Tuesday, June 5, 2012

BILAKAH TARIKH PILIHANRAYA?

Add caption
Tarikh Pilihanraya Umum ke-13 masih dalam ramalan berbagai pihak.  Beginilah sifatnya demokrasi di Malaysia. BN yang berketuakan Umno mempunyai kuasa penuh untuk mewajibkan kemenanganya dengan segala cara, daripada menggunakan media sebelah pihak, menabur politik wang rasuah, menyalahggunakan duit negara, memaksa jentera kerajaan, menambah pengundi dengan pelbagai cara, sehinggalah menentukan tarikh pilihanraya.

Seluruh dunia yang menghayati sistem demokrasi yang memberi hak kepada rakyat manjadi hakim yang bebas dan adil, hanya badan bebas yang mengandalikan pilihanraya menentukan tarikh pilihanraya. Bukan sahaja dipilih tarikh paling selesa kepada rakyat dan semua parti politik yang berhak, bahkan tempoh yang lama telah diketahui umum. Ada kalangan negara telah menetapkan tarikh pilihanraya berikutnya lebih awal, sebaik sahaja  pilihanraya umum selesai diadakan. Ada juga menetapkan kemudiannya, tetapi tempoh masa yang lama diketahui umum. Hanya negara yang mengamalkan sistem satu parti sahaja memerintah, seperti negara komunis dahulu dan negara sapertinya, kerajaannya menetapkan pilihanraya dalam tempoh terdekat mengikut keselesaannya boleh mencapai kemenangan dan rakyat lebih berpeluang memilih satu parti yang telah memerintah walaupun banyak melakukan kesilapan.

Di negara kita Malaysia, kerajaan BN memilih cara yang wajib menjamin kemenangan BN selama-lamanya. Maka kerajaan BN sahaja berkuasa menentukan tarikh setelah segala persediaan untuk kemenangannya diatur. Setelah selesai mengatur penipuan, menaburkan duit rasuah kepada seluruh pengundi atau isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti lawan, juga fitnah disebarkan, maka tarikh pilihanraya barulah diumumkan.

Termasuk juga peluang musim haji yang menjadi ibadat wajib kepada penganut Islam yang merupakan pengundi terbesar. Hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan diantara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh. Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.

Beginilah nasib rakyat Malaysia sejak dahulu sehingga kini. Rakyat diulit  dengan berbagai lagu dan irama politik murahan, walaupun merosakkan akhlak ditempat yang sudah rosak dan ditayangkan lagu agama ditempat beragama, kerana sifat pragmatik Umno bersama rakannya dalam BN. Namun kita menyaksikan alam yang bersifat berubah, termasuk alam politik. Sistem kuku besi komunis yang menguasai negara kuasa besar dunia Soviet Union hancur berkecai dan berubah ke arah demokrasi, sehingga negara komunis mengubah pendekatan. Selepas itu Filipina meninggalkan Marcos dalam kenangan, diikuti oleh Suharto di Indonesia dan akhirnya negara-negara Arab yang dikuasai kerajaan tentera yang menetapkan keputusan pilihanraya sebelum pilihanraya lagi. Bahawa parti kerajaan pasti menang mencapai lebih sembilan puluh sembilan peratus. Namun negara tersebut ikut sama melakukan Islah sistem demokrasinya. Begitu juga yang terakhir di Myanmar.

Kita mengharapkan negara Malaysia yang berslogankan sopan santun, naik turun pemimpinnya juga melalui sopan santun, bukannya dengan cara memalukan. Mereka akan dikenang sejarah oleh generasi akan datang kerana sejarah tidak mampu ditipu dengan apa cara sekalipun.

PAS mengajak masyarakat Islam khasnya membetulkan imej Islam yang dirosakkan oleh Umno, atau tegasnya PAS ganti Umno, dan mengajak masyarakat semua kaum amnya bersama Pakatan Rakyat mengganti Barisan Nasional. Sekiranya kemenangan berpihak kepada kami, maka segala kerosakan sistem demokrasi yang berlaku wajib diperbetulkan. Walaupun dimasa depan rakyat menolak PAS dan Pakatan Rakyat dengan jalan yang adil disebabkan kesalahan dan kelemahan pemerintahan, tetapi bukannya dengan cara menipu yang menzalimi diri sendiri.


Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang


PRESIDEN
PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)


No comments:

Followers