Bergambar ketika program Brainstorming DPPKS untuk sessi 2009/11 ini pada 13 Jun 2009 di Machang Kelantan bersama dengan YB Zulkifli Mamat ( ADUN Pulai Chondong )
Tinggal 5 hari sahaja lagi Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Setiu kali ke 31 akan di adakan. Ianya merupakan Program terakhir saya sebagai Ketua Pemuda PAS Kawasan selepas dua tahun di amanahkan mengetuai Dewan tersebut.
Banyak juga kenangan pahit manis sepanjang melibatkan diri dengan Dewan Pemuda Setiu yang bermula selepas kekalahan PAS Terengganu dalam PRU tahun 2004 itu. Walaupun agak lewat menyertai saf kepimpinan Pemuda kawasan, di usia 34 tahun ketika itu, adalah dengan hasrat menyambut baton perjuangan yang agak terbiar ketika itu.
Selepas PRU ke 11 itu kekecewaan melanda sebahagian petugas parti. Kesempatan itu saya ambil untuk tidak membiarkan kekosongan terlalu lama dan supaya kesinambungan perjuangan dapat di teruskan walaupun dengan kemampuan yang tidak seberapa.
Selepas Mesyuarat Agung tahun 2005 saya di amanahkan sebagai Setiausaha DPPKS. Dengan gandingan yang agak mantap bersama Ketua Pemuda ketika itu, kami berjaya melakukan sedikit lonjakan kepada gerak kerja Pemuda.
Banyak program yang berjaya di aktifkan dan yang paling terkesannya pada sessi 2005/06. Bila di semak sepanjang sejarah DPPKS ini, satu rekod berjaya di capai pada tahun tersebut apabila kami berjaya mengadakan Mesyuarat dan Usrah AJK DPPKS setiap bulan secara tetap. Sebanyak 12 kali Mesyuarat dan 12 kali usrah berjaya di adakan, di samping lain-lain program.
Pencapaian tersebut agak menurun pada sessi 2006/07 dan tak mampu lagi di capai selepas itu. Walau bagaimanapun kejayaan menghidupkan usrah adalah suatu kebanggaan peribadi buat saya, namun ia adalah untuk di syukuri, bukannya untuk di megahkan. Bukan suatu yang mudah untuk memastikan usrah setiap bulan di adakan dalam konteks sebuah kawasan yang begitu luas.
Sessi 2007/09 adalah tahun yang agak suram bagi saya bersama DPPKS. Walaupun di amanahkan sebagai Timbalan Ketua ketika itu, dalam masa yang sama saya juga di lantik menjadi Setiusaha PAS Kawasan. Perjuangan sessi itu, banyak kecederaan menimpa saya. Bukan kecederaan fizikal, tetapi perasaan sangat tertekan ketika itu. Saya di serang segenap sudut dan akhirnya saya terpaksa mengalah...
Kembali semula kepada Dewan Pemuda sepenuh masa pada sessi 2009/11. Dengan meletakkan gagasan kerja yang sangat sederhana untuk di capai pada sessi ini, ianya juga bermula dengan kesukaran mengcungkil tenaga di peringkat DUN-DUN. Dengan menyedari jawatan Ketua Pemuda Kawasan yang di pegang sessi ini hanyalah untuk satu penggal sahaja lantaran hambatan usia, beberapa tindakan yang agak drastik cuba di lakukan.
Namun pasukan yang ada seakan belum bersedia, samada kurang pengalaman kerana mereka adalah orang yang baru di serap masuk menjadi AJK Pemuda Kawasan, ataupun mereka yang mempunyai lain-lain komitmen selain DPPS ini. Hampir separuh AJK yang ada sekarang adalah mereka yang baru pertama kali terlibat dengan Pemuda Kawasan.
Saya dan sahabat-sahabat saf AJK telah mencuba sedaya kemampuan kami. Saya yakin mereka yang baru pada sessi ini telah memiliki pegalaman, yang lama dan masih bersama Pemuda akan melalukan yang lebih baik untuk sessi akan datang.
Pengalaman bersama Dewan Pemuda sesungguhnya sangat besar maknanya dalam mengenal erti perjuangan. Saya akan merindui saat-saat penting dalam proses tarbiyyah ini bersama Dewan Pemuda.. Pengalaman menggerakkan jentera parti dalam suasana kekalahan selepas memerintah negeri adalah sangat memeritkan. Setelah berada di puncak sebagai kerajaan dan tiba-tiba tewas begitu teruk, keadaan ketika itu adalah sangat jauh berbeza di bandingkan pada zaman kebangkitan dan zaman jemaah berada hampir kepuncak.
Zaman selepas kalah ini, kita berhadapan dengan suasana kecederaan yang teruk di keseluruhan jentera parti. Sebahagiannya pula lari meninggalkan posisi di mana mereka berada. Jika ada yang mengatakan Pemuda sekarang dengan dahulu berbeza, ya! mungkin kata-kata tersebut boleh di terima dengan berbezanya suasana yang wujud di dalam parti sekarang.
Kalau dahulu ahli berebut nak buat kerja dan menyanjung pemimpin, sekarang mereka berebut untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan gerak kerja parti. Dan mereka berebut untuk mengkritik kepimpinan sendiri... Dan suasana inilah yang memberi satu pengalaman besar yang tidak ternilai oleh ungkapan kata.
Di warnai dengan beberapa kontroversi dan suka duka sepanjang sessi ini, saya akan tinggalkan DPPKS beberapa hari sahaja lagi. Mujahid ini akan terus melangkah, namun peranan untuk sessi depan masih kabur. Ia akan di tentukan oleh jemaah, samada akan di letakkan di posisi depan atau belakang, perjuangan ini akan di teruskan, InsyaAllah. Mungkin dalam bentuk yang berbeza selepas ini.
No comments:
Post a Comment