KOTA BAHARU - Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata parti itu tetap akan melaksanakan hukum hudud walaupun ada tentangan daripada pihak lain termasuk anggota pakatan pembangkang iaitu DAP.
  
Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan berkata semua pihak telah mengetahui hasrat PAS berhubung pelaksanaan hukum hudud terutama di negeri ini.
  
Beliau berkata tiada sebab PAS tidak melakukan sesuatu yang dianggap untuk kepentingan agama walaupun ada pihak yang tidak bersetuju.
  
"Rasanya saya tak perlu sebut kali kedua, kerana ia (cadangan itu) sudah lama dah, semua orang tahu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
  
Beliau ditanya mengenai kedudukan PAS dan DAP yang nampak tidak sehaluan dan berbeza pendapat mengenai dasar negara Islam dan hukum hudud.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Karpal Singh dilaporkan meminta pemimpin PAS supaya tidak terus membangkitkan isu negara Islam yang boleh merencatkan kemaraan pakatan pembangkang ke Putrajaya.
  
Nik Aziz berkata jika hukum gantung boleh diterima semua pihak, maka tidak ada sebab hukum hudud tidak boleh diterima.
  
"Pelik apa kalau ambil hudud, bukankah di Malaysia ini ramai orang kena hukum gantung. Hukum gantung menyebabkan isteri dia (pesalah) jadi bujang (janda), anak jadi anak yatim, keluarga kehilangan tempat bergantung.
  
"Tapi hudud tak matikan orang, nak kerat (potong) tangan pun letak bermacam-macam syarat," katanya. - Bernama

sumber : http://www.sinarharian.com.my/politik/nik-aziz-tetap-pertahan-laksana-hudud-1.70083