat berimamkan peserta himpunan yang menjadi imam setelah jemaah awal selesai solat.

Kita melihat dalam media bagaimana ganasnya polis Yahudi membantai ummat Islam di Palestin. Walaupun sebahagian pemuda Palestin tidak bersenjata, cuma menggunakan batu, tetapi sebahagian lagi memang melawan dengan senjata juga. Jika askar yahudi di lihat menggunakan senjata yang lengkap, memang ada munasabahnya. Tetapi dengan gaya yang hampir sama dengan askar yahudi, lengkap bersenjata, menggempur peserta himpunan yang tidak memiliki walaupun seketul batu sebagai senjata, adalah suatu yang tidak boleh di fikirkan oleh akal yang waras. Bahkan kadangkala sangat melucukan.

Perasaan yang bercampur baur antara pelik, lucu, sedih, benci, marah dan segala macam perasaan apabila melihat dan mengalami peristiwa di Kuala Lumpur kemarin. Kalau ganasnya askar Yahudi memang boleh di fahami kerana membantai penduduk orang berlainan bangsa dan agama dengan mereka. Tetapi apabila polis yang sama-sama solat, melakukan tindakan yang hampir sama dengan askar Yahudi itu, kita tak mampu nak ucapkan apa-apa lagi kepada mereka.

Hanya kerana di arah? Siapa yang mengarah mereka? Juga orang yang mengaku Islam yang menjadi Menteri Dalam Negeri dan Juga Ketua Polis Negara. Tidak ada hati perutkah mereka?
Ataupun ketika bertugas dan mendengar arahan tidak perlu lagi di ambil kira soal agama dan bangsa? Dalam surau sahaja ada agama?

Berbagai persoalan yang timbul memberikan satu pengalaman baru kepada saya. Pertama kali berhadapan sendiri keganasan polis, di pukul dan di rentap masuk ke dalam trak orang salah, berada di tempat tahanan adalah pengalaman yang akan mematangkan saya dalam perjuangan ini, InsyaAllah..

Followers