Monday, November 22, 2010

UMNO Dan Isu Perkauman


Senjata akhir UMNO untuk menarik sokongan kepada mereka adalah isu perkauman. Itulah yang sering di lakukan mereka sehingga dapat kekal memerintah negara sehingga kini.

Seringkali apabila mereka telah rapat ke dinding di asak, senjata itulah yang digunakan. Peristiwa 13 mei 69, mereka yang ledakkan permusuhan antara melayu dan china. Pilihanraya umum 1986, mereka gunakan isu hak istimewa orang melayu. PRU 1990, isu sigah Tengku Razaleigh. Dan banyak lagi contoh-contoh lain.

Malang bagi kita rakyat Malaysia, apabila setiap kali di suakan dengan isu perkauman ini, kita seolah di sihir untuk mengikut telunjuk mereka. Sehingga di saat begitu hampir untuk mencapai kemenangan tiba-tiba suasana boleh berubah serta merta seolah-olah tiada lagi yang boleh menyelamat Malaysia selain BN.

Walaupun diketahui dasar UMNO itu adalah kebangsaan / perkauman melayu, tetapi realiti yang ada di hadapan kini kedudukan bangsa melayu sangat daif berbanding dengan kaum-kaum lain di negara kita.

Usahkan nak capai 30% pencapaian ekonomi sebagaimana target DEB, tanah rezab yang di gazetkan sebagai hak bumiputra pun telah lenyap hampir 50% kini berbanding ketika negara baru di beri kemerdekaan oleh Inggeris tahun 1957 yang lalu. Apa lagi yang akan tinggal menjadi keistimewaan melayu jika UMNO terus di beri peluang memerintah negara.

Sehari dua ini pula di mainkan sentimen kedudukan melayu di Pulau Pinang. Semakin teserlah bagaimana gagalnya UMNO membela nasib melayu di Pulau pinang walaupun sejak merdeka hingga 2008 BN yang memerintah. DAP baru memerintah lebih dua tahun. Mereka cuba gambarkan nasib melayu sedemikian rupa akibat perbuatan DAP.

Sedangkan jika dilihat sejarah, Tun Abdullah Badawi yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia datang daripada Pulau Pinang. Walaupun hanya 5 tahun sebagai PM, tetapi sebelum itu berapa tahun beliau menjadi TPM. Sebelum itu juga DS Anwar Ibrahim beberapa penggal menjadi TPM juga orang Pulau Pinang. Apa yang mereka lakukan sebagai pemimpin utama UMNO untuk membela nasib melayu P. Pinang?

Ketika solat Idul Adha di surau berhampiran rumah mertua baru ini, saya telah di minta membaca khutbah dan menjadi Imam. Walaupun di minta secara mengejut 15 minit sebelum solat pagi itu, kerana kasihankan bilal yang pucat lesi bagi menggantikan imam yang sedang menunaikan fardhu haji tahun ini, maka saya bersetuju dengan permintaan mereka.

Apabila melihat teks khutbah yang di sediakan oleh Jabatan Agama Terengganu untuk khutbah hari raya itu, saya mengelengkan kepala. Bagaimana mereka menjadikan isi khutbah untuk mengapikan semangat perkauman malayu. Kononnya melayu perlu bersatu sebagaimana jemaah haji di padang arafah kerana orang bukan melayu dalam negara kita sekarang sedang berpakat untuk merampas kuasa. Ini adalah propaganda yang jelas untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada mereka.

Kalau sebelum ini khutbah hari raya samada Idulfitri mahupun Iduladha, saya membacakan saja teks yang di sediakan oleh Dewan ulama PAS Negeri, tetapi pada Iduladha baru ni, pertama kali saya berkhutbah tidak menggunakan teks..

Saya sebutkan bahawa Padang Arafah merupakan simbol penyatuan semua manusia tanpa mengira perbezaan bangsa, bahasa, pangkat dan kekayaan. Semua manusia perlu di sedarkan supaya menyembah tuhan yang satu walau apapun bangsa dan bahasa mereka. Jangan di bezakan bangsa dan kedudukan supaya kita boleh dakwahkan semua mereka kepada Islam.. Jangan wujudkan garis pemisah yang menyukarkan Islam sampai ke lubuk hati mereka..

Kita sangat berharap orang melayu, orang china mahupun India, sepatutnya memahami bahawa rakyat negara kita tidak akan kemana selagi momokan perkauman ini berterusan. Hentikanlah! Di sana nanti kita akan melihat betapa harmoninya kehidupan.

Tetapi itulah yang sering berlaku. Tempoh yang jauh dengan pilihanraya ini kelihatan rakyat begitu mahukan perubahan. Apabila tiba saat untuk menukar kerajaan dan apabila sihir perkauman di tiupkan, seolah-olah kesedaran dan kebangkitan rakyat itu hilang begitu sahaja. Terpaksa menunggu lagi pilihanraya umum akan datang untuk membuat perubahan. Begitulah yang sering terjadi.

Dengan memohon petunjuk dan pertolongan Allah moga di selamatkan iman dan islam kita, mudah-mudahan PRU akan datang cita-cita melihat perubahan itu benar-benar berlaku, insyaAllah....

No comments:

Followers