Sunday, July 26, 2009

Blog Kedai Kopi

"Pak Awie... nak ke mana tu?" saya menyapa seorang tua yang melalui jalan di depan rumah. Kebetulan pagi kemarin saya sedang merapikan pokok-pokok hiasan yang telah menjadi semak di sepanjang pagar rumah saya.

Soalan tersebut sememangnya telah di ketahui jawapannya. Itulah rutin setiap pagi Pak Awie, jiran yang tinggal di hujung lorong rumah saya. Pak Awie akan melalui rumah saya dengan berjalan kaki sejauh hampir 2 kilometer, keluar untuk bersarapan di kedai kopi dalam kampung. "Bukan banyakpun makanan yang di makan," kata pak awie. "Paling banyakpun secawan teh, dua ketul kuih. Boleh je kalau suruh cucu belikan. Tapi kalau tak pergi sendiri kedai kopi, tak boleh" tambahnya lagi.

Pak awie telah tua sebenarnya, dah bongkokpun. Tetapi kebiasaan ke kedai kopi menyebabkan pak awie menggagahkan diri yang uzur berjalan sejauh itu. "Kalau tak ke kedai kopi setiap pagi rasa kosong je hari tu. Tak tahu apa-apa perkembangan yang berlaku di sekeliling kita." kata pak awie.

Itulah dunia blog orang kampung, bahkan pekan-pekan kecil juga. Segala perkembangan yang berlaku dalam kampung dan sekelilingnya dapat di ketahui dan di ikuti di kedai kopi. Itulah pusat maklumat utama mereka. Bukan mereka tak tengok tv, baca surat khabar. Bahkan sebahagian mereka adalah pengikut tetap berita tv pada malamnya, sehingga tertinggal kuliah di surau masjid kerana nak tengok berita jam 8. Itulah yang akan menjadi modal untuk perbahasan pagi esoknya.

Kebiasaannya kedai kopi yang menjadi tumpuan apabila ada seorang dua pembahas-pembahas atau penyampai berita yang popular. Apabila orang seperti ini ada dalam kedai tersebut, maka adalah pula penyampuk dan penambah resepi menjadikan riuh rendah dengan pelbagai isu. Daripada isu artis sehinggalah isu pemilihan Presiden Amerika. Termasuk juga segala isu yang berlaku dalam kampung tersebut.

Biasanya isu-isu politiklah yang sering di perdebatkan. Bukan apa, kerana isu politik biasanya isu pertembungan antara parti-parti. Apabila timbul isu politik biasanya akan panas, lebih-lebih lagi jika ada dua pihak bertentangan. Bertepuk meja dan meninggikan suara adalah biasa dapat di lihat dalam keadaan itu.

Selesai satu dua isu, merekapun pulang dengan rasa puas. Atau kalau yang tidak bekerja pagi tu, sehingga jam 10 atau 11 pagi baru pulang.

Kalau golongan profesional atau orang bandar besar, biasanya maklumat mereka perolehi melalui blog-blog internet, tetapi bagi orang kampung dan golongan pertengahan, kedai kopilah blog mereka......

Bagi ahli politik pula kedai kopi adalah tempat untuk berjumpa dengan orang ramai. Adalah penting juga bagi pemimpin masyarakat, walaupun daripada golongan ustaz untuk menjengok kedai kopi walaupun sekali sekala. Walaupun kadang kala sembang kedai kopi terlalu berlebihan dan melampau-lampau, tetapi imej pemimpin kadang kala di tentukan oleh kedai kopi. Pemimpin yang tidak jengok kedai kopi di katakan sombong dan tidak peduli rakyat dan perkara tersebut jika di ulang berkali-kali oleh persidangan di kedai kopi, ia akan memberi kesan kepada sokongan umum kepada pemimpin tersebut.

Oleh itu kepada mana-mana ahli politik dan juga pimpinan masyarakat perlu menggunakan medium blog kedai kopi untuk meningkatkan imej dan sokongan rakyat bagi parti yang mereka wakili lebih-lebih lagi bagi pejuang Islam. Tonjolkan imej Islam dan pastikan kecenderungan publik kedai kopi memihak kepada Islam melalui peribadi kita... bukannya memihak kepada individu melalui parti kita.

No comments:

Followers