Tempoh masa lebih setengah abad sudah
mencukupi bagi orang Melayu memberi kepercayaan kepada UMNO menjadi
teras BN memimpin negara. Jangan salahkan kaum lain sekiranya berlaku
kesilapan sehingga Melayu, agamanya, bangsanya dan bahasanya terpinggir.
Semua kaum telah menerima hakikat secara perlembagaan bertulis bahawa
Islam agama persekutuan, hak istimewa bumiputera, bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dan Raja berperlembagaan. Dalam masa yang sama hak
kaum lain wajib diberi dengan adil.
UMNO yang berkuasa dengan sokongan
majoriti besar khususnya daripada penganut Islam berbangsa Melayu wajib
dilakukan muhasabah dengan adil, bijak dan bertanggungjawab. Orang
Melayu jangan menipu diri sendiri. Allah berfirman dalam surah Arra'du,
Ayat 11 yang bermaksud
"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat
penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang
mengawas dan menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak
mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa
yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk
menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka
sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa
Yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan
melindungi mereka selain daripadanya."
Agama Islam
Walaupun Islam diletakkan dalam
perlembagaan atas desakan kumpulan Islam bersama PAS kepada Suruhanjaya
Reid, tetapi mereka menerima dengan penafsiran bahasa dan fahaman mereka
terhadap agama. PAS menghargai dan menerima hakikat mencapai
kemerdekaan terlebih dahulu, bersama pemimpin generasi awal UMNO dengan
iringan doa dirahmati Allah di alam barzakh kerana bersama mendukung
kemerdekaan. PAS mengambil keputusan bersusah dan berkorban menjadi
parti pembangkang, supaya manjadi kekuatan di luar kerajaan bagi
menyempurnakan kemerdekaan itu dengan acuan maruah agama dan bangsa
tanpa terikat lagi dengan acuan pemikiran warisan penjajah.
Al Marhum Tan Seri Syed Ja’afar Al Bar
menegaskan kepada saya, hanya beberapa minggu sebelum beliau meninggal
dunia ; ”Adalah lebih baik PAS berada diluar BN membetul keadaan dan
tidak bijak berada didalam." Tegas beliau ketika PAS berada dalam
Barisan Nasional. Kenyataan ikhlas kerana melihat UMNO tidak
mempedulikan kepada perubahan yang sepatutnya selepas mencapai
kemerdekaan.
Sepatutnya Islam ditafsirkan dengan
bahasa Al Quran, bukannya bahasa Inggeris. UMNO yang tidak membuat
perubahan menyebabkan Islam terus berada ditahap yang tidak berdaulat,
dengan cara pentadbiran agama Islam yang lama diatur sejak zaman
penjajah. Namun ketinggian moral pentadbiran bersih oleh generasi awal
UMNO dapat menarik beberapa orang tokoh bangsa lain menganut Islam.
Mengikut kajian ilmu pentadbiran dan
pengurusan Islam, menunjukkan bahawa penjajah British lebih banyak
terpengaruh dengan sistem pentadbiran Islam melalui kajian orentalisnya,
tetapi mereka menolak aqidah dan syariat yang sempurna. Adalah lebih
mudah mengambil alih negara daripada penjajah British daripada penjajah
bangsa lain. Hanya sedikit perubahan perlu dilakukan dengan dimasukkan
roh Islam dan petunjuk syariatnya.
Malangnya UMNO tidak mengorak langkah
yang maju dengan membuat perubahan yang positif dan pro-aktif dengan
yang baik dikekalkan yang tidak baik dibuang. Para pemimpin UMNO lebih
leka dengan perubahan bersifat kebendaan untuk menarik rakyat memberi
sokongan semata-semata untuk menang pilihanraya. Tanpa dinafikan
perlunya banyak masjid yang didirikan, bangunan pusat Islam, bangunan
sekolah agama, Tabung Haji, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam
dan sebagainya. Masalahnya ialah roh dan pengisiannya tidak mengikut
acuan Islam yang sempurna secara ikhlas dan berta’abud dengan petunjuk
Al Quran dan Sunnah yang banyak. Keadaan ini menjadikan sehingga
asasnya bocor, kedudukan Islam lebih lemah daripada zaman penjajahan,
sehinggakan pemimpin Melayu Islam dan bangsanya tidak mampu menjadi
contoh Islam yang sempurna kepada seluruh manusia.
Al Marhum Maulana Abu Hasan Ali Al
Nadawi, tokoh ulama dan pemikir Islam yang tersohor menegaskan dalam
bukunya : (Kembali Semula Kepada Islam ), menegaskan :” Pelaksanaan
Islam dengan cabarannya berlaku dua cara pendekatan. Samada
melaksanakan Islam secara Ibadah, dengan yakin kepada janji Allah dunia
dan akhirat, atau laksanakan Islam secara Jibayah, dengan mimilih secara
akal manusia yang hanya mencari pengaruh untuk berkuasa dengan sokongan
rakyat semata-mata “.
Yang kedua inilah yang dilakukan oleh
UMNO sehingga boleh berlaku salah faham terhadap Islam dikalangan
penganut yang jahil dan lebih lagi dikalangan bukan Islam. Apabila Islam
dilihat bukan melalui kacamata ajarannya yang sempurna dan murni,
tetapi dilihat daripada kecuaian pemimpin UMNO. Lebih merbahaya lagi
apabila menunjukkan contoh negatif saperti tidak bermoral, rasuah,
penyalahgunaan kuasa, politik wang dan sebagainya. Sehingga Tun Dr
Mahathir sendiri pernah membuat kenyataan terbuka dan telah dua kali
keluar masuk UMNO. Al Marhum Tunku Abdul Rahman pula meninggalkan UMNO
dan berucap di pentas PAS sebelum meninggal dunia.
Peranan pengajian Islam kalangan umat
Islam dilemahkan dengan kawalan bertauliah sejak zaman penjajahan,
diteruskan oleh Umno bagi meneruskan pengaruh sekulerisme dalam
masyarakat Islam. Agenda menghapuskan tulisan jawi yang tidak dapat
dilaksanakan oleh penjajah dan melemahkan penguasaan bahasa Arab
dikalangan pelajar aliran Islam berjaya dibuat dibawah pemerintahan
UMNO.
Seterusnya UMNO menggunakan media
khususnya berbahasa Melayu, bagi mencetuskan perkara yang meragukan dan
salah faham terhadap Islam, seperti Isu Syariat Islam. Ia difikirkan
boleh menjadi bahan untuk menakutkan kalangan bukan Islam dan
mengelirukan penganut Islam yang jahil seperti hukum poligami, pesaka,
undang-undang jenayah hudud dan qisas, haramnya riba secara menyeluruh,
hak wanita, hiburan dan lain-lain yang memerlukan ilmu dan pelaksanaan
untuk difahami.
Islam itu wajib diimani seluruhnya dan
dilaksanakan semuanya. Beriman sebahagian dan menolak atau ragu
sebagiannya adalah merosakkan iman. Beramal dengan sebahagian dan
menolak sebagiannya pula menyababkan tasawur yang salah terhadap Islam
dan menyebabkan celaka dunia dan akhirat.
Hak Istimewa
Kaum bukan Melayu yang faham tidak
membantah adanya hak istimewa kerana memahami hakikat majoriti
Bumiputera khususnya orang-orang Melayu terpinggir dengan penyusunan
masyarakat ciptaan penjajah. Mereka tidak membantah hak istemewa yang
dicatit tanpa menafikan hak yang adil kepada semua kaum lain. Namun hak
ini disalah guna, sehingga kaum Melayu dan bumiputera tidak mampu
bersaing dengan sendiri, tetapi ditongkat oleh UMNO demi agenda politik
berkuasa semata-mata dan mengambil kesempatan mencari kekayaan diri,
keluarga dan rakan sekeliling tetapi tidak memperkasakan kaum Melayu dan
bumiputera. Contoh yang jelas ialah tanah rezab Melayu dan pinjaman
disalah gunakan, sehingga Bank Bumiputera dileburkan dan beberapa agensi
dijadikan alat mengaut keuntungan bagi kalangan tertentu sahaja dan
banyak bantuan tidak sampai kepada sasaran dan tidak mencapai matlamat.
Bahasa Kebangsaan
Bahasa Melayu yang dijadikan bahasa
kebangsaan terpinggir bukan sahaja dilemahkan daripada menjadi bahasa
ilmu, bahkan dipinggirkan penggunaannya dalam amalan rasmi dan
masyarakat umum. Bahasa yang pernah diperkasakan oleh tamadun Islam
serantau dan digunakan oleh lebih tiga ratus juta manusia, tiba-tiba
menjadi dagang terpinggir ditengah pemimpin dan masyarakatnya sendiri.
Ketika bangsa lain berjaya diperkasakan
dengan bahasa masing-masing, seperti Jepun, Jerman, China dan lain-lain,
kita hanya sekadar bergaya dengan bahasa penjajah tetapi bangsa sendiri
lemah jiwanya kerana membelakangi bahasanya, kerana bahasa adalah jiwa
bangsa.
Kedudukan Politik
Kelemahan kuasa politik Melayu terhakis
adalah kerana mengatur strategi kemenangan UMNO secara salah dan jangka
pendek. Kelemahan politik Melayu di Singapura, Pulau Pinang dan Pantai
Barat, adalah kerana penyusunan kerusi menguatkan kuasa UMNO bukannya
memperkasakan Melayu Islam. Melayu ditanam semangat hanya UMNO parti
tunggal yang menjaga hak Melayu, seolah-olah mengganti Tuhan Maha Esa,
memberi rezeki dan menyara hidup mereka.
Kaum lain boleh memilih parti lain dan
menguasainya. Apabila MCA, MIC dan Gerakan tidak bermaya, mereka
berpindah kepada DAP atau PKR atau DHPP. Maka Melayu terus berpaut
dengan ranting UMNO yang sudah berpenyakit dan menyalahkan kaum lain.
Kedudukan jumlah kerusi Melayu masih
besar kerana kedudukan majoritinya, tetapi jumlah kerusi tanpa
perubahan politik dalam kalangan bangsa Melayu sendiri tidak mampu
mempertahankan kedudukan mereka. Melayu Islam dapat diperkasakan dengan
PAS yang berdasarkan Islam mengikut undang-undang tubuhnya yang berbeza
dengan UMNO. PAS telah membuktikan kemampuannya di Kelantan, Terengganu
dan Kedah. Walaupun UMNO menghalang pemerintahannya secara khianat
terhadap agama dan bangsanya sendiri secara tidak bermoral dan melanggar
adab demokrasi dan perlembagaan semata-mata mahu berkuasa dalam
penyakit tua yang tidak sembuh. UMNO sanggup bermusuh dengan PAS dan
kerajaan pimpinan PAS kerana Islamnya, lebih dahsyat daripada bermusuh
dengan kaum lain.
Mutakhir ini adanya kalangan tokoh
Melayu Islam dalam UMNO meninggalkan UMNO, bersama kalangan tokoh
ilmuan, kakitangan kerajaan dan pasukan keselamatan menyertai PAS. Ia
adalah petunjuk positif kepada pengundi Melayu Islam secara khusus
supaya mereka membuat perubahan bersama PAS menggantikan UMNO sebagai
kuasa pemerintahan. Perubahan sekadar ini tidak mencukupi tanpa sejumlah
besar ahli UMNO dan orang-orang Melayu yang bergantung dengannya secara
khurafat .
Kalau mahu selamatkan Melayu dan
perkasakannya, wajib masuk PAS yang mendaulatkan Islam, bukannya masuk
UMNO yang memikul Islam tanpa pelaksanaan sepenuhnya setelah lebih satu
abad memikul amanah. Inilah pembetulan yang wajib dilakukan.
Kata Khalifah Umar bin Al Khattab R.A.
“Kembali kepada yang benar adalah lebih baik daripada berterusan dalam
kebatilan “. Akhirnya renunglah kepada firman Allah yang tersebut
diatas.dan Firman Allah yang bermaksud
"Dan jika kamu berpaling (daripada
menegakkan Islam) ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain;
setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu."
Melayu Tegakkan Islam yang sempurna,
bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum juga akan selamat, kerana
Islam itu Rahmat Allah kepada seluruh alam dan adil untuk semua kaum.
Tegakkan Melayu dengan mengapikan
semangat perkauman, Islam hanya sampingan, Melayu bersama UMNO, tidak
mampu lagi memimpin, kerana hilang meruah dan lemah jiwanya. Selamat
berhijrah kepada ahli-ahli UMNO kepada PAS.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment