Gambar lain boleh dilihat di bawah
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan tindakan Kerajaan Malaysia yang mempromosikan negara Israel dan produk perdagangan mereka melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
PAS telah mendapat maklumat dan beberapa bukti bergambar mengenai perpustakaan MITI yang telah menyediakan satu rak khas untuk bahan bacaan, majalah dan informasi perdagangan negara Israel. Perpustakaan di tingkat 11 ini terbuka bukan sahaja kepada kakitangan tetapi kepada orang ramai terutamanya ahli perniagaan Malaysia untuk rujukan. Oleh itu tindakan MITI ini sekaligus dianggap sebagai satu usaha mempromosikan perdagangan dan Industri Israel dalam negara.
Antara yang boleh ditemui diperputakaan berkenaan adalah majalah Israel-Asia Trade, Israel Review, Buku Advantage Israel, Trade Policies Review (Israel), Advance Technology From Israel, Opportunity Israel, The Economics of Israel, Douanes (Buku kod tarif perdagangan Israel) dan beberapa lagi.
Ini bertentangan dengan dasar Kerajaan yang sebelum ini tidak mengiktiraf negara berkenaan. Malah dalam senarai garis panduan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ada disebutkan bahawa sebarang iklan atau bahan dari negara Israel atau yang berkaitan adalah diharamkan dinegara ini termasuk dalam bentuk majalah atau buku.
PAS hairan, macam mana buku dan majalah ini boleh masuk ke negara ini sedangkan selama ini Menteri MITI mengumumkan di Parlimen bahawa mereka langsung tidak berhubung dengan negara berkenaan. Berkali-kali ahli parlimen tanya tentang hubungan perdagangan Malaysia-Israel tetapi MITI menafikan di parlimen.
Kehadiran rak khas untuk Israel ini membongkar kesangsian rakyat selama ini terhadap dasar Kerajaan yang pada tahun 1994 telah meluluskan pindaan Akta Larangan Import (pindaan bil.7) yang menarik balik sekatan import terhadap barangan Israel.
PAS juga difahamkan bahawa MITI secara rahsia sebenarnya membenarkan urusan import-eksport ke negara itu dan segala urusan hendaklah dibuat terus kepada Bahagian Kawalan Import Eksport yang mana setiap permohonan akan ditimbang oleh satu jawatankuasa khas.
Perkara ini disahkan oleh Menteri Perdagangan dan Industri Israel dalam majalah Israel-Asia Trade terbitan bulan Mac 2006 dimana beliau begitu gembira dengan cadangan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Mahathir Mohamad dan Menterinya Rafidah Aziz yang berminat untuk mengadakan hubungan perdagangan dengan Israel.
Nampaknya hingga ke hari ini Kerajaan Malaysia yang dipimpin BN masih lagi bermain kayu tiga dengan Israel di belakang rakyat. Jika Mahathir membayar berjuta-juta ringgit kepada sebuah Syarikat Yahudi, Satchi & Satchi untuk membantunya merangka strategi pilihanraya umum 1986, Najib hari ini mengunakan APCO Worldwide untuk persediaan Pilihanraya ke-13. Dan Mukhriz pula diletakan di MITI sebagai Timbalan Menteri bagi melindungi rahsia kepimpinan ayahnya yang begitu banyak bergantung harap dengan kepakaran Israel.
Begitulah akrabnya pemimpin Umno-BN dengan organisasi Israel-Yahudi yang mendokong fahaman Zionis.
PAS yakin, lebih banyak maklumat sulit mengenai hubungan dagang Malaysia-Israel serta lawatan sulit pemimpin negara disembunyikan oleh Kerajaan. PAS mahukan jawapan kerajaan terhadap hubungan kayu tiga ini dan mengapa Malaysia beria-ria mahu mempromosikan perdagangan dengan Israel.
Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Terdapat 8 Gambar Dalam Lampiran ini
Komentar Menteri Perdagangan dan Industri Israel, Micha Harish tentang keinginan Malaysia Menjalinkan hubungan dagang dengan negara itu.
No comments:
Post a Comment