“Semua benda macam ada berlapis-lapis maklumat hingga tidak pasti mana yang betul mana yang salah” tambah seorang lagi.
Mereka berdua tidak sendirian.
Ia bukan keluhan pinggiran.
Ia menjadi apa yang dirasakan ramai. Malah ia bukan sekadar rasa. Ia kenyataan.
Mengapa susah sangat hendak memahami mana yang betul, mana yang salah? Jika di suatu ketika kesusahan ini berpunca daripada kekurangan maklumat, kini kesusahan yang sama diakibatkan oleh maklumat yang berlambak. Terlalu berlambak. Tambah-tambah pula hal politik, hal ekonomi. Kalau lemah stamina untuk mencantum kepingan puzzle, mungkin jawapan akhirnya ialah, “arghh. Sama sahaja semuanya!”
Mana mungkin sama.
Kalau semua sama, itu bahasa putus asa.
Putus asa dibenci Allah dengan penuh murka.
Sesungguhnya kita sedang hidup di era tahun-tahun yang menipu. Penipuan yang tidak dapat ditunjuk siapa penipunya. Yang jelas, mangsa penipuan itu kita semua. Kecelaruan ini bukan kecelaruan main-main. Ia ujian Allah untuk umat akhir zaman. Renungi pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
“Sesungguhnya
akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si
pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat
diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah
berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat
bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang
berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]
Segalanya jadi terbalik.
Orang yang bercakap benar dianggap pendusta.
Orang yang berdusta dianggap berkata benar.
Orang yang khianat dianggap amanah.
Orang yang amanah, dikhianati.
Semua jadi terbalik.
Kalau boleh, mahu sahaja saya sarankan satu
kaedah mudah iaitu apa sahaja yang diwar-warkan oleh media, carilah
yang sebaliknya. Kebenaran ada di situ! Tetapi saya tidak boleh memandu
hidup semudah itu. Kita perlu kembali kepada kaedah. Cari panduan. Namun
isunya ialah panduan siapa?
Jika SIAPA yang jadi kaedah, siapa itu adalah lubuk masalah.
“…dan Ruwaibidhah berucap sesukanya
(yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah
Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang
urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]
Ketika kita dahagakan bimbingan, yang rancak membimbing adalah al-Ruwaibidhah.
Al-Ruwaibidhah ini, para sahabat juga tidak arif mengenainya. Mereka meminta penjelasan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
menggelar mereka sebagai AL-SAFEEH. AL-SAFEEH ini bukan sekadar orang
bodoh, tetapi si bodoh yang tidak malu untuk menzahirkan kebodohannya
melalui apa yang diucapkan. AL-SAFEEH inilah yang memberi penjelasan,
penerangan, huraian, agar manusia dapat membezakan antara yang dusta dan
benar, antara yang khianat dan amanah, antara yang batil dengan yang
hak.
Lalu dengan kebodohannya yang tersebar
dalam kepetahan, semakin bingunglah masyarakat. Semakin tertipulah orang
ramai dalam tahun-tahun yang menipu ini.
PENYELESAIAN
Saya tiada jawapan mudah.
Oleh kerana tahun-tahun yang menipu ini
adalah muqaddimah era Dajjal, maka kita perlu kembali kepada benteng
yang dibekalkan oleh Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam. Kita perlu
membaca, meneliti, menghayati dan mengangkat tinggi SUNTIKAN IMUNISASI
diri yang wujud di dalam SURAH AL-KAHF.
- (تصحيح العقيدة) Membetulkan sistem kepercayaan (Aqidah)
- (تصحيح منهج النظر و الفكر) Membetulkan metod memerhati dan berfikir (Pandangan Hidup)
- (تصحيح القيم بميزان العقيدة) Membetulkan sistem nilai dengan pertimbangan kepercayaan (Nilai)
- Apakah yang engkau percaya, dan bagaimanakah cara engkau mempercayainya?
- Bagaimanakah cara engkau memerhatikan sesuatu kejadian dan memikirkannya? Apakah pandangan hidup kamu sesuai dengan siapa kamu, siapa Allah dan apa makna kehidupan ini?
- Apakah nilai yang engkau pegang dalam hidup ini? Adakah apa yang penting di sisi Allah, penting dalam hidupmu? Apakah apa yang engkau sanggup lakukan, ia sebenar-benarnya ada harga di sisi Allah?
Tanyalah diri masing-masing, adakah aku mangsa, adakah aku pemangsa, adakah aku al-Ruwaibidhah itu, atau adakah aku calon Dajjal yang maha menyesatkan itu?
Lindungilah kami dan zuriat kami di era fitnah ini ya Allah.
“اللهم
أرنا الحق حقاً، وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلاً، وارزقنا اجتنابه،
ولا تجعله ملتبساً علينا فنضل، واجعلنا للمتقين إماما “
“Ya Allah tunjukkanlah kami kebenaran
itu sebagai benar dan kurniakan rezeki untuk kami mengikutnya. Dan
tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai batil dan rezekikanlah kami
untuk menjauhkan diri daripadanya. Jangan jadikan ia keliru terhadap
kami hingga kami tersesat, dan jadikanlah kami ikutan orang-orang yang
bertaqwa”
No comments:
Post a Comment