Friday, September 30, 2011

Pendirian rasmi PAS mengenai hudud



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat yang mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu, PAS berpendirian kedua-dua negeri itu berhak memperkanunkan undang-undang tersebut.

Dalam satu kenyataan menyatakan pendirian rasmi parti itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persoalan kini, sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran untuk melaksanakannya.

Menurutnya, perbezaan pandangan dengan DAP khususnya dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya.

"PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan," katanya.

Berikut adalah kenyataan rasmi berhubung pendirian PAS:

1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa aktiviti dan perjuangan PAS adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

2. PAS juga ingin menegaskan komitmen untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Dokumen Buku Jingga.

3. PAS juga amat berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat, dan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

4. Perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.

5. Sehubungan dengan perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing, maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut. Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah. Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di peringkat yang seterusnya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
30 September 2011

Tuesday, September 27, 2011

Tarikh Pilihanraya ke 13....


Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Pilihanraya umum ke 13 sudah semakin hampir. Kalau diibaratkan dunia akan kiamat, cuma matahari terbit dari sebelah Barat yang belum berlaku. Analoginya, cuma Parlimen yang belum dibubarkan. Selain dari itu semua petunjuk menggambarkan bahawa pilihanraya boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Dalam tradisi politik Malaysia, selain dari Allah SWT yang mempunyai penentuan mutlak terhadap segala sesuatu; tarikh pilihanraya ditentukan oleh Perdana Menteri.


Sekalipun dia seorang yang boleh membuat keputusan namun pilihanraya umum adalah kerja besar yang perlukan penglibatan semua pihak. Dua pihak yang mesti melaksanakan agenda besar tersebut ialah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan jentera propaganda mereka.

SPR telah selesai mengadakan kursus pengurusan pilihanraya di seluruh negara. Berdasarkan pengalaman yang lalu, pilihanraya diadakan antara tiga hingga enam bulan selepas kursus pengurusan pilihanraya diadakan.

Jentera propaganda BN juga telah memaksimumkan kerja mereka. Serangan ganas bertubi-tubi mereka kira-kira menyamai serangan tetera bersekutu terhadap Saddam Hussein. Apabila media-media elektronik dan akhbar-akhbar harian yang mejadi talibarut BN menyiarkan cerita sensasi politik secara berganda dan saban waktu, hakikatnya kita hanya perlu menunggu tarikh pembubaran Parlimen dari Perdana Menteri.

Ada pihak yang menjangkakan bahawa pilihanraya tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana kegawatan ekonomi dunia akan menjejaskan peluang BN, lantaran kesan kenaikan harga barang yang melampau dalam negara. Inflasi tidak mesti berpunca dari pemerintah tetapi kerajaan yang memerintah adalah sebaik-baik tempat rakyat ‘melepas geram’ jika urusan kebajikan mereka tidak dapat diatasi oleh kerajaan. Banyak kerajaan di dunia yang tumbang kerana tekanan kos hidup, sekalipun pihak yang akan mengganti belum tentu menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Harus diingat bahawa jangkaan kegawatan ekonomi akan bertambah buruk menjelang pertengahan tahun 2012 sehingga ke akhir tahun. Kerajaan BN tidak mempunyai pilihan untuk membuat keputusan yang terbaik berhubung tarikh pilihanraya dalam keadaan tekanan ekonomi semakin menghimpit rakyat. Jadi memilih waktu yang buruk adalah lebih baik dari memilih waktu yang lebih buruk.

Masih ingat pilihanraya umum 1999? Sokongan rakyat terhadap BN, khususnya Dr. Mahathir jatuh merudum. Tetapi Perdana Menteri itu telah mengejutkan dunia pada masa itu memilih membubarkan Parlimen sewaktu hampir dengan bulan puasa sedangkan ramai menjangka ia akan diadakan selepas hariraya. Ramai juga penganalisis menganggap beliau membuat keputusan yang salah kerana memilih tarikh ketika dirinya masih dibenci orang Melayu berhubung isu kezaliman terhadap bekas Timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sejarah itulah PRU di mana PAS memperolehi kerusi terbanyak iaitu 27 kerusi sehingga berjaya meletakkan Presiden PAS Dato’ Fadzil Noor secara mutlak sebagai ketua pembangkang. Sebenarnya BN masih utuh kerana mengekalkan majoriti dua pertiga, namun jika pilihanraya diadakan hanya dua bulan selepas itu majoriti dua pertiga belum tentu milik BN kerana beratus ribu pengundi muda akan digazetkan nama mereka dalam buku daftar pemilih. Ternyata pada masa isu kecenderungan pengundi muda adalah kepada pembangkang. Ertinya Dr. Mahathir membuat pilihan tepat kerana memilih waktu yang tidak lebih buruk dari tarikh yang dipilih.

Cabaran di zaman Najib pun sama. Selain faktor ekonomi, Umno bergelut dengan isu dalaman yang parah. Pemilihan boleh ditunda demi mengelakkan perpecahan tetapi tidak boleh mengekangnya terlalu lama kerana akhirnya ia akan hampir juga dengan pemilihan baru. Lobi serta konspirasi menjatuhkan lawan pun bermula. Ini yang lebih menakutkan Najib berbanding berperang dengan pembangkang secara berdepan.

Pilihanraya hampir, cuma ia bukan pada bulan Oktober dan November kerana beribu-ribu umat Islam sedang berada di tanah suci. Senario politik mutakhir, BN bergantung sepenuhnya kepada undi Melayu. Di samping Umno juga tidak mahu dituduh pihak pembangkang sebagai mengkhianati kuasa penentu politik dari orang Melayu. Umno merasa sudah lengkap dan sempurna watak ultra Melayunya dengan menggendong semua isu perkauman sempit Melayu. Takkanlah mereka nak biarkan di saat akhir menjelang pembuangan undi, watak asobiyah Melayu ini hendak dicemarkan.

Akhir bulan November dan awal Disember, sekolah-sekolah sibuk pula untuk peperiksaan SPM dan STPM. Ibu bapa akan marah pada BN, jika waktu keemasan anak-anak mereka itu diganggu. Dahulu BN tidak takut akan kemarahan rakyat sekarang tidak lagi. Hujung tahun juga adalah musim tengkujuh di Pantai Timur. Jadi sepanjang tahun ini, ia menjadi tempoh yang tidak munasabah untuk pilihanraya.

Bulan Januari 2012 adalah masa terbaik tetapi rakyat belum selesa kerana poket kering setelah membelanjakan duit untuk urusan persekolahan anak-anak. Najib tidak akan pilih tarikh waktu rakyat tidak gembira.

Pilihan yang terbaik bagi BN ialah antara Februari dan Mac. Ia mungkin mengulangi waktu pilihanraya umum ke 12 lalu. Ada yang meramalkan Najib akan memilih tarikh 11 Februari atau 11 Mac kerana angka 11 sangat diminati Perdana Menteri itu. Ramai kalangan rakyat yang bersetuju angka tersebut untuk dijadikan pilihan Najib, kerana 11 adalah simbol sepasang batu nisan. Simbol kematian Umno ibni Barisan Nasional.

Sumber : http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=16544

Saturday, September 24, 2011

Suasana Persekitaran Di Bentuk Oleh Siapa?


Suasana persekitaran bukan boleh di bentuk oleh individu. Ia adalah hasil pendidikan dan suasana mengikut acuan pemerintah. Bagaimana dasar yang di bentuk oleh kerajaan, begitulah hasil yang dapat di lihat di dalam masyarakat.

Kalau nak ubah persekitaran sekarang, kena ubah sistem dan dasar pemerintahan negara...


Suasana persekitaran tentukan baik, buruk manusia
Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Berita Harian : 2011/09/24

Budi pekerti, akhlak mulia setiap lapisan masyarakat teras kemenangan dalam perjuangan

BAGAIMANA tergamak seorang gadis berusia 19 tahun yang bersekolah di Maahad Tahfiz dibakar dan dicampak tanpa belas kasihan di tepi jalan raya. Seorang remaja berusia 16 tahun pula mendakwa dikurung, diberi dadah dan dirogol bergilir-gilir oleh lima lelaki.

Keruntuhan moral ini bukan sekadar membabitkan remaja, malah isu ibu bapa yang ditinggalkan di rumah kebajikan dan kes perceraian semakin meningkat dari semasa ke semasa mengundang pelbagai perbahasan untuk difikirkan bersama kaedah penyelesaian terbaik.
Adakah suasana persekitaran kita semakin bahaya, sentiasa terbuka kepada pelbagai jenayah dan boleh berlaku dalam masa yang begitu pantas? Adakah keamanan dan kasih sayang sudah semakin hilang dalam hidup masyarakat Malaysia hari ini?
Semua rakyat Malaysia perlu memikirkan bagaimana cara dan kaedah mewujudkan semula suasana harmoni dalam masyarakat kerana suasana persekitaran berperanan besar dalam menentukan buruk baik kehidupan manusia keseluruhannya.

Setiap individu Muslim perlu menekankan kepada persekitaran baik bagi membentuk kehidupan diredai Allah SWT. Justeru, melakukan kebaikan setiap detik dan masa harus menjadi agenda utama dalam melayari bahtera kehidupan.

Ibu bapa yang baik budi pekerti akan menunjukkan contoh baik kepada anak bagi membentuk sebuah keluarga bahagia dan masyarakat yang baik membantu kehidupan manusia berada di landasan baik.

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan jika penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami bukakan keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka membohongi, lalu Kami bertindak ke atas mereka dengan sebab yang mereka usahakan. (Surah al-Araf, ayat 96)
Al-Quran dan hadis sarat dengan pelbagai galakan supaya manusia sentiasa melazimi kebaikan dalam kehidupan sehari-hari. Neraca inilah yang menjadi pertimbangan kepada jatuh bangunnya sebuah peradaban manusia.

Lipatan sejarah jelas menunjukkan akhlak mulia setiap lapisan masyarakat menjadi teras kepada kemenangan dalam perjuangan.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Kota Constantinople (Istanbul sekarang) akan jatuh ke tangan orang Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. (Hadis riwayat Ahmad)

Hanya selepas 800 tahun, ia menjadi kenyataan apabila Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan dan membuka kota itu daripada kerajaan Rom. Pengkaji sejarah mendapati antara faktor terpenting yang membawa kepada kejayaan pembukaan kota itu ialah kebaikan akhlak dan perilaku bukan setakat pemimpin saja, malah rakyat secara keseluruhannya.

Bayangkan dalam puluhan ribu tentera itu, tidak seorang pun yang pernah meninggalkan solat fardu sejak usia baligh, sebahagian saja yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib dan daripada kalangan yang ramai itu, hanya Sultan Muhammad saja yang tidak pernah meninggalkan solat malam sejak baligh.

Fenomena ini seharusnya membuka mata kita bahawa kebaikan itu mesti menjadi syarat utama membebaskan diri manusia daripada kezaliman dan kejahatan yang melingkungi persekitaran hidup manusia kini.

Bagaimana mahu memastikan harta benda sentiasa terjaga jika kejadian pecah rumah dan samun bermaharajalela setiap hari. Harus bagaimana memastikan anak muda remaja menjaga maruahnya sedang kerosakan nilai budaya masyarakat dipaparkan dalam media cetak dan elektronik sehari-hari?

Persoalan inilah yang harus dicari jawapan supaya manusia tidak hanyut berada dalam lingkungan tidak sihat, berbudaya negatif, berakhlak tidak sopan dan hidup dalam acuan tidak Islam.

Pelaksanaan kepada kebaikan datangnya dari hati dan dorongan dalaman yang kuat. Niat saja tidak cukup, malah mesti digerakkan melalui tindakan. Namun niat itu sendiri sudah mendatangkan pahala kepada pelakunya.

Atas rahmat dan kasih sayang Allah, pasti akan memberikan balasan setimpal atas niat dan keinginan hati seseorang.

Ketinggian sifat Pengasih Allah SWT ini dikurniakan juga walaupun kebaikan itu tidak dilaksanakan, malah jika berniat untuk melakukan kejahatan, tetapi tidak ditunaikan juga akan diberi pahala oleh Allah SWT.

Dalam hadis qudsi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menuliskan kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia telah menerangkannya akan hal itu. Barang siapa yang bercita-cita untuk melakukan kebaikan tetapi tidak dilakukannya, maka Allah akan menuliskan baginya satu kebaikan yang sempurna. Dan jika dia bercita-cita untuk membuat kebaikan dan melaksanakannya, maka Allah akan menuliskan baginya 10 sehingga 700 kali ganda kebaikan malah berlipat-lipat kali ganda.

Barang siapa pula yang bercita-cita untuk melakukan kejahatan tetapi tidak beramal dengannya, maka Allah akan menuliskan baginya satu kebaikan, dan jika ia bercita-cita untuk melakukan kejahatan dan dilaksanakan kejahatan itu, maka Allah hanya akan menuliskan baginya satu kejahatan saja. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Amal salih adalah syarat utama untuk menemui Allah di akhirat kelak dengan hati yang penuh ketundukan kepada-Nya. Firman-Nya yang bermaksud: Sesiapa yang ingin bertemu Tuhannya (di akhirat kelak), maka hendaklah ia melakukan amal soleh dan tidak mensyirikkanNya dalam setiap amal ibadahnya. (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jelebu

Friday, September 23, 2011

Selepas Ini PAS Akan Di Kaitkan Dengan Syiah pula..?


Hari ni saya bersolat jumaat di satu masjid dalam Daerah Hulu Terengganu. Pulang ke rumah mertua kerana ada majlis akikah anak saudara di sana.

Apa yang menariknya adalah isi khutbah yang di sampaikan oleh khatib yang bertugas. Saya tak pasti samada teks khutbah tersebut adalah teks yang selaras seluruh negeri, atau untuk daerah Hulu Terengganu sahaja, atau ianya teks pilihan khatib di masjid tersebut sahaja.

Tetapi daripada isi khutbah yang ada di sebutkan sebagai peringatan dan arahan daripada Jab. Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), saya mengagak teks ini adalah untuk bacaan seluruh negeri.

Tajuknya ialah "Bahaya Syiah" (tajuk yang saya agak saja berdasarkan isi kandungan khutbah). Entah apa relevannya tajuk yang sebegitu di baca di kampung yang saya kira bukan saja penduduknya tidak mengenal apa itu Syiah, bahkan Ahlul Sunnah Wal Jamaah juga belum tentu mereka tahu apa bendanya. Ini pada pengamatan saya pada tahap beragama penduduk di sini.

Jauh daripada pusat pengajian agama, bahkan untuk memulakan khutbah jumaat pada hari ini juga tuan bilal terpaksa memandang kearah pintu masuk masjid, membilang samada jemaah sudah mencukupi 40 orang.

Sehingga lebih setengah jam azan di laungkan jemaah masih belum mencukupi dan pengerusi masjid terpaksa menjemput jemaah dengan pembesar suara supaya segera masuk ke masjid untuk memulakan khutbah. Itu untuk solat jumaat, kalau solat waktu lain, boleh bayangkanlah keadaannya.

Sepatutnya tajuk itulah yang perlu di tekan oleh khatib, menyedarkan orang ramai kewajipan terhadap agama mereka. Tetapi begitulah yang berlaku apabila khatib hanya membaca khutbah, bukannya berkhutbah menyelesaikan masalah masyarakat setempat sebagaimana maksud daripada syariat khutbah itu sendiri.

Sebab itulah agaknya khutbah tidak lagi menjadi perhatian jemaah jumaat sehingga waktu khutbah itulah ketika paling mudah untuk melelapkan mata...

Yang keduanya, mengapa tajuk berkenaan Syiah menjadi fokus kepada khutbah di negeri Terengganu. Walaupun mungkin "Mencegah itu lebih baik daripada mengubati", tetapi rasanya belum lagi timbul apa-apa riak fahaman ini menular di kalangan masyarakat Terengganu sehingga perlu di fokuskan dalam khutbah untuk di baca seluruh negeri.

Apa yang dapat saya tangkap daripada pendedahan terhadap bahaya syiah ini adalah ibarat kata pepatah, "Marahkan anak sindir menantu". Ada sasaran lain yang di tujukan terhadap serangan tersebut.

Ini kerana isu-isu yang di timbulkan setakat ini belum berkesan sepenuhnya. Bahkan sebahagiannya memakan diri seperti isu siapa pejuang kemerdekaan yang menyebabkan mereka terpaksa bertahan setelah menyerang.

Sebelum itu isu kepimpinan ulama', di susuli isu sokong komunis kerana berbaik dengan DAP, video perbualan lucah yang di hidupkan semula dan lain-lain isu masih belum berkesan sepenuhnya.

Mungkinkah selepas ini akan timbul pula isu PAS di serapi oleh Syiah apabila berTimbalan Presidenkan Mat Sabu..?

Wednesday, September 21, 2011

UMNO Gagal Bela Bahasa Melayu


Berita dari BERNAMA di bawah antara bukti jelas kegagalan dan kemusnahan bangsa yang di perjuangkan oleh UMNO yang menerajui negara. UMNO yang mengaku berjuang kebangsaan Melayu ternyata telah gagal. Kalau bab bangsa dan bahasa yang menjadi dasar parti pun UMNO gagal, apa lagi yang di harapkan daripada mereka.... agama jauh sekali..


Penggunaan Bahasa Rojak Di Kalangan Generasi Muda Kian Parah - Naib Canselor UUM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Penggunaan Bahasa Melayu 'rojak' di kalangan generasi muda ketika berkomunikasi terutama dalam majlis formal kian parah, kata Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Beliau berkata situasi penggunaan bahasa rojak itu yang secara tidak langsung mengikis identiti bahasa Melayu yang indah diburukkan lagi dengan perkembangan teknologi moden menerusi telefon bimbit seperti penggunaan khidmat SMS dan sistem mesej Blackberry (BBM).

"Kalau dahulu kita mahu golongan muda menguasai bahasa Inggeris, tetapi kini bahasa Melayu pun mereka tak boleh nak kuasai, terutama penggunaan konteks ayat yang sangat lemah.

"Kebanyakan mereka lebih suka menggunakan bahasa singkatan atau bahasa jalanan walaupun ketika menghadiri majlis keraian, bertemu dengan golongan bangsawan atau orang kenamaan mahu pun ketika ditemuramah oleh pihak media," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UUM bersama MyPEC Sdn Bhd dan Digicity(M) Sdn Bhd di sini Selasa.

Mohamed yang kesal dengan situasi itu berkata faktor penyumbang gejala penggunaan bahasa rojak dan singkatan ini mungkin disebabkan golongan muda tidak lagi didedahkan dengan penulisan bahasa Melayu formal atau aktiviti komunikasi di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Justeru katanya, kegemilangan bahasa Melayu perlu dikembalikan dan cabaran itu perlu digalas oleh semua pihak terutama sistem pendidikan yang perlu menekankan kurikulum berlandaskan penggunaan bahasa Melayu dalam konteks yang betul.

"Mereka (pelajar) perlu dilibatkan secara serius dalam aktivti debat, pidato dan pantun misalnya kerana ia merupakan satu cara yang paling efektif untuk mereka berbahasa Melayu dalam konteks ayat yang betul.

"Bahasa Melayu itu indah, jika kita tidak peliharanya, ia akan hilang begitu sahaja dan ini akan menjadi isu besar kepada negara. Jangan disebabkan teknologi dan kemodenan, mereka merasakan bahasa Melayu standard tidak penting, ini kerana ia akan menjadi punca kemerosotan bahasa ibunda kita sendiri," katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Mohamed mewakili UUM, manakala MyPEC Sdn Bhd, sebuah syarikat yang membekalkan perisian untuk latihan simulasi perniagaan diwakili Pengarah Urusan, Matsham Ahmad dan Digicity (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat makanan dan minum (F&B) diwakili Pengarah Urusan, Datuk Rozman Hussin menandatangani MoA itu.

MoA itu ditandatangani bagi memeterai usahasama pintar dalam usaha membantu lebih ramai usahawan dapat dilahirkan di kalangan graduan UUM.



-- BERNAMA

Friday, September 16, 2011

Mansuh ISA: PAS Tunggu Akta Baru Sebelum Respon


Sumber : Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Sept: PAS mengambil sikap "tunggu dan lihat" dahulu bagaimana bentuk perundangan alternatif bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum memberi respon lanjut berhubung pemansuhan akta itu yang diumum perdana menteri malam tadi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, masih terlalu awal untuk PAS menyatakan pendirian berhubung pemansuhan ISA yang diumum Datuk Seri Najib Razak dalam pertusan Hari Malaysia malam tadi kerana ianya akan diganti akta baru.

"PAS mengambil sikap untuk tunggu dan lihat dahulu berkaitan penghapusan ISA dan beberapa akta lain yang diumumkan Perdana Menteri.

"Ini kerana kita hendak melihat dahulu perundangan alternatif yang disebut kerajaan hendak dibuat menggantikan ISA. Terlalu awal untuk kita memberi respon terhadap pembatalan tersebut," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Ianya sebagai respon awal PAS berhubung pengumuman kerajaan memansuhkan akta yang sudah lama dituntut oleh Pakatan Rakyat agar dihapuskan itu.

Biarpun ISA diumum akan dimansuhkan, Najib juga mengumumkan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan akta itu.

Selain itu, PAS juga kata Tuan Guru Abdul Hadi masih sangsi dengan pengumuman itu ekoran ianya dibuat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Tambahan pula ia dibuat menjelang pilihanraya yang kita lihat sebagai tujuan politik dan tawaran pilihanraya Barisan Nasional.

"Setelah beribu orang menjadi mangsa kezaliman akta tersebut, menjelang pilihanraya barulah ia dihapuskan," katanya.

PAS dan Pakatan Rakyat sejak dahulu menentang akta ISA dan menganggapnya satu akta zalim kerana membuat "tahanan tanpa bicara" kepada mangsa akta itu.

Selain ISA, mereka juga sebelum ini mendesak beberapa akta serupa seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Ordinan Darurat (EO) dimansuhkan.

Monday, September 12, 2011

Lukisan Alam...

Jeti Merang Memalukan

YA menunjukkan Jeti Merang yang terlalu usang dan berbahaya kepada pengguna.
YA menunjukkan Jeti Merang yang terlalu usang dan berbahaya kepada pengguna.
Penduduk khuatir pelancong cedera akibat terjerlus berulang

MERANG: Walaupun Jeti Merang sudah beroperasi hampir 20 tahun dan menjadi pintu masuk utama pelancong dari dalam dan luar negara ke Pulau Redang, tiada usaha dilakukan pihak berkuasa, terutama Kementerian Pelancongan untuk membina jeti baru, walaupun pengambilan balik tanah dilaksanakan kerajaan negeri lebih 12 tahun lalu.

Tinjauan Berita Harian mendapati dalam sehari, lebih 800 pelancong terutama dari luar negara dan mencecah 3,000 sehari pada musim cuti, terutama dari China menggunakan jeti yang dibina sendiri pemilik dan pengusaha pusat peranginan untuk ke Pulau Redang itu.
Ada antara jeti diperbuat daripada kayu dan papan lapis berlubang dan reput. Jika tidak berhati-hati ketika meniti untuk naik atau turun bot boleh membahayakan keselamatan pelancong. Gerai jualan kraf tangan di kawasan itu juga tidak tersusun, sekali gus tidak mencerminkan imej tinggi sektor pelancongan negeri ini.
Kewujudan Jeti Merang yang sepatutnya memberi kesan limpahan ekonomi kepada penduduk sekitar, bagaimanapun tidak menjadi kerana kawasan itu sepi seperti jeti pada zaman purba, selain tiada kemudahan asas dibina termasuk gerai niaga sedangkan ia berpotensi menjadi destinasi santai untuk orang ramai.

Pengusaha bot pelancong, Ya Salleh, 59, berkata jeti kayu bagi memudahkan pelancong menaiki bot ke Pulau Redang dibina sendiri pengusaha bot pelancong membabitkan perbelanjaan antara RM5,000 hingga RM10,000.

Katanya, jeti diperbuat daripada kayu dan papan lapis itu bukan saja digunakan pelancong dalam dan luar negara, malah pemimpin utama termasuk pegawai Kementerian Pelancongan untuk menaiki bot ke pulau peranginan itu.

"Ada empat pengusaha bot pelancong Bumiputra mencari rezeki dengan menawarkan perkhidmatan bot laju untuk ke pulau peranginan itu, tetapi keadaan jeti uzur cukup memalukan mereka.
"Kita difahamkan, peruntukan pembinaan jeti baru dan ruang niaga sudah diluluskan Kementerian Pelancongan lebih 10 tahun lalu, tetapi sehingga kini tiada tanda pembinaan jeti dilaksanakan," katanya.

Penduduk, Tawang Ali, 58, berkata keadaan jeti kayu dan papan lapis cukup memalukan pengusaha pelancongan dan pemilik bot pelancong, tetapi jeti itu terpaksa digunakan kerana tiada kemudahan jeti lebih elok dibina kerajaan.

"Ada pelancong cedera berikutan terjerlus ketika meniti jeti untuk menaiki dan menuruni bot, tetapi kami tidak mampu membina jeti simen kerana perbelanjaan tinggi.

"Kita mendesak dan meminta kerajaan Pusat, terutama Kementerian Pelancongan mempercepatkan pembinaan jeti dan ruang niaga bagi memastikan saranan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, yang mahu menjadikan sektor pelancongan sebagai pendapatan utama negeri ini menjadi kenyataan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda UMNO bahagian Setiu, Abdullah Ibrahim, 40, berkata sebuah jeti yang lebih sesuai perlu dibina segera kerana imej sektor pelancongan negeri terjejas berikutan keadaan jeti yang berselerak dan usang itu.

"Difahamkan, kerajaan negeri sudah membuat persiapan termasuk pengambilan balik tanah lebih lima tahun lalu bagi memudahkan Kementerian Pelancongan membina jeti dan ruang niaga, tetapi tidak tahu apa puncanya menyebabkan projek pembinaan jeti belum dilaksanakan hingga kini," katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JetiMerangmemalukan/Article

Friday, September 9, 2011

Kerakyatan:"Kera Di Hutan Di Susukan, Anak Di Rumah Mati Kelaparan"


"Menghalau penjajah lebih mudah berbanding membuang pemikiran penjajah" – itulah ungkapan untuk menggambarkan negara kita walaupun telah merdeka 54 tahun. Namun pemikiran penjajah masih kukuh dan utuh dalam pemikiran sesetengah golongan sehingga ada yang masih berbangga dengan apa yang ditinggalkan penjajah.

Apa yang menyayatkan hati ialah kebutaan golongan ini dalam membakulsampahkan golongan yang ikhlas berjuang menghalau penjajah kini sebagai komunis.


Manakala golongan yang sanggup bersekongkol dengan penjajah dan taat menerima segala arahan penjajah sehingga membidas, mencedera dan malah ada yang sanggup membunuh orang sendiri yang melawan penjajah pula didewa-dewakan sebagai hero.


Seluruh fakta sejarah yang bersama Inggeris dikekalkan, bahkan nama-nama parti politik masih menggunakan singkatan bahasa penjajah - UMNO, MIC, MCA. Mereka mendabik dada dan berulang-ulang menyebut - “Kamilah pejuang bangsa, Kamilah pembela tanahair” sehingga bertukar menjadi “Kami sahajalah pejuang bangsa, kami sahajalah pembela tanahair” sehingga mengabaikan dan menggugurkan jasa para pejuang lain yang tidak diiktiraf pihak Inggeris dalam sejarah.


Dalam bab menjaga Islam lagi menyedihkan. Selepas 54 tahun negara merdeka, nama Islam bukan sahaja tidak bertambah harum, malah kian dilihat sebagai agama yang 'menghalalkan' rasuah dalam pentadbiran, penyalahgunaan kuasa demi kekal berkuasa, rakyat didahulukan untuk 'disembelihkan'.

Ianya berpunca apabila ekonomi negara disalahtadbir dan perundangan Islam hanya berlegar soal peribadi dan kekeluargaan. Lebih parah, majoriti institusi agama turut dikongkong untuk mengembangkan ajaran Islam dengan pelbagai enakmen yang direka, bukan sahaja menyusahkan dan pada masa yang sama menyebabkan agama Islam ditertawakan.


Banggakah kita sesudah 54 tahun merdeka? Isu-isu utama seperti soal perpaduan kaum, soal agama dan dasar pendidikan nasional dan soal memartabatkan bahasa kebangsaan masih teraba-raba mencari jalan keluar?

Setiap kali menjelang pilihanraya umum, isu agama dan kaum akan digunakan sebagai senjata sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah untuk dijaja kepada kaum masing-masing bagi meraih undi. Inilah nasib bilamana negara dipimpin oleh mereka yang pemikiran masih dibelenggu oleh elemen penjajah.



'Kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan'


Akhir-akhir ini, gesaan untuk melucutkan kerakyatan dan memperbanyakkan laporan polis dan saranan seseorang agar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana bercanggah pendapat dengan pihak pemerintah telah menjadi satu budaya baru dalam negara. Segalanya dibuat seolah-olah merekalah undang-undang, dan merekalah pendakwa dan merekalah jugalah hakim.


Terbaru, timbul pula desakan menggugurkan kerakyatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semata-mata kerana beliau mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan. Tetapi yang ajaibnya, tiada pula kedengaran, ada yang menyarankan mereka yang terlibat dalam konspirasi memberikan kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya, yang jelas khianat kepada negara selepas 54 tahun merdeka untuk dibuang kerakyatan.


Bukankah ini satu lagi mentaliti penjajah? Mereka sanggup mengelirukan orang Tanah Melayu sendiri untuk melawan orang Tanah Melayu sendiri, tapi masa yang sama menjual negara ke tangan warga asing untuk mengundi mereka supaya boleh kekal berkuasa? Penjajah turut melakukan perkara yang sama. Penduduk Tanah Melayu diambil sebagai pegawai, polis dan juga askar untuk melawan orang Tanah Melayu yang menentang penjajahan mereka supaya mereka boleh kekal berkuasa.


Sekiranya perlu Mat sabu digugurkan kerakyatan kerana menganggap Mat Indera sebagai seorang hero, bagaimana pula dengan penulis dan pakar sejarah yang menerbitkan buku Pengukir Nama Johor, yang mengangkat Mat Indera juga sebagai hero?


Bagaimana pula dengan kerakyatan MB Johor apabila kenyataan beliau bercanggah dengan buku yang dinaungkannya sebagai “bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik” pada 2004 dengan menggelar Mat Indera sebagai pengganas untuk meneruskan hujah Umno yang semakin menikam Umno sendiri?

Desakan ini juga sebenarnya menggambarkan betapa rakusnya kerajaan pemerintah dalam mengekalkan kuasa sehinggakan soal perundangan boleh diabaikan.


Kalau diikutkan kehendak Umno, rakyat langsung tak boleh bersuara menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan – bila mana bercanggah dan kerajaan pemerintah tidak gembira, anda boleh disaran untuk dibuang kerakyatan. Sedangkan pada waktu yang sama, kerajaan pula beri warga asing kerakyatan walaupun mereka langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negara.


Inilah contoh terbaik untuk mengungkapkan kata-kata P.Ramlee “fening, fening.”
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Sumber : http://tuanibrahim.blogspot.com/2011/09/10-syawal-1432-h-9-september-2011.html

Followers