Monday, January 18, 2010

Seramai 4.39j layak mengundi belum daftar sebagai pemilih


PUTRAJAYA 18 Jan. – Kira-kira 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir tahun lalu, dengan 65 peratus daripada mereka adalah bumiputera.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, daripada jumlah itu, Selangor mencatat jumlah yang paling tinggi iaitu seramai 787,000 orang, diikuti Johor (605,000), Perak (526,000) dan Sarawak (473,000).

"Pada pengamatan saya, majoriti iaitu 65 peratus mereka yang belum berdaftar ini terdiri dari kalangan bumiputera, iaitu kaum Melayu dan kaum-kaum etnik di Sabah dan Sarawak kerana mengikut nisbah penduduk juga kaum bumiputera adalah kaum yang paling ramai.

"Daripada jumlah borang pendaftaran yang diterima baru-baru ini juga didapati lebih ramai belia daripada kalangan bukan bumiputera yang mendaftar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sehingga akhir tahun lalu, jumlah pengundi berdaftar di negara ini adalah 11.08 juta orang, berbanding jumlah keseluruhan mereka yang berumur 21 tahun ke atas adalah 15.47 juta orang. - Bernama

No comments:

Followers