Ketua Penerangan PAS Pusat
Pada hari ini, 8 Mac adalah hari yang paling bermakna buat rakyat dan Pakatan Rakyat (PR). Dua tahun yang lalu iaitu pada 2008 rakyat telah menunjukan betapa seriusnya mereka mahukan perubahan dalam kepimpinan negara. Kelantan kekal ditangan PAS dan lima negeri lagi jatuh ke tangan PAS, PKR, DAP iaitu-Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan (Mujurlah Wilayah tidak ada DUN).
PKR juga diserang dengan pelbagai isu, dari kes ADUN Bukit Lanjan hinggalah kes YBK yang mana jelas Umno cuba menunjukan kepada rakyat yang kononnya PR menindas rakyat.
Di Pulau Pinang, isu kontraktor Melayu tidak habis-habis diungkitkan. Tetapi rakyat tahu bahawa begitu banyak kontraktor Melayu mendapat manfaat dengan pemerintahan PR. Yang gagal dapat Projek adalah kontraktor Umno yang selalu mengambil tender kemudian menjualnya pada bukan Melayu.
Di Kelantan, Umno_BN menumpukan serangan kepada batang tubuh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pelbagai isu peribadi beliau dijadikan bahan oleh Umno, namun rakyat Kelantan lebih mengenali beliau menolak fitnah-fitnah yang dilontarkan Umno.
Penat menabur fitnah, kini BN berusaha kembali untuk menguasai 2/3 Parlimen dengan membeli beberapa ahli Parlimen. Bermula dengan Ibrahim Ali di Pasir Mas, BN kemudiannya membeli secara borong 3 ahli Parlimen PKR yang keluar secara bergilir-gilir.Bermula dengan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed, kemudian Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng dan Ahli parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri. PKR turut memberikan satu lagi ahli parlimen yang paling bermasalah iaitu ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin sebagai ‘hadiah’-Beli 3 dapat 1 ‘percuma’. Yang pasti ramai menganggap mereka adalah ’sampah-sampah’ terbuang yang dihambat keluar bagi membersihkan PR.
Walaupun PR kini tinggal 78 kerusi namun, itu sedikitpun tidak melunturkan kekuatan PR. Pergolakan Pakatan secara dalaman dan luaran adalah lumrah bagi mana-mana organisasi. Namun PR masih kekal bersatu walaupun permulaannya seperti anak-anak yang mula bertatih, namun PR cepat belajar dari apa yang berlaku.
PAS mengucapkan tahniah buat seluruh kepimpinan PR, ahli dan mereka yang menyokong PR selama 2 tahun kebelakangan ini. Kekuatan PR bukanlah kerana satu, dua atau tiga individu sahaja. ianya adalah kekuatan semua pihak dari akar umbi hinggalah ke pucuk pimpinan.
Kepada semua wakil rakyat PAS berharap agar anda menunaikan amanat rakyat dengan sebaiknya dan ingatlah, sesunguhnnya amanat rakyat yang terpikul dibahu bukanlah barang mainan yang boleh digadai sana sini. Jika hari ini anda fikir boleh menjual diri anda dengan wang ringgit, ketahuilah ketika mati nanti tidak mustahil akan datang orang-orang yang membenci kezaliman itu diatas kubur anda pula.
Di peringkat PAS kita mengharapkan kerjasama dari semua ahli, penyokong dan kepimpinan untuk sama-sama melangkah kehadapan demi untuk kebaikan rakyat dan semua pihak. PAS meletakan perjuangan Islam sebagai keutamaan dalam memberikan keadilan, kesejahteraan dan manfaat buat semua. Kerana perjuangan Islamlah yang meletakan PAS berdiri teguh pada hari ini dan menjadi komponen Pakatan yang amat penting, efektif dan progreasif hari ini.
No comments:
Post a Comment