Oleh SAFAR JUMAAT
SUKAR untuk menolak anggapan rakyat terbanyak, BN itu bukan sahaja mewakili singkatan bagi nama Barisan Nasional tetapi ia semakin popular dengan singkatan ‘Barang Naik’. Malahan, di kalangan mereka yang berada di bawah payung BN sekalipun, tidak dapat menolak dakwaan itu.
Pemimpin BN di Putrajaya dan mereka yang berpejabat di Menara Dato’ Onn, PWTC mungkin tidak merasa apa-apa dengan sungutan rakyat di bawah, bahawa semua barang keperluan semakin mahal, kerana mereka tidak berada di arus bawah dek sebaliknya sedapnya berkerusi empuk di pejabat masing-masing.
Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu memantau harga juadah di bazar Ramadan sebenarnya satu penghinaan kepada peniaga-peniaga kecil Melayu tetapi dia tidak pula mengeluarkan kenyataan mahu memantau harga jualan di pasaraya-pasaraya milik taikun asing.
Acapkali rakyat mengeluh. Kenaikan harga barang menyebabkan hidup mereka yang berpendapat kecil dan sederhana benar-benar tertekan, tetapi kerajaan akan menjawab nanti, kurangkan guna gula untuk membendung kenaikan harga gula.
Jika harga sayur-sayuran melambung, sungutan rakyat akan dijawab kerajaan, bercucuk tanam di rumah untuk mengurangkan belanja membeli sayur-sayuran di pasar.
Begitulah seterusnya, jika harga minyak yang naik, kekecewaan rakyat akan kerajaan jawab, kurangkan makanan berminyak dan yang bergoreng.
Sebenarnya, harga ubat-ubatan pun melambung. Kalau seseorang itu memerlukan ubat, bolehkah kerajaan atau menteri memberi kenyataan, kurangkan makan ubat bagi membendung kenaikan harga ubat?
Dulu, bila harga minyak naik, kerajaan akan kata ini bukan kenaikan harga minyak, tetapi ini penyesuaian subsidi yang menyebabkan kenaikan berlaku.
Sesekali akan ada kenyataan dari menteri, gunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana untuk mengurangkan penggunaan minyak.
Yang belum menteri keluarkan kenyataan, gali minyak sendiri jika sesiapa ada terjumpa sumber minyak dari bumi dan belum kedengaran menteri memberi nasihat kepada rakyat, berjalan kakilah ke pejabat kerana dengan cara itu akan menyebabkan kita sihat kerana peluh sentiasa mengalir.
Soalnya, sampai bila kerajaan mahu menepis keluhan ini dengan kenyataan-kenyataan kurang cerdik ini?
Adakah kerajaan memang beranggapan rakyat Malaysia adalah dari kalangan mereka yang kurang cerdik, maka mereka harus dilayan dengan cara kurang cerdik?
Satu hal lagi yang rakyat meluat dengan kerajaan ialah kenyataan dari menteri setiap kali ada pertanyaan mengenai kenaikan harga barang, mereka akan menjawab, di negara-negara jiran lebih tinggi harga barangan ini jika dibandingkan dengan harga di negara kita.
Belum pernah pula mereka berkata, gaji dan pendapatan di negara jiran lebih tinggi dari negara kita, indeks rasuah dan penyelewengan tidak pula mahu mereka bandingkan kecuali membandingkan harga barangbarang keperluan yang betul-betul menjerut leher rakyat.
Mana mungkin rakyat boleh menerima kenaikan tambang bas sekolah, harga pakaian sekolah dan alat-alat tulis?
Mungkinkah menteri akan membuat kenyataan, jangan pakai uniform ke sekolah untuk menjimatkan belanja?
Ketika rakyat menghadapi kesukaran yang tak terucap ini, kerajaan dibelit dengan cerita inflasi dan cerita seorang isteri pembesar negara berbelanja sakan di luar negara hingga timbul cerita pembelian cincin yang berhaga RM24 juta.
Hati mana yang tak sayu mendengar cerita seperti ini?
Siapa yang tidak geram. Walaupun kesahihannya boleh diragui, tetapi jika ada isteri pembesar mampu membeli cincin yang berharga RM2.4 juta pun, ia sudah dikira merobek kesetiaan rakyat terhadap sokongan yang mereka berikan selama ini.
Malahan, jika harga cincin yang dibeli itu bernilai RM240 ribu sekalipun, ia sudah cukup untuk rakyat memberitahu BN, cukuplah. Berilah peluang parti lain pula memerintah.
Apa yang sudah BN berikan kepada rakyat selama ini, terima kasih tetapi kalau rakyat terus memberikan sokongan kepada BN, seolah-olah rakyat merestui ceritacerita pembelian cincin bernilai RM24 juta, RM2.4 juta dan RM240 ribu.
Itu baru satu cerita. Belum lagi cerita penyelewengan dalam pemberian tender dan projek-projek pembelian senjata dan kapal selam. Rakyat terus merintih, kerajaan terus membazir dan tidak mahu memperbaiki kelemahan.
Bila ditegur, nanti mereka akan menafikan dengan kata-kata, banyak perkara lain yang perlu kita utamakan. Jangan terpengaruh dengan cakap-cakap pembangkang. Pembangkang memang hanya tahu membangkang tetapi mereka tidak menjawab teguran mengenai pembaziran dan isu perbelanjaan tidak berhemah.
Menjelang Aidilfitri ini, pastinya banyak barang-barang keperluan akan dinaikan harga. Menteri akan mengeluarkan kenyataan, bekalan ayam, telur, minyak dan tepung mencukupi untuk umat Islam menyambut Syawal tetapi usaha membendung kenaikan harga barang, ternyata kerajaan tidak mampu membendungnya.
Apakah kerajaan akan terus meminta rakyat menerima apa sahaja yang berlaku ini dan dalam masa yang sama, mereka yang sedang berkuasa sibuk menghabiskan wang kerajaan yang ada bagi kesenangan mereka dan tujuan kepentingan politik mereka.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak yang sedang seronok dengan kempen 1Malaysia, terdesak merasmikan kedai 1Malaysia yang dikatakan menjual barangbarang keperluan dengan harga murah tetapi tahukah beliau bahawa bukan orang di sekitar kedai 1Malaysia itu sahaja yang memerlukan barang-barang harga murah, sebaliknya setiap rakyat negara ini menentang kenaikan harga barang-barang keperluan.
Mereka yang duduk di kerusi empuk sekarang ini tidak pernah merasakan kenaikan harga barangbarang keperluan ini, lebih-lebih lagi mereka semuanya kaya-raya dan duduk di rumah yang kecil sedikit dari Istana Negara tetapi rakyat yang mereka anggap kurang cerdik sudah boleh berfikir, apakah kerajaan ini perlu disokong lagi atau tidak.
Bak kata orang-orang tua, kalau ada duit, macam-macam boleh beli, tapi kalau tak ada duit macam-macam boleh jadi. Maka, mereka akan berusaha untuk menumbangkan kerajaan yang dilihat sudah tidak berkemampuan membendung kenaikan harga barang-barang.
Apakah alasan yang hendak dicipta kerajaan apabila kenaikan harga barang-barang ini berterusan?
Apakah menteri akan memantau Bazar Ramadan sahaja dan tidak pedulikan kenaikan faedah pinjaman dan macammacam kenaikan terpaksa alat ganti kenderaan dan kelengkapan rumah?
Jadi, kalau ada rakyat yang beritahu kepada BN, cukuplah.
Sudah lama kami memberi sokongan dan peluang untuk BN memerintah, tetapi kebajikan kami tidak pernah dipedulikan, apakah BN akan marah kerana rakyat seperti ini dianggap seperti tidak tahu mengenang budi?
Nanti mereka akan kata, kamilah yang memerdekakan negara. Kamilah yang membina stadium dan kamilah yang membina landasan kereta api. Kalau kami tak bina stadium, di mana pemain bola sepak nak bermain bola sepak dan jika kami tidak bina landasan kereta api, di manakah keretapi nak lalu?
Cuma, mungkin mereka tidak berkata, tanpa landasan keretapi, pemain bola sepak boleh bermain di tapak landasan kereta api dan di tapak stadiumlah nanti kereta api akan menurunkan penumpangnya! Rakyat bukan bodoh
Sumber : http://warta-utara.blogspot.com/2011/08/bn-tak-rasa-apa-apa-walaupun-harga.html
No comments:
Post a Comment