Wednesday, July 8, 2009

Bila Pas Bermain Politik Sesama Sendiri

oleh : Mohd Sayuti Omar

APAKAH kebenaran dan kejujuran juga sudah terhakis dalam Pas? Di manakah ajaran dan prinsip Islam yang menuntut seseorang itu berkata benar! Berkata benarlah meskipun pahit! Itu adalah ajaran Islam yang didokong dan diperjuangkan oleh Pas. Kalau orang-orang Pas juga tidak mempraktikan itu maka Pas juga sama dengan parti lain yang dituduh macam-macam oleh Pas.

Semalam apabila Pengarah Pilihan Raya Pas Manik Urai merangkap Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN), Abdul Fatah Haron mengatakan dan menjelaskan ketiadaan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa pada hari penamaan calon dan tidak menjejak kaki ke Manik Urai sehingga hari ini adalah kerana 'malu mata', adalah sungguh menyesalkan sekali.

Menurut Fatah ketiadaan Nasharudin itu kononnya atas kehendak Nasharuddin sendiri dan tidak ada siapa yang melarangnya untuk datang. Sebagai seorang pemimpin parti Islam dan besan kepada Mursyidul Am Pas, kenyataan dan penjelasan Fatah itu sungguh memalukan dan songsang.

Apakah untung dan labanya kalau Fath menceritakan hal dan sebab sebenar kenapa Nasharudin tidak muncul di Kuala Krai dan Manik Urai. Usahlah melindungi sesuatu yang bersifat ianya berbau kerana lama kelamaan ia akan dihidu juga oleh orang ramai suatu hari nanti.

Apa salahnya Fatah menceritakan hakikat sebenarnya bahawa ketiadaan Nasharudin itu adalah kerana adalah atas kehendak Pas sendiri. Tidak timbul soal 'malu mata' dalam soal ini. Sebagai seorang pejuang Islam tidak berlaku itu kepada Nasharuddin saya rasakan.

Dari maklumat yang sampai ke telinga saya, ketiadaan Nasharudin itu adalah atas kehendak Pas Kelantan sendiri. Dalam mesyuarat Badan Perhubungan Pas pada 25 Jun telah memutuskan untuk tidak membenarkan Nasharudin hadir pada hari penamaan calon atau diharamkan menjejak kaki di Manik Urai hingga selesai pilihan raya kecil itu.

Bukankah Fatah sendiri atas sifatnya sebagai Pengarah JPN Kelantan, sebagai ketua Pas Kawasan Rantau Panjang dan merangkap sebagai besan kepada Nik Abdul Aziz Nik Mat turut sama berada dalam mesyuarat berkenaan. Mustahil kalau Fatah tidak faham dengan arahan dan order yang ditetapkan dalam mesyuarat berkenaan.

Fatah perlu menjelaskan kesilapan kenyataan itu. Kenyataan Fatah itu bersifat cuba memburuk atau menambahkan lagi keburukan kepada Nasharudin. Sebagai parti mengaku mengamalkan prinsip Islam cara itu tidak baik. Fatah kena ralat kenyataan itu dan menceritakan hakikat sebenarnya. Janganlah menimbulkan kekeliruan sesama sendiri.

Tidak salah kalau Fatah memberi tahu apa yang diputuskan. Nik Aziz juga tidak akan marah, malah saya rasa Tok Guru itu suka kerana mesyuarat itu dipengerusikan olehnya sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan. Ahali-ahli Pas yang membenci Nasharudin juga akan suka dengan tindakan dan keputusan Pas Kelantan itu. Jadi kenapa harus bermain politik disebalik arahan dan keputusan itu?

Janganlah Pas juga hendak terus berpolitik sesama sendiri. Ahli yang cetek pengetahuan dan hanya mengharap maklumat dari cakap-cakap di bawah akan keliru dengan tindak tanduk dan sikap Fatah itu. Lebih teruk lagi ahli akan menyalahkan Nasharudin. Cara Fatah jelaskan itu seakan hendak memburukkan Nasharuddin. Ya kalau benci kepada Nasharudin kenapa harus diperpanjangkan.

Apakah situasi demikian tidak boleh disamakan dengan satu fitnah mentah-mentah kepada Nasharuddin. Semua orang beriman dengan Muhammad s.a.w. tahu hukum fitnah!

Saya percaya kalau tidak ada larangan itu Nasharudin akan muncul di Kuala Krai dan turut bertungkus lumus di Manik Urai. Tetapi kerana ada larangan demikian, beliau tentu sekali mendiamkan diri dan memerhati pilihan raya itu dari juah atau menerusi blog kerana menghormati larangan berkenaan.

Jadi di sini soal Nasharuddin tidak muncul di Manik Urai kerana malu mata itu tidak timbul. Saya juga difahamkan keputusan melarang Nasharudin itu disampaikan sendiri kepadanya. Pas Kelantan telah menghantar tiga wakil bagi memaklumkan perkara itu kepada Nasharuddin. Kenapa sampai tiga wakil, berat sangat kes ini?

Kalau dihantar seorang wakil pun sudah memadai. Atau kalau memaklumkan keputusan itu dengan telefon pun cukup. Nasharudin bukan seorang yang keras pedal dan sukar untuk diajar. Dia tahu di mana bumi dipijak dan di mana langit dijunjung. Nampaknya apa yang Pas Kelantan lakukan terhadap Nasharudin langsung tidak menghormati Nasharudin sebagai Timbalan Presiden Pas.

Pas Kelantan janganlah 'manggak' sangat. Jangan kita bermegah dengan kekuatan kita. Kalau Allah s.w.t. nak balikkan sesuatu itu cukup dia hanya mengatakan 'kun fayakun' saja, maka jadilah. Saya bimbang dengan pergolakan dan politiking di dalam Pas kini akhirnya menyebabkan Pas Kelantan dihadiahkan musibah tidak terhingga oleh Allah s.w.t. Dan kalau Pas sudah tidak suka kepada Nasharudin nyatakan kepadanya dan biarlah keputusan itu istiqamah. [jln pahang 10:45 am 08/07/09]

No comments:

Followers