"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta"
Maksud Ayat 2 & 3 Surah Al Angkabut
Banyak ayat Al Quran berkaitan kisah perjuangan Nabi dan Rasul terdahulu untuk di jadikan panduan kepada Ummat Muhammad. Jerih perit sepanjang jalan dakwah adalah rutin yang di lalui oleh semua mereka yang bernama pejuang.
Kita hidup di zaman yang semakin jauh dengan kurun terbaik dalam sejarah manusia, iaitu zaman hidupnya Nabi Muhammad dan Sahabat-Sahabat baginda. Kita semakin menghampiri pula apa yang di sebut sebagai masa hancurnya dunia dan kebangkitan semula manusia yang di kenali sebagai hari Qiamat.
Di akhir zaman ini pula telah banyak ingatan yang di berikan oleh baginda Rasul melalui hadis yang di riwayatkan oleh mereka yang amanah, tentang peristiwa-peristiwa yang akan berlaku dan sedang berlaku kini serta panduan bagaimana untuk ummat Islam hadapi bagi menjaga Islam mereka.
Selalu kita dengar ungkapan "Hidup Adalah Perjuangan". Dan itulah yang sedang kita hadapi sekarang.... perjuangan dalam kehidupan.
Apa yang terpenting sekali dalam kehidupan kita? Untuk merumuskannya secara ringkas, ianya melihat kepada matlamat akhir yang di tuju bagi sesebuah kehidupan di alam fana ini.
Kehidupan kita akan berakhir dengan kematian. Dan boleh di katakan semua agama baik agama samawi mahupun agama lain, mempercayai bahawa selepas kematian itu ada kebangkitan semula kehidupan di alam lain. Lebih-lebih lagi kita orang Islam di ajar adanya alam barzakh, alam mahsyar, titian sirat dan seterusnya syurga atau neraka.
Dengan keyakinan itu, untuk meletakkan perkara terpenting kehidupan di dunia ini adalah dengan melihat ketika jenazah kita di semadikan di dalam kubur. Apa yang akan bersama dengan kita ketika itu? Kaum keluarga dan sahabat handai yang ramai mengiringi perjalanan ke tanah perkuburan akan pulang setelah selesai doa di aminkan. Semua harta benda berupa rumah, kenderaan serta pangkat kebesaran telah di tinggalkan. Kain putih yang membalut tubuh kita itupun, adakalanya tidak di beli dengan duit kita, bukannya hak kita pun...
Yang terpenting kepada kita ketika itu adalah agama kita..... dan itulah perkara terpenting kepada kita sekarang, yang perlu diperjuangkan, di pertahan, di pegang walau apapun risiko yang perlu kita hadapi supaya agama tidak terlepas daripada kita apabila dunia ini kita tinggalkan.
Apabila kita mengatakan hidup adalah perjuangan, perjuangan kita adalah untuk mempertahankan agama. Harta benda dan kaum keluarga boleh ada ataupun tiada. Tetapi agama mesti ada bersama kita, walau terpaksa kehilangan harta mahupun keluarga. Bahkan harta dan keluarga itu adalah alat untuk memperkuatkan agama, bukannya menjadi penghalang antara kita dengan agama. Ini adalah kerana agama sangat penting, yang akan menemani kita apabila dunia ini di tinggalkan nanti.
Dalam mempertahankan agama inilah, kita akan berhadapan dengan ujian yang banyak yang menentukan samada kita benar-benar sayangkan agama ataupun hanya berbohong atau beretorik semata-mata.
Ujian Harta dan Anak-Anak
Di dalam ayat-ayat yang banyak, Allah saw menjelaskan bentuk-bentuk ujian yang perlu di hadapi oleh mereka yang mengaku beriman. Antaranya.....
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. "
Maksud ayat 9, surah Al Munafikun.
Harta dan anak-anak (keluarga) adalah dua ujian yang sangat berat untuk kita hadapi dalam kehidupan ini. Mereka boleh menjadi penghalang terbesar untuk kita mempertahankan agama. Tetapi dalam masa yang sama merekalah juga yang boleh memberikan sumbangan untuk kita memastikan bekalan agama kita mencukupi..
Ujian Hawa Nafsu
Rasulullah pernah mengingatkan tentera Islam yang pulang daripada satu peperangan bahawa ujian hawa nafsu adalah lebih berat untuk di hadapi berbanding musuh di medan perang. Hawa nafsulah yang menyebabkan lahirnya sifat-sifat buruk dalam diri kita. Sombong, dengki, malas dan sebagainya yang boleh menyebabkan kasih sayang kepada dunia melebihi persediaan untuk kematian.
Hawa nafsulah yang menjadikan kita lebih mengutamakan harta dan keluarga berbanding tugas dan tanggungjawab mempertahankan agama. Hawa nafsulah yang menjadi punca gerak kerja jemaah tidak dapat di hidupkan sepenuhnya lantaran lahirnya sifat dengki, sangka buruk sesama jemaah serta saling berebut pangkat dan kedudukan.
Ujian Jahudi dan Nasoro ( Kristian )
Dua golongan manusia yang di sebut oleh Allah sebagai musuh yang perlu di hadapi oleh ummat Islam untuk menjaga dan mempertahan serta menegakkan agama kita.
Dunia sekarang di kuasai oleh dua golongan ini. Kristian melalui kuasa besar Amerika sedang menguasai politik dunia, sedangkan Yahudi menguasai ekonomi melalui sistem riba yang menjadi amalan seluruh dunia. Dengan dua penguasaan utama ini mereka merosakkan seluruh sistem hidup manusia dengan mengawal sistem nilai menjadikan manusia tidak lagi tahu membezakan antara baik dan buruk.
Dasar pendidikan, dasar hiburan, dasar keselamatan bahkan seluruhnya di letakkan kebendaan dan nafsu sebagai tuhan yang di sembah.
Kemenangan Melalui Ujian
Apabila kita mampu berhadapan dan melalui ujian dalam perjuangan dengan tetap memegang agama sebagai panduan hakiki dalam kehidupan, walau apa harga yang perlu di bayar, samada harta benda mahupun nyawa sekalipun, maka itulah kejayaan yang sebenar.
Sebaliknya jika ujian tersebut menyebabkan langkahan perjuangan kita terhenti dengan alasan yang pelbagai, meletakkan perkara lain melebihi kepentingan agama, maka agama akan meminggirkan kita nanti. Di alam selepas mati, kita tidak akan memiliki apa-apapun lagi setelah harta yang kita pentingkan sekarang tidak lagi kita miliki, kaum keluarga yang di utamakan hari ini, tidak akan mengikut kita ke alam kubur...
No comments:
Post a Comment