Saturday, January 9, 2010

Serangan Terhadap Gereja pada hari Jumaat 8 Januari 2010

Oleh Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang

Tindakan pihak tertentu yang memilih cara yang ganas dengan melakukan tindakan yang ditegah oleh Islam menerusi serangan terhadap Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja Assumptiondi Jalan Templer, Petaling Jaya adalah dikutuk dengan sekeras-kerasnya.


Perlulah diingat, bahawa Islam menerusi kefahaman dakwahnya adalah membawa konsep kebebasan beragama kepada orang yang belum menganut Islam. Begitu banyak ayat dari Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW yang melarang penganut Islam dari mengganggu penganut agama lain, paderi dan rumah ibadat mereka. Bahkan, dalam setiap kali peperangan yang Nabi Muhammad SAW dan Khulafa Ar Raasyidin terlibat, para sahabat sangat berpegang teguh kepada pesanan Nabi Muhammad SAW untuk tidak membunuh paderi dan tidak merosakkan rumah ibadat mereka. Itu dalam suasana perang, apatah lagi dalam suasana aman seperti yang ada pada hari ini.

Tindakan yang bercanggah dengan Islam ini, hanyalah dilakukan oleh orang yang tidak faham terhadap agama mereka sendiri. PAS akan terus melaksanakan dakwah dan politik Islam dengan berdasarkan kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara, serta rakyat keseluruhannya perlulah senantiasa diingatkan agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak-pihak tertentu.

Kepada kepimpinan PAS di seluruh negara, hal ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam program Penerangan PAS Pusat pada hari esok di Shah Alam.

Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

22 Muharram 1431 H bersamaan 8 Januari 2010

No comments:

Followers