Oleh - Amirul Dzulkifli ( http://www.sinarharian.com.my/com/content/story7566125.asp )
ENTAH di mana silapnya, Terengganu tidak habis-habis dengan cerita runtuh. Bermula bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kepada penghadang cahaya kaca di terminal bas baru Kuala Berang yang sedang dalam pembinaan.
Tatkala orang ramai menunggu Ahmad Said mengumumkan laporan siasatan berhubung kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, para besi bagi pembinaan bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) runtuh.
Tidak dapat dipastikan apakah petandanya? Apakah kejadian itu membawa petanda awal akan berlaku keruntuhan yang lebih besar seperti yang berlaku pada tahun 1999?
Tentang siasatan bumbung stadium yang runtuh, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said beria-ia mahu mengumumkannya. Beliau pernah berkata, Kerajaan Negeri bersedia mendedahkan laporan penuh mengenai kejadian itu bagi menjamin integriti dan imejnya terus terpelihara.
Tiba-tiba pada awal bulan lalu beliau berubah nada: “Kerajaan Terengganu akan mengumumkan laporan siasatan berhubung kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh pada minggu depan jika mendapat persetujuan anggota Exco.”
Apabila Ahmad Said seakan-akan hilang keterujaan, maka timbul tanda tanya di kalangan banyak pihak di negeri itu. Tidak kurang pula yang membuat spekulasi bahawa laporan berkenaan tidak memenuhi harapan beliau, lalu beliau menjadi “sejuk kaki.”
Setelah dua tahun menerajui Terengganu, Ahmad Said hanya turun padang di tiga buah daerah, justeru, secara purata, lapan bulan untuk sebuah daerah. Kalau setahun hanya tiga daerah, maka dua tahun enam daerah – mungkin tidak sempat habis turun padang. Sebagai Menteri Besar, justeru sebagai pemimpin, pastinya rakyat Terengganu ingin melihat Ahmad Said mengemudikan negeri itu dan mengetuai atau menuntun rakyat dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan, baik yang berbentuk fizikal mahupun yang berbentuk kerohanian, intelektual dan minda.
Belum reda isu runtuh, Ahmad Said mencetuskan kontroversi apabila mengumumkan Pulau Redang khusus destinasi pelancongan mewah dengan kewujudan hotel bertaraf lima bintang dan bukannya hotel murah dan chalet.
Meskipun mendakwa dirinya berasal daripada keluarga miskin, tetapi alasan mengaitkan usahanya itu akan melihat kedatangan pengunjung dengan standard tinggi dan bukan orang yang bawa bungkusan nasi dan bekalan lain yang kemudian akan mencampak ke merata-rata sehingga menjejaskan alam sekitar berbaur angkuh.
Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini, Ahmad Said dilaporkan berkata beliau malu dan sedih apabila rakyat negerinaya dikongkong mentaliti negatif yang tidak mementingkan aspek kebersihan persekitaran.
Sebenarnya, tidak ada apa yang perlu dimalukan dan disedihkan tentang gejala ini kerana sebagai Menteri Besar inilah cabaran terhadap beliau, iaitu mengubah budaya 'pengotor orang Terengganu'. Sebagai pemimpin, beliau tidak sepatutnya mengeluh, sebaliknya beliau sepatutnya mencari strategi melahirkan masyarakat bersih di negeri itu seperti budaya BMW – 'Bersih, Menawan dan Wangi' yang dicadangkan ADUN Pas, Abdul Wahid Endut.
Sesungguhnya, bukan sesuatu yang bijak apabila seseorang pemimpin bernostalgia tentang kehidupan masa lampau. Juga bukanlah baik apabila seseorang pemimpin cepat berputus asa. Sebaliknya, pemimpin sepatutnya sentiasa merenung jauh ke hadapan, meneroka kemungkinan, meninjau peluang serta cabaran dan mengharungi realiti baru.
No comments:
Post a Comment