Sunday, May 17, 2009

Perubahan...

Perubahan akan tetap berlaku. Samada kita mahu atau tidak, suka atau benci, dunia ini adalah makhluk. Setiap makhluk tertakluk kepada perubahan. setidaknya berubah daripada baru menjadi lama, muda menjadi tua seterusnya hidup akan mati. Itulah pusingan yang akan di hadapi semua makhluk.

Air yang bertangkung tidak mengalir akan membusuk. Itu kata-kata keramat peninggalan Al Marhum Ust Fadzil Noor, Mantan Presiden PAS. PAS pun akan berubah seiring arus masa yang menongkah laju. Kepimpinan silih berganti. Tektik dan strategi berubah mengikut keadaan semasa, namun yang tidak akan berubah adalah dasar PAS iaitu Islam. Kerana Islam itu adalah agama yang merubah dan mengatur manusia bukannya manusia yang merubah Islam.

Usia Muktamar telah menjangkau ke 55 kali telah mematangkan Ahli dan pendokong perjuangan ini. Jatuh bangun telah di lalui penuh semangat juang dengan darah dan air mata, keringat dan pengorbanan suka dan duka....

Muktamar tahun ini di adakan di Shah Alam, selangor. Tahun pemilihan saff pimpinan baru buat mengemudi jemaah untuk dua tahun mendatang.   Panas dan hangat tetap terasa meskipun mengikut kebiasaannya pemilihan dalam PAS ini di buat dengan penuh semangat muhibbah. Bukan berebut jawatan, tapi kesediaan untuk berada di posisi depan buat mempertahan Islam dan menggempur musuh. 

Dasar PAS tidak akan berubah selagi pimpinan yang memegang amanah tidak mengubah haluan. Dasar Islam yang menjadi pegangan PAS mempunyai asas rujukan yang sangat kukuh. Jaminan Allah terhadap Al Quran yang tak mungkin akan dapat di selewengkan hingga hari kiamat sudah cukup untuk menjadi rujukan buat jemaah Islam seperti PAS. 

Al Quran hendaklah menjadi rujukan dalam semua perkara berkaitan kehidupan manusia. Untuk menjadikannya rujukan, tentulah Kalam Allah itu perlu di fahami mengikut kehendak pemiliknya, iaitu Allah. Justeru bagi memahamkan kepada manusia, Allah telah melantik Rasul bagi menunjukkan contoh bagaimana menjadikan Al Quran sebagai pengatur kehidupan ini. Kerana tak mungkin manusia boleh menafsir sendiri dengan kadar akal yang sedikit ini jika tidak di tunjuk contoh dan di ajar oleh Allah.  Evolusi kejadian manusia itu sendiri pun sudah cukup menyedarkan kita betapa kita perlu di ajar walaupun kita di bekalkan dengan akal fikiran. Kita bermula dengan kelahiran yang tidak memiliki apa satupun kecuali tangisan. Allah lah yang mengajar kita dengan di kurniakan sejemput ilmu melalui perantaraan mata dan telinga serta akal.

Selepas Rasulullah wafat, pengajaran tentang mengatur kehidupan manusia dengan Al Quran ini di warisi kepada para sahabat yang mengambil contoh yang di tinggalkan oleh Rasulullah yang di kenali dengan Al Sunnah. Kemudian di warisi oleh Taabiin, kemudian Tabi' Tabiin seterusnya Imam Mujtahid, para muhaddith dan seterusnya oleh Alim Ulama' yang menjaga adab dan disiplin Ilmu sehingga zaman kita. Orang yang tidak mengikuti disiplin Ilmu yang membolehkan seseorang memahami Al Quran tentulah tidak mampu beramal dan memimpin mengikut kehendak Al Quran. Sehebat mana pun akal yang dia miliki, setinggi manapun gagasan yang dia bawa jika tidak berupaya memahami kehendak Al Quran, tak mungkin dapat menjadi pemimpin mengikut contoh yang tinggalkan oleh Al Rasul. 

Abu Jahal adalah seorang yang cerdik sehingga di gelar Abul Hakam. Tokoh-tokoh hebat yang tercatit dalam sejarah dunia adalah terdiri daripada kalangan orang cerdik luar biasa. Tetapi jika tidak menjadikan Wahyu sebagai panduan, mereka tak mampu memimpin manusia selamat dari sudut fitrah kemanusiaannya, walaupun mungkin dari sudut materialnya mereka di katakan berjaya.

Itulah yang di sebut oleh Tuan Guru Nik Aziz, oleh kerana PAS ini parti Islam, dan hanya ulama' yang memahami Islam, maka kepimpinan tertinggi sewajarnya di pegang oleh Ulama' supaya tidak lari daripada dasar Islam yang di perjuangkan oleh PAS.

Mudah-mudahan Muktamar pada tahun ini akan meneruskan tradisi kepimpinan Ulama' bagi membawa PAS terus kekal dengan perjuangan mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini. Walaupun berlaku perubahan individu yang dipilih untuk mengemudi Parti, tetapi biarlah asas Islam yang menjadi pegangan PAS terus kekal menjadi dasar perjuangan.

 Kemenangan adalah sangat mustahak untuk melaksanakan Islam. Tetapi kemenangan bukanlah penentuan utama Islam dapat di laksanakan. Banyak contoh sejarah di nukilkan. Dalam negara kita sendiri contohnya. Yang berjuang untuk kemerdekaan negara banyakannya di pelopori oleh ulama'. Tetapi apabila merdeka, teraju kepimpinan diserahkan kepada golongan nasionalis/sikular. Ulama' terpinggir dan masih sehingga sekarang berjuang untuk melaksanakan Islam dalam tanahair tercinta ini. 

Oleh kerana itu kita mahu apabila kita di kurniakan kemenangan oleh Allah, biarlah kemenangan itu dapat di isi dengan Islam. Bukan kemenangan yang mengalahkan jahiliah, lalu menegakkan jahiliah yang lain pula.... 

No comments:

Followers