Sunday, January 31, 2010

Terima Kasih


Saya ingin menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan Program Himpunan 2k :Orang Mude Geng Kite Zon Utara kemarin.

Bermula YB Ustaz Mohd Nor Hamzah selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu yang mencetuskan idea dan menjadi Pengerusi JK Panitia Program dan bersungguh-sungguh memastikan kejayaan Himpunan ini, juga semua AJK Panitia yang terdiri daripada AJK Pemuda PAS Setiu dan Besut yang bertungkus lumus bekerja khususnya Ketua Urusetia Sdr Wan Faizul SU Pemuda Negeri, Sdr Zaidan SU Pemuda Setiu dan Sdr SU Pemuda Besut.

Tidak lupa penghargaan ditujukan kepada AJK Pemuda Negeri yang turut hadir memeriahkan program, Ust Jamaludin Ketua Pemuda Dungun dan Ust Saiful Anbia dengan team Unit Amal yang turut membantu kelancaran majlis, juga team ARC Terengganu yang datang untuk merasmikan penubuhan ARC peringkat Setiu.

Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Sdr Wan Hassan selaku ketua perbekalan dan tuan rumah cawangan Bari Besar serta semua jawatankuasa cawangannya, yang tidak kurang banyak membantu sehingga tumbangnya seekor lembu sebagai hidangan tengahari para peserta program.

Terima kasih tidak terhingga kepada para penceramah Al Fadhil Tuan Guru Presiden PAS, YB SUA PKR, serta perasmi program, Ust Azman Syafawi dan Pengkuliah Santai bersama pemuda, Ust Nik Abduh.

Penghargaan juga kepada semua peserta terdiri daripada pemuda-pemuda seluruh Setiu dan Besut dengan jumlah kehadiran yang hampir sama antara dua kawasan. Mungkin kerana Dun Permaisuri sebagai tuan rumah, jumlah peserta teramai mengikut DUN di menangi oleh DUN Permaisuri dengan 244 orang peserta. Walaupun dari segi bilangan peserta Setiu lebih ramai, tetapi perbezaan tidak sampai 100 orang memberi gambaran bahawa sambutan pemuda kepada PAS di dua kawasan ini adalah seimbang.

Kehebatan peserta Besut apabila kedatangan mereka secara serentak dengan berkonvoi motosikal telah menyerlahkan syiar hijau di jalanraya. Saya difahamkan minyak motosikal peserta di tanggung oleh Dewan Pemuda PAS Besut.

Peserta setiu pula, oleh kerana tapak program di buat di tengah kawasan, maka kedatangan peserta daripada penjuru yang berlainan. Dun Batu Rakit daripada Selatan, Langkap daripada Barat dan Jabi sebelah utara. Hanya konvoi dengan kelompok-kelompok kecil sahaja, tetapi tidak kurang juga syiar yang dapat di tonjolkan ketengah-tengah masyarakat bahawa Pemuda PAS telah bersedia untuk berjuang dan mamastikan kemenangan berpihak kepada Islam di masa yang mendatang ini.

Akhirnya saya juga ingin menyatakan penghargaan tinggi kepada semua penderma yang menyumbang samada tenaga, lebih-lebih wang ringgit dan bahan-bahan keperluan bagi menjayakan Himpunan kali ini.

Inilah kekuatan perjuangan kita yang setiap kali di adakan program, walaupun bermula dengan RM0.00 tetapi di akhir program, apabila di bentang segala perbelanjan, ia boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Tidak ada peruntukan daripada mana-mana kerajaan, tetapi hasil sumbangan ahli dan pendokong PAS yang sentiasa sanggup mengorbankan harta mereka demi melihat perjuangan ini terus segar dan mampu untuk menjana kemenangan Islam sebagai Addin, memerintah bumi tercinta ini.

Wednesday, January 27, 2010

Himpunan 2k Orang Mude Geng Kite Setiu/Besut

Jumaat ni 29 Januari InsyaAllah akan berlangsung satu program besar gabungan Dewan Pemuda PAS Kawasan Setiu dan Besut yang di namakan Himpunan 2k : Orang Mude Geng Kite.

Cetusan idea Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, YB Ust Mohd Nor Hamzah ini adalah berikutan berjayanya program HIMPIT 10k 2009 yang di adakan di Kemaman beberapa bulan lepas. Idea ini juga cuba di aplikasikan di beberapa negeri lain, antaranya negeri Perak yang akan buat Himpunan 10k peringkat Perak pada 31 Januari ini.

Bermula Himpunan 2k Setiu/Besut ini akan diikuti pula Himpunan peringkat Zon yang lain gabungan 2 kawasan akan di adakan setiap bulan atau dua bulan sekali.



Program Orang Mude Geng Kite (OMGK) Setiu/Besut ini di mulakan sejak petang hari khamis lagi iaitu lawatan dan turun padang oleh petugas pemuda seluruh negeri mengikut kawasan masing-masing ke 8 DUN dalam kawasan Setiu/Besut.

Bermula turun ke padang bola dan tempat lepak orang muda pada pukul 6 petang untuk mengedar risalah dan cenderamata, kuliah maghrib dan selepas isyak pula akan di adakan tayangan lcd, dialog, ceramah kelompok, santai/sembang dan sebagainya mengikut kesesuaian DUN masing-masing.

Pagi jumaat 29 januari, bermula seawal 8 pagi pemuda akan bergerak daripada tempat masing-masing dengan konvoi motosikal dan di jangka tiba sebelum pukul 9 pagi.

Kuliah Santai Pemuda oleh Anak Tuan Guru akan memulakan acara pagi di ikuti Ucapan Perasmian dan pelancaran OMGK oleh Ketua Pemuda PAS negeri dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.



Selepas Solat Jumaat pula acara-acara bermotosikal akan diadakan seperti pertandingan motosikal lambat, ujian masa, tukar tiub dan sebagainya lagi. Selepas asar sebelum acara penyampaian hadiah, akan di adakan pertandingan gusti lengan dan tarik tali bagi mencabar kekuatan orang muda berhadapan cabaran perjuangan yang semakin sengit.

Majlis penyampaian hadiah oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu dan Yang Dipertua PAS Setiu & Yang Dipertua PAS Besut akan di adakan sebaik semua acara selesai di jalankan.

Pada malam pula Ceramah Perdana akan di sampaikan oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden PAS, Saifuddin Nasution Setiausaha Agung PKR dan YB Ust Mohd Nor Hamzah, Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu.

Di sepanjang program berjalan akan di buka kaunter pendaftaran menjadi ahli Kelab Motor Alternatif atau Alternative Riding Club ( ARC ) di samping kaunter pendaftaran Pemilih SPR bagi yang belum mendaftarkan diri sebagai pengundi.

Saya bagi pihak Jawatankuasa Panitia Program Himpunan 2k ini menyeru pemuda Setiu dan Besut, khususnya petugas-petugas pemuda PAS yang sentiasa berusaha gigih sepanjang masa untuk sama-sama kita jayakan Himpunan ini.

Sunday, January 24, 2010

Fakta Kesihatan Yang Disembunyikan…


Prof. Dzulkifli Abdul Razak
Pusat Racun Negara, USM

SEJAK kebelakangan ini, banyak perkara baru yang timbul yang mengaitkan secara langsung kedudukan syarikat-syarikat tembakau khususnya di Amerika Syarikat dalam mengendalikan perniagaan mereka.

Malah pada lewat bulan Mac yang lalu, salah sebuah daripada syarikat tersebut, Liggett Group Incorporated, telah membuat pengakuan tentang beberapa hal apabila ia bersetuju untuk menyerahkan di antara lain dokumen-dokumen syarikat untuk diteliti oleh peguam-peguam anti-merokok.

Dokumen-dokumen ini adalah penting sekali kerana ianya dianggap sulit dan dirahsiakan oleh syarikat tersebut buat hampir 30 tahun lamanya.

Namun demikian, isi kandungannya masih berguna kepada pihak yang ingin tahu tentang muslihat perniagaan rokok di dunia antarabangsa.

Pengakuan yang dibuat oleh syarikat Liggett sekali gus membuktikan bahawa dunia perniagaan rokok secara amnya telah menyorokkan beberapa fakta kesihatan yang penting untuk pengetahuan umum, khususnya perokok.

Dengan adanya pengakuan seumpama ini, satu perspektif baru dapat dibentuk dalam usaha kita untuk membasmi tabiat merokok di kalangan masyarakat amnya dan remaja kita khasnya.

Berikut adalah di anatara pengakuan yang dapat dipetik daripada dokumen-dokumen yang diserahkan oleh syarikat Liggett kepada pihak-pihak yang berkuasa di Amerika Syarikat.

Muslihat 1: Nikotin dalam tembakau adalah sejenis dadah:

Buat beberapa lama, perkara ini telah disyaki dan turut dibuktikan secara saintifik yang bahan nikotin terkandung di dalam tembakau terdiri daripada sejenis dadah yang boleh menyebabkan ketagihan.

Walaupun demikian, hakikat ini tidak langsung mendapat pengiktirafan daripada syarikat rokok yang terus mempertahankan bahawa nikotin itu tidak mendatangkan ketagihan.

Malah syarikat-syarikat rokok tersekongkol dalam menafikan perkara ini baik kepada pihak Kongres Amerika Syarikat sekalipun.

Kini jelas terbukti daripada dokumen-dokumen syarikat tersebut bahawa ia telah pun mengenal pasti bahawa nikotin itu sebenarnya dadah yang boleh mendatangkan ketagihan.

Tetapi ini dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

Dengan kata lain, syarikat-syarikat rokok telah memperdayakan orang ramai dalam hal yang boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Lantas kini, ramai warganegara Amerika Syarikat termasuk lebih daripada 25 kerajaan negeri Amerika Syarikat kini sedang dalam proses untuk menyaman syarikat-syarikat tersebut.

Muslihat 2: Rokok mengandungi racun makhluk perosak:

Satu lagi perkara yang jelas mengenai dokumen berkenaan adalah daripada segi aspek keselamatan bahan-bahan tembakau yang pernah digunakan. Ini terbukti daripada pengakuan yang menunjukkan bahawa tembakau rokok ada dicemari dengan bahan makhluk perosak seperti DDT, Malathion, Aldrin, Chemphechlor di antara lainnya.

Dokumen dari syarikat Liggett juga mengakui bahawa bahan ini adalah “amat berbahaya”. Selaras dengan tindakan yang diambil oleh beberapa negara termasuk Amerika Syarikat untuk mengharamkan jenis-jenis racun makhluk perosak yang sama.

Sekali lagi fakta ini tidak dinyatakan secara terperinci kepada orang ramai khususnya pengguna bahan tembakau, demi menjaga keselamatan dan kesihatan mereka. Malah tembakau yang mengandungi bahan-bahan tersebut terus dijual kepada masyarakat umum.

Muslihat 3: Tembakau mendatangkan berbagai penyakit:

Sepertimana yang kita sedia maklum bahawa tembakau melalui tabiat merokok boleh mendatangkan berbagai kemudaratan kesihatan seperti sakit jantung, kanser, lelah dan sebagainya.

Lagi sekali perkara ini sememangnya diketahui oleh syarikat tembakau melalui penyelidikan yang mereka lakukan. Dokuken-dokumen berkaitan dengan hal ini juga telah diperolehi melalui pengakuan syarikat Liggett.

Namun begitu, syarikat-syarikat tembakau sentiasa mempertahankan barangan dagangan mereka seolah-olah kemudaratan kesihatan yang berkaitan dengannya adalah satu perkara yang kecil.

Lantas tidak ada mana-mana syarikat rokok yang secara sukarela menyatakan gejala-gejala buruk merokok baik secara umum apa lagi secara terperinci selagi tidak dipaksa oleh perundangan. Oleh itu keadaannya lebih buruk apabila tidak wujud undang-undang kawalan tembakau yang ketat.

Bukti-bukti tentang penyakit akibat merokok itu telah mengalakkan ramai perokok menyaman syarikat-syarikat tembakau.

Dijangkakan dalam masa 2 tahun ini, lebih banyak kes akan dibicarakan berbanding dengan 40 tahun yang lalu. Ini menunjukkan bahawa para pengguna umumnya dan para perokok amnya rasa tertipu dengan dakyah yang disebarkan melalui iklan-iklan rokok di merata tempat.

Muslihat 4: Remaja menjadi sasaran pemasaran rokok:

Dengan bertambahnya pasaran rokok khasnya di negara membangun, lebih ramai para remaja kini terlibat dengan tabiat merokok. Walaupun selama ini disyaki beberapa strategi telah digunakan untuk menarik langganan remaja, hal ini terus terbukti melalui catatan-catatan yang terdapat dalam dokumen-dokumen syarikat tembakau.

Salah satu daripada dokumen tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa ada rancangan yang digubal oleh syarikat rokok untuk disasarkan kepada remaja berumur 16 tahun.

Syarikat rokok mengakui bahawa pada peringkat umur seperti ini, mereka lebih mudah dipengaruhi dengan berbagai daya tarikan yang mendorong mereka merokok.

Syarikat-syarikat rokok juga faham bahawa tabiat yang dipupuk pada peringkat remaja akan berpanjangan sehingga umur mereka lebih lanjut.

Tambahan pula nikotin dalam rokok akan menentukan bahawa mereka apabila mula merokok akan terus bergantung dengannya. Ini sekali gus menjamin pasaran rokok yang bukan sahaja stabil tetapi terus berkembang dari semasa ke semasa.

Oleh yang demikian, tidak syak lagi yang kalangan remaja dijadikan mangsa dan bilangan ini terus meningkat tahun demi tahun.

Muslihat 5: Promosi merokok berasaskan perkauman:

Ini merupakan satu lagi aspek yang amat memeranjatkan yang selama ini tidak diketahui umum.

Dokumen-dokumen yang diperolehi juga menunjukkan bahawa syarikat-syarikat rokok mempunyai strategi-strategi tertentu untuk memasarkan rokok.

Mereka dengan bukan sahaja peringkat umur, aspek jantina, tetapi juga disalurkan secara halus khasnya kepada kaum-kaum tertentu seperti orang-orang keturunan Afrika, Hispanik (Selanyol) mahupun keturunan Yahudi yang terdapat di Amerika Syarikat.

Ini adalah dengan tujuan mendapatkan pasaran yang lebih menyeluruh di kalangan semua kaum. Dalam hal ini, dapat dirumuskan bahawa syarikat tembakau pada amnya tidak menghiraukan sama sekali kedudukan sesuatu bangsa itu asalkan sahaja pasaran rokok dapat dilariskan.

Di Petik daripada sini.

Saturday, January 23, 2010

Kisah & Tauladan : Budak Penjual Kuih



Hari itu selepas seminggu beraya dikampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk,saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar disebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.

"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.

“Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.

Dia beredar, tapi cuma setakat dikaki lima. Sampai disitu, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"

Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalng dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan dihati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar bekereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin Abang perlukan kuih saya untuk adik-adik Abang, ibu atau ayah Abang" katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul persaan kesian dihati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit Abang tadi pada pengemis tu? Duit tu Abang bagi adik!" kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abang nak beli semua ke?" dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang."

Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan.Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!


Moral :

Satu perjalananan seorang kanak-kanak yang begitu taat kepada perintah Allah s.w.t.
Semoga menjadi renungan bersama

Wednesday, January 20, 2010

Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Yang Baru


Dr. Muhammad Badi’ Abdul Majid Saamy, Mursyid Am Ke Lapan bagi jemaah Ikhwan Muslimin.

Pada pukul 11.00 am (5.00 pm waktu Malaysia) tadi, Ikhwan Muslimin telah mengumumkan Mursyid Am barunya iaitu Dr Muhammad Badi’ Abdul Majid Samy, 67 tahun. Beliau adalah Mursyid Am ke lapan bagi jemaah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Mursyid Am Pertama, Imam Hasan Al-Banna pada tahun 1928. Dr Muhammad Badi’ menggantikan Mursyid Am Ke Tujuh, Ustaz Mahdi Akef yang tidak berhasrat menyambung jawatannya apabila umurnya melebihi 80 tahun.

Ustaz Mahdi Akef mengumumkan nama Dr Mohd Badi’ Abd Majid Saamy sebagai Mursyid Am Ikhwan Muslimin ke 8 dalam sidang akhbar antarabangsa di Kaherah, Mesir jam 11.00 am (waktu Mesir) tadi.

Dr Muhammad Badi’ dilahirkan pada 7 Ogos 1943 di Al-Mahalla Al-Kubra, negeri Al-Gharbiyah, Mesir. Isteri beliau bernama Sumaiyah Asy-Syanawy, bekas pengetua Madrasah Ad-Dakwah Al-Islamiyah di Bani Suef, Mesir dan anak kepada Haji Muhammad Ali Asy-Syanawy yang merupakan generasi awal Ikhwan Muslimin dan termasuk yang dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan taghut Mesir dibawah Presiden Jamal Abdul Nasir pada tahun 1954 tetapi kemudiannya diringankan kepada penjara seumur hidup. Mereka dikurniakan 3 orang anak, Ammar, Bilal dan Dhuha.


Logo jemaah Ikhwan Muslimin.

Dr Muhammad Badi’ mendapat ijazah Sarjana Muda (B. Sc.) Veterinary Science (Kedoktoran Haiwan) dari Universiti Kaherah pada tahun 1965, ijazah Sarjana Vet Sc tahun 1977 dari Universiti Az-Zaqaziq, Ph.D Vet. Sc tahun 1979 dari Universiti Az-Zaqaziq, Professor Madya Vet. Sc. Di Universiti Az-Zaqaziq tahun 1983, Professor Vet. Sc. Di Universiti Kaherah cawangan Bani Suef tahun 1987, ketua Jabatan Patologi, Fakulti Vet. Sc. Tahun 1990. Beliau telah menyelia 15 thesis Masters dan 12 thesis Ph.D dan berpuluh kertas penyelidikan dalam bidang Kedoktoran Haiwan (Vet. Sc.). Sekarang beliau bertugas sebagai Professor di Jabatan Patologi, Fakulti Sains Veterinar di Universiti Bani Suef, selatan Mesir.

Dalam arena Dakwah Ikhwan Muslimin, beliau menjadi anggota Maktab Idari di Mahalla Kubra tahun 1975, Masul Maktab Idari di Mahalla Kubra tahun 1977, Masul Tarbiyah di Ar-Rabitah, Yaman (1982 – 1986), anggota Maktab Idari di Bani Suef (1986), Masul Maktab Idari di Bani Suef (1990), Masul Tarbiyah Mesir (1994), anggota Maktab Irsyad (sejak 1996) dan anggota Maktab Irsyad Ikhwan Muslimin Antarabangsa (2007) dan Penyelia Biro Tarbiyah (2007).

Mursyid Am ke Lapan, Dr Mohd Badi’ mengucap hormat dan ukhuwwah kepada Mursyid Am ke Tujuh, Ustaz Mahdi Akef di sidang akhbar antarabangsa jam 11.00 pagi tadi (waktu Mesir) yang mengumumkan keputusan pemilihan Mursyid Am yang baru bagi jemaah Ikhwan Muslimin.

Beliau bersama-sama sebahagian pimpinan Ikhwan Muslimin termasuk ahli tafsir Fi Zilal Al-Quran, Asy-Syahid Sayyid Qutb dihadap ke Mahkamah Tentera pada tahun 1965 dimana Sayyid Qutd dijaatuhkan hukuman gantung sampai mati manakala beliau dipenjara 15 tahun. Selepas 9 tahu, beliau dibebaskan pada tahun 1974. Pada 1998, beliau dipenjara selama 75 hari atas isu “Persatuan Ad-Dakwah Al-Islamiah”. Pada tahun 1999, Mahkamah Tentera menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara. Pada tahun 2008, ketika musim Pilihanraya Dewan Undangan Negeri, beliau dipenjara selama sebulan.

Nama Dr Muhammad Badi’ tersiar dalam Ensaiklopedia Ilmiah Arab dikalangan 100 tokoh Arab yang diterbitkan oleh Badan Penerangan Mesir tahun 1999.

Semoga Allah swt mengurniakan beliau TaufiqNya dalam memimpin jemaah Ikhwan Muslimin yang menjadi salah satu tempat harapan ummah Islamiyah dalam mengembalikan identity Islam kedalam diri dan masyarakat Islam, berhadapan dengan penentangan dan projek gergasi Amerika, Yahudi dan barat untuk menguasai dunia dan menghancurkan Islam. “Wahai orang-orang beriman, jika kamu menolong Allah, Dia akan menolong kamu dan akan meneguhkan pendirian dan kedudukan kamu” (Al-Quran).

Sumber : http://ibnuabbas.wordpress.com/2010/01/19/mursyidul-am-baru-ikhwanul-muslimun/

Tuesday, January 19, 2010

Jentera Pilihanraya PAS diminta bantu SPR Daftar 4.39 juta pengundi

Kenyataan Media

Islam Se-Malaysia (PAS) mengesa Jentera Pilihanraya PAS disemua peringkat Parlimen dan DUN untuk membantu Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) bagi mendaftarkan 4.39 juta pengundi yang belum mendaftar sebagai pemilih. Jumlah yang dilaporkan oleh SPR semalam adalah baki 28 peratus dari jumlah pemilih yang layak tetapi masih belum dapat mendaftar. Ini bermakna hampir satu pertiga pengundi dinegara ini belum mendaftar.

Rekod Pilihanraya Umum Mac 2008 menunjukan 72 peratus iaitu 7,878, 875 pemilih keluar mengundi dari 10,922,139 pemilih berdaftar diseluruh negara. Secara kasarnya jika dicampur jumlah yang tidak mengundi dan belum mendaftar, maka jumlah keseluruhan mereka adalah 7.49 juta atau lebih dari separuh pemilih yang layak mengundi tidak menyertai Pilihanraya 2008.

Oleh itu PAS menawarkan satu kerjasama serius digerakan antara SPR dan diperingkat akar umbi PAS bagi memberikan kefahaman kepada rakyat tentang pentingnya mereka melibatkan diri serta besarnya nilai undi mereka dalam menentukan hala tuju negara. Demi memastikan negara ini dapat dipimpin oleh Kerajaan yang lebih baik dimasa hadapan, program-program kempen pendaftaran pengundi baru perlu digerakkan dan disusun secara berjadual.

PAS melihat inilah peluang untuk memberikan sumbangan kepada demokrasi dan memimpin rakyat untuk memahami hak mereka sebagai pengundi. Jentera PAS perlu serius untuk mengambil peluang dalam menyampaikan dakwah dan juga hasrat perjuangan sebagai mengalakkan rakyat keluar mengundi kelak.

PAS juga berharap agar pengundi dalam Pilihanraya akan datang dapat membuat penilaian dan keputusan yang berani demi mengubah landskap pemerintahan negara yang sudah 12 penggal ditadbir oleh Kerajaan yang korup dan zalim.

Ust. Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Monday, January 18, 2010

Seramai 4.39j layak mengundi belum daftar sebagai pemilih


PUTRAJAYA 18 Jan. – Kira-kira 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir tahun lalu, dengan 65 peratus daripada mereka adalah bumiputera.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, daripada jumlah itu, Selangor mencatat jumlah yang paling tinggi iaitu seramai 787,000 orang, diikuti Johor (605,000), Perak (526,000) dan Sarawak (473,000).

"Pada pengamatan saya, majoriti iaitu 65 peratus mereka yang belum berdaftar ini terdiri dari kalangan bumiputera, iaitu kaum Melayu dan kaum-kaum etnik di Sabah dan Sarawak kerana mengikut nisbah penduduk juga kaum bumiputera adalah kaum yang paling ramai.

"Daripada jumlah borang pendaftaran yang diterima baru-baru ini juga didapati lebih ramai belia daripada kalangan bukan bumiputera yang mendaftar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sehingga akhir tahun lalu, jumlah pengundi berdaftar di negara ini adalah 11.08 juta orang, berbanding jumlah keseluruhan mereka yang berumur 21 tahun ke atas adalah 15.47 juta orang. - Bernama

Larangan Purdah Di Tempat Awam Bukan Amalan Britain.

Parti di Britain cadang haram purdah

LONDON 18 Jan 2010 – Parti berhaluan kanan Britain, Parti Bebas United Kingdon (UKIP) mengesa supaya pemakaian purdah di kalangan wanita Islam di tempat awam di negara ini diharamkan.

Kerajaan, bagaimanapun berkata, cadangan mengenakan larangan tersebut akan mencabul nilai toleransi di Britain.

Penggubal undang-undang UKIP, Nigel Farage memberitahu BBC bahawa pemakaian purdah melambangkan `simbol yang membahagi-bahagikan Britain’ dan menghalang wanita Islam berasimilasi dengan cara hidup negara ini.

Bagaimanapun, tidak ada parti utama di Britain yang menyokong cadangan tersebut.

Setiausaha Pendidikan, Ed Balls berkata, pengharaman pemakaian purdah di tempat awam `bukan amalan Britain, ia tidak adil dan tidak selari dengan tradisi kebebasan yang diamalkan di negara ini’. – AP

Monday, January 11, 2010

Pemuda DUN Batu Rakit 2004-2009- 3


Pasukan Bolesepak AJK Pemuda DUN Batu Rakit
Biarpun telah masuk tahun baru 2010 kini, saya masih ingin mencoretkan pengalaman dan kenangan bersama Pemuda DUN sepanjang kurang lebih 5 tahun memimpin organisasi tersebut.

Kepayahan dan derita sepanjang perjalanan itu banyak mengajar erti tabah dan mengenali liku-liku perjuangan. Tidak sedikit air mata yang tumpah, bukan menyesali perjuangan di lalui, tetapi lantaran meluahkan sebak yang terbuku di dada.

Sejak awal 2006 saya memberikan sepenuh masa saya untuk perjuangan. Pejabat saya adalah Pusat Khidmat di Markas DUN Batu Rakit. Dari pagi hingga petang dan kadang-kadang sampai ke malam saya berada di situ.

Sunnah perjuangan. Kadang-kadang rintihan tak dapat di elakkan seperti cacatan saya dalam posting ini. Akan tetapi sebenarnya itulah kemanisan dalam berjuang. Sedikit kejayaan yang di capai selepas susah itu adalah satu kebanggaan yang sukar di gambarkan..

Selepas MEMBARA ke 2, ada sedikit lebihan duit yang di persetujui oleh sahabat Pemuda DUN supaya di beli sebuah kamera digital untuk merakam setiap program yang di anjurkan agar dapat di jadikan bahan sejarah. Sebahagian gambar-gambar tersebut saya abadikan di dalam blog ini. Namun malang, mungkin kerana kurang pengalaman menjaganya, kamera tersebut telah rosak kini sejak awal 2009 yang lepas menyebabkan aktiviti pemuda tidak lagi dapat di rakam.

Lebih malang lagi semua gambar yang telah di ambil sebelum ini, yang tersimpan d dalam laptop ini telah hilang baru-baru ini apabila sahabat yang mengformat semula program komputer telah terlupa menyimpan dokumen yang ada. Menyebabkan kesemua fail dalam My Dokument telah lesap begitu sahaja. Sedih tak terkata lantaran hasil kerja selama 9 tahun yang tersimpan hilang sekelip mata..

Pada tahun 2007 selepas Mesyuarat Agung PAS Kawasan, saya di amanahkan sebagai Setiausaha PAS Kawasan dengan melepaskan jawatan Setiausaha Pemuda kepada Sdr Zaidan Abdullah, Graduet UITM untuk memberi nafas baru kepada pergerakan parti di Kawasan Setiu.

Dengan tugas baru itu memberi sedikit kesan kepada tumpuan menguruskan Pemuda DUN. Banyak urusan saya serahkan kepada sahabat lain. Bagusnya mereka semakin mahir mengendalikan program dengan saya lebih kepada menjadi pemantau dan penasihat walaupun masih menjadi Ketua. Sehingga saya boleh berbangga dengan mereka apabila sampai masa saya boleh serahkan terus jawatan Ketua Pemuda DUN kepada salah seorang mereka.

Pilihanraya Umum ke 12, Mac 2008 adalah saat getir dan kemuncak kepada matlamat jangka pendek yang di sasarkan iaitu untuk menang DUN Batu Rakit.

Kami di uji lagi dengan pemilihan calon yang pada pandangan kami tidak begitu sesuai. Kerja Pilihanraya menjadi sedikit pincang. Tidak ada persefahaman antara jentera Parti/ Bilik Gerakan dengan Jentera calon. Hasilnya.... ya! mungkin bukan DUN kami sahaja yang kalah, bahkan matlamat memerintah negeri juga tidak tercapai melalui PRU tersebut.

Pemilihan semula kepimpinan Parti tahun 2009 menyaksikan rombakan lagi. Pengunduran Ust Shaharizukirnain daripada Dewan Pemuda Kawasan lantaran melewati usia pemuda, memberikan ruang untuk saya di amanahkan sebagai Ketua Pemuda PAS Kawasan Setiu bagi sessi 2009-2011. Jawatan Setiausaha PAS Kawasan di serahkan kepada orang lain pula.

Dengan posisi sebagai ketua Pemuda Kawasan, bagi tujuan memantapkan pergerakan di DUN, maka dengan resminya saya menyerahkan Ketua Pemuda DUN kepada Sdr Zulkifli Mat Jusuh beberapa bulan selepas itu sementara menungggu beliau bersedia.

Blog ini pada asalnya adalah untuk mengisi, melaporkan aktiviti dan menjadi blog resmi Pemuda DUN Batu Rakit, walaupun hanya catatan peribadi saya. Kini oleh kerana tidak ada pengganti untuk mengendalikannya, maka dengan jawatan saya selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihanraya DUN, blog ini juga selepas ini akan menjadi tempat untuk melapor dan mengisi program-program DUN semua peringkat, bukan hanya setakat aktiviti pemuda.

Banyak lagi yang mahu di abadikan catatan berkenaan Pemuda DUN, tetapi perjuangan ini masih panjang. Masih banyak yang perlu di pelajari dan di laksanakan dalam meneruskan gerak kerja perjuangan sehingga tercapai cita-cita kemenangan dengan harapan terbesarnya adalah terkorban syahid sebagai puncak kejayaan dalam perjuangan, InsyaAllah...

Sunday, January 10, 2010

Bakar Gereja: Apa Agenda sebaliknya?

Tajuk tulisan Muhaimin Sulam, bekas pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat yang sekarang berada di England sangat menarik untuk di ambil perhatian. Kenyataan Menteri Dalam Negeri kemarin bahawa mungkin ISA akan di gunakan jika perlu berhubung pembakaran gereja juga perlu di perhatikan....

Setengah Juta RM Untuk Membakar
Jumaat pertama aku di UK ialah di sebuah chapel kecil Hospital Carmerthen. Sudah dua kali aku berbuka puasa di gereja St. Mary. Sebelum aku pergi demonstasi Palestin di London tahun lalu, aku dan keluarga pergi ke forum tentang Palestin di Unitarian Church, Swansea. Jika berkesempatan, kami mungkin akan solat terawih tahun ini di St. Helen Church yang telah dibeli untuk dijadikan sebuah masjid.

Minggu hadapan, kawan aku Adli akan berbincang dengan ketua paderi Univesiti of Wales untuk menyusun program dialog dengan mereka. Ia tiada kena mengena isu di Malaysia. Masjid Universiti aku pun sebenarnya adalah asalnya sebuah bangunan Chapel. Mungkin mereka begitu liberal atau aku sendiri semakin liberal.

Dalam peperangan sekalipun, gereja adalah tempat yang dilarang untuk dimusnahkan. Ini sudah termaktub dalam adab berperang dan diistiharkan dalam Konvesyen Geneva tentang perang.

Walau bagaimanapun memberikan sumbangan setengah juta RM kepada gereja yang dibakar boleh menyemarakkan api yang masih belum padam. Persembahan berita tentang isu ini hanya akan meneruskan agenda yang masih belum tamat. Ada banyak perkara lain yang perlu diutamakan selain daripada penyelesaian dengan duit.

Saturday, January 9, 2010

Tafakkur

Sunnah Orang Berjuang

Sesekali hati perlu di hiburkan agar tidak terlalu gundah berhadapan mehnah perjuangan

Serangan Terhadap Gereja pada hari Jumaat 8 Januari 2010

Oleh Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang

Tindakan pihak tertentu yang memilih cara yang ganas dengan melakukan tindakan yang ditegah oleh Islam menerusi serangan terhadap Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja Assumptiondi Jalan Templer, Petaling Jaya adalah dikutuk dengan sekeras-kerasnya.


Perlulah diingat, bahawa Islam menerusi kefahaman dakwahnya adalah membawa konsep kebebasan beragama kepada orang yang belum menganut Islam. Begitu banyak ayat dari Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW yang melarang penganut Islam dari mengganggu penganut agama lain, paderi dan rumah ibadat mereka. Bahkan, dalam setiap kali peperangan yang Nabi Muhammad SAW dan Khulafa Ar Raasyidin terlibat, para sahabat sangat berpegang teguh kepada pesanan Nabi Muhammad SAW untuk tidak membunuh paderi dan tidak merosakkan rumah ibadat mereka. Itu dalam suasana perang, apatah lagi dalam suasana aman seperti yang ada pada hari ini.

Tindakan yang bercanggah dengan Islam ini, hanyalah dilakukan oleh orang yang tidak faham terhadap agama mereka sendiri. PAS akan terus melaksanakan dakwah dan politik Islam dengan berdasarkan kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara, serta rakyat keseluruhannya perlulah senantiasa diingatkan agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak-pihak tertentu.

Kepada kepimpinan PAS di seluruh negara, hal ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam program Penerangan PAS Pusat pada hari esok di Shah Alam.

Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

22 Muharram 1431 H bersamaan 8 Januari 2010

Wednesday, January 6, 2010

Isu Nama Allah

Mahkamah Tinggi memutuskan boleh kepada orang bukan Islam menggunakan nama Allah. Lalu bangkitlah beberapa NGO kononnya mempertahankan kesucian Islam dengan membuat bantahan kepada keputusan Mahkamah tersebut. Termasuk yang membuat kenyataan bantahan itu adalah beberapa orang pemimpin UMNO sehingga Presiden UMNO sendiripun turut memberi ulasan.

Persoalannya, pertama- Atas peruntukan undang-undang manakah hakim membuat keputusan tersebut? Bukan kah hakim hanya membuat keputusan berdasarkan undang-undang yang sedia ada berkuat kuasa dalam negara kita? Siapa yang menggubal undang-undang tersebut dan berkuasa pula memindanya jika perlu? Bukan ke yang memerintah negara kita pada hari ini adalah BN yang di terajui oleh UMNO? Mengapa di persalahkan hakim yang memutuskan hukuman sedangkan UMNO sendiri yang bermati-matian mempertahankan undang-undang tersebut?

Kedua- Mengapa harga gula di naikkan serentak dengan meletupnya isu ni? Kebetulan? Atau satu perancangan rapi telah di buat supaya rakyat tidak begitu peduli terhadap tekanan hidup yang bakal di hadapi dengan kenaikan bahan asas tersebut? Berapa banyak pula akan di bayar oleh tokey kilang gula daripada kesusahan rakyat itu, kepada orang politik untuk mempertahankan kuasa mereka di zaman kemelesetan ekonomi ini?

Ketiga- Atas matlamat apa orang kristian bersungguh benar mahu menggunakan nama Allah ini? Mengakui keesaan Allah? Atau untuk memenuhi agenda menyamatarafkan Kristian dengan Islam di mata orang Islam? Ataupun supaya memudahkan mereka menyebarluaskan agama mereka di kalangan orang melayu yang bertuhankan Allah, kononnya kristian juga agama yang di redhai Allah? Siapa tokoh-tokoh yang bekerja keras supaya nama Allah ini boleh juga di gunakan oleh mereka yang beragama kristian ini?

PAS telah mengeluarkan kenyataan resmi berhubung isu ini, begitu juga PKR melalui blog Ketua Umumnya juga telah menyatakan pendirian mereka. Bagi saya orang PAS mesti fokus terhadap isu sebenar. Punca masalah bukannya keputusan mahkamah itu, tetapi masalah sebenarnya adalah Islam tidak di terima secara menyeluruh oleh orang Islam sendiri dalam mengatur kehidupan mereka. Negara tidak di tadbir mengikut kehendak pencipta kita iaitu Allah.

Sebarang perubahan yang hendak di lakukan mesti atas agenda untuk mendaulatkan Islam. Bukannya berubah membangunkan jahiliah lain di atas keruntuhan jahiliah yang ada sebagaimana apa yang seringkali di ulang oleh Haji Mohd Sabu di dalam ceramah-ceramah beliau.

Agenda kristian jelas sebenarnya. Bermula dengan meliberalkan pemikiran orang Islam sehingga menganggap mana-mana agama adalah sama, kemudian mereka menyerang beberapa prinsip hukum Islam kononnya tidak adil dan akhirnya matlamat mereka adalah supaya orang Islam tidak lagi beramal dengan Islam kerana menganggap ketidakadilan hukum Islam lalu menerima Akidah yang mereka perjuangkan kononnya untuk KEADILAN sejagat.

Malang kepada orang UMNO serta NGO-NGO yang membuat bantahan terhadap keputusan hakim berhubung isu ini kerana tidak memahami letak duduk punca masalah. Mereka rasa merekalah pembela kesucian Islam, sedang merekalah yang menghina Allah melalui penolakan terhadap undang-undang yang Allah Taala gazetkan dalam Al Quran untuk di laksanakan oleh manusia bagi menyelesaikan masalah manusia.

Malang juga kepada mereka yang menyokong keputusan hakim tersebut kerana di sebalik kesungguhan kristian mahu menggunakan nama Allah itu terdapat agenda besar untuk menyesatkan orang Islam daripada jalan yang lurus dan supaya perubahan yang bakal berlaku dalam masyarakat kita tidak memungkinkan Islam dapat di daulatkan.

Friday, January 1, 2010

Hadiah Tahun Baru Daripada BN


Tiba-tiba kerajaan naikkan harga gula sebanyak 20 sen dan sudah tentu makanan terutama kuih dan minuman akan naik harga.

Apa sebenarnya tugas pemimpin Umno memerintah negara ni. Kenapa dia tidak boleh menjalankan tugas sebagai penyelamat `selamatkan gula daripada naik harga'. Tidak bolehkah wahai kerajaan?

Rakyat mengharapkan kamu sebagai penyelamat daripada golongan konglomerat tetapi kamu serupa je dengan konglomerat. Mahu untung... mahu kaya... biar rakyat terseksa!

Kamu isytihar naik harga secara mengejut macam isytihar naik minyak. Kenapa? Kamu takut pembelian panik. Kamu takut orang serbu kedai runcit. Kenapa la kamu yang terpilih jadi pemimpin kerajaan?

Celaka hidup dapat pemimpin serupa ini. Langsung tidak pakai hati perut. Tidak fikir rakyat susah.

Kamu tak tahu pemimpin... kami minum teh tarik ramai-ramai kat kedai mamak pun masing-masing keluar duit bayar seringgit segelas. Setengah kedai mamak sudah naik harga RM1.10 dan ada RM1.20 sejak minyak naik harga.

Kamu langsung tidak fikir rakyat bawahan. Hak yang miskin ni. Jangan kamu banding duit kami dengan duit kamu. Bandingkan harga gula dengan berapa sen yang kami dapat sehari.

Kalau banding harga gula naik RM1.65 dengan duit kamu memang la harga gula tu murah. Bengong...

Bawah ni berita bernama yang tak sempat dia buat laporan penuh. Kamu kena ingat wahai kerajaan gula tu dekat kedai runcit nanti tidak dijual RM1.65 tetapi RM1.70.

Harga Gula Naik 20 Sen

PUTRAJAYA, 31 Dis (Bernama) -- Harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram kepada RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak mulai 12 tengah malam ini berikutan kenaikan harga gula mentah dunia, demikian diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Mohd Zain Mohd Dom di sini Khamis.

Followers