Tuesday, September 23, 2008

Bersama Menyertai PAS

Suasana kekalutan politik dalam negara dan dunia hari ini sepatutnya menginsafkan kita bahawa perlunya kembali kepada fitrah kejadian tuhan, iaitu kembali menghayati agama.

Lantaran itulah Presiden PAS menyeru ahli dan penyokong UMNO supaya memikirkan dengan serius untuk sama-sama bergabung dan menyertai perjuangan Islam yang di bawa oleh PAS. UMNO ternyata telah gagal memastikan rakyat menjadi orang beragama setelah memerintah lebih 50 tahun. Sampai satu tahap kini kebanyakan rakyat Malaysia memikirkan perlu di tukar bukan saja PM tetapi parti UMNO itu sendiri.

Ini kerana jika hanya menukar PM, sebagaimana pertukaran daripada TUN Dr Mahadhir kepada DS Abdullah sekarang, tidak mampu melakukan perubahan melalui wadah UMNO yang terkenal di penuhi perasuah dan pemodal-pemodal yang menindas rakyak bawahan.

Dato' seri presiden PAS sudah membuka jalan, menyeru seluruh rakyat bersama dengan Islam melalui parti PAS yang mempunyai rekod yang sangat konssisten mempertahankan Islam samaada ketika menjadi kerajaan mahupun sebagai pembangkang.

Monday, September 22, 2008

Lumrah UMNO, diangkat ketika berpangkat – YDP PAS Setiu

Ditulis oleh Wartawan Buletin
Wednesday, 20 August 2008

Setiu - Sudah menjadi lumrah UMNO, mengangkat mana-mana pemimpin yang berpangkat dan berkuasa dan begitu juga sebaliknya, mereka akan membuang pimpinan mereka sendiri, apabila tidak lagi mempunyai kuasa.

“Lihat apa yang belaku kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sekarang sudah menjadi seperti ‘kera sumbang’,”kata Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Ustaz Mohd Pauzi Muda ketika mengulas isu terbaru yang melibatkan UMNO Bahagian Setiu. (Ustaz Pauzi (tengah) sewaktu penamaan calon Pilihanraya Umum lalu)

Kelmarin, bekas Ahli Parlimen Setiu, Mohd. Yusop Majid telah kalah dalam merebut jawatan peringkat paling bawah, iaitu Ketua UMNO Cawangan Banggol, Setiu.

Kekalahan Yusop dianggap ‘pelik’ kerana beliau selaku Ketua Penerangan UMNO Bahagian langsung tidak dihormati oleh ahli-ahli UMNO bawahan, kalah kepada seorang bekas Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

“Itulah tabie’e UMNO yang berjuang kerana kuasa dan pangkat, apabila mereka mempunyai kuasa dan pangkat maka ramailah pengikut yang ‘nak tumpang sekaki’,

“berbeza dengan kita (PAS), pemimpin dipilih atas ilmu yang dimiliki selain kewibawaan dan pengalaman mengurus jamaah,”kata Ustaz Pauzi yang dihubungi melalui SMS pagi ini.

Buletinonline difahamkan Yusop Majid yang juga turut kalah dalam cubaan beliau untuk merebut Naib Ketua UMNO Cawangan.

Kekalahan Yusop yang juga seorang peguam kepada hanya seorang Pengerusi JKKK dilihat oleh Setiausaha PAS Kawasan Setiu, Ustaz Nazari Alias sebagai sesuatu yang memalukan.

Ustaz Nazari berkata UMNO kini menjadi sebuah parti ‘ringgit dan sen’, tidak mempunyai pendirian dan hala tuju.

Beliau berkata demikian kerana menurutnya rata-rata pemilihan UMNO samada diperingkat cawangan atau pun yang lebih tinggi dikuasai oleh rasuah politik.

Pengerusi UMNO Terengganu Dato’ Ahmad Said, awal bulan ini mengakui gejala rasuah politik yang melibatkan sogokan wang berleluasa dalam pemilihan jawatan.

Justeru itu, beliau menyeru supaya orang-orang yang faham tentang ugama dikampung-kampung di daerah Setiu menjauhkan diri dari UMNO atau meninggalkan UMNO sekiranya masih menjadi ahli.

“Orang-orang bukan Islam dan bukan Melayu pun sudah tidak percaya lagi kepada UMNO, apa lagi kita orang-orang Islam,

“terlalu banyak gejala rasuah yang berlaku dalam UMNO, baik dalam kerajaan atau pun dalam pemilihan parti itu sendiri,”tambah Ustaz Nazari.

Tuesday, September 16, 2008

Ulamak dinobatkan di Perlis di bulan Ramadhan

Oleh : Roslan SMS

Diambang ulangtahun kejayaan Tentera Badar tanggal 17 Ramadhan, PAS dengan izin Allah dikurniakan satu kemenangan yang amat bermakna. Sebentar tadi Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan yang Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin adalah calon yang memenangi kerusi DUN Sangglang di Perlis tanpa perlu diadakan pilihan raya kecil.

Pada PRU ke 12 lalu SPR mengisytiharkan yang calon BN Abdullah Hassan memenangi kerusi tersebut dengan kelebihan 149 undi sedangkan Ustaz Hashim mendakwa rekod sebenar SPR menunjukkan yang beliau memperolehi 3,333 undi iaitu mengalahkan Abdullah yang memperolehi 3,286 dengan kelebihan 47 undi.

Dengan keputusan ini bermakna Ustaz Hashim yang sebelum ini telah mewakili Sanglang selama 2 penggal akan terus mewakili kerusi tersebut dan dengan itu PAS kini mempunyai 2 wakil di Perlis berbanding BN 13.

Syukur kehadrat Alllah swt dan syabas sahabat-sahabat di Perlis. Ustaz Hashim juga adalah Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Sementara itu Mahkamah Persekutuan turut mengesahkan kemenangan calon PAS Ustaz Dato Hj Harun Taib. bagi kerusi DUN Manir, Terengganu. Mahkamah telah menolak dengan kos permohonan calon BN Wan Sagar Wan Embong untuk membatalkan kemenangan Harun atas dakwaan kononnya wakil Harun telah melakukan kesalahan pilihanraya semasa berkempen.

Ustaz Harun memenangi kerusi tersebut baru-baru ini dengan kelebihan 406 undi. Ustaz Harun adalah AJK PAS Pusat dan AJK Majlis Syura Ulamak PAS.

Kemelut Pas : Kenapa Jadikan Anwar Sebagai Bala Pas

Oleh Mohd Sayuti Omar

SEDAR atau tidak sedar, setuju atau tidak setuju, projek 16 September kini menjadi seperti api dalam sekam memakan dan memamah keharmonian Pas selama ini. Projek itu telah menjadi bala kepada Pas meretakkan ukhwah sesamanya. Projek berkenaan yang sepatutnya tidak ada sangkut paut dengan Pas kerana ia adalah agenda peribadi PKR dan penasihatnya Anwar Ibrahim, namun kini menjadi isu yang mengeruhkan suasana dalam Pas.

Pas seharusnya memerhati dari jauh berhubung projek berkenaan tanpa menyusahkan diri dengannya. Pas boleh mengaut keuntungan daripada projek itu tanpa ikut sama mencelup tangan hingga sampai ke pangkal lengan dalam projek berkenaan. Cara itu lebih baik kerana kalau ia tidak berlaku Pas tidak akan terkena bau busuknya.

Gara-gara projek itu kini Pas semacam retak. Ada dua pendapat saling bertentangan berhubung dengannya. Satu pihak mempercayainya hidup-hidup kepada projek berkenaan dan satu pihak lagi menolaknya mentah-mentah. Kedua pihak ada sebab dan hujah tersendiri untuk menerima dan menafikannya.
Strategi politik

Pertentangan berhubung projek ini yang membawa kepada pertentangan kepercayaan bukan saja kepada strategi politik itu tapi membabitkan keyakinan kepada Anwar itu sendiri sedkit sebanyak terobek.

Ia semakin merebak apabila pertentangan itu bukan berlaku dari kalangan individu bawahan tetapi sudah terarah kepada pembentukan dua kelompok yang kontras dalam Pas; yang menyokong Anwar dan yang menentang Anwar.

Hari ini perwujudan kelompok itu sangat jelas dan sudah menjadi sebutan dengan berbagai nama ataupun gelaran. Kedua kelompok ini masing-masing membicara mengikut gaya dan keyakinan tersendiri dan tidak mahu bertemu untuk membincang secara bersama lagi. Ia juga menampakkan konflit sesama sendiri yang cenderung kepada keadaan yang meruncing jika tidak disedari segera kedua pihak.

Pergeseran dan perbezaan pendapat tidak menjadi masalah. Pas selalu mengalami pergeseran dalam mencari kesimpulan berhubung sesuatu isu. Tetapi kalau pergeseran kerana menegakkan batang tubuh manusia di luar parti itu ia menghairankan. Ia agak ganjil sedikit! Bila masa pula Pas bertindak menjadi NGO menjaga hak asasi seseorang?

Anwar adalah individu di luar Pas. Kenapa Pas harus menjadikan batang tubuhnya sebagai pemecah belahkan Pas? Beliau tidak ada kaitan dengan Pas. Sedangkan apa yang berlaku kini ialah disebabkan Anwar. Di sinilah kesilapannya dan menampakkan kurang matangnya siasah Pas.
Perkara ini tidak boleh disembunyikan lagi. Ia semakin ketara dan nyata. Walaupun ada pihak dalam Pas yang ingin mendamai dan menyembunyikannya namun tidak berhasil. Kerana kedua terlibat mempunyai pengaruh yang besar ke atas satu sama lain. Keyakinan dan ego (amarah) manusia menjadikan manusia lupa kepada amanah dan tanggungjawab perjuangan dan menjaga kepentingan ahli Pas.

Mereka yang bersetuju dengan projek 16 September ini atau tepatnya terpesona dengan Anwar ialah Husam Musa, Naib Presiden Pas, (beliau boleh dianggap sebagai ketua), Kamaruddin Jaaffar, Setiausaha Agung, Zulkifly Ahmad, Pengarah Strategi Pas, Mohd Hatta Ramli, Bendahari Agung Pas, Mahfuz Omar, Ketua Penerangan Pas, Syed Azman Syed Mohamad AJK Pas, Abdul Khalid Samad, ahli Parlimen Shah Alam. Mereka ini dibantu oleh Dr Mariah Mahmood dan Dr Lo' Lo' Ghazali keduanya AJK Pas Pusat.

Dijadikan perkakas

Dan kelompok ini merasakan mereka merdeka dan menang apabila Musyidul Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat sebagai memberi mata dan sedia membentangkan belakangnya untuk dijadikan perkakas usang oleh kelompok ini.

Manakala pihak yang tidak setuju dan tidak yakin dengan projek berkenaan ialah Abdul Hadi Awang, Presiden Pas, Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presiden, Mustafa Ali, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas. Mereka ini dibantu oleh Dr Haron Din, Timbalan Mursyidul Am Pas, Harun Taib bersama beberapa tokoh veteran Pas Terengganu, Kedah, Kelantan, Johor dan lain-lain.

Disebabkan Mustafa dilihat vokal dan menjadi penasihat politik Abdul Hadi Awang maka beliau dicap sebagai ketua di sebelah sini.

Jelas kalau dilihat kepada klasifikasi ini ia menggambarkan Pas kini sudah berpecah dua kumpulan dan di mana kekuatan kedua pihak kelihatan sama gagah kerana keduanya diketuai oleh pucuk pimpinan Pas tertinggi.

Pada dasarnya kedua kelompok ini ada hujah dan alasan kenapa mereka menolak dan menyokongnya. Namun sayang hujah dan alasan ini tidak dapat mempengaruhi di antara satu sama lain sebaliknya keyakinan ini mereka saling bertentangan.

Pada hemat saya, puak yang menyokong Anwar atau yakin dengan projek peralihan kuasa 16 September (esok) itu mereka sedar hakikat kekosongan angan-angan itu. Tetapi kenapa mereka sokong ialah kerana motif lain. Saya tidak kira Husam Musa (arkitek baru Pas) buta dan jahil mengenai hal ini. Beliau tentu sekali nampak dan bermain politik untuk kepentingan partinya dan juga dirinya di sebalik menyokong projek itu.

Daripada apa yang dilakukan, menjelaskan Husam seakan sedang menguji sejauh mana kehebatan dirinya dengan isu berkenaan. Cara beliau menggerakkan isu itu dan bermain politik dengannya seakan beliau sedang membuat persiapan untuk masa depan politiknya. Secara tidak langsung kini umum sudah melihat semacam ada perlumbaan pengaruh antara Husam dengan tokoh-tokoh tertentu dalam Pas. Jangan terkejut kalau pada pemilihan pucuk pimpinan Pas tahun depan Husam akan mencabar Abdul Hadi Awang untuk jawatan presiden!

Demikian juga dengan kumpulan yang tidak yakin dengan projek berkenaan. Mereka tidak setuju bukan kerana projek itu projek Mat Jenin; tetapi kerana alasan-alasan lain yang sangat jelas dan konkrit kepada mereka. Di sini saya nampak mereka bukan tidak suka kepada projek berkenaan tetapi tidak boleh menerima sikap dan keperibadian pengilham projek berkenaan, Anwar Ibrahim.
Adapun mengapa mereka tidak bersedia menerima Anwar ialah kerana masalah peribadi yang dihadapi Penasihat PKR itu. Tuduhan liwat ke atas Anwar atau sejarah politik Anwar dizaman gemilangnya dalam BN dulu yang menghentam dan menganiaya Pas menyebabkan mereka sukar untuk menerima Anwar. Dalam erti kata lain gara-gara sejarah hitam dan parut itu mereka hilang penghormatan kepada Anwar.

Tikaman Anwar

Tentu berlain dengan mereka yang tidak mengenali Anwar dan baru mengenalinya seharian dua ini, tidak merasai betapa sakitnya tikaman Anwar terhadap Pas sebelum ini. Mungkin kesan dan sejarah itu menyebabkan mereka berhati-hati untuk menerima Anwar. Mungkin dalam hal ini bagaimana peritnya Nik Aziz terhadap Umno yang menendang Pas keluar BN mungkin begitulah juga peritnya kelompak ini kepada Anwar.

Apa yang berlaku ini walaupun melibatkan Anwar, penasihat PK itu tidak boleh disalahkan. Beliau tidak berdosa dalam hal ini. Anwar tidak memangil dan meminta secara rasmi agar menyokongnya. Pihak yang menyokongnya mahu menumpang tuah dan auranya. Mereka mengira Anwar boleh melakukan sesuatu termasuk meruntuhkan kerajaan BN yang menjadi harapan bersama.

Dalam menangani kemelut ini pada hemat saya Pas kurang berhati-hati dan tidak ceramat. Sepatutnya Pas selesai dengan cara baik dan tidak membuka ruang perbezaan dan konflit antara satu sama lain dengan lebih luas. Perselisihan itu berlaku menampakkan keretakan dalam Pas. Kematangan Pas selama 52 tahun juga boleh dipertikaikan.

Misalnya teguran Nik Abdul Aziz Nik Mat ke atas Mustafa Ali yang meluahkan pandanganya tidak percaya kepada projek itu tidak bijaksana. Nik Aziz sebagai Mursyidul Am tidak sepatut membuat teguran terbuka begitu dengan mengedarkan kenyataan akhbar mengkritik Mustafa Ali ke dalam blog dan internet.

Tindakan itu tidak fatanah dan bertentang dengan ciri kepimpinan para sahabat yang menjadi idola dan teladan pemimpin Pas. Nik Aziz agak emosional dalam melayani kerenah Mustafa Ali itu. Nik Aziz patut lebih menjaga kedudukannya sebagai Mursyidul Am di mana jawatan tertinggi dalam hirerki Pas daripada turut menjadi broker atau proksi kepada puak yang menyokong Anwar dan sanggup singsing jubah turun padang.

Dalam perhatian saya mengenai isu sokongan kepada Anwar ini Nik Aziz menggunakan sepenuhnya baju dan jubahnya sebagai Mursyidul Am Pas untuk menyokong bekas TPM itu. Pandangan Majlis Syura pun dilanggarnya! Perangai ini sungguh aneh. Beliau seakan lebihkan kepada Anwar daripada menjaga perasaan dan kepentingan pemimpin Pas sendiri. Nik Aziz harus sedar dan jangan mudah nyanyuk bahawa Pas itu adalah hak jemaah dan bukan kepunyaannya. Sehebat mana ilmunya dan sebesar mana pengaruhnya ia tetap dipayungi oleh Pas.

Dalam apa juga keadaan dan berdepan dengan krisis dan perbalahan beliau tidak wajar berpihak dan patut berada di tengah. Jawatan Mursyidul Am itu sendiri adalah sebagai penasihat dan pemberi kata putus. Ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya apa lagi mengikut sentimen dan apa lagi kalau sanggup bercakap dengan menggunakan air liur orang lain.

Kini tidak ada siapa lagi yang boleh menjadi orang tengah dan penasihat yang adil dan dihormati dalam Pas apabila Mursyidul Am Pas sendiri boleh dipertikaikan keadilan dan tanggungjawabnya. Perkembangan ini agak malang bagi Pas. Dalam Umno dituduh berkecamuk, Pas juga nampaknya terikut sama bercelaru dengan bergaduh dan singgung menyinggung sesama sendiri sampai terselak barang dalam kain. Barangkali sudah begitu takdir Allah!

Majlis Iftar Pemuda DUN

Jika Ramadhan tahun lepas sebelum PRU Pemuda DUN buat majlis Iftar di restoran dengan hidangan Nasi Ayam, tahun ini kami adakan di Surau kecil tepi rumah saya. Jangkaan hadhir cuma 50 orang, tapi jangkaan itu nyata meleset bila satu periuk besar tom yam cuma tinggal kuah. Ingatkan baru lepas PRU ni program tiada sambutan lagi. Rupanya dengan perkembangan dan pergolakan semasa, petugas-petugas kita masih lagi bersemangat. Mungkin menunggu kerajaan baru 16 sept?

Walau apapun petang 10 Ramadhan yang ceria itu memberi isyarat yang meyakinkan bahawa Pemuda Batu Rakit masih tetap bertenaga meneruskan perjuangan. Terimakasih kepada sahabat-sahabat yang hadir hari tu dan kepada yang tak cukup lauk ke atau apa-apa kekurangan saya sebagai tuan rumah mohon maaf banyak-banyak.

Sebenarnya program tu, walaupun di buat di perkarangan rumah saya dan memangpun idea saya, tapi ia adalah hasil sumbangan sahabat-sahabat AJK Pemuda DUN. Bukan apa, saya tak mahu ia jadi majlis peribadi saya. Biarlah kita rasa majlis tu majlis kita bersama, iaitu majlis Pemuda DUN. Sebab itulah saya buka ruang untuk semua AJK memberi sumbangan bagi menjayakan majlis tu. Alhamdulillah, ia telah berjaya walaupun agak kelam kabut sikit kerana kehadiran yang tidak di jangka...

Monday, September 15, 2008

16 September

Rasanya nak jugak berkongsi rasa berkenaan kehadiran 16 sept esok. Kalau dunia tak kiamat petang ni, 16 sept pasti sampai. Bukan kerana nak raikan sangat tarikh Sabah Serawak menyertai Malaysia tu, tapi tarikh tu di gembar gemburkan bakal menjadi satu tarikh yang sangat penting, bakal merubah lanskap politik negara yang telah banyak kali berubah sebenarnya.

Mungkin sejarah lalu tak perlu lagi di kenang, lantaran keghairahan untuk berada di bawah pentadbiran baru Malaysia. Siapa Anuar Ibrahim, siapa Lim Kit Siang dan siapa-siapa lagi tak penting, asalkan BN mesti di jatuhkan dahulu. Lalu keghairahan itu melahirkan pelbagai tindakan oleh pelbagai peringkat kepimpinan Parti mahupun ahli-ahli.

Ya.. bila kita ingatkan sejarah, nanti orang kata kita tak perlu berdendam, tak perlu nak ungkit lagi cerita lama. Manusia boleh berubah mengikut keadaan. Memang betul pun kita tak perlu berdendam dengan sapa-sapa. Dendam boleh merosakkan hati kita, menyebabkan kita jadi tak temteram.

Ini bukan soal dendam. Manusia tetap manusia. Walau di mana, bangsa apa pun dan bila-bila zaman manusia tetap mempunyai fitrah kejadian yang sama. Al Quran banyak menceritakan perangai manusia melalui kisah umat-umat zaman dahulu. Ada yang menjadi pengikut Nabi-Nabi dan kebanyakan manusia menjadi penentang dengan berbagai sebab yang ada kait-mengait antara satu sama lain.

Ramadhan ini kita menjadi pembaca setia Al Quran berbanding bacaan-bacaan lain. Sepatutnya Al Quran ini menjadi penyuluh kepada tindak-tanduk dan sikap kita. Kita boleh mengenali siapa yang berada di atas jalan kebenaran dan siapa dalam kekeliruan menafsir taraf kehambaan kita kepada Allah.

Kita sangat perlukan perubahan. Air yang bertangkung itu, lama kelamaan akan menjadi busuk. Itulah ungkapan arwah Ustaz Fadhil Noor satu ketika dahulu. Memang manusia perlu sentiasa berubah seiring perubahan masa. Daripada muda ke usia tua, daripada jahil kepada bertambah ilmu kehidupan dari masa ke semasa dan dari itu ke dari ini. Semua manusia hendakkan perubahan itu berlaku daripada kekurangan kearah yang lebih baik dan bertambah baik. Daripada yang tidak betul kepada kebenaran.

Sesungguhnya kebenaran itu datangnya daripada tuhanmu... Allah mengingatkan kita melalui firmannya, bahawa kita adalah makhluk yang terikat dengan kehendakNya. Fitrah manusiapun terikat dengan ciptaan Allah. Bagaimanapun kita rasa baik, jika Al Quran kata tak baik, kita hendaklah didik diri kita ikut Quran. Lantaran itu sebarang perubahan yang hendak di buat hendaklah menjadikan Al Quran sebagai panduan, atau dalam erti kata lain meletakkan Islam sebagai dasar perubahan yang hendak di buat.

Balik kepada 16 sept yang akan kita lalui esok jika umur masih panjang. Bakal Perdana Menteri baru yang di sebut-sebut, DS Anuar Ibrahim mempunyai sejarah perjuangan yang sangat menarik. Bermula sebagai pimpinan pelajar di era 70 an sehinggalah berada hampir di puncak kuasa hujung 90 an dan sekarang di katakan bakal menerajui negara bermula tanggal 16 sept, esok. Beliau adalah di antara tokoh-tokoh besar dan hebat yang pernah lahir dalam negara kita tercinta ini. Kelebihan yang beliau miliki jarang terdapat pada orang lain menyebabkan beliau di kagumi, sehingga bagi sesetengah orang di puja sebagai tokoh yang tiada tolok bandingnya.

Layak ke Anuar jadi PM? Bukan soal Anuar ke sapa-sapa. Apabila kita Islam, asas kita telah sebutkan di atas bahawa penilaian kita adalah Al Quran sebagaimana hukum hakan dan sejarah yang tercatat di dalamnya. Bacalah sejarah Anuar Ibrahim kemudian suluhlah dengan Al Quran, adakan perubahan yang hendak di bawa kearah kebaikan (kebenaran Islam) atau sebaliknya. Bukan soal dendam, tapi sejarah tidak akan menipu kita...

Followers