Saturday, December 11, 2010

Tahun Baru Hijrah


Hari ini sudah masuk hari ke lima tahun baru hijrah. Masalah streemyx dan line telefon menyebabkan peluang untuk ekses internet agak sukar. Peluang sekejap ini saya gunakan untuk menulis sedikit berkenaan tahun baru hijrah ini.

Hijrah maknanya berpindah dari Mekah ke Madinah. Namun Nabi saw bersabda maksudnya tiada lagi hijrah selepas pembukaan Mekah. Yang perlu adalah perubahan sikap daripada buruk kepada baik. Kerana ketika itu Islam telah menguasai dan memerintah dan selepas itu menjadi kuasa besar dunia di zaman Khulafa Arrasyidin dan beberapa kurun selepasnya.

Kita kini telah kembali berada di zaman Islam tidak memerintah negara, biarpun banyak negara-negara berketuakan mereka yang mengaku Islam, tetapi undang-undang Islam tidak di laksanakan. Ummat Islam tidak lagi di naungi oleh pemerintahan Islam.

Ummah yang dahulunya kuat dan menjadi kuasa besar dunia, kini hanya bernostalgia dengan pelbagai slogan kononnya untuk mengembalikan keagungan Islam. Seribu satu macam penyakit masyarakat melanda ummah. Samada penyakit fizikal mahupun penyakit spiritual dan akhlak.

Semua pihak saling salah menyalahkan antara satu sama lain. Pemimpin menyalahkan pengikut yang tidak taat, pengikut menyalahkan pemimpin yang tidak bijak menangani masalah. Orang kaya menyalahkan orang miskin yang malas, orang miskin menyalahkan orang kaya yang menindas. Orang alim menyalahkan orang jahil yang tidak mahu belajar, orang jahil pula menyalahkan orang alim yang tidak beramal dengan ilmu. Ibu bapa menyalahkan anak-anak yang tidak lagi menghormati mereka, anak-anak pula menyalahkan ibu bapa yang gagal mendidik mereka menjadi orang baik.

Dalam suasana ini, kita menyambut lagi tahun baru hijrah. Mengingati kembali detik-detik hijrah Nabi dan para Sahabat 1432 tahun yang lalu. Mengapa hijrah berlaku dan hasil daripada hijrah itu.

Daripada suasana Mekah yang Islam tidak di beri peluang memerintah, berhijrah ke Madinah dan Islam menguasai sebuah kerajaan. Dengan kuasa pemerintahan itu Islam di sempurnakan dengan segala hukum hakamnya sehingga melahirkan satu tamadun manusia yang terbaik pernah di lahirkan di dalam sejarah manusia.

Tidakkah hijrah itu adalah satu proses untuk menegakkan Negara Islam Madinah? Dengan mengingati peristiwa hijrah itu sepatutnya memberi penuh kesedaran dan semangat kepada kita, bahawa untuk menyelamatkan diri dan masyarakat kita yang sedang berhadapan dengan seribu satu masalah ini, kita juga perlu berhijrah kembali. Bukan lagi hijrah dari Mekah ke Madinah, tetapi hijrah untuk memastikan ummah di perintah dengan hukum Islam.

Peristiwa hijrah Nabi adalah kisah pengorbanan. Bukan saja pengorbanan masa dan tenaga, tetapi korban segala-galanya. Meninggalkan Mekah dalam keadaan sehelai sepinggang, segala harta di tinggalkan menuju ke tempat asing tidak di ketahui untung nasib. Hanya membawa iman dan keyakinan kepada janji Allah dan Rasul. Pengorbanan airmata dan darah yang mengalir demi mencapai keyakinan bahawa hanya Islam sahaja yang lebih penting daripada segala yang lain di dunia ini.

Untuk mencapai kejayaan seperti mereka, kita juga perlu menurut jejak langkah mereka. Perkukuhkan akidah, keyakinan kepada janji Allah dan Rasul, keyakinan kepada kehidupan sebenar adalah kehidupan akhirat dan keyakinan bahawa hanya Islam yang akan menyelamatkan kita apabila ianya di laksanakan melalui kuasa pemerintahan.

Apabila keyakinan itu berjaya di lahirkan, maka akan timbul pengorbanan untuk merealisasikan keyakinan itu...

No comments:

Followers