Thursday, December 25, 2008

Hujan

Batu rakit di landa hujan. Bukan. Bukan Batu Rakit saja. Memang musim hujan belum habis lagi. Masih musim tengkujuh, walaupun seminggu dua baru ni cuaca agak panas. Di Pantai Timur memang begitu di penghujung tahun begini. Pantai Barat tak pasti pula samaada sehari dua ni hujan ataupun tidak. Cuma walaupun musim ini biasanya banyak berlaku bencana sebelah Pantai Timur, tetapi baru-baru ini yang runtuh tanahnya sehingga banyak rumah musnah adalah di Lembah Kelang.

Entah apa yang nak di bebelkan berkenaan hujan ni. Tapi bila termenung melihat titisan air yang menyirami bumi, kadangkala lebat dan adakalanya rintik-rintik ini, terasa betapa kita manusia sebenarnya sangat berharap kepada ketentuan takdir Allah dalam mengatur kehidupan. Hujan adalah simbol kepada rezeki, jika di eksploitasikan daripada kesuburan tanah yang di timpa hujan. Hujan juga boleh membawa bencana apabila manusia tidak mengusahakan dan tidak mengurus sebaiknya alam ini sehingga berlaku takungan air yang boleh menyebabkan banjir atau tanah runtuh. Namun semua gerak yang berlaku di alam ini adalah atas kehendak Allah. Jika Allah mahu makmurkan sesuatu tempat, di suburkan tempat tersebut melalui gerak hidup manusia, sementara jika tempat tersebut mahu di musnahkan oleh Allah, di tentukan musabbabnya melalui kealpaan dan amalan buruk oleh manusia sendiri.

Peri pentingnya kita mengatur hidup ini mengikut petunjuk pencipta kita. Seluruh peristiwa yang berlaku di alam ini sebenarnya sangat memadai untuk kita jadikan alasan kukuh untuk tidak memandai-mandai dalam membuat peraturan hidup dalam bidang apapun. Betapa lemahnya kita manusia, sehingga nak menahan air hujan yang lembik dan cair itupun tak mampu sehingga terjadinya banyak bencana akibatnya. Bencana boleh berlaku di mana-mana. Di negara kuasa besar dunia seperti Amerika ataupun di negara kecil Sri Langka.

Esok 26 Disember juga mengingatkan satu tragedi besar melanda alam di abad ini. Sunami yang melanda hanya beberapa detik, mengorbankan ratusan ribu manusia terutamanya telah menenggelamkan bandar Acheh, baru beberapa tahun yang lepas berlaku. Memang satu yang sangat mengesankan apa yang di gambarkan oleh Hadis Nabi SAW bahawa ketika akan berlaku kiamat nanti, ada manusia sedang berjual beli di pasar, ada yang sedang memasak makanan, sedang berehat-rehat dan ada yang sedang menyuap makanan ke mulut, tiba-tiba kiamat berlaku dan memusnahkan segalanya. Itulah gambaran kecil yang di pamerkan ketika Sunami di Acheh berlaku. Tidak ada tanda, tiada amaran, tiba-tiba bencana datang tanpa dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan diri.

Hujan masih turun, tapi banyak lagi urusan yang perlu di selesaikan hari ini. PRK K. Terengganu menggamit seluruh tenaga di kerahkan supaya manusia dapat di selamatkan daripada kehancuran apabila menolak hukum Allah. Rakyat perlu di ingatkan supaya turut bersama Jemaah Islam, menyokong dan mengundi Parti Islam, supaya Islam dapat di jadikan panduan dalam mengatur kehidupan masyarakat dan negara.

"Sesungguhnya Agama di sisi Allah, hanyalah Islam"

No comments:

Followers