Wednesday, May 30, 2012

Tahun-Tahun Yang Menipu

“Susahnya hendak membuat pendirian sekarang ini” keluh seorang kawan.
“Semua benda macam ada berlapis-lapis maklumat hingga tidak pasti mana yang betul mana yang salah” tambah seorang lagi.
Mereka berdua tidak sendirian.
Ia bukan keluhan pinggiran.
Ia menjadi apa yang dirasakan ramai. Malah ia bukan sekadar rasa. Ia kenyataan.

Mengapa susah sangat hendak memahami mana yang betul, mana yang salah? Jika di suatu ketika kesusahan ini berpunca daripada kekurangan maklumat, kini kesusahan yang sama diakibatkan oleh maklumat yang berlambak. Terlalu berlambak. Tambah-tambah pula hal politik, hal ekonomi. Kalau lemah stamina untuk mencantum kepingan puzzle, mungkin jawapan akhirnya ialah, “arghh. Sama sahaja semuanya!”
Mana mungkin sama.
Kalau semua sama, itu bahasa putus asa.
Putus asa dibenci Allah dengan penuh murka.
Sesungguhnya kita sedang hidup di era tahun-tahun yang menipu. Penipuan yang tidak dapat ditunjuk siapa penipunya. Yang jelas, mangsa penipuan itu kita semua. Kecelaruan ini bukan kecelaruan main-main. Ia ujian Allah untuk umat akhir zaman. Renungi pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]
Segalanya jadi terbalik.
Orang yang bercakap benar dianggap pendusta.
Orang yang berdusta dianggap berkata benar.
Orang yang khianat dianggap amanah.
Orang yang amanah, dikhianati.
Semua jadi terbalik.
Kalau boleh, mahu sahaja saya sarankan satu kaedah mudah iaitu apa sahaja yang diwar-warkan oleh media, carilah yang sebaliknya. Kebenaran ada di situ! Tetapi saya tidak boleh memandu hidup semudah itu. Kita perlu kembali kepada kaedah. Cari panduan. Namun isunya ialah panduan siapa?
Jika SIAPA yang jadi kaedah, siapa itu adalah lubuk masalah.
“…dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]
Ketika kita dahagakan bimbingan, yang rancak membimbing adalah al-Ruwaibidhah.
Al-Ruwaibidhah ini, para sahabat juga tidak arif mengenainya. Mereka meminta penjelasan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menggelar mereka sebagai AL-SAFEEH. AL-SAFEEH ini bukan sekadar orang bodoh, tetapi si bodoh yang tidak malu untuk menzahirkan kebodohannya melalui apa yang diucapkan. AL-SAFEEH inilah yang memberi penjelasan, penerangan, huraian, agar manusia dapat membezakan antara yang dusta dan benar, antara yang khianat dan amanah, antara yang batil dengan yang hak.
Lalu dengan kebodohannya yang tersebar dalam kepetahan, semakin bingunglah masyarakat. Semakin tertipulah orang ramai dalam tahun-tahun yang menipu ini.
PENYELESAIAN
Saya tiada jawapan mudah.
Oleh kerana tahun-tahun yang menipu ini adalah muqaddimah era Dajjal, maka kita perlu kembali kepada benteng yang dibekalkan oleh Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam. Kita perlu membaca, meneliti, menghayati dan mengangkat tinggi SUNTIKAN IMUNISASI diri yang wujud di dalam SURAH AL-KAHF.
Menurut Sahib Tafseer fee Dhilaal al-Quran, Surah al-Kahf berfungsi melindungi orang-orang yang beriman daripada fitnah Dajjal kerana ia menyediakan ‘tools’ untuk menghasilkan tiga perkara:
  1. (تصحيح العقيدة) Membetulkan sistem kepercayaan (Aqidah)
  2. (تصحيح منهج النظر و الفكر) Membetulkan metod memerhati dan berfikir (Pandangan Hidup)
  3. (تصحيح القيم بميزان العقيدة) Membetulkan sistem nilai dengan pertimbangan kepercayaan (Nilai)
Justeru, semaklah perkara-perkara berikut:
  1. Apakah yang engkau percaya, dan bagaimanakah cara engkau mempercayainya?
  2. Bagaimanakah cara engkau memerhatikan sesuatu kejadian dan memikirkannya? Apakah pandangan hidup kamu sesuai dengan siapa kamu, siapa Allah dan apa makna kehidupan ini?
  3. Apakah nilai yang engkau pegang dalam hidup ini? Adakah apa yang penting di sisi Allah, penting dalam hidupmu? Apakah apa yang engkau sanggup lakukan, ia sebenar-benarnya ada harga di sisi Allah?
Untuk menjawab soalan itu, jawapannya tidak perlu dikongsi dengan orang lain.
Tanyalah diri masing-masing, adakah aku mangsa, adakah aku pemangsa, adakah aku al-Ruwaibidhah itu, atau adakah aku calon Dajjal yang maha menyesatkan itu?
Lindungilah kami dan zuriat kami di era fitnah ini ya Allah.
“اللهم أرنا الحق حقاً، وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلاً، وارزقنا اجتنابه، ولا تجعله ملتبساً علينا فنضل، واجعلنا للمتقين إماما “
“Ya Allah tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai benar dan kurniakan rezeki untuk kami mengikutnya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai batil dan rezekikanlah kami untuk menjauhkan diri daripadanya. Jangan jadikan ia keliru terhadap kami hingga kami tersesat, dan jadikanlah kami ikutan orang-orang yang bertaqwa”

Tuesday, May 29, 2012

Undi PAS belum tentu masuk syurga tapi kalau undi Umno...



Utusan melaporkan:

KUALA LUMPUR 27 Mei - Pas perlu menarik balik 'fatwa' mengatakan individu yang mengundi parti itu akan mendapat balasan syurga kerana ia ternyata terkeluar daripada ajaran Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, hanya Allah SWT yang berhak menawarkan ganjaran syurga dan bukannya Pas.

Ini kerana katanya, Pas yang lahir daripada sistem demokrasi Barat hanyalah sebuah parti politik dianggotai oleh manusia biasa serta tidak lari daripada melakukan sebarang kesilapan.

"Adakah Pas itu sempurna sehingga melayakkan parti politik tersebut menjanjikan syurga kepada para ahli dan pengundinya?

"Demi kekuasaan, Pas sanggup menjanjikan syurga. Adakah kuasa politik boleh menjanjikan sesuatu yang setaraf dengan Allah SWT? Pas perlu tarik balik kenyataan undi Pas boleh masuk syurga," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - Utusan.  

Memang hebat Ulama' Muda Umno ni kalau bab menggoreng, bergabung pulak dengan media penchachai macam Utusan, lagi la terserlah kehebatannya.

Cuma masalahnya, bilanya PAS kata "undi PAS masuk syurga." selama ni yang aku dok dengar cuma orang Umno yang dok kata PAS kata padahai sejak dari dulu lagi PAS nafikan apa yang orang Umno kata tu.

Bawak keluar gak sekali video pemimpin PAS kata macam tu, biar ada bukti sikit kalau nak spin pun.

Tapi kalau ungkapan "Undi PAS dapat pahala" memang TG Nik Aziz sendiri kata dia memang ada kata dan dia memang selalu dok ulang kata-kata tu.

Formula yang TG Nik Aziz guna cukup mudah. nak bagi lagi mudah faham dan mudah ingat ada yang tolong buat imej bawah ni.


Apa pun, aku suka ayat yang selalu PakBakar Penarikbeca guna dalam isu 'undi PAS masuk syurga' ni.
Saya tetap dengan keyakinan bahawa undi PAS belum tentu masuk syurga, tetapi kalau undi Barisan Nasional, silap-silap gaya macam ambik tiket masuk neraka. - Penarikbeca

Saturday, May 26, 2012

Mufti Perak: Halalkan yang haram 'kafir'

Saya sokong fatwa mufti ni, tetapi kita mesti luaskan skop penggunaan fatwanya itu, iaitu haram dan kafir juga orang yang mengambil dan menghalalkan rasuah, mencuri duit royalti minyak, menolak syariat islam dan pelbagai kemungkaran lagi.

KUALA LUMPUR 25 Mei - Umat Islam diingatkan supaya jangan sesekali bertindak menghalalkan perkara yang telah digariskan sebagai haram mengikut syariat Islam seperti perjuangan yang dilakukan Irshad Manji yang mempertahankan gaya hidup seorang lesbian.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sekiranya terdapat umat Islam yang menghalalkan sesuatu yang haram, mereka boleh tergolong sebagai kafir dan perkara itu seharusnya dijauhi.
Katanya, dalam al-Quran terdapat banyak sirah lampau berkenaan umat-umat terdahulu yang ditimpa azab Allah berikutan membudayakan perkara yang dimurkai.
"Justeru, lihat dan baca apakah yang terjadi kepada mereka akibat ingkar pada ajaran Allah. Mereka menerima bala yang amat dahsyat sehingga lenyap ditelan 'balasan' yang diturunkan seperti yang terjadi kepada umat Nabi Luth.[sumber]

Thursday, May 24, 2012

Habiskan Umur Untuk Perjuangan

Hidup ialah nikmat dan anugerah Allah kepada manusia. Ia juga merupakan satu tanggungjawab yang perlu ditunaikan sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan muka bumi ini. Nabi SAW telah bersabda “Orang yang terbaik di kalangan manusia ialah orang yang panjang umur dan baik pula amalannya”.
Umur yang panjang ialah anugerah nikmat yang Allah berikan kepada manusia, maka hendaklah digunakan dengan betul bukan dihabis kepada perkara yang tidak berfaedah. Kerana setiap detik dan saat akan dihisab di hadapan Allah SWT.
Kehadiran kita ke atas muka bumi sebagai manusia bukan atas pilihan kita tetapi ia adalah ketentuan Allah SWT kepada kita. Samada kita suka atau tidak, kita sudah dijadikan sebagai mahkluk Allah yang terpilih. Merupakan mahkhluk yang paling elok kejadiannya. Firman Allah bermaksud, “Sesungguhnya kami telah jadikan manusia itu sebaik-baik kejadian”. (al-Tin 95:4)
Pengiktirafan Allah kepada manusia bukan ia berlalu begitu sahaja tanpa ada tanggungjawab yang wajib dipikul oleh manusia. Manusia mesti mempunyai tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi untuk memastikan peraturan alam berjalan menurut paksi yang Maha Agung. Sebarang keingkaran akan membawa padah setelah kematian nanti.
Oleh itu Allah menganugerahkan nikmat hidup maka perlulah kita guna dengan sebaik mungkin supaya ia menjadi amal saleh. Allah memberikan umur dan hayat untuk hidup jangan dipersiakan begitu sahaja. Kerana setiap detik nyawa kita akan dipersoal oleh Allah SWT kepada kita. Sebagai mana Sabda Rasulullah SAW
“Tidak bergerak kaki seorang hamba pada hari kiamat, sehingga disoal empat perkara , tubuh badannya kemana yang ia gunakan, mengenai hartanya daripada mana ia perolehi dan kemana ia belanjakan, mengenai ilmunya adakah ia beramal dengannya”
Oleh itu sewaktu kita hdup dan sihat dan kuat kita habiskan umur kita kepada perjuangan. Tidak ada makna hidup tanpa perjuangan. Apa erti kita menjadi manusia sekiranya Islam tidak dihayati oleh manusia lain? Apa erti kita sebagai khalifah Allah sekiranya kita tidak memperdulikan kepimpinan negara yang kianat kepada amanah rakyat?
Beramallah sebelum Allah menjemput kita. Berbaktilah kepada agama Allah sebelum nyawa berada di hujung halkum dan martahari naik di sebelah barat. Pada ketika itu tidak ada guna lagi untuk kita hendak berbakti kepada Allah SWT. Sebagaimana orang yang tidak beriman menyatakan bahawa
“Ya Allah kembalilah ke dunia untuk kami beramal soleh dengan apa yang telah kami tinggalkan selama ini” (al-Mu’minun 23:99-100)
Pada ketika itu tidak ada makna lagi. Kerana hari akhirat merupakan hari pembalasan bukan untuk membuat amalan.
Justeru itu segala nikmat hidup yang Allah SWT berikan kepada kita hendaklah kita manfaat dengan sebaik mungkin.
Siapa yang panjangkan umur dan menghabiskan untuk taat kepada Allah maka kebajikan akan bertambah dan darjat pun akan meningkat tinggi. Setiap hari ia mengerjakan amal bakti dan berebut untuk mendapatkannya. Kerana ia sedar bahawa amal soleh hanya boleh dilakukan di dunia sahaja kerana akhirat ialah tempat balasan bukan tempat amalan. Sebaliknya jika ia dipanjangkan umur ,dihabiskan untuk melakukan maksiat dan menderhakai Allah maka ini adalah celaka kerana ia menambahkan kejahatan dan menambahkan maksiat kepad Allah.
Mohonlah kekuatan kepada Alah untuk memberi kekuatan kepada kita untuk melakukan amal soleh sewaktu hidup sebelum terlambat. Gunakanlah peluang hidup sebelum ajal datang ,mengejut. Kerana kita sering terdedah dengan mala petaka dan bencana, bila -bila masa sahaja nyawa boleh tercabut. Saat itu tidak berguna lagi untuk kita berbakti kepada Allah SWT.
Oleh itu modal untuk kita memberi kebahagiaan kepada kita ialah umur yang masih berbaki untuk menyimpan simpanan bekalan di hari akhirat. Jangan kita membelanjakan yakni menghabiskan usia umur kita kepada perkara yang sia-sia sahaja, kelak kita akan menyesal dan berduka cita sesudah mati ketika itu baru sedar bahwa amalan kita kurang dan hendak kembali kepad Allah SWT.
Kita tidak mahu ketika kita ditunjukkan amalan maka kita hendak memilih mati sahaja, tetapi malangnya di akhirat tidak ada mati lagi yang ada ialah balasan tuhan yang maha adil. Hidup ini adalah tanggungjawab yang wajib dipenuhi dan nikmat yang perlu disyukuri. Kita tidak perlu memohon kepada Allah dicabutkan nyawa kita jika belum sampai ajalnya. Walaupun kita didatangi berbagai ujian dan musibah. Kerana ini bukan ajaran Islam, sebagai Rasulullah SAW bersabda bermaksud
“Tidaklah sepatutnya seorang kamu mengharapkan kematian dan tidak pula mendoakan supaya kematian itu datang sebelum waktu nya, kerana bila seorang telah mati putuslah amalnya, dan bagi orang beriman (dengan umur yang panjang) peluang menambah kebaikan” (Riwayat Muslim)
Nabi SAW juga mengingatkan kepada kita supaya tidak perlu kita meminta Allah menarik nyawa kita sebelum sampai masanya. Kerana hidup adalah peluang untuk kita bertaubat dan membanyakkan amal kepada Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud,
“Janganlah kamu mengharapkan kematian. Jika dia seorang yang berbuat kebaikan, mudah-mudahan bertambah kebaikannya dan kalau dia seorang yang berbuat salah, mudah-mudahan dia berpeluang bertaubat” (Bukhari)

Followers