Friday, December 6, 2013

Al-Munafiqun : Membongkar Sisi Psikologi Kaum Munafiq


Kearifan Allah Taala meliputi apa yang tersembunyi di langit dan dibumi sekalipun ia tersimpan dalam anotomi seorang manusia bernama “hati”. Firman Allah Taala;

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَا هُم بِمُؤْمِنِينَ
“Dan di kalangan manusia ada yang berkata  mereka beriman kepada Allah dan hari Akhirat, sedangkan mereka sebenarnya tidak beriman.” (Al-Baqarah:8)

Hal ini diperincikan di dalam al-Quran, dalam surah yang khusus, bertemakan keperibadian golongan yang mengelabui kejahatan dengan menampilkan keimanan, iaitu surah “Al-Munafiqun” (Kaum Munafiq). Kebanyakan ulama’ tafsir menyebut bahawa surah “Al-Munafiqun” diturunkan selepas peperangan Mustalaq iaitu pada tahun ke-6 Hijrah. Hal ini dikuatkan dengan redaksi tokoh munafiq, Abdullah bin Ubay dalam ayat ke-8 surah ini;
لَئِن رَّجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنْهَا الأَذَلَّ
“Sungguh jika kita kembali ke Madinah, nescaya orang-orang mulia mengusir orang-orang yang hina darinya.”

Berkata Syeikh Mohamad Ali as-Sobuni di dalam “Sofwatu at-Tafasir”, “Nifaq (kemunafiqan) tidak dikenal ketika marhalah Makkiyah, tetapi mula dikenal ketika marhalah Madaniyah (selepas penghijrahan Nabi ke Yathrib) iaitu ketika Islam mula bertapak kukuh dan bertambah jumlah penganutnya.” 

Sungguhpun surah “Al-Munafiqun” mendedahkan kepada kita tokoh antogonis bernama Abdullah bin Ubai, pengajaran ayat di dalam surah ini masih bersifat umum. Sebenarnya hampir setiap surah Madaniyah, Allah mendedahkan tembelang mereka yang berhati busuk, kerana orang munafiq suka berpura-pura, pada lahirnya mengaku Islam dan beriman sedang batinnya tetap kufur yang disembunyikan. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam beberapa fasal, antaranya yang dapat disenaraikan;
  1. Surah Al-Baqarah ayat 8 hingga 20 : Golongan munafiq.
  2. Surah Al-Baqarah ayat 204 hingga 210 : Perbuatan orang-orang munafiq.
  3. Surah Ali-Imran ayat 165 hingga 168 : Beberapa sifat orang munafik.
  4. Surah An-Nisa’ ayat 137 hingga 147 : Beberapa keburukan orang munafiq.
  5. Surah At-Taubah ayat 62 hingga 66 : Tuduhan orang munafiq terhadap Nabi Muhammad s.a.w.
  6. Surah At-Taubah ayat 67 hingga 70 : Hasutan-hasutan orang munafiq dan ancaman Allah terhadap mereka.
  7. Surah At-Taubah ayat 75 hingga 78 : Pengakuan orang munafiq tidak dapat dipercayai.
  8. Surah At-Taubah ayat 79 hingga 80 : Kemunafiqan adalah dosa yang tidak diampuni Allah.
  9. Surah At-Taubah ayat 84 hingga 85 : Larangan mensolatkan jenazah orang munafiq.
  10. Surah At-Taubah ayat 86 hingga 90 : Keengganan orang munafiq untuk berjihad dan pahala orang yang berjihad.
  11. Surah Muhammad ayat 20 hingga 30 : Ancaman terhadap orang-orang munafiq.
  12. Surah Al-Munafiqun ayat 1 hingga 8 : Sifat-sifat orang munafiq.
Surah “Al-Munafiqun” membataskan hanya pada tema “munafiq” kecuali ayat 9, 10 dan 11 yang menutup surah ini sebagai kesimpulan agar orang-orang yang beriman tidak terjebak dengan gejala nifaq, yang rata-ratanya berpunca daripada sikap rakus, tamak dan lalai dengan perintah Allah. Ini kerana, gerakan kemunafiqan telah banyak mengganggu kelancaran dakwah baginda s.a.w, lantaran sikap mereka yang sering melakukan makar pengkhianatan di tengah-tengah kehidupan jamaah orang beriman.

Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w ketika solat Jumaat baginda akan membacakan surah “Al-Jumu’ah” dalam rakaat pertamanya, sebagai anjuran agar kaum beriman rajin beribadat. Manakala pada rakaat kedua pula baginda membaca surah “Al-Munafiqun” sebagai paluan, herdikan dan tamparan kepada golongan munafiq.
Pada ayat pertama surah “Al-Munafiqun”, Allah membongkar sifat munafiq kerana apa yang diungkapkan berbeza dengan apa yang dihasratkan. Mereka dengan megah menyungguhkan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, disebabkan adanya kepentingan duniawi. Firman Allah Taala;

إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ قَالُوا نَشْهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ اللَّهِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَكَاذِبُونَ
“Apabila orang-orang munafiq datang kepadamu (wahai Muhammad) lantas mereka berkata; Kami naik saksi sesungguhnya engkau sememangnya utusan Allah. Dan Allah sungguh mengetahui bahawa engkau memanglah utusan-Nya. Dan Allah naik saksi sesungguhnya orang-orang munafiq itu sememangnya para pendusta.” (Al-Munafiqun:1)

Menurut Ibnu Ishak, seorang tokoh ulama sirah meriwayatkan bahawa setiap hari Jumaat sedang Rasulullah s.a.w duduk untuk berkhutbah, Abdullah bin Ubay akan bangun membuat peringatan kepada kaum Muslimin dengan berkata;

أيها الناس هذا رسول الله صلى الله عليه وسلم بين أظهركم أكرمكم الله به وأعزكم به فانصروه وعزروه واسمعوا له وأطيعوا له
“Wahai manusia! Ini dia Rasulullah s.a.w yang masih berada di kalangan kamu, dengannya Allah memuliakan kamu dan mengagungkan kamu, untuk itu bantulah Baginda, sokonglah Baginda, dengarlah dan taatilah Baginda.” 

Selepas itu, baharulah Rasulullah s.a.w berdiri untuk berkhutbah. Maka, Allah menyedarkan umat beriman tentang penipuan yang dilakukan kaum munafiq yang pada hakikatnya mereka menipu diri sendiri, kerana segala bentuk kesamaran yang disembunyikan kelak akan terungkap di hari pembalasan. Firman Allah Taala;

يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلاَّ أَنفُسَهُم وَمَا يَشْعُرُونَ
“Mereka menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanyalah menipu diri sendiri tanpa mereka sedari.” (Al-Baqarah:9)

Lebih dari itu, sebenarnya hati mereka sakit kerana tradisi kemunafiqan yang diperanankan dalam hati mereka.

فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضاً
“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambah penyakitnya itu.” (Al- Baqarah:10)

Mereka membuat pengakuan dan pengisytiharan bahawa amalan-amalan mereka adalah demi kemaslahatan makhluk di bumi, padahal semuanya hanyalah kepulan asap yang menutup kerakusan dan kerosakan yang dilakukan mereka. Allah Taala berfirman;

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لاَ تُفْسِدُواْ فِي الأَرْضِ قَالُواْ إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ
“Dan apabila dikatakan kepada mereka; ‘janganlah berbuat kerosakan di bumi!’ Mereka menjawab, ‘sesungguhnya kami justeru orang-orang yang melakukan perbaikan.” (Al- Baqarah:11)

Bahkan golongan munafiq ini sanggup menggunakan “syahadah” mereka sebagai sumpah palsu demi menghalang manusia daripada jalan Allah (syariat-Nya). Mereka mengikrarkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu Rasul Allah dengan sumpah yang bohong.

اتَّخَذُوا أَيْمَانَهُمْ جُنَّةً فَصَدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّهُمْ سَاء مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Mereka itu menjadikan sumpah sebagai topeng (perisai), lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.” (Al-Munafiqun:2)

Firman Allah;

ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا فَطُبِعَ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لا يَفْقَهُونَ
“Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka telah beriman. Kemudian menjadi kafir (semula) lalu hati mereka dibelenggu (dikunci), maka mereka pun tidak dapat memahami.” (Al-Munafiqun:3)

Maka, sebetulnya orang-orang munafiq sudah pun mengenal batasan iman dan kufur tetapi mereka lebih cenderung memilih jalan kebinasaan. Mereka telah pun mengenali Islam sepanjang bersama Rasulullah s.a.w, tetapi mereka tetap menolak kebenarannya kerana mengharapkan nilaian-nilaian itu berbentuk material, bukannya janji pahala dan ganjaran syurga. Firman Allah;
وَإِذْ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ مَّا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ إِلاَّ غُرُورًا
“Ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang di dalam hatinya berpenyakit berkata; Tidak adalah janji Allah dan Rasul-Nya kepada kami, melainkan penipuan semata-mata.” (Al-Ahzab:12)

Firman Allah seterusnya;
وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ وَإِن يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِمْ هُمُ الْعَدُوُّ فَاحْذَرْهُمْ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ
“Dan apabila engkau melihat mereka engkau akan dikagumkan oleh (potongan) badan mereka. Dan sekiranya mereka bercakap pasti engkau (tertarik) mendengar perkataan mereka. Mereka itu seolah-olahnya tunggul yang tersandar yang menyangkakan teriakan yang keras itu ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka. Allah laknat mereka. Ke mana mereka akan memalingkan muka (dari kebenaran).” (Al-Munafiqun:4)

Ayat di atas menggambarkan sikap luaran kaum munafiq yang indah-indah, mengkagumkan pandangan manusia. Sedangkan hakikat mereka itu ibarat kayu yang tiada daya hidup, tidak memiliki akar yang kukuh, apatah lagi menghasilkan buah yang ranum. Kata Ibnu Hayyan, “Golongan munafiq ini ibarat kayu yang menunggu saatnya menjadi arang.”

Ibnu Abbas r.a menceritakan tentang Abdullah bin Ubai ini memiliki tubuh yang sasa, lidah yang fasih, wajah yang tampan. Begitu juga khalayak lain yang seiring dengan watak kemunafiqan Abdullah bin Ubai, turut memiliki kelebihan yang sama. Mereka sering hadir di majlis Rasulullah, sambil bersandar di dinding-dinding. Mereka gemar melekehkan orang-orang yang berada di luar ‘grup’ mereka, sedangkan mereka adalah orang-orang yang buta “mata dan hatinya”, tuli “pendengarannya daripada petunjuk” dan bisu “mulutnya daripada kebenaran”.

Mereka bagaikan orang berjalan di dalam kegelapan dengan suasana ribut hujan disertai gegar gemuruh guruh, petir dan kilat yang sambar-menyambar. Mereka berhati-hati melakukan aksi kemunafiqannya, sedangkan Allah tidak buta melihat apa yang disembunyikan dalam hati mereka.

Mereka juga angkuh untuk memohon keampunan daripada Allah sungguhpun yang mengajak seruan itu adalah Rasulullah s.a.w.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا يَسْتَغْفِرْ لَكُمْ رَسُولُ اللَّهِ لَوَّوْا رُؤُوسَهُمْ وَرَأَيْتَهُمْ يَصُدُّونَ وَهُم مُّسْتَكْبِرُونَ
“Dan apabila dikatakan kepada mereka; ‘Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu’, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya; dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.” (Al-Munafiqun:5)

Para mufassirin mengatakan selepas surah ini diturunkan, maka sebahagian kerabat Abdullah bin Ubay datang menemuinya serta menyedarkan bahawa surah ini diturunkan berkenaan sikapnya. Mereka berkata kepada Abdullah bin Ubay, “Temuilah Nabi Muhammad s.a.w dan akuilah dosamu agar Rasulullah meminta daripada Allah agar dosamu diampunkan.”

Lantas seruan mereka disindir Abdullah bin Ubay;


لقد أشرتم عليّ بالإيمان فآمنت، وأشرتم عليّ بأن أعطي زكاة مالي ففعلت، ولم يبق لكم إلا أن تأمروني بالسجود لمحمد
“Sesungguhnya kamu telah memujukku beriman, aku pun beriman. Kamu memujukku memberikan zakat harta, aku pun menunaikannya. Tidak ada lagi yang tertinggal (segala perintah kamu telah dilaksana) melainkan kamu suruh supaya aku sujud kepada Muhammad!”

Kemudian Allah berfirman;

سَوَاء عَلَيْهِمْ أَسْتَغْفَرْتَ لَهُمْ أَمْ لَمْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ لَن يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“(Tiada faedahnya) kepada mereka (kaum munafiq), sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.” (Al-Munafiqun:6)

Ibnu Ishak memperincikan lagi kisah kemunafiqan Abdullah bi Ubay, ketika kembalinya tentera Islam daripada peperangan Mustalaq. Dalam perjalanan menuju Madinah, orang ramai menyerbu kawasan air di Al-Muraisi’ di perairan Bani Mustalaq di daerah Qadid. Keadaan sesak di sana menyebabkan berlakunya pergaduhan di antara dua orang lelaki bernama Jahjah ibn Usaid, orang suruhan Umar al Khattab r.a dengan salah seorang suku kabilah Juhainah daripada kaum Ansar iaitu Sinan al-Juhani, yang bersekutu dengan kabilah Abdullah bin Ubay.

Tatkala mereka sedang bergaduh, Sinan al-Juhani berteriak meminta pertolongan kaum Ansar, “Wahai kaum Ansar, bantulah aku”. Mendengar teriakan tersebut lalu Jahjah turut melaungkan sentiment perkauman yang sama dengan meminta pertolongan kaum Muhajirin.

Kejadian ini sampai ke pengetahuan Abdullah bin Ubay yang pada ketika itu bersama sekumpulan orang-orangnya termasuklah Zaid bin Arqam. Kata Abdullah bin Ubay, “Sudahlah mereka ketepikan kita setelah berasak-asak di negeri kita, mereka tidak ubah seperti melepas anjing tersepit. Demi Allah apabila kita pulang ke Madinah nanti, golongan yang mulia akan menghalau keluar golongan yang hina.”

Kemudian berkata lagi, “Inilah akibat tindakan kamu sendiri yang telah membenarkan mereka memasuki negeri kamu, kemudian berkongsi harta pula dengan mereka. Demi Allah sekiranya di hari ini kamu tidak menyedekahkan kemakmuran kamu itu nescaya mereka akan berpindah ke negeri lain.”

Allah kembali menempelak perkataan Abdullah bin Ubay;
هُمُ الَّذِينَ يَقُولُونَ لا تُنفِقُوا عَلَى مَنْ عِندَ رَسُولِ اللَّهِ حَتَّى يَنفَضُّوا وَلِلَّهِ خَزَائِنُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَلَكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لا يَفْقَهُونَ
“Mereka mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan kaum Muhajirin); ‘Janganlah kamu membelanjakan harta kepada orang-orang yang bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)’. Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapa yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendak-Nya); akan tetapi orang-orang yang munafiq itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).” (Al-Munafiqun:7)

Ugutan hina yang disuarakan Abdullah bin Ubay itu dilaporkan Zaid bin Arqam r.a kepada bapa saudaranya sehinggalah diketahui oleh baginda Nabi s.a.w. Lalu Umar al-Khattab meminta izin Rasulullah s.a.w agar memerintahkan Ubadah bin Bishr memenggal kepala Abdullah bin Ubay. Tegas Rasulullah s.a.w;
فكيف يا عمر إذا تحدث الناس أن محمدا يقتل أصحابه؟
“Bagaimana wahai Umar, jika nanti orang akan bercakap bahawa Muhammad membunuh sahabatnya sendiri?”

Untuk mengelakkan para sahabat terus bercakap-cakap mengenai niat busuk Abdullah bin Ubay itu, Rasulullah mengarahkan pasukan tenteranya melakukan perjalanan luar biasa kembali ke Madinah. Mereka berjalan sepenuh hari dari pagi hingga lewat ke petang, dari malam hingga ke pagi hari, dan hanya berhenti untuk menunaikan solat. Ketika itulah mereka terasa lapang, mereka keletihan dan terus tertidur maka tiada masa para sahabat berfikir tentang konspirasi jahat Abdullah bin Ubay.

Di saat rehat itulah Rasulullah s.a.w mengambil peluang bertanya kepada Usaid ibn Khudair r.a, anak kepada Khudair al-Kata’ib seorang pahlawan terkenal suku kaum ‘Aus, mengenai perancangan Abdullah bin Ubay. Jawab Usaid;

يا رسول الله ارفق به. فو الله لقد جاءنا الله بك وإن قومه لينظمون له الخرز ليتوجوه، فإنه ليرى أنك قد استلبته ملكا
“Wahai Rasulallah berlembutlah dengannya (Abdullah bin Ubay), demi Allah yang telah mentaqdirkan tuan Rasul kami, dan sesungguhnya pengikut Abdullah bin Ubay telah mengatur kemewahan (batu permata) untuk dikalungkan kepadanya (sebelum kedatangan Rasul). Lantaran itu, dia memandang kedatangan baginda Rasulullah s.a.w sebagai perampas haknya sebagai raja.”

Pendirian Rasulullah s.a.w ketika mendengar penjelasan Usaid ibn Khudair r.a adalah sebagaimana yang digambarkan dalam firman Allah Taala;

لاَّ خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلاَّ مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلاحٍ بَيْنَ النَّاسِ
“Tiada kebaikan daripada bisikan (perkataan manusia itu) kecuali seruan untuk bersedeqah, perintah melakukan perkara kebaikan ataupun perbaikan sesama manusia (mendamaikan manusia yang berselisih).” (An-Nisa’:114)

Abdullah bin Ubay menyedari bahawa rancangan busuknya itu telah sampai ke pengetahuan Nabi. Ketika perjalanan berbaki hampir ke Madinah, Abdullah bin Ubay berjalan bersama Nabi dan bersumpah bahawa dia tidak pernah berbicara seperti yang dilaporkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah mengiyakan penjelasan tersebut dan berhujjah barangkali Zaid bin Arqam tersalah dengar.

Keputusan yang diambil Rasulullah menyebabkan Zaid bin Arqam menjadi resah sehinggalah kemudianmya Allah menurunkan surah Al-Munafiqun. Ibnu Ishak menjelaskan ketika surah ini diturunkan Rasulullah s.a.w menunjukkan jari ke telinga Zaid bin Arqam. Sabda Rasulullah;

هذا الذي أوفى لله بأذنه
“Inilah orangnya yang memenuhi amanah kepada Allah dengan telinganya.”

Sayyid Qutb membahaskan ayat ini bahawa arahan Abdullah bin Ubai di sini ada persamaannya dengan apa yang dilakukan oleh musuh-musuh syariat di dalam lapangan politik hari ini. Mereka ibarat golongan Sekular Kapitalis yang menguasai ekonomi dengan menyekat sumber kehidupan komuniti masyarakat yang tidak dipersetujui oleh mereka. Mereka berselindung di bawah kapasiti seorang penganut Islam tetapi dalam jiwa mereka penuh dengan rancangan kebatilan.

Firman Allah;

يَقُولُونَ لَئِن رَّجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنْهَا الأَذَلَّ وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لا يَعْلَمُونَ
“Mereka berkata lagi; Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia (pihak kita) akan mengusir keluar orang-orang yang hina (orang yang berhijrah ke Madinah). Padahal bagi Allah jualah kemuliaan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan munafiq tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Al-Munafiqun:8)

Abdullah bin Ubay menyimpan hasad yang mendalam terhadap Islam, kerana kehadiran Nabi Muhammad s.a.w telah memalapkan peluangnya menjadi pemimpin pilihan bagi masyarakat di Madinah. Abdullah bin Ubay membahasakan dirinya “orang yang lebih mulia” dan membahasakan Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabatnya “orang-orang yang lebih hina”, sedangkan pada neraca Allah ia adalah sebaliknya.

Kata Imam al-Qurtubi r.hm, “Pada perkiraan orang munafiq mereka menyangka “orang yang lebih mulia” adalah orang yang banyak harta dan ramai para pengikutnya. Lalu diterangkan Allah bahawa kemuliaan adalah kurniaan yang hanya diberi kepada Rasul-Nya dan umatnya yang beriman.” (Tafsir al-Qurtubi:18/129)

Ibnu Ishak menjelaskan lagi, akibat rancangan nista Abdullah bin Ubay itu menyebabkan anaknya yang juga bernama Abdullah bertemu Rasulullah s.a.w sseraya menuturkan kata, “Ya Rasulallah, saya mendengar tuan ingin membunuh ayah saya. Seandainya itulah arahan tuan maka perintahkanlah saya membunuhnya.”

Rasulullah s.a.w lalu menjawab;
بل نترفق به ونحسن صحبته ما بقي معنا
“Tidak! Sebaliknya kita berlemah lembut dan bersahabat baik dengannya selagi dia tinggal bersama-sama dengan kita.”

Surah ini secara keseluruhan menemukan kita dengan perjalanan sirah, manhaj tarbiyah Ilahiyah dan takdir Allah dalam mengatur sesuatu urusan. Orang-orang munafiq hidup dalam barisan orang-orang beriman sehinggalah di penghujung hayat baginda Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w tidakpun mengeluarkan mereka daripada kelompok orang-orang beriman, walaupun baginda mengenal mereka melalui perangai, ragam, bahasa dan ciri-ciri mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w;
إِنَّ لِلْمُنَافِقِينَ عَلَامَاتٍ يُعْرَفُونَ بِهَا : تَحِيَّتُهُمْ لَعْنَةٌ، وَطَعَامُهُمْ نُهْبَةٌ، وَغَنِيمَتُهُمْ غُلُولٌ، وَلَا يَقْرَبُونَ الْمَسَاجِدَ إِلَّا هَجْرًا، وَلَا يَأْتُونَ الصَّلَاةَ إِلَّا دَبْرًا، مُسْتَكْبِرِينَ، لَا يَأْلَفُونَ وَلَا يُؤْلَفُونَ، خُشُبٌ بِاللَّيْلِ، صُخُبٌ بِالنَّهَارِ
“Sesungguhnya ada tanda-tanda pada orang munafiq yang dapat dikenali, penghormatan mereka (terhadap orang lain) adalah laknat, makanan mereka adalah hasil rampasan, ghanimah (harta rampasan perang) mereka adalah kecurangan, mereka tidak mendekati masjid kecuali menjauhkan diri darinya, tidak menunaikan solat kecuali setelah selesai, sombong, tidak mahu bersahabat dan tidak mahu diajak bersahabat, berkumpul pada malam hari dan bergaduh pada siangnya.” (Riwayat Ahmad)

Sungguhpun sifat munafiq itu nyata disebut di dalam Al-Quran, ia bukanlah tugas umat yang beriman untuk menghukum kepura-puraan kaum munafiq selagi belum nyata pengkhianatan mereka dalam bentuk tindakan. Tugas utama umat yang beriman adalah menyampaikan saranan-saranan yang terkandung di dalam Al-Quran demi kelancaran risalah dakwah yang ditinggalkan baginda Rasulullah s.a.w. Kepada orang yang munafiq ini cukuplah kita katakan;

قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ
“Allah laknat mereka. Ke mana mereka akan memalingkan muka (dari kebenaran).” (Al-Munafiqun:4)

Berdasarkan amalan politik Rasulullah s.a.w, baginda tidak pernahpun mengambil tindakan terhadap kaum munafiq selama mereka menampakkan ke-Islaman dan menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim. Hal itu kerana Allah tidak menyandarkan hati manusia kepada manusia. Apa yang terkandung dalam hati manusia itu adalah milik Allah semata-mata, dan Dia-lah yang akan menghisabnya di hari kemudian. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqallani menyebutkan;
نحن قوم نحكم بالظاهر والله يتولى السرائر
“Kami adalah kaum yang berhukum kepada perkara-perkara yang zahir, kepada Allah diserahkan (segala hukuman) melibatkan perkara-perkara batin (yang melibatkan hati).”

Allah tidak menjadikan syariat dan hukum kepada manusia berdasarkan firasat. Kerana itu, Rasulullah s.a.w hanya menyenaraikan nama-nama golongan munafiq kepada Huzaifah al-Yamani r.a sahaja dan melarang laporan itu disensasikan. Umar al-Khattab r.a sering bertemu dan bertanya kepada Huzaifah agar merasa tenang dari unsur kemunafiqan. Kata Huzaifah yang terkenal dengan gelaran “Penyimpan Rahsia Nabi” – Sohib Sirr Ar-Rasul – itu, “Wahai Umar, kamu tidak termasuk di kalangan mereka (yang munafiq). Aku dilarang Rasulullah berlebih-lebihan membicarakan hal ini.”

Allah melarang Rasulullah s.a.w mendirikan solat jenazah ke atas orang-orang munafiq ketika kematian Abdullah bin Ubai sebagaimana firman-Nya;

وَلاَ تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِّنْهُم مَّاتَ أَبَدًا وَلاَ تَقُمْ عَلَىَ قَبْرِهِ إِنَّهُمْ كَفَرُواْ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُواْ وَهُمْ فَاسِقُونَ
“Dan janganlah kamu sekali-kali mensolatkan (jenazah orang munafiq) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.” (At-Taubah:84)

Setelah baginda wafat perbuatan Huzaifah-lah yang menjadi isyarat kepada para sahabat jika beliau tidak melakukan solat jenazah ke atas seseorang yang dikenalnya. Sungguhpun demikian Huzaifah tidak mengatakan apa-apapun atas tindakannya itu, ini kerana maklumat sulit yang diterima adalah amanah Rasulullah s.a.w yang tiada sesiapapun yang boleh mengetahuinya.

Referensi :
  • Sayyid Qutb, “Tafsir Fi Zilal al-Quran” 
  • Imam al-Hafiz Imaduddin Ibnu Kathir, “Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir”
  • Syeikh Mohammad Ali as-Sobuni, “Sofwatu at-Tafasir”

    This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday, 4 October 2013

No comments:

Followers