Wednesday, July 15, 2009

Menang dengan Majoriti Kecil

Calon PAS Haji Fauzi Abdullah diisytiharkan menang dengan majoriti 65 undi. Fauzi memperolehi 5348 undi, calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 5283 undi. Sejumlah 90 undi rosak. Jumlah keseluruhan undi ialah 10,722 atau 87.22 %.

Kemenangan PAS memang di jangkakan namun jumlah majoriti yang kecil ini menimbulkan persoalan setelah melihat begitu yakinnya pimpinan khususnya JPN Kelantan menghadapi PRK ini. Apatah lagi sehingga pukul 3 petang apabila tempoh pengundian hampir tamat semalam, Pengarah PRK, YB Fatah Haron masih lagi melaungkan keyakinan dengan menyatakan kita AKAN menang dengan majoriti hampir 2000.

Ust Nasarudin Tantawi dalam ulasan awalnya mengaitkan dengan peristiwa Hunain apabila tentera Islam berada dalam keadaan terlalu yakin menyebabkan kekalahan peringkat awalnya di pihak Islam.

Walaupun kita menang di MU, ia tetap di lihat gagal meneruskan momentum kemenangan daripada rentetan PRK selepas Mac 08 yang kita menang kesemuanya dengan pertambahan majoriti. Di samping kawasan yang kita pertahankan kemenangan di Permatang Pauh, di Bukit Selambau, di Bukit Gantang seterusnya Penanti, bahkan kawasan yang kita berjaya rampas kerusi tersebut daripada UMNO di Kuala Terengganu. Kesemuanya berlaku pertambahan undi dan majoriti yang ketara.

Ada pimpinan PAS Kelantan cuba menutup kekurangan undi itu dengan mengatakan berlaku rasuah dan pembelian undi yang ketara di kalangan pengundi oleh BN. Persoalannya bila pula BN tidak menggunakan kaedah itu dan adakah di PRK sebelum ini tidak berlaku pembelian undi? Bukankah kita juga yang mengungkapkan selama ini bahawa UMNO dengan rasuah adalah sinonim dan hidupnya UMNO itu adalah dengan rasuah?

Sepatutnya kita mengakui kelemahan diri dan tidak terlalu angkuh dengan kemenangan yang di kurniakan Allah. Panjangnya usia pemerintahan bukan bermakna hebatnya kita, bahkan itu adalah peluang yang di beri Allah untuk menguji kesungguhan melaksanakan perintahnya.

Usia lebih 50 tahun pemerintahan UMNO di negara kita yang masih mengguna pakai perlembagaan penjajah, walau atas nama kemerdekaan tidak boleh di jadikan alasan bahawa Allah meredhai pemerintahan itu. Selagi Undang-Undang Islam belum di laksanakan, maka tetap wajib keatas setiap orang yang beriman berusaha dan berjuang bagi memastikan hukum Islam di jadikan Hukum rujukan tertinggi dalam negara.

Begitu juga usia kemenangan PAS di Kelantan bukanlah satu tiket kepada kita mendabik dada kehebatan kita mempertahankannya, walaupun banyak perubahan di lakukan, tetapi sehingga 20 tahun ini masih belum berjaya meletakkan hukum tertinggi Kerajaan Kelantan adalah bersumberkan Islam. Islam hanya menjadi dasar PAS tetapi perlaksanaan hukum tersebut masih belum berjaya sepenuhnya melalui kerajaan.

Walaupun kegagalan itu berpunca daripada halangan apa sekalipun tetapi selagi Undang-Undang Islam belum berjaya di laksanakan sepenuhnya, maka kewajipan perjuangan kita belum tamat. Kita boleh beralasan bahawa perlaksanaan hukum Islam adalah berdasarkan kemampuan semasa. Itulah juga yang menjadi alasan kepada UMNO untuk tidak melaksanakannya di peringkat negara.

Demi mempertahankan kuasa pemerintahan, perlaksanaannya perlu di tangguh kepada satu masa yang sesuai apabila tidak ada lagi halangan-halangan di hadapan? Bila halangan itu akan hilang jika ianya tidak di rempuh, walaupun risiko rempuhan itu adalah kecederaan dan kehilangan? Perjuangan kita adalah untuk memerintah dan melaksanakan Islam bukan semata-mata menguasai kerajaan dengan memperolehi segala peluang yang lain melalui penguasaan itu.

PRK Manik Urai telah berlalu dengan kemenangan berpihak kepada kita. Kita tetap bersyukur kerana dalam keadaan apa sekalipun kemenangan adalah sangat perlu kita capai bagi menjulang Islam. Walaupun ianya tidak menjejaskan kedudukan dalam DUN, tetapi tidak sekali-kali kita akan beri peluang UMNO untuk meneruskan kerja jahat mereka merosakkan Aqidah ummat ini dengan penolakan mereka kepada Islam.

Kepada pimpinan, di harapkan selepas postmortem menyeluruh di buat, baiki dan kemaskan semula saf kita. Satukan balik fikrah, tautkan kembali ukhuwwah. Jangan ada lagi selepas ini berlaku Timbalan Presiden di halang menyertai mana-mana gerak kerja parti. Bahkan di MU baru ni, Presiden sendiripun hampir di halang sama. Adalah sangat memilukan pendokong parti apabila keretakan itu di dedahkan dengan begitu ketara.

Peristiwa pemecatan Khalid Al Walid daripada jawatan Panglima Perang sewajarnya di ambil iktibar. Apabila timbul tanggapan kemenangan yang di capai oleh tentera Islam secara besar-besaran ketika itu di sebabkan oleh Khalid, maka Saidina Omar mengambil langkah menukar Panglima Perang. Bukan di sebabkan benci kepada Khalid, tetapi kerana mahu menjaga kemaslahatan Ummah, supaya tidak berlaku pemujaan terhadap individu.

No comments:

Followers