Sunday, January 6, 2013

'Saya tetap dengan pendirian saya'

FARAH SHAZWANI ALI
6 Januari 2013
ABDUL HADI AWANG
ABDUL HADI AWANG
KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kejutan dengan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan menarik balik fakta ucapan kontroversinya yang dilabelkan sebagai Amanat Haji Hadi.

Beliau bertegas mahu diberi peluang untuk menjelaskan perkara sebenar berhubung dengan ucapan yang dibuatnya di Kampung Banggol Peradong, Manir, dekat sini, 32 tahun lalu.

Menurutnya, masyarakat perlu mendengar penjelasan beliau dahulu, sebelum menilai sendiri sama ada apa yang beliau ucapkan itu betul atau salah.

“(Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais (Yatim) tak nak bagi peluang (kepadanya menjelaskan perkara itu melalui siaran langsung RTM dan TV3).

"Itu hak dia, tetapi saya tetap dengan pendirian saya, supaya masyarakat berlaku adil kepada semua pihak. Hanya cara (memberi penjelasan melalui siaran langsung) itu boleh memulihkan keadaan, kerana kita (Pas) tiada media. Biar rakyat tahu dan jangan dengar sebelah pihak.

“Biar mereka nilai betul atau tidak. Televisyen perlu siarkan satu jam ucapan saya. Amanat itu pentingkan?" katanya di Masjid Abidin, di sini, selepas menziarahi makam bonda saudara Sultan Mizan, Tengku Zaleha Ismail binti Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang mangkat pagi semalam.

Pada 17 Disember lalu, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh menggesa Abdul Hadi menarik balik Amanat Haji Hadi.

Harussani berkata, selagi seseorang Islam itu mengucap dua kalimah syahadat, mengamalkan ajaran agama, orang itu tidak boleh dituduh kafir.

Wan Zahidi pula menyifatkan, amanat tersebut tidak memberi bahaya kepada Umno, sebaliknya ke atas Hadi sendiri.

Pendapat sama turut disuarakan Pengerusi Penerbitan Dakwah Islamiah Malaysia (Pedim), Datuk Mat Jahaya Hussin yang berharap semua pihak bercakap perkara yang benar sahaja.

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula berkata ahli Pas hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut, namun Abdul Hadi wajar membuat penarikan semula sebagai pencerahan kepada masyarakat.

Gesaan yang sama turut dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahya, Ketua Penerangan Umno Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengarah Pusat Pemikiran Islam dan Peradaban Melayu, Shamsudin Munir dan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, antara lain.


Saya tidak label ucapan saya

Beliau berkata, beliau tidak pernah melabelkan ucapan dan kenyataan yang dibuat di Kampung Dong Perada pada 7 April, 1981 itu sebagai Amanat Haji Hadi.

"Saya tidak berikan nama amanat, tetapi orang lain yang berikan nama amanat. Mereka petik ucapan saya dan bentang dalam Dun.

"Saya akui ia memang ucapan saya, tetapi mereka (pihak berkuasa) hanya senyap selepas itu. Itu ceritanya. Kenapa mereka tidak hujah pada masa itu, tetapi 30 tahun kemudian?” kata Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang.

Beliau turut menyanggah kenyataan Rais yang memutuskan tidak akan melaksanakan cadangan untuk mengadakan forum bagi membincangkan Amanat Haji Hadi menerusi RTM kerana penyiarannya menyalahi fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Fatwa Kebangsaan, pada 24 Julai 2002.

Sambil menempelak Majlis Fatwa Kebangsaan, Abdul Hadi mempertikaikan kenapa kenyataannya di Kampung Banggol Peradong itu didakwa bercanggah dengan ajaran Islam.

“Saya tidak menerima apa-apa surat daripada Majlis Fatwa Kebangsaan (mengenai perkara itu) dan saya cabar mereka (membuktikan mereka ada menghantar kepada beliau surat mengenainya).

"Mereka membuat keputusan untuk mengharamkannya tanpa memanggil saya memberi penjelasan.

“Saya tidak dengar. Surat rasmi pun tiada. Hanya atas angin. Berniaga pun tiada (dibuat) atas angin. Saya bercakap bukan kerana pilihan raya (sudah hampir) tetapi kerana akhirat. Kita semua akan mati, hanya tuhan yang akan menentukan siapa yang betul, siapa yang salah.
“Ada ke mereka (boleh) membuat keputusan tanpa bertemu dengan saya? Betul ke? Mereka menjatuhkan hukuman tanpa perbicaraan,” katanya.

Followers