Monday, June 8, 2009

Kerana Harta Pusaka

Kejadian berlaku di Kampung Jasa Sepakat, Pekan Nanas, Pontian minggu lepas.

Seorang bernama Tahir bin Zainal (41) telah mati apabila diparang oleh adik kandungnya sendiri pada jam 1.40ptg semalam. Kejadian dikatakan berpunca daripada masalah perebutan dan pembahagian pusaka Allahyarhamah ibu mereka.
Tahir Bin Zainal, yang dikatakan tidak berpuashati, telah pergi ke rumah pusaka tinggalan Allahyarhamah bersama isterinya dan cuba membuka pintu namun tidak berjaya. Beliau kemudiannya balik kerumahnya yang terletak lebih kurang 50 metre daripada tempat tersebut dan membawa bersamanya kuku kambing (sejenis senjata tangan). Beliau kemudian dilihat cuba memecah masuk rumah pusaka tersebut.
Perbuatan beliau dilarang oleh abang dan adik beliau yang datang bersama dengan isteri masing-masing. Lalu berlaku pergaduhan apabila si adik cuba menghalang. Menggunakan kuku kambing tersebut Tahir cuba menyerang adiknya.
Si adik terus lari kerumahnya dan datang kembali dengan parang dan tanjak kelapa sawit. Apabila abangnya Tahir cuba menyerang beliau sekali lagi, si adik lantas melibas parang tersebut yang terkena ke bahagian belakang Tahir. Beliau terus rebah dan kesakitan akibat kecederaan.
Si adik tadi kelihatan menyesal dengan perbuatannya terus memangku abangnya Tahir sambil menangis kesal. Bagaimanapun Tahir tidak dapat diselamatkan dan mati dipangkuan adiknya. Jenazah dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat.
Saya memang bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga malang tersebut. Namun saya berasa peristiwa saperti ini tidak sepatutnya berlaku. Sebab itulah Islam telah menetapkan hukum supaya kita semasa masih hidup ini membuat wasiat dan menetapkan pembahagian harta pusaka menurut peruntukkan hukum faraid. Malahan Rasulullah berpesan supaya kita membuat wasiat tiap kali sebelum tidur kerana kekhuatiran bila kita bangun pagi esok sudah "maarobbuka".
Kita juga perlu ingat bahawa pertengkaran, pergaduhan dan pertikaian mengenai harta pusaka akan menyebabkan roh ibubapa kita tersiksa. Sedangkan yang mereka harapkan daripada kita adalah doa seorang anak yang soleh yang insyallah boleh membantu mereka dialam barzakh itu. Namun apa yang mereka terima adalah penyiksaan atas sikap tamak anak-anak.
Sebagai iktibar dan pengajaran untuk kita, hendaklah kita membuat wasiat bagi harta kita walaupun tidak banyak. Ini akan dapat mengelakkan daripada berlaku salah faham dan pertikaian perebutan pusaka bila kita tiada kelak. Bagi yang tidak tahu menulis wasiat, sudah banyak agensi dan pakar yang menyediakan perkhidmatan penulisan wasiat ini.
Bagi mana-mana harta yang kita hendak berikan kepada mana-mana penama tertentu, saya nasihatkan supaya membuatnya melalui hibah atau pemberian semasa hidup. Bagitu juga jika kita menjualkan sesuatu harta kepada mana-mana anak semasa hidup, eloklah mendapat persetujuan dan makluman waris yang lain supaya tidak timbul salah faham kemudian hari nanti. Sudah beberapa kes saya kendalikan termasuk di Mahkamah dimana waris tidak berpuas hati dengan penjualan harta kepada waris tertentu yang lain dalam keadaan mereka tidak diberitahu. Apatah lagi jika harta itu dijual dengan murah dibawah harga pasaran.
Bagi kita anak-anak yang mempunyai soal perwarisan dan pusaka, banyak-banyaklah berlapang dada dan bertolak ansur. Adakalanya kita tidak memerlukan harta pusaka itu, tetapi ada diantara adik-beradik kita lebih memerlukan.. Ataupun mereka yang lebih menjaga harta itu semasa hidup si arwah. Ataupun adik-beradik kita yang perempuan lebih memerlukan. Apalah salahnya kita berlapang dada dan bertolak ansur dan memberikannya kepada mereka. Apatah lagi harta itu pun bukan hasil usaha kita.
Apa yang penting, ingatkan ibubapa kita yang telah pergi. Penat lelah mereka membesarkan kita; dan harapan mereka semasa di alam barzakh mengharapkan doa daripada kita anak-anak mereka.
Moga ALLAH memberkati dan mengampunkan kita semua; serta memberi petunjuk dan hidayahNya kepada kita..ameen.

( Dipetik daripada blog YB Zulkifli Nordin. Moga kita dapat ambil tauladan daripada kisah tersebut )

No comments:

Followers