Wednesday, August 31, 2011

Sambut kemerdekaan Seperti Sambut Ulang Tahun Umno


Oleh : Ustaz Idris Ahmad

Inilah yang terjadi apabila negara menyambut kemerdekaan, seolah-olah negara merdeka hasil perjuangan umno sahaja. Ke mana pergi nama-nama yang mempelopori kemerdekaan negara seperti Dr Burhanudin alHelmi, Ibrahim Yaakob, Ustaz Abu Bakar al Baqir, Ahmad Boestamam dan lain-lain lagi. Kenapakah nama-nama mereka digelapkan daripada sejarah negara ini. Sebaliknya yang diuar-uarkan ketika menyambut kemerdekaan ialah tokoh-tokoh Umno.

Pada hal kewujudan umno hanyalah kerana menentang Malayan Union 11 Mac 1946. Malahan slogan umno peringkat awal ialah Hidup Melayu. Laugan kemerdekaan hanya dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman pada 5 April 1953 di Persidangan Agung Pemuda. Maknanya umno begitu lambat untuk menyuara kemerdekaan. Pada hal golongan yang tidak mahu berkompromi dengan British sudah lama menyuara kemerdekaan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (1945), Hizbul Muslimin (1948).

Tentu rakyat bertanya siapa pemimpin umno yang diburu oleh penjajah ketika memperjuangkan kemerdekaan? Ini membuktikan umno ialah anak emas penjajah. Kesan daripada kerajaan menjadikan sambutan kemerdekaan negara seperti menyambut ulang tahun kelahiran umno, maka rakyat begitu hambar untuk menyambut kemerdekaan negara. Bukan rakyat tidak patriotik, tetapi rakyat mual dengan umno

Sumber : http://idrisahmad.wordpress.com/2011/08/31/sambut-kemerdekaan-seperti-sambut-ulang-tahun-umno/

Saturday, August 20, 2011

BN tak rasa apa-apa walaupun harga barangan terus naik


Oleh SAFAR JUMAAT

SUKAR untuk menolak anggapan rakyat terbanyak, BN itu bukan sahaja mewakili singkatan bagi nama Barisan Nasional tetapi ia semakin popular dengan singkatan ‘Barang Naik’. Malahan, di kalangan mereka yang berada di bawah payung BN sekalipun, tidak dapat menolak dakwaan itu.

Pemimpin BN di Putrajaya dan mereka yang berpejabat di Menara Dato’ Onn, PWTC mungkin tidak merasa apa-apa dengan sungutan rakyat di bawah, bahawa semua barang keperluan semakin mahal, kerana mereka tidak berada di arus bawah dek sebaliknya sedapnya berkerusi empuk di pejabat masing-masing.

Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu memantau harga juadah di bazar Ramadan sebenarnya satu penghinaan kepada peniaga-peniaga kecil Melayu tetapi dia tidak pula mengeluarkan kenyataan mahu memantau harga jualan di pasaraya-pasaraya milik taikun asing.

Acapkali rakyat mengeluh. Kenaikan harga barang menyebabkan hidup mereka yang berpendapat kecil dan sederhana benar-benar tertekan, tetapi kerajaan akan menjawab nanti, kurangkan guna gula untuk membendung kenaikan harga gula.

Jika harga sayur-sayuran melambung, sungutan rakyat akan dijawab kerajaan, bercucuk tanam di rumah untuk mengurangkan belanja membeli sayur-sayuran di pasar.

Begitulah seterusnya, jika harga minyak yang naik, kekecewaan rakyat akan kerajaan jawab, kurangkan makanan berminyak dan yang bergoreng.

Sebenarnya, harga ubat-ubatan pun melambung. Kalau seseorang itu memerlukan ubat, bolehkah kerajaan atau menteri memberi kenyataan, kurangkan makan ubat bagi membendung kenaikan harga ubat?

Dulu, bila harga minyak naik, kerajaan akan kata ini bukan kenaikan harga minyak, tetapi ini penyesuaian subsidi yang menyebabkan kenaikan berlaku.

Sesekali akan ada kenyataan dari menteri, gunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana untuk mengurangkan penggunaan minyak.

Yang belum menteri keluarkan kenyataan, gali minyak sendiri jika sesiapa ada terjumpa sumber minyak dari bumi dan belum kedengaran menteri memberi nasihat kepada rakyat, berjalan kakilah ke pejabat kerana dengan cara itu akan menyebabkan kita sihat kerana peluh sentiasa mengalir.

Soalnya, sampai bila kerajaan mahu menepis keluhan ini dengan kenyataan-kenyataan kurang cerdik ini?

Adakah kerajaan memang beranggapan rakyat Malaysia adalah dari kalangan mereka yang kurang cerdik, maka mereka harus dilayan dengan cara kurang cerdik?

Satu hal lagi yang rakyat meluat dengan kerajaan ialah kenyataan dari menteri setiap kali ada pertanyaan mengenai kenaikan harga barang, mereka akan menjawab, di negara-negara jiran lebih tinggi harga barangan ini jika dibandingkan dengan harga di negara kita.

Belum pernah pula mereka berkata, gaji dan pendapatan di negara jiran lebih tinggi dari negara kita, indeks rasuah dan penyelewengan tidak pula mahu mereka bandingkan kecuali membandingkan harga barangbarang keperluan yang betul-betul menjerut leher rakyat.

Mana mungkin rakyat boleh menerima kenaikan tambang bas sekolah, harga pakaian sekolah dan alat-alat tulis?

Mungkinkah menteri akan membuat kenyataan, jangan pakai uniform ke sekolah untuk menjimatkan belanja?

Ketika rakyat menghadapi kesukaran yang tak terucap ini, kerajaan dibelit dengan cerita inflasi dan cerita seorang isteri pembesar negara berbelanja sakan di luar negara hingga timbul cerita pembelian cincin yang berhaga RM24 juta.

Hati mana yang tak sayu mendengar cerita seperti ini?

Siapa yang tidak geram. Walaupun kesahihannya boleh diragui, tetapi jika ada isteri pembesar mampu membeli cincin yang berharga RM2.4 juta pun, ia sudah dikira merobek kesetiaan rakyat terhadap sokongan yang mereka berikan selama ini.

Malahan, jika harga cincin yang dibeli itu bernilai RM240 ribu sekalipun, ia sudah cukup untuk rakyat memberitahu BN, cukuplah. Berilah peluang parti lain pula memerintah.

Apa yang sudah BN berikan kepada rakyat selama ini, terima kasih tetapi kalau rakyat terus memberikan sokongan kepada BN, seolah-olah rakyat merestui ceritacerita pembelian cincin bernilai RM24 juta, RM2.4 juta dan RM240 ribu.

Itu baru satu cerita. Belum lagi cerita penyelewengan dalam pemberian tender dan projek-projek pembelian senjata dan kapal selam. Rakyat terus merintih, kerajaan terus membazir dan tidak mahu memperbaiki kelemahan.

Bila ditegur, nanti mereka akan menafikan dengan kata-kata, banyak perkara lain yang perlu kita utamakan. Jangan terpengaruh dengan cakap-cakap pembangkang. Pembangkang memang hanya tahu membangkang tetapi mereka tidak menjawab teguran mengenai pembaziran dan isu perbelanjaan tidak berhemah.

Menjelang Aidilfitri ini, pastinya banyak barang-barang keperluan akan dinaikan harga. Menteri akan mengeluarkan kenyataan, bekalan ayam, telur, minyak dan tepung mencukupi untuk umat Islam menyambut Syawal tetapi usaha membendung kenaikan harga barang, ternyata kerajaan tidak mampu membendungnya.

Apakah kerajaan akan terus meminta rakyat menerima apa sahaja yang berlaku ini dan dalam masa yang sama, mereka yang sedang berkuasa sibuk menghabiskan wang kerajaan yang ada bagi kesenangan mereka dan tujuan kepentingan politik mereka.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak yang sedang seronok dengan kempen 1Malaysia, terdesak merasmikan kedai 1Malaysia yang dikatakan menjual barangbarang keperluan dengan harga murah tetapi tahukah beliau bahawa bukan orang di sekitar kedai 1Malaysia itu sahaja yang memerlukan barang-barang harga murah, sebaliknya setiap rakyat negara ini menentang kenaikan harga barang-barang keperluan.

Mereka yang duduk di kerusi empuk sekarang ini tidak pernah merasakan kenaikan harga barangbarang keperluan ini, lebih-lebih lagi mereka semuanya kaya-raya dan duduk di rumah yang kecil sedikit dari Istana Negara tetapi rakyat yang mereka anggap kurang cerdik sudah boleh berfikir, apakah kerajaan ini perlu disokong lagi atau tidak.

Bak kata orang-orang tua, kalau ada duit, macam-macam boleh beli, tapi kalau tak ada duit macam-macam boleh jadi. Maka, mereka akan berusaha untuk menumbangkan kerajaan yang dilihat sudah tidak berkemampuan membendung kenaikan harga barang-barang.

Apakah alasan yang hendak dicipta kerajaan apabila kenaikan harga barang-barang ini berterusan?

Apakah menteri akan memantau Bazar Ramadan sahaja dan tidak pedulikan kenaikan faedah pinjaman dan macammacam kenaikan terpaksa alat ganti kenderaan dan kelengkapan rumah?

Jadi, kalau ada rakyat yang beritahu kepada BN, cukuplah.

Sudah lama kami memberi sokongan dan peluang untuk BN memerintah, tetapi kebajikan kami tidak pernah dipedulikan, apakah BN akan marah kerana rakyat seperti ini dianggap seperti tidak tahu mengenang budi?

Nanti mereka akan kata, kamilah yang memerdekakan negara. Kamilah yang membina stadium dan kamilah yang membina landasan kereta api. Kalau kami tak bina stadium, di mana pemain bola sepak nak bermain bola sepak dan jika kami tidak bina landasan kereta api, di manakah keretapi nak lalu?

Cuma, mungkin mereka tidak berkata, tanpa landasan keretapi, pemain bola sepak boleh bermain di tapak landasan kereta api dan di tapak stadiumlah nanti kereta api akan menurunkan penumpangnya! Rakyat bukan bodoh

Sumber : http://warta-utara.blogspot.com/2011/08/bn-tak-rasa-apa-apa-walaupun-harga.html

Thursday, August 11, 2011

Murtad: Umno Tolak Mentah-Mentah Usul PAS

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Lakonan Umno kononnya mahukan akta mencegah murtad langsung tidak boleh dipercayai kerana inisiatif mengenai perkara itu berkali-kali ditolak, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Saya bercakap mengenai pengalaman peribadi kerana dalam sidang Parlimen yang bermula pada Mac 2006, saya mengemukakan rang undang-undang persendirian yang dinamakan Rang Undang-Undang Murtad.

"Rang undang-undang itu bukan sahaja tidak dipedulikan oleh ahli-ahli Parlimen Umno malah ditolak mentah-mentah," katanya.

Selepas itu, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sekali lagi beliau mengemukakan usul yang juga meminta Dewan Rakyat mewujudkan undang-undang mencegah murtad seperti meminda Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan peruntukan yang jelas menghalang individu Islam daripada secara bebas mengisytiharkan diri keluar daripada agama Islam.

"Usul itu juga tidak dipedulikan oleh kerajaan dan ahli-ahli Parlimen Umno," katanya

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi dilapor mencadangkan agar Akta Jenayah Akidah diwujudkan bagi memastikan tiada usaha memurtadkan umat Islam berlaku di negara ini.

Menurut Salahuddin, usaha yang dibawa oleh pihak PAS mengenai perkara itu dibuat berkali-kali selepas Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang mengemukakan usul dan rang undang-undang persendirian untuk mencegah murtad.

Pada 25 Mac 1988, Tuan Guru telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi ditolak.

Selepas itu, pada 2 November 1999, Tuan Guru juga tidak dibenarkan membentang rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad.

"Penolakan usul dan rang undang-undang persendirian mengenai murtad yang berlaku berkali-kali itu membuktikan Umno langsung tidak berminat untuk mencegah jenayah syariah paling serius itu.

"Sebab itulah umat Islam tidak seharusnya tertipu dengan gelagat gerombolan kuda tunggangan Umno yang kini nampak benar menunjuk-nunjuk kononnya mereka mahu mencegah murtad," tegas Salahuddin.

Beliau juga berharap rakyat menolak lakonan dan permainan gerombolan kuda tunggangan Umno itu kerana mereka adalah hipokrit sebenar.

"Amat hipokrit apabila bercakap hendak menentang gejala murtad tetapi pada masa yang sama menjadi kuda tunggangan Umno yang berkali-kali menolak usaha untuk mencegah murtad.

"Menolak inisiatif dan usaha untuk menentang murtad melalui peruntukan undang-undang dan perlembagaan hakikatnya menentang dan memusuhi usaha mencegah jenayah syariah paling serius itu," kata Salahuddin.

Beliau juga mempersoalkan di mana suara Umno ketika umat Islam bangkit menentang kes-kes murtad seperti kes Aishah Bukhari, Hartina Kamaruddin dan Lina Joy.

"Malah Umno juga berdiam diri ketika umat Islam bertindak menentang pindaaan 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dan ketika 10 menteri dari Barisan Nasional bertindak mempertikaikan perkara 121 (1A) itu dengan tujuan untuk membunuh kuasa mahkamah Syariah serta membolehkan mahkamah sivil memansuhkan keputusan mahkamah Syariah," katanya.

Dengan sejarah sedemikian, Salahuddin sekali lagi meminta umat Islam menolak hipokrit yang cuba berlagak hero yang kononnya memperjuangkan Islam dan kepentingan umat Islam.

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/4815-murtad-umno-tolak-mentah-mentah-usul-pas#.TkIInI661MI.facebook

Saturday, August 6, 2011

Menghirup Udara Ramadhan Di Ibukota...

Hadith :
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”

(Bukhari & Muslim)

Followers