Wednesday, December 31, 2008

Ajaib


Semua ciptaan Allah ada keajaiban tersendiri. Cuma jika sesuatu yang telah biasa di lihat dan terjadi di sekeliling kita, tidak lagi keajaiban itu terasa. Sekali sekala melihat perkara luar biasa terjadi, maka ia akan menjadi perhatian dan kepelikan. Begitulah dengan anak kelapa dalam gambar di atas. sebiji buah kelapa telah menumbuhkan dua pohon atau dua tunas atau dua cabang. Banyak pulak atau nya....

Anak kelapa itu adalah daripada benih kelapa kapal atau kelapa renek yang saya tanam menghiasi pagar rumah saya.

Tuesday, December 30, 2008

1430 Hijriah

Hari ni hari kedua tahun baru hijriah. Setiap detik berlalu bermakna masa yang kita ada semakin mengecil. Kematian menjelang bila-bila masa, sedangkan persediaan pula semakin hari di rasakan semakin kurang berbanding dengan ruang dan peluang yang di sediakan oleh Allah kepada kita.

Bila tiba tahun baru, walaupun bilangan tahun hidup semakin bertambah pada angka, tetapi hakikatnya masa semakin suntuk untuk membuat persiapan dan bekalan menghadapi alam akhirat. Kita sentiasa di peringatkan oleh Al Quran - وتزودوا فإن خير الزاد التقوى Berbekallah. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah bekalan Taqwa.

Bukan soal azam tahun baru, tetapi taqwa menuntut setiap saat dan waktu yang ada perlu di pastikan sentiasa berada dalam keadaan taat kepada perintah Allah dengan mengikut sunnah tinggalan Rasul, samaada suruhan atau tegahan keduanya. Sebut memanglah mudah, bahkan semua orang boleh sebut, tetapi realitinya nak berpegang kepada perintah tersebut di zaman ini terasa bagai menggenggam bara api.

Dalam negara yang tidak di urus tadbir mengikut perihtah wahyu ini, serba serbi bagai ada yang tak kena. Kiri kanan depan belakang kita berhadapan dengan perkara kontra dengan agama. Sudut politiknya, sudut ekonominya, pendidikannya dan sebagainya lagi......

Harapan..? Memang kita di ajar supaya sentiasa meletakkan harapan kepada Allah. itulah salah satu sayap yang di sebut oleh Imam Ghazali untuk menuju keredhaan Ilahi. Khauf dan Roja' iaitu Takut dan Harap. Mudah-mudahan kembalinya kita nanti di terima oleh Allah Rabbul Jalil..

Palestin

Saya terpanggil juga denga episod terbaru yang berlaku di Tebing Barat Gaza. Kedurjanaan yang tiada batasan. Berikut adalah tulisan Ustaz Nasarudin Tantawi, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat di dalam blog beliau untuk kita kongsi bersama.

DERITA GAZA
APA UPAYA KITA ?


Biar Gaza beribu batu dari sini tetapi deritanya bagai di depan mata . Malang sungguh bagi muslim yang masih mampu diam membatu diri menyaksi penderitaan Gaza .

Benar kita tidak sampai tangan dan kaki tapi sekurang - kurangnya kita ada berbuat sesuatu untuk bersama penderitaan mereka .

Paling tidak kita mendoakan mereka agar segera bebas dari penderitaan , hulurkan bantuan kewangan untuk meringankan penderitaan mereka , suarakan bantahan kepada dunia khasnya Amerika untuk menunjuk kebersamaan kita dengan penderitaan ummat Palestine dan tidak lupa kita mendesak agar seluruh ummat Islam bangkit dan pemimpin - pemimpin ummat Islam berbuat sesuatu untuk mengajar Israel Alaihi Laknatullah .

OIC mesti digesa agar mengambil langkah berkesan untuk menyelamatkan ummah seagama dan seaqidah . Kenapa tentera ummat Islam boleh dihantar ke Perairan Somalia , ke Bosnia sebelumnya dan ke seluruh negara untuk misi pengaman antarabangsa tetapi tidak ke Palestine .

Ummahku , apakah derita Gaza tidak pernah mendekap dihati kalian ? atau kalian tidak pernah dapat menghayati apa ertinya derita ?

Bangkitlah ummahku . Marilah kita kita titipkan doa buat mereka tanpa jemu dan bosan jua tanpa buruk sangka kepada Allah swt Tuhan Yang Maha Kaya lagi Lagi Maha Perkasa .

Insyaallah esok ( selasa : jam 11 am ) Dewan Pemuda PAS Pusat akan menggerakkan ummat Islam prihatin untuk berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika bagi membantah kekejaman sekutu rapatnya ( rejim Israel )di Gaza .

Saya mengharapkan agar kita semua dapat keluar beramai - ramai menyatu hati bersama ummat Islam di seluruh dunia menyuarakan bantahan di samping kita mengadakan solat hajat agar Israel segera dihukum dan dibinasakan .
posted by Nasrudin bin Hassan at Tantawi

Cakna

Lubang besar yang menakung air, sangat bahaya kepada kanak-kanak yang suka bermain di tempat sebegini.

Rosak teruk. Jalan ini rosak dan berkeadaan begini sejak banjir dan hujan lebat pertengahan atau awal November lepas. Hampir dua bulan, masih belum di buat apa-apa tindakan oleh pihak yang berkenaan. Entah kemana perginya JKKK atau mereka-mereka yang sewaktu dengannya yang sepatutnya menjaga hal ehwal dalam kampung.
Jalan tanah merah telah menjadi sebuah parit kecil akibat hujan lebat baru-baru ini.

Mengikut penduduk yang menggunakan jalan ini, sepatutnya jalan yang telah di guna sejak 30 tahun ini telah lama di turap dengan tar. Tetapi di katakan oleh kerana di sebabkan politik pihak JKKK buat tidak peduli walaupun bukan hanya penduduk yang tinggal di sepanjang jalan ini saja yang melaluinya. Ramai yang menggunakan jalan ini, termasuk JKKK juga kerana jalan ini penghubung daripada jalan utama ke kebun dan sawah padi penduduk. Walaupun hanya 10 buah rumah penduduk yang terlibat, sepatutnya ia sudah cukup besar jika di ambil kira jumlah kenderaan yang melaluinya setiap hari. Lagipun bukan semua sepuluh buah rumah ini menyokong pembangkang. Hampir separuh daripadanya adalah penyokong tegar UMNO walaupun tidak berjawatan.Kelihatan sebuah rumah PPRT yang di duduki oleh seorang penyokong UMNO

Jalan ini di bina adalah hasil usaha penduduk sendiri. Penduduk sendiri berpakat membeli tanah merah dan batu dengan mengeluarkan belanja sendiri. Setiap tahun bila bila musin hujan jalan akan rosak, setiap kali itulah mereka bergotong royong memulihkan kembali. Daripada cerita mereka terasa seolah-olah kerajaan sekarang begitu miskin sehingga nak baiki jalan pun penduduk terpaksa keluar belanja sendiri.

Inilah nasib rakyat Terengganu yang di dikriminasikan oleh kerajaan sendiri. Bermula daripada atas sehingga peringkat JKKK. Mereka tidak peduli soal kebajikan rakyat secara keseluruhan. Jika ada keuntungan peribadi barulah mereka laksanakan apa-apa projek atas nama kepentingan rakyat. Jalan tersebut terletak dalam kawasan JKKK Kg Hilir, Darat Batu Rakit, dalam DUN Batu Rakit dan Parlimen setiu.

Kerajaan kaya, Rakyat miskin..........

Thursday, December 25, 2008

Hujan

Batu rakit di landa hujan. Bukan. Bukan Batu Rakit saja. Memang musim hujan belum habis lagi. Masih musim tengkujuh, walaupun seminggu dua baru ni cuaca agak panas. Di Pantai Timur memang begitu di penghujung tahun begini. Pantai Barat tak pasti pula samaada sehari dua ni hujan ataupun tidak. Cuma walaupun musim ini biasanya banyak berlaku bencana sebelah Pantai Timur, tetapi baru-baru ini yang runtuh tanahnya sehingga banyak rumah musnah adalah di Lembah Kelang.

Entah apa yang nak di bebelkan berkenaan hujan ni. Tapi bila termenung melihat titisan air yang menyirami bumi, kadangkala lebat dan adakalanya rintik-rintik ini, terasa betapa kita manusia sebenarnya sangat berharap kepada ketentuan takdir Allah dalam mengatur kehidupan. Hujan adalah simbol kepada rezeki, jika di eksploitasikan daripada kesuburan tanah yang di timpa hujan. Hujan juga boleh membawa bencana apabila manusia tidak mengusahakan dan tidak mengurus sebaiknya alam ini sehingga berlaku takungan air yang boleh menyebabkan banjir atau tanah runtuh. Namun semua gerak yang berlaku di alam ini adalah atas kehendak Allah. Jika Allah mahu makmurkan sesuatu tempat, di suburkan tempat tersebut melalui gerak hidup manusia, sementara jika tempat tersebut mahu di musnahkan oleh Allah, di tentukan musabbabnya melalui kealpaan dan amalan buruk oleh manusia sendiri.

Peri pentingnya kita mengatur hidup ini mengikut petunjuk pencipta kita. Seluruh peristiwa yang berlaku di alam ini sebenarnya sangat memadai untuk kita jadikan alasan kukuh untuk tidak memandai-mandai dalam membuat peraturan hidup dalam bidang apapun. Betapa lemahnya kita manusia, sehingga nak menahan air hujan yang lembik dan cair itupun tak mampu sehingga terjadinya banyak bencana akibatnya. Bencana boleh berlaku di mana-mana. Di negara kuasa besar dunia seperti Amerika ataupun di negara kecil Sri Langka.

Esok 26 Disember juga mengingatkan satu tragedi besar melanda alam di abad ini. Sunami yang melanda hanya beberapa detik, mengorbankan ratusan ribu manusia terutamanya telah menenggelamkan bandar Acheh, baru beberapa tahun yang lepas berlaku. Memang satu yang sangat mengesankan apa yang di gambarkan oleh Hadis Nabi SAW bahawa ketika akan berlaku kiamat nanti, ada manusia sedang berjual beli di pasar, ada yang sedang memasak makanan, sedang berehat-rehat dan ada yang sedang menyuap makanan ke mulut, tiba-tiba kiamat berlaku dan memusnahkan segalanya. Itulah gambaran kecil yang di pamerkan ketika Sunami di Acheh berlaku. Tidak ada tanda, tiada amaran, tiba-tiba bencana datang tanpa dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan diri.

Hujan masih turun, tapi banyak lagi urusan yang perlu di selesaikan hari ini. PRK K. Terengganu menggamit seluruh tenaga di kerahkan supaya manusia dapat di selamatkan daripada kehancuran apabila menolak hukum Allah. Rakyat perlu di ingatkan supaya turut bersama Jemaah Islam, menyokong dan mengundi Parti Islam, supaya Islam dapat di jadikan panduan dalam mengatur kehidupan masyarakat dan negara.

"Sesungguhnya Agama di sisi Allah, hanyalah Islam"

Followers