Wednesday, September 21, 2011

UMNO Gagal Bela Bahasa Melayu


Berita dari BERNAMA di bawah antara bukti jelas kegagalan dan kemusnahan bangsa yang di perjuangkan oleh UMNO yang menerajui negara. UMNO yang mengaku berjuang kebangsaan Melayu ternyata telah gagal. Kalau bab bangsa dan bahasa yang menjadi dasar parti pun UMNO gagal, apa lagi yang di harapkan daripada mereka.... agama jauh sekali..


Penggunaan Bahasa Rojak Di Kalangan Generasi Muda Kian Parah - Naib Canselor UUM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Penggunaan Bahasa Melayu 'rojak' di kalangan generasi muda ketika berkomunikasi terutama dalam majlis formal kian parah, kata Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Beliau berkata situasi penggunaan bahasa rojak itu yang secara tidak langsung mengikis identiti bahasa Melayu yang indah diburukkan lagi dengan perkembangan teknologi moden menerusi telefon bimbit seperti penggunaan khidmat SMS dan sistem mesej Blackberry (BBM).

"Kalau dahulu kita mahu golongan muda menguasai bahasa Inggeris, tetapi kini bahasa Melayu pun mereka tak boleh nak kuasai, terutama penggunaan konteks ayat yang sangat lemah.

"Kebanyakan mereka lebih suka menggunakan bahasa singkatan atau bahasa jalanan walaupun ketika menghadiri majlis keraian, bertemu dengan golongan bangsawan atau orang kenamaan mahu pun ketika ditemuramah oleh pihak media," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UUM bersama MyPEC Sdn Bhd dan Digicity(M) Sdn Bhd di sini Selasa.

Mohamed yang kesal dengan situasi itu berkata faktor penyumbang gejala penggunaan bahasa rojak dan singkatan ini mungkin disebabkan golongan muda tidak lagi didedahkan dengan penulisan bahasa Melayu formal atau aktiviti komunikasi di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Justeru katanya, kegemilangan bahasa Melayu perlu dikembalikan dan cabaran itu perlu digalas oleh semua pihak terutama sistem pendidikan yang perlu menekankan kurikulum berlandaskan penggunaan bahasa Melayu dalam konteks yang betul.

"Mereka (pelajar) perlu dilibatkan secara serius dalam aktivti debat, pidato dan pantun misalnya kerana ia merupakan satu cara yang paling efektif untuk mereka berbahasa Melayu dalam konteks ayat yang betul.

"Bahasa Melayu itu indah, jika kita tidak peliharanya, ia akan hilang begitu sahaja dan ini akan menjadi isu besar kepada negara. Jangan disebabkan teknologi dan kemodenan, mereka merasakan bahasa Melayu standard tidak penting, ini kerana ia akan menjadi punca kemerosotan bahasa ibunda kita sendiri," katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Mohamed mewakili UUM, manakala MyPEC Sdn Bhd, sebuah syarikat yang membekalkan perisian untuk latihan simulasi perniagaan diwakili Pengarah Urusan, Matsham Ahmad dan Digicity (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat makanan dan minum (F&B) diwakili Pengarah Urusan, Datuk Rozman Hussin menandatangani MoA itu.

MoA itu ditandatangani bagi memeterai usahasama pintar dalam usaha membantu lebih ramai usahawan dapat dilahirkan di kalangan graduan UUM.



-- BERNAMA

No comments:

Followers