Wednesday, October 12, 2011

Pesawah terjejas rugi besar


BANDAR PERMAISURI – Seramai 37 pesawah yang mengusahakan projek sawah padi Kampung Buluh Hilir, di sini berdepan kerugian besar apabila hasil padi sepatutnya dapat dituai akhir bulan ini, terjejas teruk akibat kerja menaik taraf sistem pengairan parit.

Wakil pesawah, Zakaria Hitam, 54, berkata, disebabkan kerja-kerja berkenaan yang dilakukan sejak lebih seminggu lalu, hasil padi sedang berbuah dan menunggu masa dituai, rosak.

“Masalah ini berlaku kerana projek menaik taraf parit sekitar sawah padi ini telah menutup sistem pengairan dari empangan sehingga air tidak dapat masuk secara terus ke petak sawah.

“Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan tanaman padi terbantut dan menjadi kekuningan akibat kekurangan air,” katanya.

Menurutnya, akibat kekeringan air dalam petak sawah, ia telah memberi peluang kepada haiwan perosak seperti tikus merosakkan tanaman padi sehingga pesawah tidak mampu berbuat apa-apa lagi.

Katanya, pesawah terjejas kini sudah buntu memikirkan masalah itu kerana hasil penat lelah sejak Jun lalu seolah-olah tidak berbaloi susulan masalah masalah terbabit.

“Bayangkan jika keadaan ini berlarutan, hasil padi yang ditanam di kawasan seluas 150 hektar di sini sudah tidak boleh dikeluarkan dalam kuantiti besar berbanding pengeluaran sebelumnya,” katanya.

Zakaria berkata, sebagai wakil pesawah, setiap projek yang ingin dilakukan oleh mana-mana pihak memang disokong kerana ia akan memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Namun katanya, apa yang dikesalkan adalah projek menaik taraf sistem perparitan dilakukan tidak sesuai pada masanya kerana telah mengganggu hasil padi yang sepatutnya boleh dituai dalam beberapa minggu lagi.

“Jika pihak berkenaan melakukannya sebelum musim padi atau selepas selesai menuai hasil, ia pasti tidak akan menimbulkan masalah kepada kami semua.

“Justeru, saya berharap pihak berkenaan dapat membuat penilaian semula bagi memastikan usaha pesawah merealisasikan hasrat kerajaan mengeluarkan hasil padi 10 tan bagi satu hektar tercapai,” katanya.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story9627068.asp

No comments:

Followers