Tuesday, November 16, 2010

Idul Adha Simbol Pengorbanan

Tahun ini saya akan solat hari raya di Kampung mertua di sebuah felda di Hulu Terengganu. Isteri selalu merungut kerana jarang sekali dapat bersama keluarganya di pagi raya, samada raya puasa mahupun raya haji. Ini adalah kerana saya perlu memimpin solat raya di sini serta menyampaikan khutbah di surau kampung saya. Lebih-lebih lagi 10 tahun kebelakangan ini apabila ayahanda menghadapi masalah kesihatan terutama penglihatan yang tidak begitu baik.

Tahun ini mertua membuat satu trik dengan meminta saya menjadi juru sembelih lembu korban sebaik selesai solat hari raya. Nak tak nak saya terpaksa meraikan permintaan mereka dan InsyaAllah kami akan balik rumah mertua pada petang ini.

Idul adha adalah satu perayaan yang sangat besar maknanya dalam Islam. Ia lebih bermakna daripada Idulfitri dan di sambut selama empat hari berbanding idulfitri cuma satu hari sahaja.

Tetapi apa yang berlaku kini sudah terbalik. Tidak ada lagi riak sambutan besar-besaran menanti ketibaan Idul Adha. Jika Idul Fitri di sambut sebulan yang merupakan perkara bid'ah yang melanda ummat Islam, Idul Adha akan di sambut dengan cara yang sangat dingin.

Lebih malang pula sembelihan yang sepatutnya bertujuan untuk korban telah menjadi daging aqiqah. Apa yang saya perhatikan akhir-akhir ini sembelihan di musim Idul Ahda ini lebih banyak bahagian aqiqah daripada bahagian korban. Walaupun dari segi hukum di bolehkan tetapi agak sayang peluang kelebihan korban yang datang setahun sekali di gunakan untuk sembelihan aqiqah yang boleh di lakukan bila-bila masa sahaja sepanjang tahun.

Ibadah Qurban adalah simbol penyerahan diri kepada Allah. Sunnah Nabi Ibrahim yang sanggup menunaikan perintah Allah, meskipun perintah itu adalah menyembelih anaknya sendiri yang paling di kasihi. Ia adalah suatu simbol betapa seorang Islam yang sebenar adalah mereka yang sanggup melakukan apa sahaja menunaikan perintah Allah, walaupun dengan mengorbankan sesuatu yang sangat di sayanginya tanpa dolak dalih dengan berbagai alasan.

Sepatutnya itulah pengajaran yang mesti di ambil iktibar apabila kita mengenang sejarah perjuangan Nabi Ibrahim. Bermula dengan pertentangan dengan ayahnya tukang buat berhala, berlawan dengan Namrud yang menjadi raja ketika itu, sehinggalah kepada perintah menyembelih anak, adalah suatu perjalanan perjuangan yang penuh pengorbanan untuk di contohi oleh kita pada hari ini.

Ummat akhir zaman ini sangat banyak mencipta alasan untuk meninggalkan perintah Allah. Daripada perintah kepada individu seperti ibadah fardiyyah sehinggalah kepada perintah melaksanakan hukum allah dalam sebuah negara dan masyarakat Islam.

Berbagai alasan dan sebab di berikan untuk menolak perlaksanaan hukum Allah, sehingga kesannya dapat di lihat betapa hina dina nya ummat Islam kini akibat kedegilan kita. Samada kedegilan orang yang ada kuasa tidak mahu melaksanakan ataupun kedegilan rakyat yang tidak mahu berjuang bagi memastikan Islam di daulatkan dalam negara.

Walau bagaimana pun Idul Adha akan di sambut esok, sehari selepas jemaah haji di Mekah menyambutnya pada hari ini. Ini adalah di sebabkan masa naiknya matahari yang tidak sama berikutan jarak yang jauh.

SELAMAT MENYAMBUT IDUL ADHA DAN MENGAMBIL PENGIKTIBARAN DARIPADA IBADAH QORBAN YANG DI LAKUKAN.

No comments:

Followers