FARAH SHAZWANI ALI
6 Januari 2013
ABDUL HADI AWANG
KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat
kejutan dengan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan menarik
balik fakta ucapan kontroversinya yang dilabelkan sebagai Amanat Haji
Hadi.
Beliau bertegas mahu diberi peluang untuk menjelaskan perkara sebenar
berhubung dengan ucapan yang dibuatnya di Kampung Banggol Peradong,
Manir, dekat sini, 32 tahun lalu.
Menurutnya, masyarakat perlu mendengar penjelasan beliau dahulu,
sebelum menilai sendiri sama ada apa yang beliau ucapkan itu betul atau
salah.
“(Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais
(Yatim) tak nak bagi peluang (kepadanya menjelaskan perkara itu melalui
siaran langsung RTM dan TV3).
"Itu hak dia, tetapi saya tetap dengan pendirian saya, supaya
masyarakat berlaku adil kepada semua pihak. Hanya cara (memberi
penjelasan melalui siaran langsung) itu boleh memulihkan keadaan, kerana
kita (Pas) tiada media. Biar rakyat tahu dan jangan dengar sebelah
pihak.
“Biar mereka nilai betul atau tidak. Televisyen perlu siarkan satu jam
ucapan saya. Amanat itu pentingkan?" katanya di Masjid Abidin, di sini,
selepas menziarahi makam bonda saudara Sultan Mizan, Tengku Zaleha
Ismail binti Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang mangkat pagi
semalam.
Pada 17 Disember lalu, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti
Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh menggesa Abdul Hadi
menarik balik Amanat Haji Hadi.
Harussani berkata, selagi seseorang Islam itu mengucap dua kalimah
syahadat, mengamalkan ajaran agama, orang itu tidak boleh dituduh kafir.
Wan Zahidi pula menyifatkan, amanat tersebut tidak memberi bahaya kepada Umno, sebaliknya ke atas Hadi sendiri.
Pendapat sama turut disuarakan Pengerusi Penerbitan Dakwah Islamiah
Malaysia (Pedim), Datuk Mat Jahaya Hussin yang berharap semua pihak
bercakap perkara yang benar sahaja.
Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula
berkata ahli Pas hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut, namun
Abdul Hadi wajar membuat penarikan semula sebagai pencerahan kepada
masyarakat.
Gesaan yang sama turut dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja
Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahya, Ketua Penerangan
Umno Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengarah Pusat
Pemikiran Islam dan Peradaban Melayu, Shamsudin Munir dan Pengerusi Umno
Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, antara lain.
Saya tidak label ucapan saya
Beliau berkata, beliau tidak pernah melabelkan ucapan dan kenyataan
yang dibuat di Kampung Dong Perada pada 7 April, 1981 itu sebagai Amanat
Haji Hadi.
"Saya tidak berikan nama amanat, tetapi orang lain yang berikan nama amanat. Mereka petik ucapan saya dan bentang dalam Dun.
"Saya akui ia memang ucapan saya, tetapi mereka (pihak berkuasa) hanya
senyap selepas itu. Itu ceritanya. Kenapa mereka tidak hujah pada masa
itu, tetapi 30 tahun kemudian?” kata Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen
Marang dan Adun Rhu Rendang.
Beliau turut menyanggah kenyataan Rais yang memutuskan tidak akan
melaksanakan cadangan untuk mengadakan forum bagi membincangkan Amanat
Haji Hadi menerusi RTM kerana penyiarannya menyalahi fatwa yang
dikeluarkan oleh Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Fatwa Kebangsaan, pada
24 Julai 2002.
Sambil menempelak Majlis Fatwa Kebangsaan, Abdul Hadi mempertikaikan
kenapa kenyataannya di Kampung Banggol Peradong itu didakwa bercanggah
dengan ajaran Islam.
“Saya tidak menerima apa-apa surat daripada Majlis Fatwa Kebangsaan
(mengenai perkara itu) dan saya cabar mereka (membuktikan mereka ada
menghantar kepada beliau surat mengenainya).
"Mereka membuat keputusan untuk mengharamkannya tanpa memanggil saya memberi penjelasan.
“Saya tidak dengar. Surat rasmi pun tiada. Hanya atas angin. Berniaga
pun tiada (dibuat) atas angin. Saya bercakap bukan kerana pilihan raya
(sudah hampir) tetapi kerana akhirat. Kita semua akan mati, hanya tuhan
yang akan menentukan siapa yang betul, siapa yang salah.
“Ada ke mereka (boleh) membuat keputusan tanpa bertemu dengan saya?
Betul ke? Mereka menjatuhkan hukuman tanpa perbicaraan,” katanya.