Monday, October 31, 2011

Pembongkaran Ketua Audit Negara melukakan hati penternak lembu, kambing dan kerbau


Laporan Ketua Audit Negara yang terkini mendedahkan Institut Sukan Negara (NSI) memperoleh 23 ekor kuda bernilai RM5.66mil tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan. Dan yang melucukan lagi tiada seekor kuda pun yang dibeli layak bertanding dalam dua kejohanan antarabangsa seperti yang disyorkan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara lagi, yang menambah kehairanan apabila perolehan telah dibuat tanpa apa-apa surat tawaran atau perjanjian yang memerlukan ketetapan yang jelas berhubung tanggungjawab pembekal.

Malah hairan bin ajaib lagi pembayaran kepada Syarikat El Rancho Country Club telah dibuat di bawah atas nama individu.

Sesungguhnya dengan pendedahan audit Negara itu ternyata ia amat melukai hati penternak lembu, kambing dan kerbau di kampong apabila mereka mengetahui wang rakyat dihabiskan dengan membeli kuda tua.

Mereka akan merasa tertipu setiapkali apabila mereka memohon baka lembu, kambing dan kerbau untuk menternak di kampong, mereka sentiasa disajikan dengan jawapan “peruntukan tahun ini sudah habis, Pak Cik kena tunggu peruntukan tahun hadapan” kata pegawai jabatan haiwan daerah.

Dan apabila tiba tahun hadapan tiba, jawapan yang sama disajikan dengan katanya “Pak Cik kena tunggu awal tahun kerana peruntukan tahun ini terhad, Kerajaan tidak ada budget”.

Itu lah hiburan dendangan yang kerap orang kampong dengar, diputar-putar menjadi lagu yang sudah basi sehingga mereka hilang kenyakinan dengan dasar-dasar Kerajaan untuk membantu penternak dan nelayan.

Pendek kata mereka sentiasa ditipu dengan putar belit pegawai-pegawai di bawah dan di peringkat pegawai-pegawai atasan seperti KSU, TKSU dan KP mereka pula membelanjakan wang jutaan ringgit untuk membeli kuda-kuda endurance yang hanya layak ditembak mampus.

Agenda pegawai atasan hanyalah untuk memenuhi citarasa dan kepuasan elitis-elitis kaki kuda yang di atas, agar pangkat dan jawatan mereka sentiasa kekal dan kontrak mereka sebagai KSU sentiasa disambung walaupun mereka itu seperti kuda tua yang sudah tidak mampu bertanding.

Mereka akan kekal sebagai pembodek-pembodek tegar mengejar bintang dan pingat Datuk, Datuk Seri dan macam-macam darjah kebesaran.

Konklusinya. hampir semua pembongkaran Laporan Audit Negara ini menjejaskan rakyat-rakyat marhaen di bawah jika kita perincikan satu persatu.

Malaysia Dalam Krisis


Oleh: MSK

Salah satu sebab mengapa rakyat Malaysia, terutama orang Melayu, mengambil sikap acuh tak acuh tentang apa yang berlaku dalam negara adalah kerana ketiadaan maklumat. Surat khabar setiap hari bercerita tentang jenayah, skandal seks, kehidupan artis. Blog pro-Umno setiap hari bercerita tentang skandal Pakatan. Blog pro-Pakatan setiap hari bercakap tentang keburukan Umno. Itulah politik Melayu. Semuanya perlu sensasi.

Dalam siri Revolusi Ekoposial 1,2 dan 3…aku cakap pasai perubahan pemikiran dan perubahan generasi. Kebanyakan komen mengaiitkan revolusi dengan kemiskinan, dan aku keluarkan statistik kemiskinan. Secara umumnya, ramai yang bersetuju bahawa rakyat yang miskin tidak akan menggerakkan revolusi. Realitinya, lebih miskin seseorang itu, lebih kuat kebergantungannya kepada pemerintah.

Kemudian, kita kaitkan pula kegagalan kebangkitan rakyat kerana middle class tidak memainkan peranan mereka. Perkara ini tidak akan berakhir kerana keseluruhan sistem kita sudah kaput. masyarakat diasingkan, dan maklumat disorokkan. Kita tidak sedar bahawa kita didalam krisis.

Dari 1970 hingga 2008, Harga Index Pengguna (CPI) berada dalam lingkungan 2-4%. Tak pernah tinggi daripada itu. Kita anggaplah petunjuk rasmi kerajaan itu betul tapi cuba buat sikit kajian tentang kenaikan harga yang kita sendiri rasai.

Tahun 1970, harga sepinggan nasi hanyalah RM0.70 sen. Sekarang, kalau makan dikedai mamak, paling kurang RM6.00. Berapa peratuskah kenaikan tersebut?

Tahun 1972, harga Toyota KE 20 hanya RM7,000. Sekarang, Toyota Vios berharga hampir RM70,000. Dulu, kalau kita bayar RM300 sebulan, kita memerlukan 23 bulan untuk menyelesaikan ansuran. Sekarang…kita memerlukan 9 tahun untuk menyelesaikan hutang.

Tahun 1972, harga rumah teres ialah sekitar RM38,000. sekarang sudah meningkat kepada RM200,000. Itu dipinggiran bandar Ipoh. Kalau kat Penang, apartmen dua bilik saja bernilai RM300,000. Siapa yang mampu beli rumah?

Kesannya? Kita terpaksa tinggal makin lama makin jauh dari tempat kerja. Masa dihabiskan diatas jalan manakala masa dengan keluarga semakin berkurangan. Dan yang lebih sakit…anak-anak kita masa depan tidak mungkin mampu membeli rumah. Semakin lama, generasi kita semakin miskin. Apabila miskin, kita akan terus berpaut dengan pemerintah. Generasi miskin akan terus merana dalam putaran kemiskinan.

Yang boleh membantu mereka untuk keluar dari putaran kemiskinan ini ialah golongan middle class yang prihatin. Apakah golongan middle class ini masih wujud?

Pada tahun 1970, mak aku bekerja sebagai amah. Dia dapat RM50.00 sebulan. Aku kesian kat mak aku, tapi gaji RM50.00 itu dia boleh beli macam-macam. Untuk perbandingan, kita gunakan emas.

Gaji RM50.00 emak aku, kalau tak dibelanjakan…dia boleh beli 14 gram emas.

Tahun 1980, aku mula bekerja dan gaji asas bagi taraf diploma ialah RM750.00. Kalau aku tak belanja duit tu, aku boleh beli 20 gram emas.

Sekarang anak aku keluar universiti, ada ijazah dan mula bekerja. Gaji permulaan dia ialah RM1200.00. Dengan RM1200.00, anak aku hanya boleh beli 10 gram emas!! Kita makin baik atau makin teruk?

Anak aku yang pergi universiti…duit aku habis puluh ribu…kemudian berhutang kat PTPTN…tiba-tiba standard dia lebih teruk dari mak aku yang bekerja sebagai amah tahun 1970!!

Sekurang-kurangnya, mak aku tak berhutang..tapi anak aku akan terus berhutang untuk sepuluh tahun lagi. Tu belum nak beli kereta..nak beli rumah…nak kawin!

Cuba tengok piramid yang ideal bagi sesebuah negara.

Ini yang berlaku dalam tahun 70an. Manakala yang dibawah adalah apa yang berlaku dalam tahun 2008.

Grafik diatas dibuat berdasarkan statistik sehingga 2008. Diantara March 2008 hingga Ogos 2009, seramai 304,358 rakyat Malaysia berhijrah keluar negara. Ini tak mungkin kelas bawahan…tapi kelas pertengahan yang mempunyai modal dan kepandaian. Rakyat Malaysia yang bijak, berhijrah keluar negara, tapi dalam masa yang sama, kita mengimpot berjuta rakyat Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

Ruling class semakain membesar…tengok saja berapa ramai Menteri Kabinet. Financial Class sudah mula melarikan diri ke Thailand dan China. Pasukan polis semakin membesar walaupun tugas mereka semakin haprak. Kakitangan kerajaan semakin membesar, walaupun pelbagai penswastaan dibuat. Business class dan Middle class semakin mengecil sebab mereka sama ada sudah lari atau menjadi working class, manakala working class semakin membesar.

Kita sudah menuju kearah negara kuku besi seperti Myanmar.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Ini bukan salah orang miskin samaada dibandar atau dikampung. Ini juga bukan kerana Melayu, Cina atau India…tapi ini semua salah Umno.

Umno sudah lama memerintah dengan majoriti dua pertiga. Kuasa yang besar ini digunakan untuk mengekalkan kepentingan segelintir puak Umno diatas pucuk pimpinan. Jangan salahkan ahli Umno yang dibawah..sama ada dikampung atau dibandar…depa sudah diperbodohkan.

Sepanjang 54 tahun Umno berkuasa, Umno telah meminda Perlembagaan sebanyak 633 kali. Setiap kali ianya dipinda, ia hanyalah untuk menindas rakyat dan mengisi poket segelintir pemimpin mereka. Bandingkan dengan Amerika yang merdeka sudah 233 tahun, tapi hanya meminda perlembagaan mereka sebanyak 27 kali!!

Macam mana Umno boleh mendapat majoriti 2/3 sepanjang masa?

Umno menguasai hampir semua jentera kerajaan yang kemudiannya dimanipulasi supaya Umno terus berkuasa.

Peguam Negara, SPR, Jabatan Hasil dalam Negeri, Kehakiman, SPRM,JPN, Polis, ROS, Special Branch…habis dikuasai oleh Umno. Jabatan-jabatan kerajaan yang sepatutnya bebas ini…semuanya sudah duduk dibawah Umno dan Barisan Nasional.

Nak ubah macam mana? Melalui pilihanraya? Cuba tengok apa kata pengerusi SPR yang lalu.

"SPR mengaku pada tahun 2000: Sekiranya undi pos dibatalkan, tiada seorang pun Menteri dapat mempertahankan kerusi Parlimen.

http://mt.m2day.org/2008/content/view/18775/84/"

Sempadan kawasan Parlimen diubah dan dimanipulasi untuk memastikan BN menang. Cuba bandingkan diantara Putrajaya dan Kapar.

Putrajaya mempunyai 6608 pengundi manakala Kapar mempunyai 112,224 pengundi. Pakatan perlu menang 2 kerusi Parlimen…manakala BN hanya perlu menang 1 kerusi saja. Dalam lain perkataan, Pakatan memerlukan 60% undi untuk menawan Putrajaya, manakala BN hanya memerlukan 40 undi..tapi masih boleh mengekalkan kuasa. Adil?

Satu lagi contoh bagaimana BN akan terus berkuasa. Selangor mempunyai 1.57 juta pengundi, tapi hanya mempunyai 26 kerusi Parlimen. Sabah mempunyai 800,000 pengundi tapi mempunyai 25 kerusi Parlimen. Manakala Sarawak mempunyai 900,000 pengundi tapi mempunyai 31 kerusi Parlimen.

And the worst is yet to come.

Lima juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tapi masih belum mendaftar sebagai pengundi…sebaliknya, sudah lebih satu juta rakyat asing yang tak boleh mengundi, sudah didaftarkan sebagai pengundi.

Macam mana nak mengubah kerajaan?

Sumber: http://www.malaysiatimes.my/2011/10/30/krisis-di-malaysia/

Presiden MCA Hina Hudud: Biadap Dan Celaka


Menurut laporan The Star, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menyatakan
niat PAS laksana hukum hudud akan menyebab negara mundur dan menakutkan pelabur. Kesannya berat terhadap FDI dan pelancong yang tidak akan berkunjung, katanya, dan menambah beberapa negara yang melaksanakannya mundur kecuali kekayaan hasil buminya sahaja



DI MANA UMNO KETIKA ISLAM DIHINA?

KUALA LUMPUR, 30 Okt: PAS mempersoal adakah benar kononya Umno mahu memperjuangkan Islam sedangkan parti itu hanya diam membisu ketika MCA sedang berpesta menghina Islam.

AJK PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, kenyataan menghina Islam terbaru dari Presiden MCA, kononnya hukum Islam menjejaskan ekonomi dan membawa kemunduran, seperti "direstui" Umno dan NGO yang pro mereka.


"Di mana suara Umno ketika MCA biadab dengan Islam? Di manakah NGO Pro-Umno ketika pemimpin MCA menghina Islam degan penuh emosi? Kenapa mereka menikus?


"Apakah MCA berani menghina Islam kerana diberi lesen oleh Umno? Kenapa Umno tidak memberi amaran kepada MCA?" soalnya bertubi-tubi melalui satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.


Beliau mengulas kenyataan terbaru Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mendakwa jika hukum Islam dilaksanakan, ekonomi negara akan terjejas dan akan membawa kemunduran kepada negara.


Menurutnya, adalah tidak mustahil tindakan 'tutup mulut' oleh Umno itu kerana ada kepentingan politik tertentu disebaliknya walaupun sanggup melihat sahaja Islam dihina.


"Apakah kerana takut kehilangan pengaruh dan meraih undi, maka Umno membisu, asalkan matlamat politik mereka tercapai walaupun Islam dihina.


"Cuba bayangkan jika kenyataan ini dikeluarkan oleh pemimpin DAP atau pemimpin PKR, maka sudah tentu akan diadakan demontrasi di KOMTAR Pulau Pinang oleh tukang juak-juak mereka," ujar bekas ketua penerangan PAS itu lagi.


Kenyataan menghina Islam oleh presiden parti komponen BN itu menurut Idris, bukan pertama kali malah ketika pilihanraya kecil Tenang beliau menghina Islam apabila menghina calon PAS, Cikgu Normala Sudirman yang tidak mahu bersalam dengan lelaki.


Beliau turut mempersoal dimanakah suara NGO Umno yang berkobar-kobar untuk mempertahankan Islam ketika program HIMPUN di Shah Alam 22 Oktober lalu.
Katanya, amat malang jika kita marah kepada orang lain menghina Islam tetapi pada masa yang sama 'memberi lesen' pula kepada MCA berbuat demikian.


"Setakat hari ini kita belum dengar lagi suara Perkasa, YB Zulkifli Nordin, Dr Rhidwan Tee, Tan Sri Ibrahim Abu Shah dan kuncu-kuncu mereka.


"Amat malang kepada kita jika kita ada orang yang mempunyai otak asabiah yang membuta tuli seperti ini.


"Kita akan dengar lagi selepas ini kenyataan yang lebih dahsyat kepada Islam, jika pemimpin MCA melihat sokongan orang bukan Islam masih tidak lari daripada menyokong Pakatan Rakyat menjelang PRU 13," katanya. - harakahdaily

Friday, October 28, 2011

Mahadhir Lawan Hudud Dulu, Kini Dan Selamanya?


Hudud: Hasrat PAS akan wujudkan dua sistem tak adil, dakwa Mahathir

KUALA LUMPUR, 27 Okt — Tun Dr Mahathir Mohamad terus menyerang hasrat PAS memperkenalkan hukum hudud dengan hari ini menegaskan, perundangan Islam itu akan membawa kepada sistem keadilan yang berat sebelah kepada masyarakat Muslim dan bukan Muslim.

“Mereka mengatakan bahawa hudud hanya bagi Muslim. Jadi, jika ada kecurian melibatkan seorang rakan Cina, mereka akan memotong tangan tetapi rakan Cina atau rakan India, mereka (hanya) akan dapat hukuman penjara dua bulan.

“Jadi, bagi PAS itu keadilan. Sudah pasti, jika anda melakukan (kesalahan) lain, mereka akan memotong kepala anda,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan teh anjuran Perodua di sini hari ini.

Laporan media semalam menyebut kerajaan Kelantan terus meletakkan harapan mahu mencapai hasrat dua dekad melaksanakan hukum hudud mahu bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan perkara tersebut sebaik sahaja segala pendekatan berkaitan selesai diadakan.

Isnin lalu, pentadbiran Nik Aziz mengumumkan pembentukan jawatankuasa teknikal berhubung pelaksanaan hukum hudud.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata pihaknya sudah pun menghantar surat kepada Najib berhubung cadangan mengadakan pertemuan dengan kerajaan persekutuan.

Mohd Amar berkata pertemuan rasmi dengan Najib belum ada lagi dan ia akan dilakukan apabila semuanya sudah sedia.

Bulan lalu, Dr Mahathir berkata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh mengadakan pertemuan dengan Najib jika masih berhasrat meneruskan usaha melaksanakan hukum hudud.

Dalam satu surat kepada Nik Aziz pada 1994, Dr Mahathir menolak rancangan Kelantan atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kelantan terus mendakwa hukum hudud gagal dilaksanakan ekoran pendirian dan sekatan kerajaan pusat.

Polemik bermusim ini muncul semula akhir bulan lalu dengan wujud pelbagai pandangan iaitu Kelantan boleh melaksanakannya dan pada masa yang sama ia juga bercanggah dengan undang-undang pusat. -TMI

Wednesday, October 19, 2011

3 Kes Cerai Setiap Jam


KUALA LUMPUR – Masalah keruntuhan institusi keluarga Islam di negara ini semakin menjadi-jadi apabila rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati, sebanyak 28,035 pasangan bercerai sepanjang tahun lalu.

Statistik itu bermakna, secara purata 77 kes perceraian sehari atau tiga kes bagi setiap jam didaftarkan di Malaysia berbanding 135,548 pasangan yang berkahwin tahun lalu.

Angka itu mencatatkan peningkatan 144 kes berbanding 27,891 pasangan yang bercerai sepanjang tahun 2009.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim ketika dihubungi semalam mengakui, sekali pandang jumlah kes perceraian pasangan Islam cukup tinggi dan membimbangkan.

Katanya, kebanyakan daripada perceraian itu berlaku selepas pasangan terbabit gagal mencapai persefahaman yang sepatutnya wujud di antara suami isteri.

Beliau bagaimanapun berpendapat, walaupun kes perceraian ditegah dalam Islam, ada pihak mungkin melihatnya dari perspektif yang berbeza.

“Sekali pandang bilangan kes perceraian memang tinggi tetapi kita juga perlu melihatnya daripada sudut lebih positif.

Sumber :http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Saturday, October 15, 2011

Melayu Berpecah Pasal Tak Sokong UMNO?


Pas Mampu Selamatkan Melayu Islam
Idris Ahmad
14/10/11

Pas mampu menyelamatkan Melayu Islam daripada hilang kuasa setelah Umno gagal menjaga amanah bangsa. Inilah jawapan kepada kebimbangan Tun Dr Mahathir yang mengatakan Melayu akna hilang kuasa dalam sepuluh tahun lagi.


Sebenarnya ini hanyalah kenyataan untuk memberikan talian hayat baru supaya orang melayu terus menyokong Umno, ketika parti ini tidak popular di kalangan generasi muda yang celik maklumat.

Kenyataan ini adalah bayangan mimpi ngeri Tun ketika menghadapi hari tuanya. Beliau sedang menyaksikan parti yang pernah beliau pimpin hampir 22 tahun mengalami muflis sokongan. Umno bukan lagi parti keramat orang Melayu, ia hanya parti untuk menjadi pengkalan sementara bagi membolot kekayaan peribadi bukan untuk kepentingan bangsa dan agama.


InsyaAllah doa almarhum Ustaz Fadhil Nor dikabulkan Allah, supaya umur Tuan Mahathir panjang dan ia akan melihat sendiri hasil daripada beliau memimpin negara. Bibit-bibit kerisauan sudah pun nampak pada hari ini.


Oleh itu Pas perlu mengganti Umno demi kelangsungan perjuangan agama, bangsa dan negara. Pas terbukti dan teruji kerana mampu mentadbir dengan baik negeri yang mewakili majoriti Melayu Islam di Kelantan sejak 1990 sehingga kini telah berjaya menaikkan taraf orang Melayu.

Kadar kemiskinan di Kelantan daripada nombor dua pada tahun 1990 kepada nombor enam adalah satu bukti Pas mampu mememlihara Melayu Islam.

Begitu juga ketika Umno berbangga partinya pandai menjaga Melayu tetapi begitu dhaif untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri di bawah penguasaan mereka, contohnya Terengganu nombor dua termiskin di negara ini.

Pas yang menerajui Kelantan berjaya melunaskan hutang kepada kerajaan pusat sebanyak RM220 juta setakat 2010. Hutang yang ditinggal oleh Umno pada tahun 1990 RM718 juta. Kelantan mampu mengurus dengan baik walaupun royalti minyak dirampas.


Pas mampu kerana pemimpin yang berpegang kepada prinsip amanah dan adil. Merasakan bahawa pemimpin akan disoal di hari akhirat kelak. Menolak sebarang bentuk perkauman dan pilih kasih kerana berlainan ideologi politik. Bantuan diberi kepada mereka yang berhak, tanpa mengira parti politik.


Melayu akan hilang kuasa kerana politik Umno yang tidak menghayati Islam sebagai cara hidup, menafikan hak sesama bangsa kerana berlainan ideologi politik, dendam sesama bangsa sehingga menafikan hak rakyat untuk memilih berlainan politik, diskriminasi sesama bangsa kerana berlainan ideologi, agensi yang menjaga Melayu seperti Felda, Felcra banyak ketirisan,

Sikap sombong yang tidak boleh menerima kritikan dan perbezaan pendapat walaupun dengan fakta dan data, menyalah gunakan Hak Keistimewaan Orang Melayu untuk peribadi, pendekatan Umno Putera bukan bumiputera, menafikan keboleh peniaga Melayu yang berwibawa kerana berlainan ideologi.Mengkambing hitamkan DAP kononnya kerana Melayu tertinggal sejak BN hilang kuasa di Pulau Pinang

Wednesday, October 12, 2011

Pesawah terjejas rugi besar


BANDAR PERMAISURI – Seramai 37 pesawah yang mengusahakan projek sawah padi Kampung Buluh Hilir, di sini berdepan kerugian besar apabila hasil padi sepatutnya dapat dituai akhir bulan ini, terjejas teruk akibat kerja menaik taraf sistem pengairan parit.

Wakil pesawah, Zakaria Hitam, 54, berkata, disebabkan kerja-kerja berkenaan yang dilakukan sejak lebih seminggu lalu, hasil padi sedang berbuah dan menunggu masa dituai, rosak.

“Masalah ini berlaku kerana projek menaik taraf parit sekitar sawah padi ini telah menutup sistem pengairan dari empangan sehingga air tidak dapat masuk secara terus ke petak sawah.

“Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan tanaman padi terbantut dan menjadi kekuningan akibat kekurangan air,” katanya.

Menurutnya, akibat kekeringan air dalam petak sawah, ia telah memberi peluang kepada haiwan perosak seperti tikus merosakkan tanaman padi sehingga pesawah tidak mampu berbuat apa-apa lagi.

Katanya, pesawah terjejas kini sudah buntu memikirkan masalah itu kerana hasil penat lelah sejak Jun lalu seolah-olah tidak berbaloi susulan masalah masalah terbabit.

“Bayangkan jika keadaan ini berlarutan, hasil padi yang ditanam di kawasan seluas 150 hektar di sini sudah tidak boleh dikeluarkan dalam kuantiti besar berbanding pengeluaran sebelumnya,” katanya.

Zakaria berkata, sebagai wakil pesawah, setiap projek yang ingin dilakukan oleh mana-mana pihak memang disokong kerana ia akan memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Namun katanya, apa yang dikesalkan adalah projek menaik taraf sistem perparitan dilakukan tidak sesuai pada masanya kerana telah mengganggu hasil padi yang sepatutnya boleh dituai dalam beberapa minggu lagi.

“Jika pihak berkenaan melakukannya sebelum musim padi atau selepas selesai menuai hasil, ia pasti tidak akan menimbulkan masalah kepada kami semua.

“Justeru, saya berharap pihak berkenaan dapat membuat penilaian semula bagi memastikan usaha pesawah merealisasikan hasrat kerajaan mengeluarkan hasil padi 10 tan bagi satu hektar tercapai,” katanya.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story9627068.asp

Sunday, October 9, 2011

Kisah Tauladan Utuk Polis...


Petang semalam..selepas balik dari Ipoh…aku singgah kat Masjid Ridzuaniah, Kuala Kangsar untuk sembahyang Maghrib.

Masa aku masuk masjid… Imam dah sujud rakaat pertama, tapi ada sorang tu…nak kata tua, tak berapa tua sangat. Lebih kurang aku jugak. Tinggal lagi…janggut aku dah putih…misai dia masih hitam.

Dia dok berjalan dari hujung masjid..sampai hujung sini. Biaq pi la kat dia.

Aku masuk saf bila imam bangkit rakaat kedua. Tapi orang tua tu tak sembahyang juga.

Bila imam bagi salam rakaat ketiga, aku bangkit sambung rakaat ketiga, sebab aku miss rakaat pertama. Masa tu…tiba-tiba orang tua tu mai duduk sebelah aku. Tak betui kot!!

Bila imam baca doa..dia angkat tangan punya tinggi. Khusyuk dan tawadduq! Aku tengok dia menangis..meleleh air mata. Macam Tok Guru Nik Aziz!

Selesai imam baca doa..taqabbalallahu minkum…dia terus bangkit pi salam dengan imam. Dia cium tangan imam tu…imam tu pun senyum. Dia salam dengan semua orang sambil menangis…tapi orang lain semua senyum!!

Dia mai salam dengan aku…masa tu baru aku tau apa yang dia cakap….”saya minta maaf banyak-banyak.” Apa salah dia?

Aku terus keluar masjid…takut selipar hilang.




Baru nak sarung selipar…aku dengar orang menjerit..”hoi..tak payah salam dengan muslimat….depa dah maafkan dah!” Rupa-rupanya dia nak salam dengan muslimat kat belakang.

Aku tanya kat sorang jemaah yang keluar masjid tu..”sapa tu?”


“Polis pencen…tak betui dah!!” jawab sahabat tadi.

Aku tak jadi masuk kereta…aku perati orang tua tu dari jauh. Nak kata gila…aku tengok pakaian dia masih kemas. Kain pelikat dia masih bersih. Baju melayu dia siap dengan butang. Kopiah putih dia tak ada taik lalat. Interesting!

Dia duduk kat atas tangga masjid. menangis tersedu-sedu. Lepas sorang-sorang jemaah keluar masjid..ada yang duduk dalam masjid tunggu isyak. Mana yang keluar dok tepuk belakang orang tua tu…”sabor Yop!”..kata depa.

Bila dah tak ada orang…aku pi kat orang tua. Bagi salam. Dia jawab salam aku. “Waalaikum salam. huk..huk..huk.” Tak gila pun!

“Ada apa-apa yang boleh saya tolong abang?” aku tanya dia.

Dia bangkit dan terus peluk aku. Seriau!

“Abang mintak maaf banyak-banyak adik..abang dah banyak buat dosa kat semua orang.” Tiba-tiba dia berhenti menangis.

“Pasai apa abang tak sembahyang tadi…tapi doa punya baguih!” aku tanya.

“Abang ni polis dik…memang kami tak boleh sembahyang…kena jaga orang sembahyang!” Senafas saja dia menjawab dengan fasih!

“Pasai apa tak tengok saja orang lain berdoa?” aku tanya.

“Yang tu kena buat!! yang tak angkat tangan orang bukan islam saja.” dia jawab. Aku tak tau la dia ni mazhab mana.

“Yang dok pi mintak maaf kat semua orang pasai apa?”

“Sebab dulu…lepas baca doa abang pukui orang. Yang tangkap Badrul Amin baca doa tu abang la. Mana yang melawan kami terajang. Mana yang bangkit kami pukui. Tak kira la lelaki ka…perempuan ka..kami balun semacam saja.”

Macam mana jemaah lain kata dia ni tak betui? apa yang dia cakap semua betui!

“Abang ni masih kerja polis ka?”

“Tak….medikal bod. Dah dua tahun” dia kata. Aku tak pernah kerja gomen…aku tak tau apa dia. Tapi aku buat-buat tau la.

“Abang nak pi mana lepaih ni?” aku tanya.

“Nak ambik anak…dah lama dia tak balik.” dia kata.

“Nak ambik kat mana?” aku tanya.

Dia diam…

“Dah berapa lama tak jumpa anak?” aku tanya.

“Kamu layan orang macam tu…kamu pun jadi macam dia!” Haji Rahman, Che’gu kat Idrissiah cakap kat aku masa dia keluar dari masjid.

Aku tinggalkan orang tua tu. Ikut Haji Rahman…dia ngajak aku minum di Rahmaniah…dekat masjid tu.

“Dulu dia tu FRU…orang sembahyang…dia tak sembahyang. Orang baca doa..dia tadah tangan. Habih orang sembahyang…dia pukui orang sembahyang” Haji Rahman bercerita.

“Nak dijadikan cerita…anak dia pun kena pukui. Anak dia belajor kat universiti…ikut orang sembahyang kat Kampung Baru. Bila anak dia kena pukui…anak dia mula fobia tengok FRU. Bila tengok bapak dia..dia mula takut. Last-last tak pernah balik kerumah.Sampai sekarang. Tu pasai dia merayau dari satu masjid kesatu masjid cari anak dia.” kata Hj. Rahman.




“Ooooo!!!” Habih tu..yang dia pi minta maap kat semua orang pasai apa?”

” Dulu dia jaga orang demo… main belasah saja. Sekali tu orang belasah dia balik. masa dia belasah orang.. dia tak kenai. Tapi orang kenai dia. Bila dia balik Bendang Kering…orang balas balik. Sebab orang yang dia pukui masa demo tu bebudak kampung dia jugak. Empat hari koma…bila sedor…jadi macam tu la.” Cerita Hj. Rahman.

“Tapi masa baca doa tadi… aku tengok dia sampai menangis. Mesti dia paham kot?” aku tanya.

“Yang tu dia minta ampun kat Tuhan. Sebab Tuhan bagi dia akal.. tapi dia tak pakai. Dulu bila kita tanya dia pasai apa dia pukul orang dia kata dia ikut arahan. Betui tak betui…dia tak peduli. Dia ikut arahan…bukan ikut Tuhan. Tuhan kata jangan menzalimi orang lain. Dia kata …dia ikut arahan Mahathir. Dia lebih takut kat Mahathir dari takut kat Tuhan!”

Kami pun sampai kat Restoran Rahmaniah. “Mamak Zamree!! Teh tarik satu!”
Gua no komen.... itu urusan Allah samada nak bayar cash dunia atau pakai kredit di mashyar, lu orang pikirlah sendiri....!!!!

Sumber :http://pascawanganbukitsentosa2.blogspot.com/2011/10/tauladan-untuk-fru_09.html

Syariat Islam : Ulamak Seru Bincang Dengan Dada Terbuka


Kuala Terengganu, 9hb Okt 2011– (Buletinlonline)Dewan Ulamak PAS menyeru mana-mana pihak yang 'kabur' tentang perlaksanaan syariah Islam, Hudud dan Qisas, supaya lebih terbuka dan bermuzakarah dengan mereka yang berpengetahuan.

Ketua Penerangannya, Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh mengharapkan golongan profesional khususnya orang-orang Melayu dan Islam supaya berbincang dengan dada yang terbuka dan fikiran yang lapang.

Beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa perlaksanaan Hudud dan Qisas hukuman yang keras dan kejam serta menzalimi kaum wanita.

Katanya golongan tersebut sebenarnya telah meletakkkan tanggapan yang 'serong' terhadap syariat Islam.

"Kalau mereka melihat dengan cara yang baik, mereka tidak akan mengatakan wanita diketepikan bahkan mereka mesti menyebut wanita diberi penghormatan yang tinggi oleh Islam,"tegasnya ketika mengulas kenyataan sebuah NGO Sisters In Islam yang dilaporkan tidak bersetuju terhadap perlaksanaan hudud dan Qisas yang dikemukakan oleh Kerajaan Kelantan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS negeri Terengganu menyatakan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Lujnah Penerangan pada Khamis, 6 Oktober, di sini.

Beliau menjelaskan Hudud dan Qisas tidak menolak wanita untuk menjadi saksi, namun meletakkan lelaki terlebih dahulu kerana beban penyaksian tersebut.

Sebaliknya, menurut beliau, sekiranya tidak ada saksi lelaki, dua orang wanita boleh menggantikan seorang saksi lelaki.

Najib Gagal Fahami Konsep Negara Berkebajikan - Presiden PAS


Menjawab Pengakuan Perdana Menteri Bahawa BN Melaksanakan Negara Berkebajikan

Berikutan ucapan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan belanjawan 2012 di parlimen sebentar tadi bahawa BN telah melaksanakan konsep negara berkebajikan, PAS ingin menegaskan bahawa Najib tidak memahami konsep negara berkebajikan yang hendak dibawa oleh PAS dan Pakatan Rakyat. Paling penting beliau harus memahami tiga ciri asas negara berkebajikan yang hampir tidak dilaksanakan oleh pemerintahan Barisan Nasional sehingga kini.

Pertamanya negara berkebajikan mestilah ditadbir oleh pemerintah yang berintegriti atau beriman dan juga rakyat yang berintegriti. Dengan membazirkan wang rakyat untuk membayar bil air dan elektrik rumah Perdana Menteri berjumlah jutaan ringgit tidaklah menggambarkan pemimpin yang berintegriti. Keduanya negara berkebajikan mestilah bercirikan kerajaan yang wajib memberi pertolongan kepada rakyat yang memerlukan secara adil. Ketiga, negara berkebajikan menekankan ciri kepimpinan yang beriman, berakhlak, menepati janji dan adil untuk semua. Nampaknya Perdana Menteri yang membentangkan belanjawan ini sebagai Menteri Kewangan gagal sama sekali memahami apa yang dimaksudkan oleh PAS sebagai Negara Berkebajikan.

Tindakan kerajaan terus menafikan royalti minyak di Kelantan dan Terengganu sejak bertahun-tahun, jelas menggambarkan ciri pengkhianatan dan tidak menepati perjanjian, malah jauh sekali memenuhi ciri negara berkebajikan. Begitu juga dengan pemberian bantuan kepada rakyat yang bersifat bermusim dikala kerajaan memerlukan undi rakyat dan membiarkan rakyat tersepit dengan kenaikan harga barang dan petrol di luar waktu pilihanraya. Ini semua jelas kepada kita, hampir tiada ciri-ciri negara berkebajikan yang dilaksanakan oleh pemerintahan Barisan Nasional.

Begitu juga dengan manipulasi sistem pilihanraya melalui undi pos, daftar pemilih yang kotor, penggunaan jentera kerajaan dan memberi IC kepada warganegara asing untuk mengundi, jelas satu tindakan tidak berintegriti dan tidak amanah serta menutup pintu muhasabah oleh rakyat dalam pilihanraya. Ini hanya beberapa contoh jelas bahawa BN jauh sekali menepati konsep negara berkebajikan yang hendak dibawa oleh PAS. Oleh itu rakyat harus sedar bahawa ‘Negara Berkebajikan’ yang hendak dibawa oleh PAS bersama Pakatan Rakyat jauh lebih besar dan luas kerangkanya meliputi hak rakyat untuk dilayan secara adil, agihan ekonomi yang adil, hak bepolitik secara bebas, keperluan sosial yang wajib dipenuhi, pemimpin dan rakyat yang berintegiti dan seterusnya membentuk Malaysia yang sejahtera dalam semua aspek, bukan sekali-kali bersifat pemberian habuan bersifat sementara dimasa rakyat diperlukan semata-mata.

Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Thursday, October 6, 2011

Wang Rakyat Di Bazirkan....

Harta rakyat yang di gunakan sewenang-wenangnya. Sebahagiannya bukan sahaja membazir tetapi juga untuk memerangi rakyat...
Berikut adalah berita yang di petik daripada Malaysiakini.com.
262 gas pemedih mata diguna surai perhimpunan BERSIH

Sejumlah 262 kanister gas pemedih mata telah digunakan untuk menyuraikan peserta perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai, demikian menurut satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat. Menjawab soalan ahli parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng, Kementerian Dalam Negeri berkata 226 peluru gas pemedih mata (TS Shell) dan 36 bom gas pemedih mata (TS Grenades) digunakan ke atas penunjuk perasaan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kos TS Shell TS dan TS Grenades ialah masing-masing RM79.76 dan RM135 (tiap satu).

Katanya, kerajaan membelanjakan RM22,855.76 untuk membelinya.

Menteri: RM2j untuk polis tangani himpunan BERSIH
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerajaan membelanjakan lebih RM2 juta untuk mengerahkan lebih 11,000 anggota polis untuk bertugas ketika perhimpunan BERSIH 2.0 diadakan pada Julai lalu.

Hishammuddin dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat berkata, perbelanjaan bagi menangani perhimpunan tersebut termasuk untuk menugaskan anggota dari kontinjen seluruh negara bagi membantu polis kontinjen Kuala Lumpur.

Menjelaskan perbelanjaan sebanyak RM2,018,850 itu, Hishammddin berkata PDRM terpaksa membuat "persiapan rapi yang
memerlukan perbelanjaan bagi perolehan kelengkapan tambahan, makan minum, penginapan dan keperluan logistik yang lain.

" "Jumlah pegawai dan anggota polis yang telah dikerah untuk bertugas untuk menjaga keselamatan di kawasan Lembah Klang seramai 11,046 orang termasuk seramai 2,600 orang yang dikerah," katanya.

Teresa Kok (DAP-Seputeh) dalam soalannya bertanya kepada Hishammuddin jumlah elaun yang dibayar untuk tugas anggota dan pegawai berkenaan dari 6 hingga 9 Julai lalu.


RM9 juta bagi sewa pesawat PM tahun ini
Jumlah kos penyewaan sebuah pesawat Airbus A319 yang digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewaktu percutiannya di Perth, Australia pada Hari Kemerdekaan, tahun ini berjumlah RM9.1 juta.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kekerapan penggunaan pesawat itu adalah meliputi 155 sektor di dalam dan luar negara.

Katanya, kos penggunaan berjumlah RM9.1 juta itu meliputi kos bahan api pesawat, caj tempat dan kendali, sajian serta logistik krew pesawat. Nazri juga mendedahkan pesawat itu disewa daripada Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) itu bermula 3 Ogos 2007 lagi untuk kegunaan pemimpin terpenting di dalam kerajaan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Nurul melalui soalannya meminta kerajaan menjelaskan siapa pemilik pesawat yang digunakan oleh Najib sewaktu percutiannya di Perth, Australia serta kekerapan penggunaannya dan kos yang telah dibelanjakan.

Nazri juga memberitahu bagi tempoh Januari sehingga Ogos 2011, kekerapan penggunaan pesawat adalah meliputi 155 sektor di dalam dan luar negara.

Berikutan maklumat daripada pembaca,Malaysiakini melaporkan seorang pegawai perdana menteri telah mengesahkan bahawa Najib sedang bercuti pada Hari Merdeka, 31 Ogos lalu tetapi enggan mendedahkan butirannya.

Bagaimanapun, tiada juga pengumuman rasmi bahawa perdana menteri sedang bercuti seperti yang lazim dilakukan oleh pejabatnya. Berita itu kemudiannya disahkan bahawa Najib memang berada di Perth bagi mendapat rawatan fisioterapi berikutan pembedahan di lututnya dan juga untuk bercuti.

Ia kemudiannya menimbulkan persoalan sama ada adil atau tidak bagi seseorang perdana menteri untuk bercuti dengan menggunakan dana kerajaan dan kapalterbang milik negara.

Kapalterbang Penerbangan Malaysia Bhd (PMB) itu adalah dimiliki sepenuhnya oleh badan pelaburan kerajaan persekutuan Khazanah Nasional Bhd.

Sebelum ini, Dewan Rakyat tahun lalu juga dimaklumkan bahawa Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin membelanjakan RM21.4 juta wang rakyat bagi pelbagai lawatan di luar negara sejak 2008.

Saturday, October 1, 2011

PAS Tidak Berubah Dg Dasar Islam


KEPALA BATAS, 1 Okt 11: Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS akan terus memperjuangkan dasar Islam yang sempurna dan bukan yang dipotong-potong selain meneruskan semangat perjuangan tokoh terdahulu.

PAS menegaskan pendirian ini ketika ia bersiap sedia bersama rakannya dalam Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan berhadapan dengan isu kontroversi hukum hudud yang muncul semula.

Bercakap pada majlis perasmian Kongres Sambutan 60 tahun PAS di Dewan Millenium di sini, Hadi (gambar) menegaskan parti itu perlu meneruskan perjuangan Islam dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunah.

“PAS adalah sebuah parti Islam, parti politik Islam yang terawal ditubuhkan di Asia Tenggara sebagai kesinambungan dari kedatangan Islam yang sempurna dan bukan yang dipotong-potong atau dikerat... pendakwa yang membawa Islam ke nusantara bukan sahaja mengislamkan rakyat tetapi termasuk mengislamkan pemimpin, pemerintah dan ketua negara.

“Kemunculan PAS adalah tuntutan al-Quran dan as-Sunnah yang tidak mati dengan wafatnya Rasulullah, kita menyambung perjuangan Islam seperti yang dinyatakan Allah dalam al-Quran,” kata Presiden PAS.

Menurut beliau, PAS diwujudkan untuk mengembalikan kedaulatan Islam dan menyelamat umat Islam dalam dunia yang berideologi manusia.

“Kebangkitan PAS sebagai sebuah gerakan Islam adalah selaras dengan gerakan pembaharuan yang akan wujud sepanjang zaman yang mengatakan cahaya Islam tidak boleh dipadamkan, mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan hembusan mulut mereka seperti mereka padamkan cahaya pelita.

“Kelahiran PAS adalah hasil gerakan pembaharuan, PAS adalah rangkaian gerakan Islam... tujuan utama penubuhan PAS adalah mengembalikan kedaulatan Islam dan menyelamatkan manusia khusus pada zaman ini selepas kegagalan ideologi manusia termasuk bukan sahaja keruntuhan moral, keruntuhan nilai kemanusiaan dan sebagainya,” katanya.

Tegas Hadi, PAS akan tetap memperjuangkan dasar Islam dan tidak akan sesekali mengubah prinsip asas itu.

“PAS adalah parti yang bertunjangkan dengan tunjang yang teguh dan kuat, tidak tidak akan hanyut walaupun dijajah.

“PAS mempunyai acuan sendiri yang ditunjukkan Allah dan dianjar oleh nabi, kita perlu faham dan PAS mahu mengembalikan umat Islam berdemokrasi yang mengambil roh Islam,” katanya.

Hadi juga menambah, PAS merupakan sebuah parti yang terbuka walaupun terpaksa berdepan di atas padang yang tidak sama rata dengan Umno.

“Kita parti boleh menerima menang, boleh menerima kalah... ini sikap terbuka kita, ada kalangan yang bebal menuduh kita menyeleweng dari perjuangan, PAS telah menghadapi pelbagai cabaran ketika menyampai pegangan PAS bahawa Islam adalah pegangan hidup yang tidak diterima Umno.

“Umno tidak mudah menyerahkan kuasa, mereka anggap pemerintah bukan amanah tetapi adalah untuk kroni... rasuah, Umno telah mencalarkan wajah Islam kepada bukan Islam,” katanya.

Hadi menambah, dengan pengalaman dan cabaran yang dilalui PAS sejak ia ditubuhkan, ahli parti harus berpegang kuat dasar perjuangan dan jangan sesekali “menebuk” asas itu.

“Marilah kita menyambung perjuangan PAS yang diasaskan pada 1951, jangan kita tebuk asas ini. Marilah kita mengenang pemimpin terdahulu daripada kita kerana kita adalah penyambung perjuangan... mudah-mudahan kita dapat lakukan apa yang dinyatakan oleh Allah.

“Ada yang telah meninggalkan kita, ada yang menunggu giliran, namun tidak mengubah janji-janji mereka... kita juga jangan mengubah janji kita,” katanya. (IH)

BILA UMNO HENDAK MINTA MAAF KEPADA RAJA-RAJA MELAYU




Umno tunjuk hero lagi, konon membela Raja-Raja Melayu. Mereka cuba ambil kesempatan kononnya merekalah mempertahankan Raja-Raja Melayu. Sahlah pemimpin Umno manusia lidah bercabang. Ketika berada keadaan lemas apa sahaja mereka akan lakukan. Jika modal agama boleh dijadikan alat, maka agama akan diperalatkan, jika isu Melayu yang boleh dijadikan modal politik maka mereka akan menggunakan. Sekarang isu kononnya Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng mengatakan negeri Johor tidak selamat sehingga Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor murka, maka pemimpin Umno cuba tunjuk hero.

YAB Lim Guan Eng telah memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Persoalannya bila pula Umno memohon maaf kepada Raja-Raja Melayu? Rakyat tidak dengar pula, pemimpin Umno yang mengatakan Sultan Trengganu binatang kerana tidak puas hati apabila Datuk Seri Idris Jusuh tidak dipekenan untuk dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu.

Bila pula pemimpin Umno hendak memohon maaf kepada Raja-Raja Melayu yang mengaibkan Raja-Raja Melayu di persidangan Agung Umno dan rapat umum ketika krisis Pindaaan Perlembagaan Umno 1983 dan 1991?.

Bila umno hendak meminta maaf kepada Sultan Kelantan kerana begitu biadab sehingga tergamak melantik Sultan hanya di padang Sekolah sahaja?

Mungkin pemimpin Umno lupa dan kita cuba peringatkan kepada mereka bagaimana keceluparan mereka kepada Raja-Raja Melayu. Rakyat tidak lupa, mungkin pemimpin Umno buat-buat lupa.

Sumber :http://idrisahmad.wordpress.com/2011/10/01/bila-umno-hendak-minta-maaf-kepada-raja-raja-melayu/

Setahun Dalam 2 Minit

Followers