KUALA LUMPUR - Sekitar 2.5 juta rakyat Malaysia yang berusia lebih 25
tahun dan mewakili 16.7 peratus penduduk negara ini, masih belum atau
tidak berkahwin.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator
Heng Seai Kie berkata, berdasarkan Bancian Penduduk dan Perumahan
Malaysia 2010, daripada jumlah itu 60.4 peratus adalah lelaki.
Bancian itu juga mendapati purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki
menurun kepada 28 tahun berbanding 28.6 pada tahun 2000, manakala bagi
wanita pula meningkat kepada 25.7 berbanding 25.1 tahun, katanya
menjawab soalan Senator Datuk Boon Som Inong.
Heng berkata Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia keempat pada 2004
yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara, mendapati 32.1
peratus daripada responden tidak pernah berkahwin.
Daripada jumlah itu, 55.6 peratus adalah lelaki, katanya dipetik Bernama.
"Sebanyak 44.7 peratus daripada responden lelaki tidak berkahwin kerana
masalah kewangan, tiada calon sesuai (19.3 peratus), kerjaya (12.8
peratus), komitmen keluarga (6.3 peratus) dan selebihnya sebab lain.
"Sebanyak 40 peratus wanita tidak berkahwin kerana tiada calon sesuai,
masalah kewangan (14 peratus), kerjaya (8.4 peratus), selesa hidup
membujang (8.4 peratus), komitmen keluarga (7.4 peratus) dan selebihnya
sebab lain," katanya.
Heng berkata, kementerian tidak bercadang mewujudkan perkhidmatan pusat
temu jodoh atau perkhidmatan temu jodoh secara dalam talian kerana
perkhidmatan itu telah disediakan swasta, pertubuhan bukan kerajaan
badan agama dan beberapa parti politik.
No comments:
Post a Comment