Sunday, November 28, 2010

Musafir Ke Kota Bharu


Khamis lepas seharian berkunjung ke Expo Cheng Ho di Kota Bharu. Sebagaimana kenyataan YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan yang mengatakan Expo tersebut berjaya, saya juga turut merasakan demikian.

Ia berjaya menarik ramai pengunjung. Penuh sesak tapak Expo dengan orang ramai pada hari tersebut. Kejayaan terbesarnya adalah menaikkan emej Kerajaan Negeri dan PAS di mata kaum lain khususnya kaum China. Saya dapati ramai orang China yang mengunjungi Expo tersebut tanpa rasa kekok. Apatah lagi bila di pamerkan sejarah kehebatan pelayaran Cheng Ho yang beragama Islam. Ia boleh membuka minda masyarakat China yang mungkin sebelum ini tidakpun mengetahui bahawa tokoh Tanah Besar China tersebut beragama Islam.

Pagi Jumaat pula sempat mengikuti kuliah di Medan Ilmu yang di sampaikan oleh Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz. Seperti biasa biarpun kuliah beliau tidak begitu panjang, tetapi banyak benda yang boleh di kutip sebagai mutiara pegangan hidup. Lebih-lebih lagi Tuan Guru baru sahaja pulang dari menunaikan Fardhu Haji dan turut sama mengajak hadirin melaungkan talbiah pada pagi tersebut.

Selepas kuliah dan menikmati ayam goreng RFC di Mall baru dekat Pasar Besar Siti Khadijah, saya bertolak pulang dengan puas meskipun ada yang dihajati dalam misi ke Kota Bharu pada kali ini tidak berhasil...

Ayuh Pemudaku Bangkit ! Kini Waktu Bekerja .


Oleh : Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi

1. Mendepani iklim politik baru , pemuda PAS mesti lebih bersedia menghadapinya dengan mempertingkatkan penguasaan ilmu agama dan ilmu politik semasa serta memberikan komitmen yang tinggi terhadap gerakkerja berorganisasi . Demikian juga tumpuan wajib diberikan kepada usaha memantapkan nilai peribadi yang solehbagi setiap anggota pemuda PAS.

2. Pemuda PAS tidak harus leka dengan pelangi kemenangan sebaliknya meneruskan kerja gigih memperkasakan parti khasnya Dewan Pemuda di semua peringkat melalui pengukuhan Unit Kerja Jamaah [ UKJ ] . Kemenangan adalah suatu yang pasti dan ianya adalah janji Allah swt yang pasti tiba saat dan detik yang akan ditentukan oleh Allah swt. Persoalan yang penting ialah kerja dan tugas yang digalas sebagai tanggungjawab serta amanah mesti ditunai sebaik mungkin .

3. Turunlah ke padang ! lalu santuni anak muda . Terjunlah ke lapangan ! lalu didik dan bimbinglah anak muda . Lepaskan selimut anda dan bebaskan diri dari kilauan fatamorgana . Justeru kemenangan yang diidamkan tidak mungkin dapat dicapai semudah yang dijangka.

4. Kita mesti bina kekuatan sendiri ! bukankah ini telah menjadi amanah Dato' Seri Presiden ? Jangan hanya mengharapkan kelemahan musuh sementara kita mengelamun membina track menuju Putrajaya . Ingat , kini lawan politik kita telah menyedari kelemahan mereka dan mereka bekerja keras memperbaiki kelemahan tersebut . Andai kita terus leka , kita bakal kecundang wali'yazubillah .

5. Masa tidak banyak dan pastinya ia pantas berlalu . Pilihanraya kian hampir . Laksanakan segala pengarahan parti serta pro aktif menggerakkan jentera parti . Kreatif dalam dalam penganjuran gerakkerja agar ia efektif dan menepati sasaran dengan hikmah dan bistari .

Kes Perceraian: Mengenal Kesilapan


Oleh : Ustaz Nik Mohamad Abduh Dato' Nik Abd Aziz


Salam Palestin,

Akhbar Utusan Malaysia beberapa hari lepas melaporkan kajian oleh Jakim menunjukkan kadar keruntuhan rumah tangga rakyat Malaysia yang agak tinggi akibat perkahwinan yang tidak mampu bertahan lama dan terdedah kepada perceraian awal yang agak membimbangkan.

Kajian terakhir menunjukkan lebih 30% pasangan bercerai dalam tempoh 5 tahun pertama perkahwinan dan hampir 45% perceraian adalah berpunca daripada kegagalan pasangan melaksanakan tanggung jawab selain msalah akhlak, kewangan, seksual dan campur tangan orang ketiga.

Kita sudah pasti terpanar dengan hasil kajian yang ditunjukkan dan ia sungguh menyedihkan. Ia cukup untuk menggambarkan betapa perkahwinan yang diharapkan mampu mencetus pembaikan, ketenangan dan penyelesaian terbaik dan berkesan kepada isu – isu penyakit masyarakat dan negara rupa – rupanya masih ditahap yang lemah dan membimbangkan.

Tiada yang terlalu indah selain perkahwinan di antara dua mempelai yang menyatukan kehidupan manusia secara semulajadi dan fitrah. Ia sebahagian daripada agama dan pengajarannya. Islam menjadikan perkahwinan sebagai sebahagian dari jalan menyempurnakan ugama dan kehidupan seseorang muslim di dunia ini.

Kesempurnaan itu bermaksud pasangan yang berkahwin itu telah menyelamatkan diri masing – masing daripada fitnah dunia yang besar yang boleh memporak perandakan ugama dan kehidupannya, selain membantu masyarakat dan negara membina kehidupan yang aman dan harmoni melalui ikatan kekeluargaan yang akan saling mempercayai, bersatu dan berkerjasama di antara mereka.

Hampir – hampir pembinaan negara itu bermula daripada rumah tangga yang bahagia, bukan individu yang berjaya. Bagaimanakah boleh digambarkan kehebatan dan kejayaan individu tanpa kehadiran institusi kekeluargaan yang menyokongnya?

Tetapi, apabila kita dikhabarkan dengan hasil kajian yang menunjukkan sebaliknya, bahawa perkahwinan juga turut mencetus kegawatan kepada negara, maka bagaimanakah kita mampu menerimanya dengan tenang dan tanpa kebimbangan.

Perceraian diharuskan agama sebagai jalan keluar kepada perkahwinan yang gagal untuk diteruskan dan diharapkan kejayaannya. Tetapi apabila kadarnya menjadi begitu tinggi sehingga mencabar perkahwinan itu sendiri (sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun yang sama), maka ia memberikan setidak – tidaknya dua gambaran yang agak menakutkan;

Pertama, perceraian itu sudah tidak lagi boleh dianggap sebagai jalan penyelesaian, bahkan telah mencipta perpecahan di dalam institusi masyarakat dan masa depan anak – anak yang muram dan gelap.

Kedua, perkahwinan pula bukan lagi dilihat sesuatu yang jernih dan kebal untuk pembinaan kehidupan impian, bahkan ia bagai menempuh gelombang badai yang memeritkan atau perjudian yang ditakuti akibatnya.

Istana perkahwinan kelihatannya telah dicerobohi musuh yang akan meruntuhkannya dari dalam.

Jika ini keadaannya, sesuatu yang besar mestilah dilakukan oleh semua pihak, terutama pihak kerajaan yang memiliki kekuatan yang mantap untuk mengatasinya, selain masyarakat sendiri yang berperanan wajib membaiki secara bersama.

Mengapa pasangan muda hari ini gagal mempertahankan kemanisan yang mereka dambakan sepanjang umur remaja mereka? Bukankah umur muda remajalah menjadi tanah subur untuk kalimat cinta memekar dan tumbuh? Justeru cinta itulah yang memimpin mereka untuk mengimpikan keindahan abadi dalam kehidupan duniawi ini sehingga sebahagiannya menjadi abdi kepada cinta jenis ini?

Saya ingin berkongsi pendapat, semoga setiap yang bertanggung jawab dapat meletakkan satu ukuran yang benar sebelum merumuskan tindakan yang tetap dengan menilai keutamaan dan menimbangkan di antara beberapa natijah yang penting. Dengannya gerak kerja akan lebih bekesan.

Perkahwinan bertindak menyempurnakan kecacatan individu. Ia begitu mengubah cara hidup seseorang. Ia meransang rasa tanggung jawab dalam kehidupan dan kesediaan untuk memikul tanggung jawab. Maka kehidupan akan menjadi lebih sempurna kerana kehidupan hanya bermakna apabila amanah dan tanggung jawab dilestarikan.

Tetapi apabila perkahwinan gagal berfungsi sebagai pelengkap kesempurnaan, kita patut melihat kepada beberapa faktor;

Pertama, institusi perkahwinan yang gagal difahami. Berkahwin bukan berkawan. Ia lebih daripada itu. Tetapi perhatikan, ramai pasangan muda sering memilih ini, “Kami berkahwin kerana kami rasa begitu serasi semasa berkawan.” Tahukah mereka bahawa keserasian semasa berkawan tak akan sama dengan keserasian perkahwinan.

Islam menolak pengenalan dan penilaian melalui persahabatan yang lama sebelum perkahwinan walaupun melalui ikatan pertunangan. Ia menghapuskan rasa hormat, malu dan saling mengharap di antara pasangan. Ia menerima dan menolak tanpa rasa tanggung jawab yang sebenar. Penilaian sebelum perkahwinan adalah lemah dan palsu lantas bergantung kepadanya pasti akan melemahkan dan menggagalkan harapan menggunung selepas perkahwinan. Pasangan akan saling tuduh – menuduh di atas janji dan pengenalan rapuh sebelum perkahwinan.

Pengenalan sebenar institusi perkahwinan mestilah disertai tanggung jawab untuk membaiki dan membina. Ia hanya teguh setelah perkahwinan berlaku. Akad nikah diperkenalkan agama sebagai janji pertama dan ikatan yang kuat simpulannya. Ia mesti difahami setiap pasangan bahawa akad itu menuntut kita bersedia menerima kekurangan dan kelebihan masing – masing. Tiada tuduh – menuduh mungkir janji terhadap pengenalan lama yang terjadi sebelum perkahwinan.

Kesediaan menerima ‘seadanya’ pasangan masing – masing adalah kunci kepada pembinaan dan pembaikian mahligai perkahwinan. Sifat – sifat terpuji akan segera memekar dan sifa – sifat buruk segera terlerai satu demi satu. Berkenalan selepas perkahwinan adalah bagai satu proses mencantumkan dua denyut nadi, nyawa, tubuh, diri dan ruh menjadi satu. Ia satu seni dan sesuatu yang seni memerlukan penghayatan yang lebih dan lebih telitinya. Dalam setiap diri ada seni. Jelmakan kemuncak seni anda di sini selepas seni pada mengenal Allah dan raulNya.

Bukanlah pengenalan pra perkahwinan itu buruk, tetapi keburukan adalah apabila perkahwinan digantungkan dan digadaikan kepadanya. Di situlah kerosakan dan keretakan mudah berlaku.

Sekarang perhatikan sebab – sebab perceraian yang melanda bagai api yang membakar di sebalik majlis perkahwinan yang meriah sekali. Ketika berlaku khilaf dan selisih di antara pasangan, di mana hilangnya rasa hormat, rasa malu dan rasa tanggung jawab masing – masing? Ya, ia telah hilang dalam seribu janji yang berlaku sebelum janji sebenar di saat lafaz akad nikah dimeteraikan.

Anak – anak muda hari ini gagal memahami hakikat dan makna perkahwinan. Mereka berbicara pasal keseronokan menimang nafsu sedang agama mengajar mereka untuk berseronok menimang tanggung jawab dan membina kesempurnaan hidup.

Kedua, generasi baru yang lemah binaannya. Inilah faktornya. Kadar perceraian yang tinggi adalah petanda generasi anak muda yang lemah binaan tubuhnya. Ia bermula daripada kegagalan mereka membina diri. Kesannya tampak jelas pada cara mereka membina rumah tangga pula.

Hari ini kita berbicara secara serius mengenai modal insan. Mengapa? Bukan kerana kita tidak pernah sedar kepentingannya, tetapi kerana kita telah gagal membinanya semenjak sekian lama. Dan hari ini pun, saat kita berbicara lantang mengenainya, kita belum pun menemui caranya yang sebenar dan selamat kecuali mereka yang dikasihi Allah.

Sistem pendidikan kebangsaan negara kita masih terlalu lemah. Pemusatan kepada kekuatan jasmani yang dicapai melalui aspek – aspek lahiriah yang banyak melampaui kekuatan rohani yang seharusnya memimpin kekuatan lahiriah tadi. Asyik kita melihat kejayaan lahiriah kita membutakan kita daripada melihat kepunahan isi dan nurani dalam yang sentiasa menjadi pembunuh kejayaan zahiriah kita itu.

Generasi muda harapan di menara gading sedang terlibat dalam jenayah, maksiat, budaya kuning dan syirik. Apatah lagilah jika dikira anak – anak muda yang terbantut pendidikan awal mereka lalu terbiar tanpa tangan tanggung jawab yang dihulur buat menyelamatkan mereka daripada kecundang dalam dunia jenayah, dadah, arak dan zina.

Ini kenyataan yang sedang kita hadapi secara bersama.

Setiap mereka telah dan akan mendirikan rumah tangga. Samada lelaki atau perempuan, anda boleh bayangkan betapa sukarnya kita memberi harapan untuk kejayaan mereka membina istana perkahwinan yang teguh.

Dalam tubuh mereka tiada agama yang lurus, iman yang sempurna, jiwa yag khusyu’ dan ilmu yang bermanfaat. Mereka berbekal segulung ijazah dan wang yang banyak untuk membina perkahwinan. Cukupkah itu untuk menimang anak dan tanggung jawab?

Di sini, harapan adalah sukar sehinggalah kita bersedia menerima perubahan besar di dalam sistem pendidikan dan segala sistem hidup yang menyempurnakan syakhsiyah diri anak – anak muda harapan bangsa. Daripada situ, kita pasti boleh kembali gembira untuk melihat ikatan perkahwinan yang menjanjikan kedamaian dalam kehidupan manusia, bukan membimbangi keretakan dan kehancuran rumah tangga.

Ketiga, Persekitaran yang lemah dan tidak membantu. Ia tambah menyukarkan apabila istana perkahwinan yang baru dibina berhadapan dengan persekitaran yang tidak membatu meneguhkannya. Perhatikan pada kehidupan ibu bapa, mertua dan keluarga sendiri yang lemah dengan mementingkan dan membanggakan status zahir dan meninggalkan ugama. Lihat persekitaran kawan – kawan yang berlumba dan menuntut penonjolan bermewah – mewah dalam membina rumah tangga dan lihatlah juga pada kehidupan umum hari ini yang begitu mengagungkan duniawi dan dosa.

Dengan jiwa dan binaan diri yang lemah, persekitaran kehidupan yang kotor hari ini telah begitu merempuh istana perkahwinan yang dibina setiap hari di negara kita.

Jadi, ketika kita berbicara mengenai perkahwinan dan pembinaan rumah tangga kekal bahagia, kita akan dapati bahawa ianya memerlukan satu penyelesaian yang menyeluruh yang begitu menuntut kehadiran kekuatan dan kekuasaan untuk mengubah kebiasaan dan kelaziman yang telah berakar umbi dalam kehidupan. Keruntuhan rumah tangga yang baru saja dibina jelas memberi petunjuk bahawa arus jahat terlalu ganas untuk menjahanamkan perkahwinan baru untuk berakar umbi.

Tetapi menuntut pemerintah negara menyedari kesilapan dan kesalahan mereka tetap sukar. Pemerintah yan terlalu berkuasa seperti di negara kita terlalu ego dan sombong untuk mengakui kesilapan.

Justeru, selepas gandingan mendesak dan memburu kerajaan dimantapkan, hendaklah sentiasa ada jentera – jentera islah dan pembinaan dalam masyarakat seperti para ulama, madrasah, masjid dan pertubuhan – pertubuhan bukan kerajaan untuk memainkan peranan membina institusi keluarga yang bahagia dan diredhai Allah.

Monday, November 22, 2010

UMNO Dan Isu Perkauman


Senjata akhir UMNO untuk menarik sokongan kepada mereka adalah isu perkauman. Itulah yang sering di lakukan mereka sehingga dapat kekal memerintah negara sehingga kini.

Seringkali apabila mereka telah rapat ke dinding di asak, senjata itulah yang digunakan. Peristiwa 13 mei 69, mereka yang ledakkan permusuhan antara melayu dan china. Pilihanraya umum 1986, mereka gunakan isu hak istimewa orang melayu. PRU 1990, isu sigah Tengku Razaleigh. Dan banyak lagi contoh-contoh lain.

Malang bagi kita rakyat Malaysia, apabila setiap kali di suakan dengan isu perkauman ini, kita seolah di sihir untuk mengikut telunjuk mereka. Sehingga di saat begitu hampir untuk mencapai kemenangan tiba-tiba suasana boleh berubah serta merta seolah-olah tiada lagi yang boleh menyelamat Malaysia selain BN.

Walaupun diketahui dasar UMNO itu adalah kebangsaan / perkauman melayu, tetapi realiti yang ada di hadapan kini kedudukan bangsa melayu sangat daif berbanding dengan kaum-kaum lain di negara kita.

Usahkan nak capai 30% pencapaian ekonomi sebagaimana target DEB, tanah rezab yang di gazetkan sebagai hak bumiputra pun telah lenyap hampir 50% kini berbanding ketika negara baru di beri kemerdekaan oleh Inggeris tahun 1957 yang lalu. Apa lagi yang akan tinggal menjadi keistimewaan melayu jika UMNO terus di beri peluang memerintah negara.

Sehari dua ini pula di mainkan sentimen kedudukan melayu di Pulau Pinang. Semakin teserlah bagaimana gagalnya UMNO membela nasib melayu di Pulau pinang walaupun sejak merdeka hingga 2008 BN yang memerintah. DAP baru memerintah lebih dua tahun. Mereka cuba gambarkan nasib melayu sedemikian rupa akibat perbuatan DAP.

Sedangkan jika dilihat sejarah, Tun Abdullah Badawi yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia datang daripada Pulau Pinang. Walaupun hanya 5 tahun sebagai PM, tetapi sebelum itu berapa tahun beliau menjadi TPM. Sebelum itu juga DS Anwar Ibrahim beberapa penggal menjadi TPM juga orang Pulau Pinang. Apa yang mereka lakukan sebagai pemimpin utama UMNO untuk membela nasib melayu P. Pinang?

Ketika solat Idul Adha di surau berhampiran rumah mertua baru ini, saya telah di minta membaca khutbah dan menjadi Imam. Walaupun di minta secara mengejut 15 minit sebelum solat pagi itu, kerana kasihankan bilal yang pucat lesi bagi menggantikan imam yang sedang menunaikan fardhu haji tahun ini, maka saya bersetuju dengan permintaan mereka.

Apabila melihat teks khutbah yang di sediakan oleh Jabatan Agama Terengganu untuk khutbah hari raya itu, saya mengelengkan kepala. Bagaimana mereka menjadikan isi khutbah untuk mengapikan semangat perkauman malayu. Kononnya melayu perlu bersatu sebagaimana jemaah haji di padang arafah kerana orang bukan melayu dalam negara kita sekarang sedang berpakat untuk merampas kuasa. Ini adalah propaganda yang jelas untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada mereka.

Kalau sebelum ini khutbah hari raya samada Idulfitri mahupun Iduladha, saya membacakan saja teks yang di sediakan oleh Dewan ulama PAS Negeri, tetapi pada Iduladha baru ni, pertama kali saya berkhutbah tidak menggunakan teks..

Saya sebutkan bahawa Padang Arafah merupakan simbol penyatuan semua manusia tanpa mengira perbezaan bangsa, bahasa, pangkat dan kekayaan. Semua manusia perlu di sedarkan supaya menyembah tuhan yang satu walau apapun bangsa dan bahasa mereka. Jangan di bezakan bangsa dan kedudukan supaya kita boleh dakwahkan semua mereka kepada Islam.. Jangan wujudkan garis pemisah yang menyukarkan Islam sampai ke lubuk hati mereka..

Kita sangat berharap orang melayu, orang china mahupun India, sepatutnya memahami bahawa rakyat negara kita tidak akan kemana selagi momokan perkauman ini berterusan. Hentikanlah! Di sana nanti kita akan melihat betapa harmoninya kehidupan.

Tetapi itulah yang sering berlaku. Tempoh yang jauh dengan pilihanraya ini kelihatan rakyat begitu mahukan perubahan. Apabila tiba saat untuk menukar kerajaan dan apabila sihir perkauman di tiupkan, seolah-olah kesedaran dan kebangkitan rakyat itu hilang begitu sahaja. Terpaksa menunggu lagi pilihanraya umum akan datang untuk membuat perubahan. Begitulah yang sering terjadi.

Dengan memohon petunjuk dan pertolongan Allah moga di selamatkan iman dan islam kita, mudah-mudahan PRU akan datang cita-cita melihat perubahan itu benar-benar berlaku, insyaAllah....

Wednesday, November 17, 2010

Ihtifal PASTI DUN 2010 - 2


Lintas hormat Pelajar PASTI DUN memulakan majlis perasmian.
Antara tetamu yang hadir di saf hadapan dari kanan, Wakil MTD Ust Nik Razin Nik Mat, Perasmi, Pengerusi PASTI Kawasan Setiu Sdr. Sauti Mat Yaman dan Pengerusi PASTI DUN Sdr Dzakaria Mat Salleh. Di saf belakang adalah pengerusi-pengerusi PASTI Qaryah.
Bacaan Iqrar oleh murid-murid PASTI
Ucapan Aluan oleh Sdr Dzakaria M Salleh, Pengerusi PASTI DUN
Pengerusi PASTI Kawasan, Sdr Sauti Mat Yaman sedang berucap
Ketua Pemuda PAS Setiu merasmikan Ihtifal pada kali ini.

Pasukan inilah yang mewakili PASTI DUN ke Mahrajan PASTI Negeri di Dungun baru-baru ini. Gabungan murid daripada semua Qaryah.
Persembahan terbaik daripada PASTI Al Iman, Mengabang Lekar.
Berwarna-warni. Persembahan murid PASTI tuan rumah, Al Ittifaqiyyah, Darat Batu Rakit.
Hafazan Do'a oleh murid PASTI Al Kauthar, Maras.
Turut hadir di pertengahan majlis, Tn Hj Shamsudin Wahab, Bendahari PAS Setiu.

Tuesday, November 16, 2010

Idul Adha Simbol Pengorbanan

Tahun ini saya akan solat hari raya di Kampung mertua di sebuah felda di Hulu Terengganu. Isteri selalu merungut kerana jarang sekali dapat bersama keluarganya di pagi raya, samada raya puasa mahupun raya haji. Ini adalah kerana saya perlu memimpin solat raya di sini serta menyampaikan khutbah di surau kampung saya. Lebih-lebih lagi 10 tahun kebelakangan ini apabila ayahanda menghadapi masalah kesihatan terutama penglihatan yang tidak begitu baik.

Tahun ini mertua membuat satu trik dengan meminta saya menjadi juru sembelih lembu korban sebaik selesai solat hari raya. Nak tak nak saya terpaksa meraikan permintaan mereka dan InsyaAllah kami akan balik rumah mertua pada petang ini.

Idul adha adalah satu perayaan yang sangat besar maknanya dalam Islam. Ia lebih bermakna daripada Idulfitri dan di sambut selama empat hari berbanding idulfitri cuma satu hari sahaja.

Tetapi apa yang berlaku kini sudah terbalik. Tidak ada lagi riak sambutan besar-besaran menanti ketibaan Idul Adha. Jika Idul Fitri di sambut sebulan yang merupakan perkara bid'ah yang melanda ummat Islam, Idul Adha akan di sambut dengan cara yang sangat dingin.

Lebih malang pula sembelihan yang sepatutnya bertujuan untuk korban telah menjadi daging aqiqah. Apa yang saya perhatikan akhir-akhir ini sembelihan di musim Idul Ahda ini lebih banyak bahagian aqiqah daripada bahagian korban. Walaupun dari segi hukum di bolehkan tetapi agak sayang peluang kelebihan korban yang datang setahun sekali di gunakan untuk sembelihan aqiqah yang boleh di lakukan bila-bila masa sahaja sepanjang tahun.

Ibadah Qurban adalah simbol penyerahan diri kepada Allah. Sunnah Nabi Ibrahim yang sanggup menunaikan perintah Allah, meskipun perintah itu adalah menyembelih anaknya sendiri yang paling di kasihi. Ia adalah suatu simbol betapa seorang Islam yang sebenar adalah mereka yang sanggup melakukan apa sahaja menunaikan perintah Allah, walaupun dengan mengorbankan sesuatu yang sangat di sayanginya tanpa dolak dalih dengan berbagai alasan.

Sepatutnya itulah pengajaran yang mesti di ambil iktibar apabila kita mengenang sejarah perjuangan Nabi Ibrahim. Bermula dengan pertentangan dengan ayahnya tukang buat berhala, berlawan dengan Namrud yang menjadi raja ketika itu, sehinggalah kepada perintah menyembelih anak, adalah suatu perjalanan perjuangan yang penuh pengorbanan untuk di contohi oleh kita pada hari ini.

Ummat akhir zaman ini sangat banyak mencipta alasan untuk meninggalkan perintah Allah. Daripada perintah kepada individu seperti ibadah fardiyyah sehinggalah kepada perintah melaksanakan hukum allah dalam sebuah negara dan masyarakat Islam.

Berbagai alasan dan sebab di berikan untuk menolak perlaksanaan hukum Allah, sehingga kesannya dapat di lihat betapa hina dina nya ummat Islam kini akibat kedegilan kita. Samada kedegilan orang yang ada kuasa tidak mahu melaksanakan ataupun kedegilan rakyat yang tidak mahu berjuang bagi memastikan Islam di daulatkan dalam negara.

Walau bagaimana pun Idul Adha akan di sambut esok, sehari selepas jemaah haji di Mekah menyambutnya pada hari ini. Ini adalah di sebabkan masa naiknya matahari yang tidak sama berikutan jarak yang jauh.

SELAMAT MENYAMBUT IDUL ADHA DAN MENGAMBIL PENGIKTIBARAN DARIPADA IBADAH QORBAN YANG DI LAKUKAN.

Monday, November 15, 2010

Ihtifal PASTI DUN Batu Rakit 2010

Majlis Di adakan di Kg Darat Batu Rakit pada hari sabtu 13 Nov 10. Majlis sangat meriah dengan kehadiran ibu bapa dan pengunjung yang agat ramai. Tuan rumah PAS Cawangan pula menyediakan jamuan tengahari kepada semua pengunjung.

Namun sedikit kecacatan apabila persembahan murid-murid pada tahun ini agak ketara lesu dan tidak bermaya. Ia mendapat keritikan daripada para pengunjung yang melihat ia adalah kelemahan para guru menyediakan murid-murid untuk membuat persembahan pada hari tersebut.
Di harap pihak pengurusan memandang perkara ini dengan serius untuk di perbaiki di masa yang akan datang. Kena suntik semangat kepada guru-guru supaya lebih inovatif dan kreatif seperti masa dulu-dulu kerana sebahagian besar guru-guru PASTI di DUN Batu Rakit ini adalah orang lama sejak awal penubuhan PASTI di Qaryah masing-masing. Cuma mungkin kerana kesibukan semasa dengan bertambahnya bilangan ahli keluarga menyebabkan guru-guru tidak lagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap PASTI.

* Lagi gambar akan menyusul InyaAllah daripada kamera sahabat-sahabat....

Friday, November 12, 2010

Ihtifal Tahunan PASTI

Pagi ini saya ke Taman Rekreasi Pantai Merang. Saya telah di minta merasmikan Ihtifal PASTI seluruh DUN Permaisuri yang di adakan pada pagi ini.

Syabas di ucapkan kepada pengurusan PASTI Permaisuri yang berusaha mengadakan Ihtifal pada kali ini. Ia adalah penghargaan kepada anak-anak PASTI yang menamatkan pendidikan mereka dan majlis perpisahan bagi mereka. Ia juga penghargaan kepada ibu bapa murid yang sanggup bersusah payah mendokong kelangsungan PASTI. Dan tentunya Ihtifal ini adalah sebagai penghargaan kepada guru-guru yang banyak berkorban menghidupkan pembelajaran dan pendidikan di PASTI dengan harta dan airmata mereka berbekalkan iman di dada.
Saya di maklumkan semalam, khamis 11 Nov , PASTI seluruh DUN Jabi telah mengadakan Ihtifal mereka. Pada besok pula dua lagi DUN dalam Kawasan Setiu ini, iaitu Langkap dan Batu Rakit akan mengadakan Ihtifal masing-masing. Bagi DUN Langkap majlis akan di rasmikan oleh Pengerusi MTD Langkap iaitu YM Tengku Ahmad Tg Hussain yang juga merupakan Timbalan YDP PAS Kawasan Setiu.

Bagi DUN Batu Rakit sekali lagi saya di minta berucap sebagai perasmi program yang akan di adakan di perkarangan Surau Kg Darat Batu Rakit yang juga perkarangan PASTI Qaryah tersebut.

Pada sabtu 6 Nov baru ni saya telah merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah Pesta Sukan PASTI DUN yang diadakan di Kg. Tanjung. Sepatutnya Ihtifal esok di rasmikan oleh YDP PAS Setiu iaitu Al Fadhil Ustaz Mohd Pauzi Muda, tetapi beliau terpaksa menghadiri program Penerangan PAS Pusat di Kuala Lumpur.

Thursday, November 11, 2010

Coretan....

Genap dua bulan blog ini terbiar tanpa apa-apa coretan dari saya. Kemana perginya semangat membara untuk menulis. Kemana menghilang idea dan gagasan meneruskan perjuangan yang di pikul. Puas saya cuba mencoretkan sesuatu, tapi tiada satu apapun yang keluar untuk di luahkan. Beku dan kaku...

Banyak aktiviti dan program yang di lalui. Samada sebagai peserta atau terlibat secara langsung sebagai penganjur. Antaranya adalah Ijtima' Kepimpinan PAS Terengganu yang di adakan di DUN saya sendiri, di Batu Rakit. Kebetulan saya di amanahkan sebagai Pengarah Program Pra Ijtima' bagi acara-acara Pemuda sehari sebelum Ijtima penuh berlangsung iaitu pada hari jumaat.
Alhamdulillah hasrat YB Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri untuk acara pelancaran ARC bersama Ustaz Azhar Idrus pada hari Pra Ijtima' tersebut berjaya menjadi satu tarikan tersendiri di samping acara sukan seperti Bolasepak Pantai, Memancing dan sukan permotoran yang di kendalikan oleh ARC Negeri Terengganu.

YB Ketua Pemuda PAS Negeri dan Ust Azhar Idrus di upacara pelancaran ARC DUN.

Ustaz Azhar sedang memberikan ucapan yang berjaya menarik perhatian para pemuda yang hadir.
Pertandingan memancing.
Perlawanan bolasepak pantai yang melibatkan 16 pasukan daripada seluruh negeri Terengganu.
Pasukan juara Bolasepak pantai. Daripada DUN Permaisuri, Setiu. Tahniah!

Dua hari selepas Ijtima', 26 Okt adalah hari penamaan calun. Lalu tumpuan di alihkan kepada Pilihanraya Kecil Galas yang di adakan pada 4 Nov baru ni. Keputusan telah sama-sama di ketahui... Calun PAS kalah dengan majoriti lebih seribu undi.

Pada malam kemarin dalam mesyuarat AJK DPPKS, kami berjaya membuat beberapa keputusan penting terutama untuk mengisi tempuh cuti persekolahan akhir tahun dan menghadapi musim hujan tahun ini.
Kem WAJA untuk pelajar sekolah menengah akan di adakan pada 16 - 18 Dis depan bertempat di Taman Rekreasi Pantai Merang. Penyelaras Pemuda DUN-DUN akan mendaftarkan peserta bermula daripada sekarang dengan target 100 orang remaja lelaki dapat di kumpulkan untuk program tersebut.

Di samping itu kami akan berusaha dalam masa yang singkat ini, sebelum banjir melanda untuk membeli sebuah perahu dengan enjin sangkut bagi persediaan kes-kes kecemasan ketika banjir berlaku. Tentulah kosnya sekitar 4 atau 5 ribu itu agak besar juga bagi kami. Bagaimanapun kalau tidak di usahakan sampai bilapun hasrat untuk menyediakan kemudahan tersebut tidak akan terlaksana. Saya percaya akan ada dermawan yang sudi menyumbang sehingga petugas-petugas kami mampu untuk berbuat sesuatu apabila menghadapi bencana banjir yang saban tahun melanda. Tolong hubungi kami segera sekiranya anda salah seorang dermawan tersebut. (019-9797025)

Antara agenda penting juga yang kami putuskan adalah untuk mengadakan program Qiamullail peringkat kawasan. Banyak sebab mengapa program tarbiyyah ini sangat perlu meskipun telah ada usrah yang di buat secara bulanan. Di samping bertahajjud, makan dan tidur bersama merupakan perkara penting dalam proses menyuburkan ukhuwwah.
Pusat pendidikan PASTI Pulau Redang akan di buka semula pada sessi persekolahan tahun hadapan. PASTI Pulau Redang terpaksa di tutup pada tahun ini setelah beroperasi sekitar 10 tahun lalu. Keputusan menyedihkan itu berpunca daripada masalah tenaga pengajar yang gagal di selesaikan menjelang sessi persekolahan bermula di awal tahun 2010 yang lalu.

Lantaran itu pihak PASTI Kawasan dan Negeri telah berusaha awal pada tahun ini dan InsyaAllah jika apa yang di usahakan setakat ini, PASTI tersebut akan di buka semula. Semangat dan pengorbanan untuk usaha tersebut bukannya kecil dengan cabaran perhubungan antara tanah besar dan penduduk Pulau yang di bela oleh UMNO itu bukan suatu yang sembarangan dapat di tembusi.

Saya sedar coretan ini masih kaku.... Mengisi slot perjalanan kini yang sangat sukar.....

Followers